Sila share
Bersama Ustazah Puan Nor Asniah Mohd Noh (JAKIM) |
Bagi yang peka,
HIV bukanlah virus yang menakutkan. Ianya tidak mudah berjangkit dan hanya
berjangkit melalui beberapa cara tertentu sahaja. Tiada masalah untuk bergaul
seperti biasa dengan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Rawatan HIV sekarang sangat
mudah, berkesan, dan boleh dielakkan daripada menjangkiti pasangan dan bakal
zuriat. ODHA mampu bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Masalah utama ODHA
berbanding rawatan dan peluang hidup sihat adalah salah faham, stigma,
diskriminasi, dan judgemental.
Kononnya ODHA dikaitkan dengan perbuatan berdosa. Virus akibat sengaja “cari
penyakit” dan akibat balasan serta bala’ daripada Allah S.W.T. HIV dikatakan
hanya isu terpencil dan terpinggir. Hanya penyalahguna dadah yang berkongsi
jarum suntikan, pekerja seks, dan pengamal seks bebas yang dijangkiti HIV.
Jika begitu
pendapat kita, ianya mencerminkan betapa jahilnya kita dengan isu HIV. Orang
yang bersikap sebegitu sebenarnya lebih memerlukan bantuan berbanding ODHA, kerana
mereka sedang diuji dengan kejahilan dan miskin jiwa. Mungkin mereka tidak
sedar yang mereka sedang menganiaya ramai pihak dan menyebarkan fitnah. Tawa
sinis yang membawa dosa.
Jika mahu bicara
tentang undang-undang dan penguatkuasaan, apa kata kita abaikan seketika.
Jangan ditanya kepadaku kenapa dan mengapa penyalahgunaan dadah semakin
berleluasa, kenapa seks rambang dan bebas berlaku di mana-mana sahaja. Kenapa
begitu dan kenapa begini?
Semuanya boleh
dijawab sendiri jika kita jujur mengakui kelemahan diri dan tidak saling
menuding jari. Jawapan standard aku,
Al-Qur’an dan Sunnah adalah sebaik-baik jalan penyelesaian segala permasalahan.
Berdebat secara terbuka tidak ada sudahnya. Mahu berdialog, dipersilakan. Bagus
untuk kita sama-sama saling memahami dan mencari persamaan dan jalan
penyelesaian. Tanya kepada diri sendiri, setakat mana usaha kita untuk
menjadikannya sebagai the way of life?
Jika kita menafikan kesempurnaan petunjuk Allah, terimalah akibatnya.
Cuma sebagai ODHA
dan mempunyai sedikit pengalaman membantu komuniti, alhamdulillah aku berpeluang memainkan sedikit peranan menyebarkan
maklumat yang mungkin dapat mengurangkan jurang perbezaan pandangan.
Sedia maklum, umumnya
ODHA yang dijangkiti disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
1.
Mengamalkan
akitivi berisiko.
2.
Bekas
pengamal aktiviti berisiko.
3.
Pasangan
kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.
4.
Zuriat
kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.
5.
Terdedah
kepada risiko seperti akibat blood transfusion
dan organ transplant (sangat rare)
Sekumpulan lagi
yang turut menerima kesan yang hampir sama akibat jangkitan ialah ahli keluarga
kepada ODHA (affected people). Mereka
juga turut dihukum dengan salah faham dan penghinaan oleh pihak yang
mengamalkan sikap judgemental.
Terdapat kes, sehingga ODHA telah meninggal dunia pun, affected people masih dicemuh dengan pelbagai andaian. Inilah antara
punca perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada kesudahannya.
Untuk mengetahui
wajar atau tidak sikap stigma dan judgemental
terhadap ODHA, analogi berikut biasa aku gunakan dalam kebanyakan sesi
perkongsian pengalaman.
1.
ODHA
kerana mengamalkan aktiviti berisiko.
Si
A memang kaki pecut. Pantang bawa kereta, si A memang memecut tidak kira tempat
dan keadaan. Suatu hari, si A telah kemalangan dan sebelah kakinya terpaksa
dipotong. Cacat seumur hidup. Ramai yang mencemuh, “Padan muka si A, memang dia
kaki pecut.”
Hakikatnya
tiada seorang pun pasti bahawa ketika kemalangan, apakah situasi sebenar yang
telah berlaku? Mungkin pada hari tersebut, si A memandu kereta mengikut
peraturan jalan raya dan berhati-hati. Kemalangan terjadi akibat kecuaian orang
lain.
Adilkah
sikap mencemuh tersebut sedangkan selama si A memecut, tiada seorang pun cuba
mendekati dan menasihati si A dengan penuh kebijaksanaan? Si A hanya dicemuh
dan dijauhi. Adakah telah digunakan pendekatan yang betul untuk membimbing A
menghentikan perbuatannya yang suka memandu laju tidak kira masa?
Bukankah
sekarang ini telah ada “rempit atau racing
Islamik?” Aturkan konvoi beramai-ramai mengikut peraturan untuk aktiviti amal
seperti menziarahi rumah anak-anak yatim, rumah perlindungan orang-orang tua,
dan menghadiri kuliah agama. Apakah kita membantu usaha pencegahan dengan penuh
perancangan, hikmah dan strategi yang tersusun mendekati si A dan
kawan-kawannya? Perlahan-lahan mereka boleh ditarbiah. Benci perbuatan, bukan
benci pelakunya.
2.
ODHA
kerana pernah menjadi pengamal aktiviti berisiko.
5
tahun dahulu, siapa yang tidak kenal si A? Memang juara racing. Selepas beberapa ketika, si A terbuka hati untuk mengubah
sikap dan telah menghentikannya setelah terlibat dengan kemalangan.
Pada
suatu hari, kaki si A terpaksa dipotong kerana setelah didiagnos, terdapat kesan
lama kemalangan yang mengakibatkan kakinya mendapat jangkitan kuman. Cacatlah si
A seumur hidup. Apabila mengetahui si A mengalami kecacatan, kita tanpa sedikit
pun rasa bersalah mencemuh si A.
“Padan
muka si A. Dulu dia memang kaki pecut. Aku memang tahu sangat perangainya.
Inilah balasan Tuhan akibat memandu laju tidak kira dahulu. Sakit hati betul
bila diingatkan perangainya ketika itu. Inilah akibat dimakan sumpah seranah
orang.”
Adil
dan masuk akalkah tindakan kita tersebut? Kesan sikap negatif begini terhadap
ODHA para pembaca boleh huraikan sendiri.
3.
ODHA
kerana mereka adalah pasangan kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti
berisiko.
Si
B berkahwin dengan Si A. Jenuh si B menasihatkan si A menghentikan sikapnya
yang suka memandu laju tetapi si A tetap curi-curi melakukannya, atau memang si
A telah menghentikannya dan insaf bahawa perbuatan tersebut tidak baik.
Suatu
hari, ketika membawa isterinya bersiar-siar, mereka kemalangan dan suami isteri
tersebut mengalami kecederaan parah. Cacat seumur hidup.
“Padan
muka si B. Inilah akibatnya berkahwin dengan si A yang jahat itu.”
Persoalannya,
kenapa kita sanggup hukum mereka terutama si B? Budi bicara dan pertimbangan
apa yang kita gunakan?
4.
Zuriat
kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.
Si
C adalah anak kepada si A dan dan si B. Si A membawa anak dan isterinya bersiar-siar
dan kemalangan. Langsung tidak pernah si B menjangkakan, akibat kecuaian suaminya
akan mengakibatkan mereka bertiga bakal cacat seumur hidup.
“Inilah
akibatnya berkahwin dengan pelumba haram. Itu pun nasib baik tidak terus mampus
begitu sahaja. Menyusahkan orang!”
Jika
si B tahu, sudah tentu beliau akan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk
mengelakkan kemalangan terhadap dirinya dan anak mereka. Apakah salah si C yang
tidak tahu apa-apa pun? Kita hina si A tetapi adakah kita sedar dalam masa yang
sama kita turut menghina dan melukakan si B dan si C?
Bagaimana
jika mereka enggan menjalani rawatan akibat tertekan? Bagaimana jika mereka
bertindak menjauhkan diri dari masyarakat? Sampai bila kita mahu bersikap
begini?
Sedarkah
kita bahawa Allah tidak pernah zalim dan jemu memaafkan dosa-dosa setiap
hamba-Nya? Kenapakah kita mengambil alih “kerja” Tuhan yang menyamai sikap
riya’, ujub, dan takkabbur? Iman siapa yang lebih teruji? Pasangan ODHA
tersebut atau kita?
5.
Menjadi
ODHA akibat terdedah kepada risiko seperti menjalani blood transfusion dan organ transplant
(sangat rare)
Si
D langsung tidak ada kena-mengena dengan aktiviti berisiko atau pernah mengamalkannya.
Tetapi, kerana Allah telah aturkan sesuatu yang lebih baik dan di luar
jangkauan pemikiran manusia, si D telah dilanggar oleh kereta yang dipandu si A
ketika berlumba dengan kumpulannya di jalan raya.
“Ah,
mustahil si D tidak berlumba. Mesti dia juga terlibat, tetapi tidak mengaku.
Kalau tidak berlumba, macam mana dia kena langgar?”
Ringkasnya,
akibat kejahilan dan cepat menjatuhkan hukuman, segala macam fitnah dan andaian
terpaksa si D tanggung.
6.
Kumpulan
terakhir yang turut menerima kesan ialah ahli keluarga (affected people) kepada si A, B, C dan D. Ayah, ibu, isteri,
anak-anak, adik-beradik, tunang, mertua, sepupu, kawan rapat, dan sebagainya.
Lebih kurang sahaja kesannya cuma bezanya mereka tidak perlu menjalani rawatan anti
retro viral (ARV). Tetapi mungkin terpaksa dirawat disebabkan oleh depression (psychiatric) kerana menanggung pelbagai tekanan atau cemuhan.
“Kenapa
ayah engkau dapat HIV? Apa yang dia sudah lakukan?” “Tak lama lagi matilah
jawabnya. Emak engkau dan engkau tidak dijangkitikah?”
Mereka
sentiasa melihat perbagai tekanan ahli keluarga mereka yang hidup sebagai ODHA.
Tertekan, difitnah, didiskriminasi, dibuang kerja, terpaksa putus tunang,
dihina, dan sebagainya. Cuba bayangkan kita berada di tempat mereka. Adilkah
agaknya?
Sebenarnya, ODHA
tidak minta simpati, cuma empati. Berikan mereka ruang untuk hidup seperti
biasa dengan cara yang positif. Mereka tahu mereka tidak bahayakan sesiapa. Sekali
lagi diulangi, ODHA lebih tertekan dengan sikap manusia berbanding rawatan.
Jika ODHA memilih
untuk kekal dalam kelompok yang berisiko dan mengamalkan aktiviti berisiko,
mungkin tanpa sedar, sikap kitalah yang menjadi salah satu puncanya.
Fikirkan…
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi
ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila
hubungi admins yang berikut: