Monday, April 21, 2014

MERS-CoV, HIV, DAN UMRAH




Menjelang cuti pertengahan tahun persekolahan 2014 yang bakal tiba, dijangka ramai yang akan mengambil kesempatan sempena cuti tersebut untuk melaksanakan ibadah umrah.

Kebetulan, jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah atau Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) sedang hangat diperkatakan. Sudah tentu isu ini menimbulkan kerisauan kepada ramai pihak terutama mereka yang rendah imuniti tubuh seperti Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Nota: ODHA tidak semestinya rendah imuniti tubuh. Kelemahan imuniti tubuh bukan semata-mata disebabkan seseorang hidup sebagai ODHA. Ianya bergantung kepada pelbagai faktor kesihatan, langkah pencegahan jangkitan dan kepatuhan kepada rawatan. Cuma, bagi ODHA yang masih rendah imuniti tubuh, risikonya agak tinggi. Ini disebabkan tubuh mereka kurang keupayaan menentang pelbagai jangkitan virus.

Mari kita fahami MERS-CoV secara mudah melalui artikel-artikel berikut sebagai langkah berjaga-jaga. Bukan sahaja kepada ODHA tetapi kepada semua yang bakal melaksanakan ibadah umrah.


ARTIKEL 1

RISIKO PENYAKIT BERJANGKIT (MERS-COV)

Ibadat haji atau umrah memerlukan tahap fizikal dan mental yang optimum, persediaan ini amat penting dalam menghadapi perbezaan suasana di Mekah berbanding di Malaysia. Dari tahun ke tahun, cabaran yang akan dihadapi mungkin berbeza daripada segi cuaca, suasana dan keadaan semasa.

Cabaran menghadapi penyakit berjangkit terutama ketika musim haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam dari serata dunia, juga tidak kurang hebatnya. Umpamanya pada 2003, wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) yang menggemparkan dan wabak pandemik Swine Flu (H1N1) yang melanda dunia pada 2009 turut memberi kesan kepada jemaah haji seluruh dunia. Manakala, pada tahuh 2012, Pertubuhan Kesihatan Sunia (WHO) melaporkan kes jangkitan virus yang dinamakan Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) yang dahulunya dikenali sebagai Novel Coronavirus telah dikesan dari negara-negara di Asia Barat.

Persediaan sebelum berangkat

·        Sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik, khasnya yang berpenyakit kronik seperti asma, penyakit salur pernafasan tersekat kronik (COPD), sakit jantung, diabetes, dan lain-lain.

Kerajaan Arab Saudi mencadangkan agar bakal jemaah haji atau umrah warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik menangguhkan pemergian.

·        Mengambil vaksin tambahan iaitu vaksin influenza dan Pneumococcal (amat digalakkan) terutama yang telah berumur atau mempunyai penyakit kronik lain dan mengikut nasihat pegawai perubatan.
 
·        Membawa bekalan penutup mulut dan hidung (mask) yang mencukupi dan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk kegunaan sendiri semasa berada di Mekah dan dalam kapal terbang.
 
·        Sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai wabak ini dan langkah pencegahan yang perlu diambil dari semasa ke semasa.

Pencegahan di Mekah

·        Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan, terutama selepas batuk, bersin, atau selepas bersalam.
 
·        Sentiasa membawa penutup hidung dan mulut seta pencuci tangan untuk digunakan ketika perlu.
 
·        Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik. (AHP Pie- Seperti menutup mulut dengan sapu tangan dan menjarakkan diri jika perlu semasa batuk atau bersin.)
 
·        Mengelakkan daripada mengambil makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya.
 
·        Membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran terlebih dahulu sebelum dimakan.
 
·        Mengelak minum air tidak terawat.
 
·        Memakai penutup hidung dan mulut sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan MERS-CoV dan dapatkan rawatan segera.

Secara amnya, semua bakal haji atau umrah mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus MERS-CoV ini. Lantas, sebagai salah satu ikhtiar, semua bakal haji dan kakitangan Tabung Haji yang bertugas di sana mestilah mengambil langkah yang dinyatakan di atas. Di samping itu, berdoa ke hadrat Allah SWT supaya bebas daripada jangkitan.

Sumber: sini




ARTIKEL 2

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN JANGKITAN NOVEL CORONAVIRUS (MERS-CoV) UNTUK JEMAAH HAJI ATAU UMRAH DAN PELAWAT

Novel Coronavirus, yang juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada masa kini berlaku di Arab Saudi dan dilaporkan di beberapa negara Timur Tengah lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan tentangnya pada September 2012. Sehingga 31 Mei 2013, sejumlah 53 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 30 kematian. Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi. Justeru, para jemaah atau pelawat diingatkan agar sentiasa berwaspada tentang jangkitan MERS-CoV ini.

Untuk makluman, MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut di kalangan manusia. Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). 

Pihak World Health Organization (WHO) menyatakan punca jangkitan dan cara jangkitan bagi MERS-CoV ini masih belum dapat dikenal pasti. Pihak WHO juga menegaskan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. 

Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).

Sehubungan itu, memandangkan buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan masih belum dikenal pasti, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Oleh itu, pihak KKM ingin menasihatkan tentang perkara-perkara berikut untuk mengelakkan jangkitan respiratori:

·        Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin, atau selepas bersalaman.

·        Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (medical mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.

·        Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.

·        Mereka yang pulang ke Malaysia dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema, dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan tentang sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan terus berhubung dengan pihak WHO untuk memantau situasi terkini MERS-CoV, seterusnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.

Disediakan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 Jun 2013

Sumber: sini


ARTIKEL 3

SEORANG JEMAAH UMRAH MENINGGAL DUNIA DISAHKAN AKIBAT MERS-COV – SUBRAMANIAM


PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian seorang lelaki pada 13 April lalu yang baru pulang daripada mengerjakan umrah akibat dijangkiti sindrom pernafasan "middle east respiratory syndrome coronavirus' (MERS-CoV), yang juga merupakan kes pertama dilaporkan di Asean.

Menterinya Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata hasil siasatan mendapati punca kematian adalah akibat "Pneumonia Secondary to MERS-CoV" yang teruk.

Beliau berkata pihak kementerian sedang menjalankan aktiviti pencegahan serta kawalan termasuk pemantauan terhadap mereka yang pernah bersentuhan dan rapat dengan mangsa serta 15 anggota jemaah umrah yang turut pergi bersama-sama mangsa ke Tanah Suci.

"Untuk tujuan ini juga, orang awam yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan dari Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu adalah diminta menghubungi pihak kementerian bagi tujuan pemantauan," katanya.

Lelaki Melayu berusia 54 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu pulang dari Tanah Suci pada 29 Mac lalu itu mengadu mengalami demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas selepas kira-kira 10 hari kemudian dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 10 April dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Subramaniam berkata buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan bagi jangkitan MERS-CoV masih belum dapat dikenal pasti dan masih tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa mangsa yang menghidap penyakit kencing manis itu telah pergi melawat ternakan unta di sana namun tidak dapat dipastikan lagi sama ada virus itu dijangkiti disebabkan oleh binatang tersebut," katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci atau membuat lawatan di mana-mana negara di rantau Timur Tengah agar mengambil langkah-langkah berwaspada.

"Adalah diminta agar mereka yang akan ke sana untuk sentiasa mencuci tangan, membawa penutup hidung dan mengelakkan makan makanan mentah serta mengelakkan dari membuat lawatan ke ladang ternakan walaupun masih tiada bukti mengenainya tapi ia sebagai antara langkah pencegahan," katanya.

Menteri itu berkata mereka yang pulang dari negara rantau Timur Tengah dengan mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema dan sakit dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung dan menjaga kebersihan diri.

"Mereka juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya terus tidak sihat serta memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat," katanya.

-- BERNAMA

Sumber: sini




Nasihat aku kepada semua pembaca terutama sahabat-sahabat ODHA yang tekad untuk melaksanakan ibadah umrah, patuhilah segala nasihat yang disarankan, segera mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda jangkitan dan selebihnya tawakal kepada Allah.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com