Sunday, March 02, 2014

ENTRY WAJIB: LGBT (KISAH PENGKID VS MSM)





LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, and Transgender)
PENGKID ('Tomboy' atau Lesbian)
MSM (Men who have sex with men atau gay)
PLU (People Like Us)

Kali ini aku kongsikan pengalaman yang banyak pengajaran daripada seorang surirumah, yang juga merupakan individu yang diuji dengan ujian seksualiti sebagai seorang pengkid. Beliau tidak meninggi diri dengan mendakwa telah bebas 100% daripada ujian tersebut, tetapi bersyukur kerana semakin hari semakin melupakan ujian berkenaan berkat sokongan suami yang yang sangat memahami.

Beliau menganggap usaha penghijrahannya sebagai satu jihad untuk berhijrah mencari keredhaan Allah dan melakukannya semata-mata kerana yakin bahawa Allah sahaja yang Maha Menyelesaikan segala permasalahan. Akur dirinya sebagai muslimah yang wajib berusaha untuk melawan nafsu songsang semata-mata Lillahi Taala.

Kita namakan sahaja beliau sebagai Puan Rini dari Kuching yang berkongsi pengalaman melalui e-mel. Puan Rini berumur 30 tahun, telah pun berkahwin selama hampir 2 tahun yang lalu dan mempunyai sepasang anak kembar. Beliau kini bahagia bersama suami baru setelah gagal dalam perkahwinan yang pertama ketika berusia 25 tahun dengan seorang MSM.

Aku harap entri ini dibaca secara rasional. Aku langsung tidak beranggapan negatif kepada mana-mana golongan. Cuma, jika tidak mampu berkahwin, janganlah menganiaya. Ianya sekadar peringatan.

Mari kita baca kisah Puan Rini:

Saya terbuka hati untuk berkongsi pengalaman ini setelah membaca entri Encik Pie yang bertajuk ENTRY WAJIB: DEDIKASI KHAS UNTUK PARA GADIS YANG NEKAD MAHU BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA).

Sebenarnya saya tahu, ada banyak perkara yang Encik cuba sampaikan secara berlapik demi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap komuniti dalam entri tersebut. Tetapi adakalanya kita perlu berterus-terang untuk menjaga perkara yang lebih penting.

Sebagai individu yang pernah melalui sendiri perit pedihnya pengalaman tersebut dan sebagai pembaca setia blog ini, semakin hari saya tahu semakin ramai gadis yang telah dan mungkin akan menjadi mangsa keadaan. Saya juga menitiskan air mata apabila membaca pengalaman seorang pengkid yang menangis kekeliruan di malam pertama perkahwinannya yang Encik kongsikan di FB Encik baru-baru ini. Saya juga begitu suatu ketika dahulu. Saya sangat faham keadaan tersebut.

Berkahwin dengan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) tidak ada masalah, tetapi berkahwin dengan MSM yang belum betul-betul bersedia melupakan kecenderungan seksualiti dan pegangan hidup mereka memang masalah besar. Saya berharap perkongsian ini dapat membantu ramai gadis supaya berfikir panjang sebelum berkahwin jika meragui beberapa perkara tertentu. 

Sukar untuk memulakan cerita, kerana saya telah memaafkan diri dan semua yang terlibat. Tambahan lagi ianya bagaikan menyingkap kembali kisah yang cukup melukakan hati saya suatu waktu dulu. Puas saya cuba padamkan terus daripada ingatan. Memang terlalu penat untuk dilupakan.

Saya, seorang perempuan yang mempunyai keinginan kepada perempuan. Saya tidak memiliki ciri-ciri wanita sejati yang normal. Senang cakap, sayalah yang sering digolongkan sebagai tomboy atau mungkin pengkid. Sebenarnya banyak lagi istilah yang hanya kami PLU yang tahu – andro, butch, femme, dan sebagainya.




Bermula dengan sekadar suka-suka, saya terjebak pada usia seawal 20an. Apabila tamat belajar dan bekerja, saya mula serius berpasangan, dan tinggal serumah dengan pasangan perempuan saya bagaikan suami isteri. Saya jaga partner saya, sama seperti seorang suami menjaga isteri mereka. Walaupun begitu, syukurlah kerana saya tidaklah sampai ke tahap hilang keperawanan saya.

Namun, selalunya hubungan saya putuskan kerana, jauh di sudut hati saya, saya tahu ini semua salah. Benar, Allah uji saya dengan ujian seksualiti, tetapi pasti ada jalan untuk saya menjadi hamba yang Allah redhai. Saya sedar bahawa Allah uji saya dengan ujian kecenderungan seksual yang sukar difahami insan lain.

Suatu ketika, saya mempunyai seorang sahabat lelaki, sangat rapat, tetapi tanpa rasa cinta atau nafsu. Dia melamar saya. Waktu itu saya merasakan mungkin itu waktu yang terbaik untuk saya berhenti daripada kegiatan songsang saya.

Tempoh pertunangan enam bulan penuh dengan pertengkaran yang sedikit demi sedikit menyerlahkan siapa bakal suami saya ketika itu. Ya, dia juga mempunyai naluri gay. Dan lebih menyakitkan kerana dia menafikan dan merasakan ianya tidak salah, kerana dia mendakwa tidak pernah berhubungan seks. Namun dia amat rapat dengan seorang kawan lelaki, malah tinggal dengan keluarga kawan lelaki tersebut.




Jarang lelaki yang jujur kepada bakal isteri, mengakui kelemahan diri terutama mahu mengakui mereka adalah seorang gay. Walaupun dapat mengagak kecenderungan seksualitinya, tetapi kerana naif, saya menyangka saya boleh mengubah dia setelah berkahwin.

Lagi pun, saya sendiri bukanlah seorang wanita yang sempurna. Bahkan saya fikir bahawa lebih baik saya berkahwin sesama PLU kerana masing-masing sepatutnya lebih memahami. Ini peluang untuk kami sama-sama berhijrah. Saya juga sangkakan jika perkahwinan tanpa seks sekalipun tidak mengapa, asalkan serumah, pasti akhirnya timbul kasih sayang.

Sebulan sebelum tarikh perkahwinan dan selepas segala persiapan sudah dibuat, keluarga semakin nampak yang dia terlalu rapat dengan teman lelakinya. Saya pula mula rasa terasing di dalam hidup dia. Bayangkan fitting baju pengantin pun wajib bawa temannya itu.

Dia tidak menghargai saya sebagai tunangnya, jauh sekali sebagai wanita. Saya pula sedaya-upaya mengubah penampilan supaya lebih kewanitaan walaupun sukarnya, hanya Allah yang tahu. Saya mula sedar, dia tidak mampu menjadi lelaki yang memimpin seorang wanita kerana nalurinya tidak ada keinginan kepada wanita.

Saya cuba memutuskan pertunangan. Namun keluarga berkeras kerana masa sudah terlalu suntuk dan kad jemputan telah diedar. Akhirnya perkahwinan itu terjadi juga.

Perkahwinan itu berlangsung selama beberapa bulan sahaja. Dia tidak mampu menyayangi seorang isteri. Malah kerana nalurinya, menyebabkan dia rasa amat tertekan dan terbeban dengan tanggungjawab sebagai suami. Sebagai escapism untuk menafikan kelemahan diri, saya pernah dihina dengan sehina-hina penghinaan tertentu yang sepatutnya tidak diluahkan oleh individu yang bergelar suami dan berdepan dengan ujian yang sama. Walhal saya cuma memohon kasih sayang sahaja daripada dia.

Kami bercerai dalam keadaan saya masih tidak disentuh, walau saya berusaha mendekati dia. Saya manusia, perlukan rasa kasih sayang dan sentuhan suami. Paling intim bagi kami hanyalah setakat salam dan kucupan di dahi sebelum pergi kerja. Dia selesa tidur berasingan, dan saya tahu dia stressed kerana tidak mampu memberi saya nafkah batin. Apakah gunanya perkahwinan andai tidak berniat pun untuk bersama?

Tambah melukakan, dalam masa yang sama, dia sering membawa teman lelakinya pulang ke rumah. Berkali-kali saya tidur sendirian sedangkan mereka berdua tidur di ruang tamu. Pada saat itu, saya hilang harga diri sebagai perempuan dan isteri. Pedihnya terkial-kial mencari kekuatan kerana saya sendiri sedang cuba berhijrah dan membina kekuatan.

Pada ketika itu, barulah saya sedar, kita takkan boleh mengubah manusia. Hanya Allah yang mampu. Bermula dengan sekadar persahahabatan, kasih sayang dan akhirnya menjadi suami isteri, saya hanya menjadi beban dalam hidupnya.

Tidak ada keinginan bersama, hukumnya haram berkahwin. Pernikahan bukan mainan dan amat suci. Ianya amanah dan tanggungjawab. Andai tidak bersedia, jangan berkahwin sekadar untuk “melengkapkan” kehidupan. Allah Maha Tahu yang terbaik untuk kita.

Suka atau tidak, hanya perpisahan untuk saya meneruskan usaha berhijrah. Sekali pun kembali sendirian, saya tetap tekad meninggalkan hidup dulu yang tidak berlandaskan agama. Ianya memang sukar, tetapi Allah bantu saya menghadapinya. Alhamdulillah hidup saya sangat bermakna dan perceraian itu menjadi satu hikmah yang amat berharga.

Atas pertolongan Allah, doa saya akhirnya dipermudahkan. Saya dilamar oleh seorang lelaki yang bersungguh-sungguh mahu memperisterikan saya secara sah mengikut syarak dan sedia menerima kelemahan diri saya. Dia sudi menerima saya sekali pun saya telah berterus-terang tentang ujian hidup saya sebelum ini.

Ketulusan hati dan kesungguhannya untuk cuba memahami situasi saya banyak menguatkan saya. Sedikit demi sedikit, segala halangan yang pada peringkat awalnya saya lihat sangat besar dan hampir mustahil dilalui telah Allah permudahkan. Barulah saya tahu betapa besar bezanya berkahwin dengan lelaki straight berbanding lelaki MSM yang ragu-ragu untuk berubah.

Bahkan semenjak melahirkan anak kembar kami, suami saya meminta saya berhenti kerja dan memberikan tumpuan penuh terhadap urusan rumahtangga. Kemanisan berada dalam nikmat yang Allah redhai ini tidak terbanding dan saya masih dalam proses belajar menjadi seorang isteri solehah. Saya berdoa semoga kebahagiaan kami kekal hingga ke syurga dan semoga anak-anak kami menjadi penyejuk mata serta pemimpin kepada orang-orang yang bertakwa.

Nasihat saya kepada gadis-gadis yang bakal berkahwin dengan lelaki MSM ialah, hakikat yang perlu diterima, seboleh-bolehnya seseorang MSM akan menyembunyikan kecenderungan seksualiti mereka. Jika anda dapat melihat ciri-ciri bakal suami adalah pengamal MSM, anda perlu memikirkan perkara-perkara berikut sedalam-dalamnya.

Lelaki MSM mungkin berkahwin atas beberapa sebab:

*  Mereka memang mahu berhijrah dan mempunyai kecenderungan bisexual. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan bersandarkan kepada agama, mereka mampu berubah dan boleh menjadi suami yang baik.

Jika mereka jujur mengakui hakikat tersebut, menjaga hubungan dengan Allah, menjauhi kawan-kawan lama yang boleh menarik mereka kembali kepada aktiviti lama, dan anda yakin mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk berhijrah, anda boleh terima. Tetapi, bersabarlah menyokong usaha mereka dan jangan terlalu berburuk sangka.

Ramai MSM yang betul-betul ikhlas berjihad untuk berhijrah dan berjaya menjadi suami yang baik. Perjuangan tersebut bukanlah mudah. Malah, kadang-kadang mereka diuji sebagai MSM akibat menjadi mangsa keadaan tertentu suatu ketika dahulu.

*  Mahu berhijrah tetapi tanpa usaha dan persediaan mental yang cukup. Masih dikelilingi environment yang sama dan menganggap apabila berkahwin, semua masalah dapat diselesaikan.

*  Semata-mata mahu kelihatan ‘normal’, cuba mengatasi rasa sunyi, dan cuba mengaburi mata masyarakat serta atas desakan keluarga.

*  Mahu mendapatkan zuriat sendiri tetapi masih selesa dengan aktiviti songsang seperti biasa.


Stages of Change

Risiko-risiko lain:
  • HIV. Pastikan mereka menjalani ujian HIV. Jika mereka ODHA, pastikan mereka menjalani rawatan dan kaunseling sebelum perkahwinan.
  • Mereka mungkin dingin, pasif, langsung tidak berminat, atau kurang berminat dalam hubungan suami isteri. Atau mereka terpaksa mengambil pil perangsang untuk mendapatkan erection, mengkhayalkan hubungan sejenis ketika bersama anda, menggunakan sex toys menggantikan zakar, lebih gemarkan aktiviti seks secara handjob, blowjob, dan liwat berbanding cara biasa.
  • Mereka masih berisiko mengamalkan aktiviti songsang secara senyap-senyap atau sesekali ‘curi ayam’ apabila teruji dan berpeluang. (Dalam soal ini, sama sahaja dengan mana-mana suami pun termasuk lelaki straight yang terbiasa dengan zina. – Ahp Pie)
  • Ada kemungkinan emosi mereka kurang stabil dan banyak menyembunyikan rahsia tertentu. (Dalam soal ini, banyak bergantung kepada perwatakan individu. – Ahp Pie)


Banyak lagi perkara lain yang boleh dikongsikan, tetapi sekadar ini sahaja yang mampu saya tulis. Saya mohon maaf kepada Encik Pie jika apa yang saya kongsikan ini menyentuh perasaan ramai pihak. Saya cuma bercakap atas kebenaran dan tidak mahu ramai lagi yang menjadi mangsa seperti saya.


sila share


Itu sahaja perkongsian kali ini. Jazakillah khier kathira kepada Puan Rini. Moga Allah menerima segala usaha dan doa Puan sekeluarga. Sebenarnya banyak lagi yang Puan Rini kongsikan, tetapi aku edit untuk memudahkan pembaca memahaminya. Aku sekadar menyampaikan perkara yang mungkin membawa kebaikan untuk kemaslahatan ummah.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com