Date: 27 March 2014
Day: Thursday
Venue: Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan
Time: 3.45 pm
Kali ini, aku ditemani Kak Da, Ummie, dan Danish. Routine check-up iaitu weight, blood pressure, body
temperature, dan mouth.
Weight: 69.7 kg (Turun lagi)
Blood pressure: 118/60
Pulse rate: 76
Temperature: 36.9°C
Glucose: 5.8 (fasting)
Mouth: No
oral candidiasis
Pada hari tersebut juga, Dr. Iskandar mengambil
sedikit sampel darahku untuk ujian darah selepas sebulan aku bertukar kombinasi
rawatan HAART, iaitu daripada Kaletra dan Combivir kepada Kaletra dan Tenofovir.
Ianya bertujuan memantau fungsi buah pinggangku kerana Tenofovir mungkin
memberi kesan terhadap fungsi buah pinggang bagi sesetengah inndividu.
Dr. Iskandar juga bertanyakan jika terdapat apa-apa alahan
yang aku rasa setelah sebulan pengambilannya. Jawapannya, tidak ada kecuali
sedikit ketidakselesaan pada perut pada peringkat awal.
Sebagaimana biasa, selepas urusan peribadi, aku
mengambil kesempatan untuk bertanyakan beberapa soalan kepada Dr. Iskandar bagi
pihak sahabat-sahabat komuniti.
Soalan 1:
Persediaan umrah bagi Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA)
yang mempunyai CD4 yang rendah.
Jawapan:
mask
nose filter
Menurut Dr. Iskandar, tiada masalah kepada ODHA yang
mempunyai CD4 yang rendah tetapi sihat untuk menunaikan umrah. Cuma, ODHA yang
mempunyai CD4 yang rendah perlu sentiasa memakai mask atau penapis hidung (nose
filter) semasa menunaikan ibadah umrah untuk mengelakkan daripada dijangkiti
pelbagai jangkitan melalui udara.
Nota: Perlu difahami oleh
masyarakat awam bahawa apabila berada di tempat awam, bukan ODHA yang
membahayakan orang ramai, tetapi orang ramai yang membahayakan ODHA jika CD4
atau imuniti tubuh mereka rendah.
Antara mask
dan nose filter, mask adalah yang terbaik kerana ianya melindungi pernafasan sama
ada melalui hidung dan mulut.
Jika memilih untuk hanya memakai nose filter, ODHA dinasihatkan supaya bernafas melalui hidung sahaja
dan bukannya melalui mulut. Ini kerana nose
filter hanya melindungi pernafasan melalui hidung, bukannya mulut.
ODHA juga perlu memastikan diri mereka telah
mendapatkan suntikan meningococcal
atau meningitis sebelum menunaikan ibadah umrah. Bukan sekadar kepada ODHA,
malah ianya penting kepada semua jemaah umrah mendapatkan suntikan tersebut.
Suntikan meningitis bertujuan untuk mencipta sistem
kekebalan tubuh daripada pelbagai penyakit yang disebabkan oleh udara (air-borne diseases) dan jika bersentuhan
dengan jemaah lain yang memiliki potensi sebagai pembawa penyakit tersebut.
Perubahan cuaca yang tidak menentu serta debu menjadi
salah satu faktor penyebaran penyakit berkaitan meningitis. Penyakit ini
merupakan penyakit yang cukup serius yang menyebabkan risiko kematian. Penyebarnya
ialah mereka yang telah sedia dijangkiti oleh endemic tersebut. Ianya sangat mudah menularkannya ke tubuh jemaah
yang lain.
Terdapat kes di mana ada beberapa jemaah umrah yang
kembali ke Malaysia dan didapati menghidap penyakit meningitis. Setelah
disiasat, didapati bahawa para jemaah tersebut tidak mendapatkan suntikan
meningitis, tetapi sekadar meminta pihak klinik swasta menandatangani buku
kuning ACWY yang seolah-olah membuktikan mereka kononnya telah pun mendapatkan
suntikan tersebut. Oleh itu, para jemaah dinasihatkan supaya benar-benar
mendapatkan suntikan berkenaan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak
diingini.
Soalan 2:
Apakah risiko yang dihadapi oleh bukan ODHA yang
mempunyai luka terbuka atau kudis semasa membantu ODHA yang juga mempunyai luka
terbuka atau kudis seperti ketika kemalangan, rawatan, dan sebagainya?
Jawapan:
Menurut Dr. Iskandar, jangkitan HIV berlaku daripada dalam darah ke dalam darah dan daripada dalam tubuh ke dalam tubuh sahaja. Sentuhan
kudis ODHA ke kudis bukan ODHA tidak menjangkitkan HIV kerana situasi tersebut tidak melibatkan saluran darah. Sekiranya terdapat luka atau darah
pada kudis ODHA, dan darah telah terdedah di udara, maka HIV akan mati.
Nota: Bukan ODHA juga memiliki
platelet (yang berperanan menutup
saluran darah pada luka) dan sel darah putih (WBC) yang dapat melindungi luka
tersebut daripada dijangkiti kuman atau virus dari luar.
Dr. Iskandar juga menyatakan bahawa fitrah luka itu
adalah darah mengalir keluar dan
bukannya mengalir masuk ke dalam. Jadi, HIV daripada luka ODHA tidak dapat
memasuki saluran darah pada luka bukan ODHA.
Begitu juga dalam isu cacah atau tatu (tattoo), di mana Hepatitis-C lebih mudah
menjangkiti mereka yang bertatu berbanding HIV. Tatu hanya mengakibatkan luka
luaran dan tidak melibatkan saluran darah utama sekalipun terdapat saraf
halus di bawah lapisan kulit. Lazimnya jumlah virus yang sedikit tidak mampu menjangkitkan HIV. HIV berjangkit melalui cecair badan yang pekat. Tiada jangkitan melalui peluh dan air liur ODHA kerana jumlah virus di dalamnya sangat sedikit.
Soalan 3:
Adakah dengan menelan air mani ketika melakukan seks oral
boleh menyebabkan seseorang dijangkiti HIV?
(AHP Pie: Merujuk kepada hubungan suami isteri
sahaja.)
Jawapan:
Tidak, kerana mulut setiap individu memang mengandungi
enzim yang melemahkan virus dan jika ditelan, air mani akan masuk ke usus,
bertemu dengan pelbagai enzim yang melemahkan virus. Virus di luar darah tidak
mampu bertahan lama. Jangkitan hanya berlaku daripada dalam darah ke dalam
darah dan melalui salur darah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
Nota: Menurut ijmak ulama’ perbuatan
tersebut HARAM dilakukan dan perkongsian ini bukan bermaksud aku menggalakkan aktiviti
seks tertentu terutama yang bertentangan dengan kehendak syarak, tetapi lebih
kepada pengetahuan umum tentang cara jangkitan untuk mengelakkan salah faham.
Setiap individu
dipertanggungjawabkan terhadap perbuatannya sendiri di akhirat kelak. Iman dan
akal mengatasi nafsu, bukan mengatasi iman dan akal.
Soalan 4
4.1
Sepasang suami isteri (isteri bukan ODHA & suami
ODHA) merancang untuk mendapatkan zuriat dalam waktu terdekat. ODHA tersebut
telah mendapatkan rawatan HAART dan melalui ujian darah yang pertama selepas HAART, virusnya not detected (virus tidak dapat dikesan
atau sekitar 50 copies ke bawah).
Mereka faham cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV
dan bersedia untuk menerima zuriat. (Sila rujuk entry ini dan beberapa entries
lain di blog ini sebagai panduan asas.)
Walau bagaimanapun, doktor yang merawat ODHA tersebut
meminta mereka bersabar sehingga selesai menjalani beberapa kali lagi ujian
memantau viral load (VL). Tujuannya adalah
sebagai confirmation keputusan ujian
darah yang pertama sebelum mengambil keputusan muktamad untuk memiliki zuriat
sendiri.
Jawapan 4.1:
Menurut Dr. Iskandar, pendapat setiap doktor bergantung
kepada keyakinan dan pengalaman mereka. Terpulang kepada pasangan tersebut
untuk mendapatkan pendapat kedua dan ketiga sebelum membuat membuat keputusan.
Menurut pendapat peribadi Dr. Iskandar, tidak ada
masalah untuk pasangan tersebut mendapatkan zuriat sekalipun hanya berdasarkan
keputusan ujian viral load yang
pertama. Berdasarkan pengalaman beliau, jika ujian darah telah menunjukkan
bacaan demikian, risiko jangkitan kepada isteri dan zuriat sangatlah rendah.
Ini kerana setiap ujian darah melalui prosedur yang sangat teliti.
Nota: Kita memang tidak mampu
mengatakan 100% tiada risiko jangkitan kerana kita bukan Tuhan. Kecuaian boleh
berlaku pada bila-bila masa dan takdir penentu segala-galanya.
4.2
Untuk mendapatkan zuriat, adakah perlindungan (kondom)
boleh diabaikan sejak awal memulakan hubungan intim pada “waktu subur isteri”
ataupun hanya boleh ditanggalkan ketika mahu mencapai klimaks?
Jawapan 4.2:
“Waktu subur” isteri tidak boleh dikira atau diramal (predicted) berdasarkan bilangan hari
semata-mata. Ianya agak subjektif. Sebaik-baiknya bagi setiap pasangan yang
berkahwin dengan ODHA dan merancang untuk mendapatkan zuriat, mereka hendaklah
mengadakan hubungan intim dan melepaskan sperma ke dalam faraj setiap 3 hari
sekali selepas tamat haid (menses).
Rasionalnya ialah sperma lelaki mampu bertahan selama
72 jam di dalam faraj dan uterus.
Nota:
Orang Melayu mengenali uterus
sebagai “rahim”; kesian orang yang bernama Rahim. HIV hanya terdapat di dalam
air mani, tetapi tidak ada dalam sperma.
Ovari (kilang telur) menghasilkan satu ovum (telur)
sahaja setiap satu bulan dan ianya hanya mampu bertahan selama 24 jam (window period waktu subur).
Sebab itu, sebaik-baiknya dicadangkan hubungan intim
perlu dilakukan setiap 3 hari sekali selepas tamat haid.
(AHP Pie: Kepada yang berkenaan, jangan sampai 3 kali
sehari ya. Bimbang merangkak pergi kerja. Hehehe…)
Pada waktu tersebut, persoalan sama ada kondom masih
perlu dipakai atau bilakah masa paling tepat untuk menanggalkan kondom
sebenarnya tidak timbul. Ianya atas pilihan masing-masing. Pada masa yang lain,
gunakanlah kondom seperti biasa.
Hakikatnya, setiap kali mengadakan hubungan intim (penetration), risiko tetap ada walau
sekecil manapun. Luka kecil yang tidak dapat dilihat atau tidak dapat diketahui
(microabrasion) ketika melakukan
hubungan intim sentiasa ada dan kita tidak mengetahuinya kerana ianya berlaku di
dalam faraj isteri.
Apa yang penting ialah ODHA mesti mendapatkan rawatan
HAART terlebih dahulu dan pastikan bacaan viral
load (VL) adalah rendah. Semakin rendah virus, semakin rendah risiko
jangkitan. Sebaik-baiknya not detected.
Soalan 5:
Apa itu thalassemia dan apakah risiko zuriat
daripada ibu bapa yang membawa thalassemia?
Jawapan:
Menurut Dr. Iskandar,
thalassemia melibatkan sel darah
merah (RBC) yang mempunyai jangka hayat yang pendek dan sel darah putih (WBC)
yang normal. Bagi mereka yang tidak mempunyai thalassemia, sel darah merah mereka mempunyai jangka hayat selama
120 hari. Sel darah merah mereka yang mempunyai thalassemia mempunyai jangka hayat hanya selama 1 atau 2 minggu
sahaja.
Keadaan sebegini
menyebabkan sum-sum tulang (bone marrow)
dan limpa (spleen) bekerja keras
untuk menghasilkan sel darah merah yang baru.
Penyakit thalassemia ini adalah merupakan sejenis
penyakit genetik. Oleh itu, tiada ubat yang boleh menyembuhkannya.
Saringan (screening) yang dijalankan di
klinik-klinik kesihatan atau hospital adalah bertujuan untuk mengesan pembawa (carrier) thalassemia.
Pembawa thalassemia tidak sama
dengan pesakit thalassemia. Pembawa thalassemia juga secara klinikalnya
tidak akan menjadi pesakit thalassemia.
Menurut Dr. Iskandar,
penyakit thalassemia ini boleh
dikesan seawal seseorang itu berusia 6 bulan. Setiap kehamilan pembawa thalassemia dengan suami yang juga
pembawa thalassemia mempunyai risiko
sebanyak 25% yang menyebabkan zuriat mereka menjadi pesakit thalassemia major. Jika ini berlaku, ibu
tersebut hendaklah menjalani ujian di hospital untuk tujuan diagnosis bayi yang
sedang dikandung.
Janin yang didiagnos
itu boleh dikesan potensi thalassemianya
seawal 10 minggu. Sekiranya diagnosis tersebut mendapati bayi itu mempunyai thalassemia major, maka doktor biasanya
akan memberikan pilihan kepada pasangan pembawa thalassemia berkenaan sama ada mahu meneruskan kehamilan atau
tidak.
Doktor tidak
menggalakkan pengguguran (abortion),
tetapi keputusannya terpulang kepada pasangan tersebut.
Jika seorang pembawa thalassemia mengahwini seseorang yang
bukan pembawa thalassemia, tiada
sebarang risiko thalassemia untuk
zuriat yang bakal diperolehi.
(Lebih kurang 30
tahun dahulu, kerajaan Iran telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa
pembawa thalassemia tidak boleh
berkahwin dengan pembawa thalassemia.)
Mereka yang mempunyai
penyakit thalassemia atau pembawa thalassemia dinasihatkan supaya
mengurangkan (kurang bukan bermaksud tidak boleh langsung) pengambilan makanan
yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi (terutama organ dalaman) dan
daging merah (red meat).
Antara contoh makanan
yang mengandungi red meat termasuklah
daging lembu, daging kambing, daging kambing biri-biri, dan daging khinzir.
Antara contoh makanan
yang mengandungi zat besi yang tinggi termasuklah red meat, kuning telur, sayur-sayuran berwarna gelap dan berdaun
seperti bayam dan sawi, buah-buahan yang dikeringkan seperti prune dan kismis, bijirin yang kaya
dengan zat besi (sila semak pada label nutrien bijirin tersebut), makanan bercangkerang
seperti tiram, kerang, kekapis (scallop),
ayam belanda atau organ dalaman ayam, kekacang, kacang kuda, kacang soya, hati,
dan artichokes.
Sebagai alternatif,
mereka boleh memakan daging putih seperti ayam dan ikan.
Itu sahaja
perkongsian kali ini. Moga ada manfaat dan panduan kepada semua. Selebihnya
kami mengambil sedikit masa untuk saling bertanya khabar dan mengetahui
perkembangan semasa kami sekeluarga.
Jazakumullah kheir kathira
kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK Jaya Gading,
Kuantan yang memberikan perkhidmatan yang sangat profesional dan cemerlang.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman
melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga
dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk
menyertai, sila hubungi admins yang berikut: