Thursday, April 09, 2015

ENTRY WAJIB: SOALAN-SOALAN ASAS PEMBAWA HIV YANG BARU DIDIAGNOS DAN PARANOID






1.
Berapa lama people living with HIV (PLHIV) boleh hidup?


Ajal maut adalah ketentuan Allah sama ada anda PLHIV atau tidak. Yang penting ialah kesediaaan menjalani rawatan dan PATUH kepada rawatan.

Rawatan HIV sangat simple dan mudah iaitu kaunseling dan farmakologi.

Rekod di Malaysia setakat ini menunjukkan PLHIV yang patuh kepada rawatan hidup lebih 30 tahun hidup sihat. Malah ada yang lebih sihat daripada non-PLHIV.

2.
Tempat kerja akan dapat tahu tak status HIV saya?


Segala maklumat semasa rawatan adalah sulit. Majikan tidak berhak mengetahui secara spesifik jenis rawatan yang sedang dihadapi. 

Walau bagaimanapun, jika anda berdepan dengan situasi majikan yang tidak memahami isu ini, saya cadangkan beritahu sahaja bahawa anda sedang menjalani rawatan berterusan akibat penyakit kronik lain.

Sila bincang dengan doktor semasa hadir rawatan. InsyaAllah mereka akan bantu setakat yang termampu.

Kita akui sesetengah company dan majikan mempunyai doktor panel masing-masing. Di sinilah biasanya masalah akan sering berlaku dan biasanya disebabkan oleh bidang kerja yang mungkin melibatkan pelbagai aktiviti lasak, berada di persekitaran kerja yang menyukarkan rawatan, akibat stigma dan salah faham tentang HIV. 

Setiap hari, PLHIV berada di mana sahaja dalam kebanyakan sektor pekerjaan professional dan turut menyumbang jasa kepada majikan, bangsa, agama dan negara tanpa disedari oleh orang awam.

Jika anda baru memohon kerja, realitinya setiap majikan berhak memilih pekerja mereka sebelum diterima bekerja. Jika dasar mereka tidak mahu menerima pekerja yang menghidap HIV, itu tidak dapat dikatakan diskriminasi. Tetapi, jika anda telah diterima bekerja, dan majikan mahu membuang anda kerana status kesihatan tersebut, itu barulah dinamakan diskriminasi.

Biasanya kakitangan kerajaan tidak berdepan sebarang masalah dibuang kerja kerana mereka PLHIV. Hidup dengan HIV bukanlah satu jenayah. Tetapi ada beberapa bidang tugas, PLHIV diminta meletak jawatan dan diberikan pampasan yang berpatutan. Contoh, jika mereka di kalangan anggota keselamatan.

Mungkin juga dalam beberapa keadaan, bidang tugas PLHIV akan diserapkan ke bahagian yang tidak terlalu terdedah kepada risiko jangkitan yang mudah menjangkiti PLHIV jika perlu berurusan dengan ramai pelanggan yang mempunyai pelbagai kemungkinan status kesihatan. Bukan kerana risaukan jangkitan kepada pelanggan tetapi bertujuan untuk menjaga kebajikan PLHIV tersebut sendiri.

3.
Rawatan ubat kena bayar tak?


Selagi anda rakyat Malaysia dan PATUH kepada rawatan, ianya adalah percuma dan HIV terletak di bawah akta kawalan penyakit berjangkit yang mesti dirawat untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

4.
Mesti beritahu status kesihatan saya kepada keluarga?


Tidak semestinya, KECUALI kepada pasangan isteri atau suami. Jika berterus terang kepada keluarga lebih mendatangkan masalah, lebih baik merahsiakannya kerana anda tidak membahayakan sesiapa. Kadang-kadang ianya lebih mendatangkan tekanan yang tidak diperlukan.

Jika memilih untuk berterus-terang, cuba fahami HIV dan rawatan terlebih dahulu dan terangkan kepada mereka secara positif.

Mungkin pada peringkat awal ahli keluarga akan terkejut dan panik, tetapi insya-Allah akhirnya diterima jika anda mampu hidup lebih baik sebagai PLHIV. Blood is thicker than water.

5.
Macam mana nak beritahu status HIV positif saya kepada pasangan? (Suami atau isteri)


Sila maklumkan secara berhemah. Berikan mereka sedikit masa untuk memahami.

Soal penerimaan terpulang kepada mereka kerana mereka juga ada hak menerima atau menolak.


Berdasarkan pengalaman saya membantu PLHIV yang berdepan dengan isu yang sama, kemarahan atau penolakan hanya bersifat sementara.

Yang penting sikap positif anda dan belajar daripada kesilapan jika pernah melakukan khilaf.

Jika tidak mampu menjelaskannya, sila minta bantuan kaunselor bertauliah yang terdapat di hospital atau pihak ketiga (termasuk NGO) yang memahami isu ini.

6.
Kos rawatan?


Rawatan adalah percuma bagi warganegara, kecuali kos pengangkutan dan sebagainya.

PLHIV yang telah stabil menjalani rawatan tidak perlu hadir secara kerap ke pusat rawatan, kecuali mereka turut menghidap penyakit kronik lain seperti diabetes (untuk pemantauan rawatan diabetes), pesakit buah pinggang, jantung dan sebagainya.

7.
Bagaimana mahu hidup sihat seperti biasa?


Jalani dan PATUH kepada rawatan. Berfikir dan bersikap positif. Amalkan gaya hidup sihat. Ambil makanan yang seimbang, bersih, dan berkualiti. Konsisten dengan exercise ringan dan jalani sahaja kehidupan seperti biasa. Jangan terlalu fikirkan bahawa anda adalah PLHIV. Bijak menghindari stress. Apa-apa pun penyakit, jika tidak dirawat adalah bahaya.

8.
Jenis rawatan yang ditawarkan.


Kaunseling dan rawatan farmakologi termasuk untuk merawat penyakit-penyakit lain jika anda menghadapinya. Biasanya HIV dikaitkan dengan jangkitan sexual transmitted infection (STI) dan Hepatitis.

Untuk lebih terperinci, sila bincang dengan doktor anda kerana mereka lebih tahu rawatan yang paling sesuai untuk anda. Regim ubat yang ditawarkan biasanya paling murah, berkesan, dan kurang kesan sampingan.

9.
Peluang rawatan.


Tiada masalah. Yang penting kesediaan menjalani rawatan.

10.
Kes paranoid sebab terdedah kepada risiko.


Tiada diagnos online. Selepas 3 bulan terdedah kepada aktiviti berisiko, sila jalani ujian HIV di mana-mana hospital dan klinik secara percuma.

Boleh juga dilakukan di makmal swasta. Anda tidak digalakkan membeli test kit sendiri kerana HIV positif yang baru diagnos memerlukan pra kaunseling
dan pasca kaunseling selepas menjalani test

Segalanya adalah sulit dan rahsia kecuali jika anda didiagnos positif, maka data perlu diambil untuk tujuan rawatan (SULIT) untuk keperluan rawatan dan kawalan penyakit berjangkit..

Jangan bergantung kepada simptom kerana simptom sangat subjektif. Ada yang didiagnos dengan simptom, ada yang langsung tanpa simptom seperti ketika menjalani ujian HIV pra perkahwinan, ketika memohon kerja, menderma darah, dan sebagainya.

Anda juga mungkin sedang mengalami simptom jangkitan lain yang anda sangkakan HIV.

Tahu status kesihatan lebih awal adalah lebih baik dan memudahkan rawatan. Ragu-ragu, get tested

Selagi tidak yakin, buatlah seberapa banyak yang anda mahu kerana hanya ujian HIV sahaja caranya untuk mengetahui status HIV seseorang. 

11.
Kesan sampingan ubatan anti-retroviral (ARV)/rawatan.


Kesan sampingan sementara adalah sangat subjektif. Ada yang mengalaminya dan ada yang tidak.

Jika mengalaminya, ianya hanya di peringkat awal rawatan kerana badan kita sedang bertindak balas menerima ubat-ubatan tersebut sebagai sebahagian daripada bahan harian baru yang memasuki tubuh. 


Peringkat awal, doktor akan sentiasa memantau situasi tersebut dan setiap dos adalah mampu ditanggung oleh tubuh masing-masing.

Bersikap positif sangat penting dan terdapat beberapa tips untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan awal (contohnya seperti jika berlaku pening dan mual) akan diberitahu setelah anda memulakan rawatan). Step by step. Bertindak mengikut priority.

12.
Kes-kes stigma, diskriminasi, dan judgemental.


Kes-kes begini bukan sahaja berlaku kepada PLHIV, bahkan turut berlaku terhadap ramai pesakit kronik yang lain. Malahan ada yang lebih teruk. Ianya turut ditanggung oleh affected people.

Punca utamanya kerana salah faham tentang HIV dan HIV dikaitkan dengan balasan Allah terhadap pendosa. Kempen mencegah HIV pada peringkat awal tahun 1980an juga masih melekat di pemikiran masyarakat.

Kita tidak mampu mengubah cara manusia berfikir, tetapi tidak ada sesiapa yang mampu menghalang kita menjadi lebih baik. Proof ourselves worthy. Hindari self-stigma.

13.
Apa itu window period?


Window period adalah tempoh jendela tubuh menghasil antibodi yang dapat mengesan jangkitan HIV. Ujian darah biasa tidak dapat mengesan jangkitan HIV. Ianya berlaku seawal 2 minggu ke 3 bulan selepas terdedah kali terakhir aktiviti berisiko.


Walau bagaimanapun, jika anda terdedah kepada aktiviti berisiko, jalani ujian HIV 3 bulan selepas jangkitan untuk mendapatkan hasil ujian yang meyakinkan. 

Jika doktor menyarankan supaya melakukan ujian kali ke-2 selepas 6 bulan terdedah risiko, lakukan sahaja kerana mereka ada rasional tertentu seperti sebagai langkah berhati-hati untuk kebaikan anda sendiri.

14.
Adakah PLHIV akan kurus kering?


Bergantung kepada kesihatan masing-masing. Jika mereka tiada penyakit kronik lain, PATUH rawatan, jaga pemakanan dan bersikap positif, ramai yang kurus, ramai yang gemuk gedempol, dan ramai yang bertubuh sasa, malah aktif sebagai seorang atlet negara. Sama seperti non-PLHIV.

15.
Adakah saya akan mati diakibatkan oleh AIDS?


AIDS hanyalah satu istilah perubatan yang menunjukkan bahawa sistem pertahanan tubuh individu terlalu lemah dan lumpuh. Jangan terlalu sensitif dengan istilah AIDS. AIDS juga boleh berlaku terhadap pesakit kronik kain. AIDS boleh dielakkan dan dirawat dan PLHIV meninggal oleh sebab-sebab biasa. 

PLHIV tidak membahayakan non PLHIV tetapi non-PLHIV yang membahayakan PLHIV jika imuniti mereka rendah kerana tidak dirawat atau lewat menjalani rawatan. HIV sangat susah berjangkit dan cara jangkitan sangat terhad.




Getting to Zero.
Wallahu a'lam.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:


No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com