Friday, April 25, 2014

KEMPEN PENERANGAN MENENTANG SALAH FAHAM BERKAITAN HIV DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) DAN AKTIVITI SUPPORT GROUP PERTUBUHAN POSITIVE WARIORS MALAYSIA (PPWM) DI UTARA






Pada 21-22 April 2014 yang lepas, aku telah dijemput untuk berkongsi pengalaman bersama sebahagian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam persembahan amal Red Ribbon Youth Club #RRCS4RRYC anjuran pihak MAC dan JAKIM.

Apa itu #RRCS4RRYC?

RRCS bermaksud Red Ribbon Celebrity Supporters For Red Ribbon Youth Club. Secara umumnya satu program atau pendekatan yang digunakan oleh pihak MAC dengan kerjasama JAKIM dan selebriti sokongan dalam kempen kesedaran mengenai HIV terhadap generasi muda khususnya penuntut IPT. Termasuk menggalakkan cara hidup sihat, peka, dan membantu Orang-orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan affected people bagi menuju sifar jangkitan baru, AIDS, stigma, diskriminasi, dan judgemental.

Artis-artis sokongan yang terlibat ialah Fahrin Ahmad, Bob Yusof, dan Najwa Latif. Aku sebagai wakil PPWM dan komuniti, dan Ustazah Puan Nor Asniah Mohd Noh mewakili JAKIM.




Segmen khas untuk aku berkongsi pengalaman dan ceramah bersama Ustazah Nor Asniah adalah pada pukul 9-10 malam. Moderatornya adalah Bob Yusof.


Aturcara Program

7.30 malam
·        Pendaftaran peserta
·        Kehadiran tetamu jemputan khas

8.00 malam
·        Sesi pembukaan oleh Fahrin Ahmad
·        Ucapan oleh Pengarah Projek #RRCS4RRYC
·        Ucapan oleh Prof. Ismail Baba, Penasihat RRYC UUM
·        Ucapan Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia
·        Perasmian oleh Naib Canselor UUM

8.30 malam
Segmen gimmick oleh UUM
·        MAC – persembahan video korporat dan video RRYC

8.50 malam
Persembahan 
·        Persembahan nyanyian oleh Bob Yusof 

9.00 malam
Segmen perkongsian pengalaman / ceramah
·        Moderator: Bob Yusof
·        Wakil Orang Yang Hidup Dengan HIV: Mohamad bin Wahid
·        Wakil MAC: Fahrin Ahmad
·        Wakil JAKIM: Ustazah Hasniah

10.00 malam
Persembahan 
·        Najwa Latif  

10.30 malam
Penutup


Secara keseluruhannya, aku melihat program ini telah dijayakan dengan baik. Alhamdulillah dan tahniah kepada semua pihak sama ada pihak UUM, Majlis Perwakilan Pelajar dan Urusetia, MAC, JAKIM, artis sokongan Red Ribbon, dan ahli-ahli panel.




Aku berharap semoga segala info dan pengalaman positif yang diperolehi dapat dimanfaatkan dan hadirin dapat memberikan komitmen yang berterusan untuk membantu menangani kempen kesedaran HIV dan menyebarkan maklumat yang tepat bagi mencapai objektif sebenar. Terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan dan layanan sepanjang penglibatan dalam program yang dianjurkan.

Sebaik sahaja program di UUM selesai, aku menyertai beberapa orang sahabat komuniti yang hadir ke rumah seorang sahabat di Changlun untuk menjalin silaturrahim dengan berkongsi sokongan dengan sahabat-sahabat baru dan lama di sana. Amat membanggakan kerana bersama kami adalah beberapa orang tokoh lama dan mentor komuniti seperti Roslan Atok dan Bonda Jameela yang turut sudi memberikan sokongan.

Kami mendapat layanan yang sangat baik daripada pihak tuan rumah sekeluarga yang bersusah-payah menyediakan pelbagai juadah istimewa dari Utara. Pertama kali dalam hidupku berkesempatan merasai menu mangga harum manis yang dimakan bersama pulut dan durian. Boleh tahan aku melahapnya sekalipun aku pengidap diabetes dan kalah dengan makanan yang tinggi kandungan gulanya.

Dalam sharing tersebut, kami saling bertanya khabar dan berkongsi pengalaman secara santai dengan ahli keluarga baru yang masih tercari-cari kekuatan serta sokongan. Perjumpaan kami penuh dengan kemesraan dan ukhwah fillah. Ada yang baru didiagnos dan pertama kali berani tampil berkongsi rasa dengan kawan-kawan. Alhamdulillah kelihatan mereka mendapat sedikit kekuatan dalam pertemuan ringkas tersebut.

Menjelang 1 pagi, aku dihantar kembali ke hotel penginapan untuk berehat seketika dan tiba di Temerloh pada lewat petang 22 April 2014 (Rabu). Kesempatan dan kenangan bersama sahabat-sahabat senasib, infected people, dan supporters di Utara sangat bermakna. Jazakumullah khier. Moga silaturrahim berkekalan.

Sepanjang program di Utara, aku sebenarnya berada dalam keadaan kepenatan dan tidak cukup rehat. Tetapi apabila berpeluang berkongsi pengalaman dan sokongan bersama masyarakat, khususnya komuniti, aku sering terlupa dengan keperluan sendiri. Syukurlah Allah bantu dan permudahkan aku melaluinya.

Selepas seharian collapsed, 24 April 2014 (Khamis) aku menghadiri temujanji rawatan di KK Jaya Gading Kuantan. 26 April 2014 (Sabtu) perlu hadir pula ke Puchong atas sebab-sebab tertentu. Moga Allah permudahkan.

Itu sahaja perkongsian pengalaman dalam keadaan yang masih kepenatan pada kali ini. InsyaAllah kita bertemu lagi.


Sisipan

Berikut adalah petikan berita yang disiarkan oleh MAC di laman web mereka: 



SINTOK, 22 April 2014 – Lebih 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berhimpun di Dewan Tan Sri Othman di sini untuk menyaksikan persembahan amal #RRCS4RRYC yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis AIDS Malaysia. Acara santai berkonsepkan hiburan yang diselang-selikan dengan perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan HIV ini menyatukan Selebriti Sokongan Riben Merah (RRCS) dan Kelab Belia Riben Merah (RRYC), dua inisiatif advokasi Majlis AIDS Malaysia yang utama, dan membariskan tiga penghibur popular tanah air yang juga merupakan RRCS iaitu Najwa Latif, Fahrin Ahmad, dan Bob Yusof di atas pentas yang sama.

Hampir 1,000 orang penonton yang terdiri daripada Ahli Kelab Belia Riben Merah dan warga kampus Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah yang lain memenuhi ruang Dewan Tan Sri Othman untuk menyaksikan acara #RRCS4RRYC.

RRYC yang ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai langkah kreatif menangani kadar jangkitan HIV baru yang tinggi dalam kalangan belia di negara ini kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran kad keahlian RRYC yang diaktifkan secara bersepadu merentasi pelbagai platform media sosial. Acara #RRCS4RRYC yang menjadi platform pengenalan kad keahlian itu sendiri telah diilhamkan oleh skala dan impak teknologi media sosial dalam menyebarkan maklumat dan mempengaruhi pemikiran pengguna khasnya golongan belia.

“#RRCS4RRYC pencetus revolusi media sosial belia banteras HIV.” Demikian ujar Prof. Dr. Ismail Baba, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Penasihat Kelab Belia Riben Merah Universiti Utara Malaysia ketika berucap dalam majlis perasmian acara persembahan amal #RRCS4RRYC.

“Epidemik HIV kini telah mengalami perubahan dari segi trend jangkitan; bagi setiap tiga kes jangkitan HIV baru, satu dilaporkan dalam kalangan belia berumur antara 13 hingga 29 tahun,” jelas Prof. Dr. Ismail Baba, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Penasihat Kelab Belia Riben Merah UUM. “Justeru, respons terhadap HIV dalam kalangan belia juga sewajarnya mencerminkan peredaran trend komunikasi yang kini dikuasai oleh media sosial. Kami berharap acara #RRCS4RRYC ini dapat mencetuskan satu revolusi media sosial dalam kalangan belia untuk membanteras HIV,” tambah beliau lagi.

Kad keahlian RRYC bernilai RM 15 setahun yang telah dilancarkan dalam acara yang sama menawarkan baucar diskaun eksklusif untuk produk rakan-rakan korporat Majlis AIDS Malaysia. Selain itu, pemegang kad turut berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama-sama RRCS dan kuiz serta pertandingan dalam talian yang lain yang menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti alat elektronik dan telefon pintar serta biasiswa untuk menghadiri persidangan HIV dan kepimpinan belia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Fahrin Ahmad (paling kiri) dan Bob Yusof (tiga dari kanan) beramah mesra dengan beberapa orang penonton di atas pentas. 


Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Bob Yusof (paling kiri) menjadi fasilitator segmen perkongsian pengalaman orang yang hidup dengan HIV dan tazkirah HIV & Islam bersama-sama tetamu undangan Mohamad Bin Wahid, Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (tengah) dan Ustazah Asniah Mohd Noh, Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (paling kanan).

Di samping persembahan hiburan oleh RRCS, acara #RRCS4RRYC juga memberikan pendedahan kepada para penonton tentang pengalaman hidup dengan HIV yang telah disampaikan oleh individu yang hidup dengan HIV sendiri dan tazkirah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertujuan untuk menghapuskan stigma terhadap orang yang hidup dengan HIV dan menggalakkan khalayak supaya menghulurkan bantuan kepada mereka tanpa prejudis. Pada sebelah siang hari acara, satu bengkel latihan asas HIV telah diadakan untuk pembimbing rakan sebaya RRYC.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Najwa Latif berinteraksi dengan sebahagian daripada penonton ketika menyampaikan lagu popularnya, “Sahabat” dalam acara #RRCS4RRYC.

“Saya sedar program seumpama ini harus dilaksanakan dari semasa ke semasa di setiap peringkat lapisan masyarakat agar kita sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang berlaku di persekitaran. Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan pada malam ini, ia sedikit sebanyak berguna pada masa hadapan,” ujar Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM. 

Ucapan perasmian majlis disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia.

“Saya berharap semua belia yang terlibat telah dapat memanfaatkan acara #RRCS4RRYC sebaik mungkin dan bersedia untuk mengorak langkah yang pertama ke arah memperkasakan diri dengan pengetahuan tentang HIV yang tepat agar risiko HIV dapat dielakkan,” komen Najwa Latif selaku duta RRYC.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia merangkap Duta Kelab Belia Riben Merah (RRYC) Najwa Latif mengajak para belia untuk menyertai RRYC dengan mendapatkan kad keahlian berharga RM15 yang akan disalurkan kepada tabung amal Yayasan AIDS Malaysia. Banyak keistimewaan menanti ahli-ahli RRYC termasuk peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berkaitan HIV & AIDS bersama-sama Selebriti Sokongan Riben Merah.

Penganjuran #RRCS4RRYC telah mendapat kerjasama daripada Kelab Belia Riben Merah UUM, Kelab Kerja Sosial UUM, Majlis Perwakilan Pelajar UUM, JAKIM, Medical Latex (Dua) Sdn Bhd, Yayasan Sime Darby, 1M4U dan Hotel EDC UUM.

Majlis AIDS Malaysia

Majlis AIDS Malaysia (MAC) ditubuhkan pada tahun 1992 sebagai organisasi ‘payung’ yang bertanggungjawab untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkerja di lapangan HIV/AIDS. MAC menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, untuk memastikan respons terhadap epidemik HIV oleh NGO adalah komited dan efektif. Selain melaksanakan program pencegahan, rawatan, jagaan dan sokong bantu HIV di seluruh negara, MAC dan Ahli-Ahli Gabungan bertindak mewakili suara komuniti-komuniti yang terjejas oleh HIV. Untuk keterangan lanjut, layari www.mac.org.my

Kelab Belia Riben Merah

Kelab Belia Riben Merah (RRYC) merupakan platform advokasi Majlis AIDS Malaysia untuk golongan belia (18 – 40 tahun) di negara ini menyebarkan maklumat yang tepat mengenai HIV & AIDS, selain membentuk kepimpinan dalam kalangan belia untuk menerajui usaha-usaha menangani jangkitan HIV dan menyalurkan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV. RRYC beroperasi di kampus-kampus IPTA dan IPTS utama di seluruh negara, dan digerakkan sepenuhnya oleh golongan belia dan siswa terutamanya melalui saluran media sosial. RRYC juga merupakan sebahagian daripada komponen utama rencana Pemerkasaan Advokasi HIV & AIDS yang disokong penuh oleh Yayasan Sime Darby. Kempen keahlian Kelab Belia Riben Merah kini sedang giat dijalankan dalam talian menerusi pautan http://bit.ly/1hVKA6U

Semarakkan perbincangan #RRYC dalam media sosial!

Facebook | http://www.facebook.com/RedRibbonYouthClub
Twitter | @RRYouthClub
Instagram | myAIDScouncil

Hubungi:

Jabatan Media & Komunikasi, Majlis AIDS Malaysia
Zaki Arzmi │ 016 292 2948 │ zaki@mac.org.my
Meera Abi │ 016 414 6400 │ meera@mac.org.my

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Canselori
Universiti Utara Malaysia
H/P: 019-336 1906
Tel.: 04-928 3042/3047/3050
Faks: 04-928 3053



Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com