Tuesday, March 25, 2014

ENTRY WAJIB: SOALAN-SOALAN UMUM DAN ASAS MENGENAI HIV SERTA PENJELASAN SECARA MUDAH




Apa itu HIV?

HIV – Human Immunodeficiency Virus
(Virus yang melemahkan daya tahan tubuh manusia (MANUSIA SAHAJA) tanpa rawatan)

HIV adalah sekadar nama virus.
Orang yang dijangkiti HIV dipanggil Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) atau People Living With HIV (PLHIV).

HIV bukanlah PENYAKIT. Ianya sekadar VIRUS.


Apakah sebenarnya virus?

Virus hanyalah bahan genetik yang terkandung dalam satu 'kelongsong'. Jadi virus bukanlah organisma yang 'bernyawa' yang boleh dimatikan. Virus menyerang manusia dengan memasuki sel badannya dan 'melakukan program semula' sel itu bagi membentuk klon (virus yang menyerang).


Apakah itu AIDS?

AIDS – Acquired Immunodeficiency Syndrome
(Gejala sekumpulan penyakit akibat kekurangan daya tahan tubuh)

Bermakna AIDS adalah akronim bagi sekumpulan penyakit jika ODHA tidak menjalani rawatan awal. Ianya boleh dicegah dengan kepatuhan kepada rawatan. Ianya juga masih boleh dirawat.

Jadi, tidak tepat anggapan bahawa AIDS bermaksud PENYAKIT peringkat AKHIR hayat ODHA. Dengan KEPATUHAN kepada rawatan, AIDS dapat dielakkan.


Bagaimana seseorang itu dianggap telah berada di tahap AIDS?

Umumnya seseorang PLHIV dianggap berada pada tahap AIDS apabila bacaan CD4 350 ke bawah (bagi lelaki) dan 250 bagi perempuan. TETAPI ianya bergantung kepada simptom atau gejala kepada jangkitan penyakit-penyakit opportunistic akibat kekurangan daya tahan tubuh yang telah dijelaskan di atas. Jika tanpa simptom, tidak bermakna seseorang ODHA telah dianggap berada di tahap AIDS. Bacaan CD4 boleh turun dan naik disebabkan oleh banyak sebab selain HIV.

Antara jenis-jenis penyakit yang mudah menjangkiti orang-orang yang lemah imuniti tubuh ialah TB (tuberculosis) dan kayap. Penyakit-penyakit ini masih boleh dirawat. Penyakit-penyakit ini juga boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja sekalipun tanpa HIV.


Adakah HIV ini virus akibat balasan perbuatan berdosa?

Bukan soal perbuatan dan dosa, tetapi kerana terdedah atau mendedahkan diri kepada risiko jangkitan. Hampir 100,000 orang di Malaysia yang telah didiagnos sebagai ODHA. Sekurang-kurangnya dalam anggaran 2 kali ganda lagi yang belum didiagnos.

Para pekerja seks dan penyalahguna dadah telah menunjukkan penurunan jumlah jangkitan, tetapi golongan professional pelbagai jawatan dan isteri-isteri kepada ODHA semakin hari semakin meningkat jangkitan. Tidak termasuk kepada zuriat mereka yang tidak bersalah. Ada juga kes-kes terpencil yang dipercayai berpunca daripada pemindahan darah.

Selain ODHA, affected people (ahli keluarga yang dijangkiti) turut menerima kesan stigma, diskriminasi, dan judgemental. Mereka menerima tekanan yang hampir sama.


Adakah benar bahawa ODHA majoritinya terdiri daripada para penganggur, pekerja seks, golongan yang tidak berpelajaran, dan penyalahguna dadah?

Tidak. HIV boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Tanpa mengira pendidikan, usia, taraf kehidupan, dan jawatan. Semua bidang pekerjaan terdedah kepada HIV dengan pelbagai cara sama ada ustaz, ustazah, imam, doktor, peguam, wartawan, CEO, bayi, jurutera, pemimpin masyarakat, Datuk, Datin, atlet, artis, dan sebagainya.


Apakah yang dimaksudkan dengan pekerja seks? Adakah bermakna memperdagangkan tubuh telah diiktiraf sebagai suatu bidang pekerjaan?

Pekerja seks adalah istilah yang digunakan apabila yang menyediakan perkhidmatan seks dan mendapat ganjaran atau bayaran atas apa juga perkhidmatan seks sekalipun hanya dengan bayaran RM1. Jika secara sukarela ianya dianggap zina.


Bagaimanakah cara jangkitan HIV?

Hanya melalui cecair badan ODHA yang pekat iaitu darah, air mani, cecair faraj, dan susu badan pembawa HIV tanpa langkah pencegahan. Selain itu, tidak perlu difikirkan. Hubungan atau pergaulan kasual tidak akan menjangkitkan virus.
Untuk perhatian: VIRUS TIDAK ADA DI DALAM SPERMA.


Saya didiagnos ketika melakukan saringan secara sukarela dan tanpa sebarang simptom. Apakah kebaikannya?

PLHIV yang didiagnos tanpa simptom dan mendapat rawatan awal lebih mudah rawatannya.


Adakah apabila telah didiagnos sebagai ODHA, mereka akan terus diberikan rawatan HAART?

Tidak semestinya. Bahkan ada yang mampu menjalani hidup seperi biasa selama berbelas tahun tanpa rawatan HAART kecuali kaunseling dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.


Kulit saya mempunyai calar dan kudis dan telah terkena darah pembawa HIV. Adakah saya berisiko dijangkiti?

Tidak, tetapi jika ragu-ragu, sila jalani ujian saringan HIV.


Adakah gigitan serangga yang menghisap darah pembawa HIV akan menyebabkan saya berisiko dijangkiti?

HIV hanya berlaku daripada manusia kepada manusia sahaja.


Adakah berciuman, mengadakan hubungan seks dengan mengambil langkah pencegahan (kondom), berkucupan, batuk, bersin, berkongsi makanan, minuman, peralatan makanan dan minuman, makanan dan minuman yang ditinkan yang dicemari oleh darah pembawa HIV, berkongsi tandas, kolam renang, pakaian, perabot, katil, tilam, dan masakan yang disediakan oleh pembawa HIV menyebabkan jangkitan?

Tidak. Jangkitan hanya melalui cara yang dinyatakan di atas dan dari dalam tubuh ke dalam tubuh sahaja. Di luar tubuh manusia virus akan mati.


Bilakah waktu yang sesuai menjalani ujian HIV jika kita terdedah kepada risiko jangkitan?

Secara umumnya, selepas 3 bulan aktiviti berisiko terakhir. Dicadangkan sekali lagi selepas 6 bulan jika masih ragu-ragu.


Saya terdedah kepada risiko jangkitan HIV. Di manakah ujian HIV dapat dibuat?

Di hampir semua hospital kerajaan, klinik kerajaan, dan di sesetengah makmal ujian darah swasta. Jangan ragu-ragu untuk menjalaninya kerana ujian saringan HIV perlu dilakukan dengan banyak sebab seperti ujian pra-perkahwinan, untuk memulakan atau memperbaharui kontrak pekerjaan, dan kerana pasangan anda mungkin terdedah kepada risiko jangkitan di luar rumah. Bukan semata-mata kerana anda telah mengamalkan aktiviti berisiko.


Saya bimbang jika keputusan ujian HIV saya nanti adalah positif. Saya tidak kuat untuk menghadapinya. Apakah yang patut saya lakukan?

Anda akan sentiasa hidup tanpa kepastian, bahkan mungkin menyebabkan lebih ramai yang tidak berdosa dijangkiti. Anda juga mungkin akan lewat menjalani rawatan dan situasi tersebut lebih memudaratkan. Sokongan, dan bantuan tidak dapat diberikan jika takut / enggan menjalani ujian atau rawatan.


Apakah cara ujian mengesan HIV?

Ujian pantas atau Rapid Test. Jika hasil ujian adalah positif, anda perlu melakukan ujian darah lanjut untuk pengesahan seperti ujian ELISA atau Western Blot.


Walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, saya tidak mempunyai sebarang simptom. Jadi, saya yakin tidak perlu menjalani ujian HIV.

Ujian HIV tidak bergantung kepada simptom atau jumlah virus, tetapi bergantung kepada antibodi seseorang. Lebih awal dikesan lebih bagus.


Bagaimana saya mahu melakukannya?

Sila hadir ke hospital atau klinik berdekatan dan maklumkan bahawa anda mahu menjalani ujian saringan HIV. Langkah seterusnya akan diuruskan oleh pihak berkenaan.


Jika saya didiagnos sebagai HIV positif, adakah segala maklumat mengenai status kesihatan saya selamat dan dirahsiakan?




Ya, selamat dan dirahsiakan. Semua maklumat yang diambil oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) akan dimasukkan ke dalam database NAR (National AIDS/HIV Register). Ini adalah prosedur standard atau Standard of Procedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kes AIDS/STI.

Maklumat dikendalikan secara SULIT. Hanya individu tertentu sahaja yang mempunyai password tertentu untuk mengakses maklumat berkenaan (CONFIDENTIALITY).

Setiap doktor yang merawat klien baru (tetapi telah disahkan HIV positif di tempat lain), akan meminta maklumat berkaitan rawatan yang diperlukan daripada PPKP melalui database NAR. Mereka tidak perlu bertanya kepada klien tentang maklumat yang sama sekali lagi.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah untuk mencapai ZERO TRANSMISSION, PPKP diarahkan untuk mengemaskini maklumat dari masa ke semasa.

Contoh:

Jika klien yang sebelum ini bujang dan kini berkahwin, adakah pasangannya telah diberikan kaunseling atau tidak? Atau ODHA yang baru berkahwin dan kini telah hamil, adakah telah menerima HAART atau tidak?

Terpulang kepada ODHA (klien) sama ada mahu memberikan kerjasama atau tidak. Tidak bermakna PPKP boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan cara tidak berhemah.

Jika klien rasa PPKP tersebut cuba mendapatkan maklumat dengan cara tidak berhemah, tidak perlu berikan kerjasama dan lapor kepada Pegawai Kesihatan Daerah atau Penolong Pengarah, Unit AIDS/STI Negeri. Atau Ketua Penolong Pengarah, Unit AIDS/STI Negeri atau Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan berdekatan.

Jika semua kakitangan KKM memahami dan memegang amanah ini secara profesional, isu kebocoran maklumat tidak akan timbul. Bahkan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika terbukti menyalah guna kuasa. ODHA pula mesti memahami hak mereka.

Nota: PHI / Public Health Inspector / Inspektor Kesihatan / PPKK /Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran / Merinyu Kesihatan adalah istilah bagi jawatan yang sama.


Jika didiagnos sebagai ODHA, adakah saya mesti memaklumkannya kepada pasangan saya? Saya bimbang dimarahi atau ditinggalkan.

Mesti diberitahu kerana ini soal tanggungjawab untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Masing-masing telah mengetahui risiko jangkitan dan tidak jelas siapa yang telah menjangkiti siapa. Jika tidak mampu, gunakan pihak ketiga (seperti doktor / kaunselor) untuk menasihatkan pasangan anda menjalani ujan saringan HIV.


Bagaimana prosedur rawatan selanjutnya?

Anda akan dirujuk ke bahagian Infectious Disease (ID) atau Doktor Pakar Perubatan Keluarga untuk kaunseling dan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum diberikan rawatan segera jika perlu.


Saya disahkan negatif setelah menjalani beberapa kali ujian HIV. Tetapi mempunyai pelbagai masalah tertentu seperti kering tekak, sesak nafas, dan letih lesu. Adakah ianya simptom dijangkiti HIV kerana ianya berlaku selepas saya melakukan aktiviti berisiko?

HIV tidak akan menunjukkan sebarang simptom dalam waktu yang singkat. Simptom juga sangat subjektif dan mungkin berbeza terhadap setiap individu. Jika HIV positif sekalipun, rawatan lebih mudah jika anda didiagnos tanpa simptom.


Cadangan?

Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan kaunseling lanjut. Dikhuatiri anda mempunyai masalah kesihatan lain, termasuk stress atau psychosomatic.


Apakah pembawa HIV boleh dirawat?

Ya. Rawatan HIV sangat mudah iaitu kaunseling dan farmakologi.


Apakah jenis-jenis rawatan farmakologi?

Umumnya ARV (HAART) jika perlu dan pemantauan berterusan. Sebelum nenulakan rawatan HAART, anda perlu menjalani "pill training" iaitu pra rawatan HAART.




Apakah pill training?

Pill training ialah beberapa pil dan vitamin yang diberikan kepada ODHA sebelum memulakan rawatan HAART. Walaupun hanya pil vitamin, ODHA perlu mendisiplinkan diri, mengambilnya pada waktu yang ditetapkan setiap hari supaya dibiasakan di dalam rutin harian. Bukan semua klien diberikan pill training. Jika perawat yakin seseorang klien itu akan patuh pada arahan, cara, serta masa makan ubat, perawat akan terus memulakan rawatan HAART tanpa perlu pill training.

  
Apakah HAART?

HAART bermaksud Terapi Anti-Retroviral Berkeaktifan Tinggi (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) dan ia adalah rawatan terkini bagi ODHA setakat ini.




Bagaimana HAART berfungsi merawat HIV?

HAART menyekat virus (viral load pembawa HIV) daripada membiak dan seterusnya meningkatkan semula imuniti tubuh ODHA dan mereka mampu hidup sihat seperti biasa.


Adakah HAART menyebabkan ODHA menerima kesan sampingan yang teruk?

Tidak semestinya. Ada yang menerima kesan sampingan awal yang agak ketara. Ada yang minimum. Ada yang tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Bergantung kepada tubuh individu. Jika berlaku, ianya adalah normal dan sementara sahaja kerana tubuh kita sedang menyesuaikan diri dengan bahan baru yang memasuki tubuh masing-masing. HAART diberi mengikut kesesuaian dan dos individu. Kesihatan ODHA sentiasa dipantau dan setiap masalah ada penyelesaiannya.


Apakah yang dimaksudkan viral load pembawa HIV?

Jumlah virus dalam tubuh pembawa HIV.






Apakah itu imuniti tubuh?

Sistem pertahanan tubuh iaitu CD4 atau sel darah putih.


Saya dengar bahawa ODHA akan alami Grief Reaction. Apakah maksudnya?

Grief Reaction bermaksud fasa-fasa kesedihan. Tidak semestinya berlaku kepada ODHA, bahkan mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja yang didiagnos sebagai pesakit kronik atau mereka yang mengalami trauma tertentu dalam kehidupan. Fasa-fasanya adalah seperti berikut:

- Menafikan dan mengasingkan diri
- Marah
- Kompromi
- Kemurungan
- Penerimaan





Apakah itu Treatment Fatigue?

Kepenatan dan tekanan menjalani rawatan secara berterusan. Semua penghidap penyakit kronik menghadapi gejala yang hampir sama.




Benarkah bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan mandian cecair peluntur atau bleach seperti Clorox dan akan dimasukkan ke dalam beg plastik khas?

Jenazah ODHA dikategorikan dalam kumpulan jenazah berisiko tetapi anda perlu faham maksud jenazah berisiko dengan tepat terlebih dahulu.

FAHAMI MAKSUD PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO SECARA RINGKAS & KAITANNYA DENGAN ODHA.

Pengurusan Jenazah Berisiko lebih kepada SOP langkah-langkah pencegahan jangkitan kuman dan bakteria melalui cecair badan dan udara. Bukan khusus kepada ODHA sahaja.

Antara contoh JENAZAH BERISIKO adalah jenazah yang dijumpai mati di jalanan, disebabkan oleh kes-kes pembunuhan (post mortem), mati terbakar, meninggal semasa pembedahan besar, kemalangan yang mengakibatkan si mati cedera parah, dan disebabkan oleh penyakit-penyakit yang mudah berjangkit melalui cecair badan atau udara.

Ianya juga bertujuan untuk memelihara aib jenazah, keselamatan awam, dan memudahkan ahli kariah menguruskan pengkebumian.

Antara SOPnya ialah pihak yang memandikan jenazah mesti memakai gloves, penutup mulut, dan boot getah, menjirus jenazah dengan bilasan air mutlak bercampur cecair peluntur dengan nisbah campuran 1/8 (maaf, terlupa jumlah yang tepat), dan memasukkan jenazah ke dalam beg plastik khas jika perlu (mengalir cecair badan seperti darah dan nanah, reput dan terpisah anggota badan). 

Perlu difahami bahawa semasa memandikan jenazah, (sama ada ODHA atau bukan ODHA) memang SOP inilah yang sebaik-baiknya digunakan kecuali penggunaan campuran bahan peluntur untuk membasmi kuman yang mungkin terdapat pada JENAZAH BERISIKO. Jirusan air mutlak tetap perlu. Campuran tersebut hanya selepas selesai urusan awal proses memandikan jenazah. Selebihnya sama sahaja dengan pengurusan jenazah biasa.




SOP khusus terhadap JENAZAH BERISIKO perlu diambil kerana sesetengah jenazah dalam kategori ini ada yang telah terbiar selama berminggu-minggu, berbau, berkudis, darah masih mengalir, mereput, berulat, fizikal yang mengerikan, dan perlu disegerakan urusan pengkebumian. Ianya adalah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar.

Bukankah jenazah begini memerlukan SOP sedemikian? Pihak yang menguruskan JENAZAH BERISIKO adalah terlatih dan dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri. Di samping itu, pengurus jenazah perlu berhati-hati menjaga kebajikan diri mereka. Mereka tahu menjaga adab-adab pengurusan jenazah dan tidak akan mendedahkan aib.

Jika JENAZAH BERISIKO dibenarkan untuk diuruskan oleh ahli kariah, pengurus terlatih mewakili pihak KKM akan hadir memantau hingga selesai urusan pengkebumian.

Bagi jenazah ODHA dalam keadaan sempurna dan meninggal atas sebab-sebab biasa, SOP hanya dipakai semasa memandikan jenazah. tiada masalah untuk dikafankan seperti biasa (tanpa beg plastik), disentuh, dilihat, atau dicium oleh ahli keluarga rapat buat kali terakhir. HIV tidak berjangkit melalui prosedur pengurusan jenazah.

SOP JENAZAH BERISIKO dapat melindungi maruah ODHA kerana bukan semestinya jenazah ODHA sahaja diuruskan sedemikian.

Masyarakat mesti JELAS dengan maksud "PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO". Kewajiban memelihara aib dan tanggungjawab fardhu kifayah bukan mainan. Apa hukumnya memfitnah jenazah yang tidak mampu membela diri? ODHA pula tidak perlu paranoid.

Andaian bahawa kononnya jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair peluntur dan akan menyakitkan serta mengaibkan jenazah serta ahli keluarga adalah SILAP besar. Mungkin mereka membayangkan bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair peluntur semata-mata atau jenazah akan dicelup ke dalam tong cecair peluntur. Cecair peluntur tidak mampu membunuh virus. Ianya cuma berfungsi untuk membasmi kuman.

Jika mandi cecair peluntur boleh membunuh virus, lebih baik kita gantikan rawatan HAART dengan cecair peluntur sahaja.


Adakah benar bahawa ODHA tidak dibenarkan berkahwin dan pasti menjangkitkan virus kepada pasangan dan zuriat?

Salah. ODHA boleh berkahwin, mengelakkan jangkitan kepada pasangan dan zuriat dengan kaedah dan cara yang betul. Yang penting ialah kaunseling ODHA dan bakal pasangan, KEPATUHAN kepada rawatan, dan memahami kaedah mendapatkan zuriat secara tepat.


Adakah benar bahawa ODHA tidak perlu dan tidak dibenarkan berpuasa, tidak boleh berkhitan, dan tidak boleh menunaikan umrah atau haji?

Tidak tepat. Ianya memerlukan penerangan yang lebih lanjut dan pernah dikongsikan sebelum ini di dalam blog ini.


Penutup




Sebahagian daripada MITOS terhadap ODHA dan cara jangkitan HIV:

·        Jangka hayat ODHA adalah singkat.
·        Tiada rawatan HIV dan mereka hanya menunggu saat-saat kematian.
·        Semestinya apabila suami atau isteri didiagnos sebagai ODHA akan menyebabkan jangkitan virus kepada pasangan.
·        ODHA tidak boleh berkahwin kerana akan menyebabkan zuriat turut dijangkiti HIV.
·        Tidak mampu bekerja dan menjalani kehidupan sama seperti bukan ODHA.
·        HIV akan berakhir dengan AIDS.
·        HIV berjangkit dan hanya melibatkan orang-orang "BERDOSA" seperti LGBT, pekerja seks, dan penyalahguna dadah.
·        Tidak boleh berkongsi makanan dan minuman dengan bukan ODHA.
·        ODHA tidak dibenarkan berniaga dalam apa juga bidang penyediaan makanan atau minuman kepada bukan ODHA kerana bimbang seandainya darah mereka termasuk atau dimasukkan dengan sengaja ke dalam makanan atau minuman.
·        HIV berjangkit melalui sentuhan, ciuman, pelukan, berkongsi bekas makanan, bersalaman, berkongsi bilik mandi atau tandas, spa ikan, berenang di kolam renang yang sama, menyentuh kanak-kanak, melalui gigitan nyamuk, haiwan atau melalui apa jua aktiviti harian.
·        Tidak boleh berkongsi gelas, sudu, garpu, perabut, katil, tilam, dan sebagainya dengan ODHA.
·        Tidak boleh menggunakan perkhidmatan di kedai gunting rambut yang sama dengan ODHA.
·        Adalah merbahaya membantu ODHA yang kemalangan, semasa pengurusan jenazah, dan pengkebumian.
·        Batuk atau bersin ODHA boleh menyebarkan virus.

Jawapan ini disediakan oleh aku yang hanya seorang ODHA, bukan oleh medical practitioner. Mohon teguran dan pandangan melalui mereka yang pakar dan berpengalaman.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/

Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com