SEMANGAT JUANG ODHA MEMBAHAGIAKAN PEKERJA
HAFIZ
FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya
TUGAS
untuk mengurus dan menjaga ODHA (Orang Yang Hidup Dengan HIV) mungkin membawa
konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad
Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.
Pada
mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV
Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan
tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.
Akhirnya,
dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan
tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.
Menurut
pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik
memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi ODHA. Justeru, dia
mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika
bekerja.
“Untuk
menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet.
Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka
yang pernah terlibat dalam penjagaan ODHA.
“Hasilnya,
stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya
keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan
keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat
menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan,”
ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian
fertigasi.
Antara
tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan ODHA yang uzur, membersihkan
luka-luka dan membawa ODHA ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut
tarikh temujanji.
Hilang
semangat
Tambahnya,
berdepan dengan ODHA yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara
cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan
kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.
“Apabila
keadaan ini berlaku, kebanyakan ODHA akan bersikap sambil lewa terhadap
kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi
yang diadakan, dan bertindak mengasingkan diri.
“Jadi,
kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah
dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi,”
terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.
HAFIZ
turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda
Perkara
itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah
Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah ODHA boleh dilihat
terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.
“Lantaran
itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri.
Memang adakalanya perangai ODHA ini boleh membuatkan kita geram, tetapi
hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam
diri.
“Ia
juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna
pada agama, bangsa dan negara,” tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan
kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita,
Baitul Fiqh.
Bersara
awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah
Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.
Kesanggupan
menguruskan kehidupan ODHA di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh.
Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan ODHA muda
yang ditempatkan di rumah berkenaan.
Jelas
Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil
dan peralatan, serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk ODHA.
“Sebelum
ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap ODHA
sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila
mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan ODHA secara khusus,
barulah saya celik mengenainya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menyelusuri
sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada
bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah
atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan ODHA Muslim
yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Pada
awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 orang ODHA, namun jumlahnya
semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini, sepanjang tiga tahun
beroperasi, lebih 150 orang ODHA telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.
Rumah
Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan
yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama
anak-anak yatim.
Bagi
Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal
Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti
kepada mereka.
SETIAP
hari, Rohaya perlu memastikan ODHA mengambil ubat mengikut waktu yang
ditetapkan
“Sebelum
ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan
ODHA dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni
kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan
masyarakat,” ungkap Hafiz Farhan penuh makna.
Dalam
pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus
mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara
lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang
mendengarnya.
Alunan
suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali
gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang ODHA.
Di
satu sudut lain, kelihatan beberapa ODHA yang mendiami Rumah Perlindungan HIV
Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah.
Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala.
Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.
Ujian
Allah
Usai
mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca
al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah
tersebut.
Situasi
tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap
dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam
di rumah perlindungan tersebut.
Menurut
Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012. Sewaktu kali pertama
melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan
yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.
“Perasaan
itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah
dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, ODHA juga manusia biasa yang punya hati
dan perasaan.
“Sehubungan
itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka
kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah,” luah Azman yang sanggup
berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan ODHA di Darul
Ukhwah.
Tambah
Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar ODHA mengaji mengikut kepandaian
masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan ODHA yang
buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra’ seperti anak-anak kecil.
“Apabila
melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan,
hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka
diterima,” tutur Azman.
Hakcipta
terpelihara
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi
ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila
hubungi admins yang berikut: