Monday, March 07, 2011

WANITA, KEHAMILAN DAN HIV/AIDS



Sebagai seorang wanita yang inginkan kehidupan yang sihat dan bahagia, anda perlu tahu bahawa HIV merebak melalui tiga cara iaitu:
1.      Melalui perhubungan seks tanpa kondom dengan orang yang telah dijangkiti HIV, di mana berlaku pemindahan cecair badab seperti air mani, air mazi, bendalir faraj atau darah (termasuk darah haid) dari tubuh orang yang telah dijangkiti HIV itu ke tubuh orang yang lain.
2.      Melalui darah yang telah dicemari dengan HIV, umpamanya melalui jarum suntikan yang tidak disteril, pemindahan darah dan organ-organ badan.
3.      Melalui ibu yang telah dijangkiti HIV kepada anaknya semasa kehamilan, kelahiran atau memberi susu badan.
Pada keseluruhannya, kira-kira 30% daripada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita-wanita positif-HIV dilaporkan dijangkiti HIV melalui ibu mereka. Risiko ini boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat anti-HIV seperti AZT.
Gadis remaja amat terdedah kepada jangkitan HIV. Status sosial yang rendah menyebabkan mereka mudah tewas kepada punca jangkitan.
Ketahuilah status kesihatan anda sendiri di samping mengetahui kegiatan seksual pasangan anda.
Buatlah keputusan yang bijak dalam memilih pasangan. Pastikan jawapan kepada soalan-soalan ini:
  • Adakah dia bebas dari jangkitan HIV dan penyakit kelamin?
  • Adakah dia seorang yang setia, atau adakah dia mempunyai pasangan lain?
  • Adakah dia seorang pengguna dadah atau bekas pengguna dadah?
  • Apakah latar belakang aktiviti seksualnya sebelum ini?
Dalam pada itu jangan lupa tanyakan juga pada diri anda sendiri :
  • Adakah anda bebas dari jangkitan HIV, hepatitis atau penyakit-penyakit merbahaya yang lain?
  • Adakah anda yakin status kesihatan anda?
  • Adakah anda seorang penguna dadah atau bekas pengguna dadah?
  • Mungkinkah anda perlu menjalani sebarang ujian darah?
Anda berhak dan bertanggungjawab meminta pasangan anda menggunakan kondom bila mengadakan hubungan seks.
Satu daripada faktor mengapa kebanyakan wanita enggan mencadangkan seks yang selamat adalah kerana mereka berpendapat nikmat seks pasangan mereka adalah lebih penting daripada keselamatan mereka sendiri. Sikap sebegini merugikan wanita sendiri.
Ingatlah bahawa anda mempergadaikan nyawa sekiranya anda mengadakan seks yang tidak selamat. Mencadangkan atau meminta seks yang selamat tidak bermakna anda meragui kesetiaan atau kegiatan pasangan anda. Seks yang selamat bertujuan memberi perlindungan kepada kedua-dua belah pihak. Menggunakan kondom adalah langkah pencegahan yang dapat melindungi kesihatan anda berdua.
Seorang wanita menghadapi kemungkinan dijangkiti HIV tiga hingga lapan kali lebih tinggi daripada lelaki bial melakukan seks faraj tanpa kondom.
Kalau dia enggan menggunakan kondom?
Sekiranyan pujukan dan cadangan anda tidak diterimanya, mungkin anda ingin mempertimbangkan untuk meniggalkan si dia yang lebih mementingkan dirinya dari nyawa anda.
Sekiranya anda telah berkahwin dan mempunyai anak, suami anda haruslah lebih bertanggungjawab sebagai seorang ayah. Fikirkanlah masa depan anak anda jika kedua-dua ibubapanya menghidap AIDS?
Dapatkan bantuan berkomunikasi
Memang diakui bahawa seks selamat adalah satu topik yang rumit dan sukar dibangkitkan, teruatamnya jika anda terpaksa bergantung kepada suami atau pasangan untuk menyara hidup anda. Ada juga wanita yang khuatir pasangan mereka akan bertindak ganas, mendera atau meninggalkan mereka. Jika anda perlukan bantuan, hubungilah Majlis AIDS Malaysia di talian (03) 4045 1033 supaya kaunseling atau rujukan boleh diaturkan secepat mungkin.
Ia mungkin terselindung
Peringkat awal jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Anda mungkin kelihatan sihat dan berasa sihat sedangkan anda mungkin telah dijangkiti. Keadaan ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun. Keadaan ini sungguh merbahaya kerana virus yang terselindung itu sebenarnya boleh menjangkiti orang lain.
Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda telah dijangkiti HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV. Jika pasangan anda bersetuju, sebaik-baiknya anda mengambil ujian ini bersamanya. dapatkan kaunseling dan lakukanlah ujian ini sebelum anda hamil.
Sekiranya anda disahkan negatif-HIV (yakni selepas dua atau tiga kali ujian)*, anda boleh hamil tanpa rasa bimbang tetapi pastikan anda tidak dijangkiti sebelum, semasa dan selepas kehamilan. Sekiranya ujian tersebut menunjukkan keputusan positif, doktor anda akan memberikan nasihat lanjut supaya anda dapat menjalani kehamilan yang paling selamat bagi anda dan bayi.
*Ujian hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas kemungkinan jangkitan bagi membolehkan badana menghasilkan antibodi secukupnya untuk dikesan. Jika ujian kali pertama menunjukkan keputusan negatif, anda akan diminta menjalani ujian kedua selepas tiga bulan berikutnya.
Samada anda seorang yang positif-HIV atau tidak, jika anda hamil, anda perlu memastikan kesihatan anda sentiasa terjaga.
Wanita mana yang menghadapi risiko jangkitan HIV?
Semua wanita. Sebagai pihak yang menerima semasa hubungan seks, semua wanita terdedah kepada lebih risiko jangkitan, berbanding pihak lelaki.
Tidak kira tua, muda,, kaya, miskin, heteroseksual, dwiseksual, homoseksual, wanita bujang, berkahwin atau pernah berkahwin, semua wanita patut sedar tentang bahaya jangkitan HIV dan cara-cara untuk mengelakkannya.
Pencegahan
Hamil - tidak mahu! Jangkitan penyakit - jangan!! Kasih sayang dan seks - sudah tentu perlu yang itu! jadi bagaimana?
Seks yang lebih selamat
Dari segi perubatan, seks yang lebih selamat merujuk kepada seks yang tidak melibatkan pemindahan cecair badan kepada orang lain. Ini termasuk hubungan seks dengan menggunakan kondom dengan cara yang betul.
Seks juga tidak semestinya melibatkan persetubuhan. Sentuhan, ciuman, pelukan, mengurut dan melancap (dimana tiada sebarang luka atau rekahan kulit yang boleh memindahkan cecair badan) adalah aktiviti-aktiviti seksual yang lebih selamat.
Seks yang lebih selamat boleh mengelakkan kehamilan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Kondom : Perlindungan 2 dalam 1!
  • Elakkan kehamilan yang tidak dirancang
  • Elakkan risiko jangkitan
Tahukah anda bahawa kaedah-kaedah perancang keluarga selain daripada kondom seperti pil perancang, daifram atau spermisida (racun sperma) tidak boleh menghalang jangkitan HIV?
Untuk mengelakkan jangkitan atau kehamilan anda memerlukan bekalan kondom yang mencukupi serta keupayaan menggunaknnya atau meminta pasangan menggunakannya.
Cara menggunakan kondom lelaki
1.      Pastikan kondom tidak melewati tarikh luputnya. Keluarkan kondom dari paketnya pakai dengan cermat.
2.      Sarungkan kondom ke kepala zakar yang tegang dan picit hujung kondom bagi mengeluarkan gelembung udara di dalamnya.
3.      Sambil terus memicit hujung kondom, lurutkan ia ke pangkal zaakar.
4.      Jika perlu, bubuh pelincir berasaskan air seperti KY Jelly.
5.      Setelah selesai hubungan seks, keluarkan zakar sebelum ia menjadi kendur. Pegang birai kondom rapat kepada zakar supaya air mani tidak tertumpah.
6.      Tanggalkan kondom dengan cermat, simpulkan pangkalnya dan buangkan ke dalam tong sampah. (Jangan buang ke dalam mangkuk tandas.)
Namun sebagai wanita, anda mungkin ingin hamil.
Untuk hamil, seorang wanita perlu menerima air mani daripada seorang lelaki. Kerana itu, kehamilan tidak dapat lari dari risiko jangkitan HIV atau penyakit-penyakit kelamin jika pasangan anda mahupun anda sendiri pernah terdedah kepada jangkitan melalui perhubungan yang lain ataupun perkongsian jarum semasa penggunaan dadah.
Fikirkanlah semasak-masaknya sebelum anda merancang untuk hamil kerana ini melibatkan isu-isu penting seperti kesihatan anda dan juga bayi. Berbincanglah dengan pasangan anda dan dapatkan kaunseling. Anda boleh menghubungi Majlis AIDS Malaysia atau klinik wanita yang berhampiran.
Jika anda positif HIV dan ingin hamil, jangan bimbang, kerana rawatan perubatan yang mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko memindahkan virus HIV kepada bayi di dalam kandungan.
Risiko ke atas bayi
Wanita-wanita positif HIV mungkin memindahkan virus berkenaan kepada bayinya semasa kehamilan, semasa bersalin, atau semasa memberikan susu badan. Risiko jangkitan HIV dari ibu kepada bayi adalah lebih kurang 30%, tetapi boleh dikurangkan dengan:
  • Mengadakan hubungan seks lebih selamat sebaik sahaja disahkan hamil.
  • Meminimumkan hubungan seks tidak selamat semasa kesuburan dan mengelakkannya sama sekali di luar masa kesuburan dan selepas kelahiran.
  • Cuba mendapatkan doktor atau bidan yang dipercayai serta tempat bersalin yang selamat dan selesa seperti di rumah-rumah bersalin, juga, elakkan menahan kesakitan terlalu lama.
  • Melakukan pemeriksaan awal dan memberikan ubat anti-HIV seperti AZT kepada wanita berkenaan seawal bulan keempat kehamilan dan semasa bersalin, serta kepada bayi sebaik sahaja dialhirkan. (Ini mesti dilakukan di bawah pengawasan doktor).
  • Mengelakkan dari memberi susu badan atau menghentikannya seberapa segera yang boleh.
Mungkin juga anda tidak ingin hamil
  • kerana anda sudah mempunyai bilangan anak yang diinginkan.
  • kerana anda mempunyai anak yang masih kecil, dan anda ingin menjarakkan kelahiran.
  • kerana faktor usia atau mungkin kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.
  • satu lagi sebab penting mengapa wanita mengamalkan perancang keluarga ialah untuk mengelak dari melahirkan bayi yang mempunyai jangkitan virus merbahaya seperti HIV.
Sekiranya anda mendapat tahu anda positif HIV ketika sedang hamil, anda ada dua pilihan:
1.      Teruskan kehamilan
Kehamilan boleh diteruskan sekiranya anda dan pasangan inginkan anak. Bagaimanapun, penjagaan kesihatan yang mencukupi semasa kehamilan dan sewaktu melahirkan anak hendaklah dititikberatkan. Amalkan seks yang selamat ketika anda hamil bagi mengurangkan risiko jangkitan. Juga, tanya doktor anda tentang kemungkinan mendapatkan rawatan anti-HIV (umpamanya AZT).
2.      Pengguguran
Ada wanita melakukan pengguguran kerana tidak mahu mengambil risiko. Pengguguran melibatkan banyak isu, dan anda perlu berbincang serta mendapatkan nasihat sebelum membuat keputusan untuk melakukannya.
Apapun, jangan tergesa-gesa membuat keputusan. Fikirkan pilihan terbaik untuk anda, pasangan anda dan bayi.

Penjagaan untuk wanita positif HIV dan bayi
1.      Semasa hamil
Jika anda mendapat tahu yang anda positif HIV semasa anda hamil, dapatkan pemeriksaan doktor dan kaunseling secepat mungkin serta penjagaan yang rapi sebelum bersalin. Jika ingin mengadakan hubungan seks semasa hamil, amalkan seks yang selamat. Sekiranya anda seorang pengguna dadah, berhenti dari mengambil dadah. Ini adalah masa yang sesuai untuk anda berbuat demikian. Mengambil dadah semasa hamil membahayakan kesihatan ibu dan bayi.
2.      Bersalin
Anda dan bayi anda tidak perlu diasingkan tetapi penjagaan yang rapi harus diberikan. Adalah lebih baik sekiranya bidan dimaklumkan mengenai status HIV anda kerana ini mungkin dapaat membantu memastikan proses bersalin selamat bagi anda dan bayi, serta bidan, jururawat atau doktor yang menjaga anda.
3.      Selepas bersalin
Bayi yang baru dilahirkan mempunyai antibodi ibunya, oleh itu adalah amat sukar untuk mengetahui sama ada bayi tersebut dijangkiti atau tidak. Ujian Antibodi HIV untuk bayi biasanya dilakukan bila umurnya sekurang-kurang 18 bulan. Jika bayi tersebut disahkan positif HIV, anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan rawatan perubatan yang intensif untuk bayi anda. Bayi boleh diimunisasikan dari sebarang penyakit kanak-kanak sama seperti bayi-bayi lain.
Elakkan memberi susu badan kepada bayi untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Sumber: sini