Sunday, March 06, 2011

UJIAN HIV SELEPAS KAHWIN

Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman


SETIAP pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga hanya bersandarkan kepada kekukuhan cinta dan perjanjian untuk setia sehingga ke akhir hayat. Selain berbincang mengenai persiapan perkahwinan, mereka juga menghadiri kursus perkahwinan.

Namun begitu, di sebalik rasa teruja untuk berkahwin, masih ramai pasangan mengambil sikap sambil lewa untuk menjalani pemeriksaan ujian darah HIV. Barangkali mereka beranggapan pasangan masing-masing sentiasa sihat.

Presiden Majlis Aids Malaysia, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, golongan dewasa yang aktif melakukan hubungan seks mesti mengetahui status kesihatan diri masing-masing pada setiap masa. Katanya, jangan disebabkan kerana mahu mendirikan rumah tangga maka barulah mereka tergesa-gesa melakukan pemeriksaan doktor.
"Setiap orang perlu memahami dan menyedari bahawa kehadiran virus HIV memerlukan ujian pada peringkat awal. Ini kerana langkah berjaga-jaga dan rawatan dapat dilakukan bagi mengurangkan kemungkinan pasangan dijangkiti.
Menurutnya, bagi memastikan kewujudan virus HIV, satu ujian darah boleh dijalankan iaitu ujian antibodi HIV contohnya HIV ELISA, EIA, Aglutinasi Partikel. Ujian-ujian ini boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan atau swasta.

"Ujian HIV dapat mengenal pasti kewujudan virus dalam darah, seawal dua minggu selepas jangkitan, tetapi tubuh mungkin mengambil masa enam bulan untuk mengeluarkan antibodi secukupnya. Purata masa yang diambil ialah 25 hari.

"Pemeriksaan ini wajib dilakukan oleh setiap pasangan yang mahu berkahwin kerana ia sangat relevan. Malah, pihak berkuasa sendiri mendapati kadar jangkitan dalam kalangan wanita semakin bertambah. Justeru, inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan tersebut," katanya kepada Kosmo!.
Beliau menambah: "Tetapi, masih terselit keburukannya dalam mewajibkan ujian HIV kerana ia bukanlah satu cara yang efektif untuk jangka panjang. Alasannya, pemeriksaan sebelum berkahwin tidak dapat menjamin risiko jangkitan HIV, selagi wujud mereka yang melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka dijangkiti HIV/AIDS.

"Pemeriksaan HIV juga perlu dilakukan selepas berkahwin," jelas Ketua Penyakit Berjangkit, Bahagian Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya itu.

Menurut Dr. Adeeba, sekiranya terdapat pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan, walaupun salah seorang daripada mereka disahkan menghidapi HIV, mereka dibenarkan untuk meneruskan perkahwinan.

KONDOM PERLU DIPAKAI KETIKA MELAKUKAN HUBUNGAN SEKS BAGI PASANGAN YANG MENGHIDAP HIV.
Bagaimanapun, katanya, pasangan pengantin tersebut perlu memahami cara HIV merebak dan mengetahui langkah-langkah yang perlu dielakkan.

"Mereka yang menjalani ujian HIV perlu mendapat kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, berbincang mengenai pilihan rawatan.
"Salah satu langkah bijak untuk menyelamatkan pasangan atau cahaya mata dijangkiti HIV ialah menggunakan kondom sewaktu melakukan hubungan intim. Tanpa perlindungan, HIV boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil, sakit bersalin atau menyusukan bayi.

"Jangan memperlekehkan pengambilan ubat kerana sekiranya ubat antiviral tidak diberikan, bayi yang dilahirkan oleh si ibu yang positif HIV berisiko dijangkiti sehingga 30 peratus," katanya.

Namun, jangkitan daripada ibu kepada anak boleh dibendung dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu, melahirkan bayi secara pembedahan dan memberi anak susu formula. Dengan ini, risiko bayi dijangkiti HIV dapat dikurangkan sebanyak lima peratus.

Jelas Dr. Adeeba, pengambilan ubat bukan sahaja perlu dilakukan sebelum melahirkan anak tetapi individu yang menghidap HIV disarankan menjalani rawatan susulan secara berterusan.

MASYARAKAT MASIH MENDISKRIMINASI PESAKIT HIV.
Selain itu, beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai perihal stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap golongan yang hidup dengan HIV.
Ini kerana, langkah mewajibkan ujian ini dilakukan akan menyebabkan para petugas klinik atau pegawai kesihatan mengetahui maklumat peribadi pasangan pengantin yang dijangkiti penyakit HIV. Kesannya, bukan sahaja pasangan pengantin dipandang serong malah ahli keluarga mereka turut menerima tempias yang sama.

"Tetapi ini tidak bermakna kami membantah pemeriksaan ini, malah pihak Majlis AIDS Malaysia, kami menyokong saringan HIV diperluaskan dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan bantuan rawatan HIV yang dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Namun ketelusan maklumat dan kepakaran khidmat nasihat bagi individu yang hidup dengan HIV secara amnya masih boleh dipersoalkan dan perlu dipertingkatkan. Sebuah badan AIDS di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNAIDS dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan saringan HIV dibuat secara sukarela dan sulit serta diiringi kaunseling yang dilaksana secara profesional oleh pegawai perubatan atau kaunselor terlatih" kata Adeeba.
Sila rujuk Guideline for Anonymous and Voluntary HIV Screening yang diterbitkan oleh cawangan AIDS/STD, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber: sini