sila share |
Umum mengetahui bahawa aku sangat terbuka dengan statusku
sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Kenapa aku memilih jalan ini?
Kerana aku yakin apabila ODHA sendiri membuktikan bahawa mereka mampu
hidup seperti insan biasa, ianya adalah sebaik-baik perjuangan. Mendidik dan
berdakwah bil-hal. Bukan sekadar untuk
diri sendiri, tetapi untuk semua komuniti. Jika hanya mengeluh, apa sudahnya?
Apabila begini, kononnya aku “kuat”, tidak ada masalah
untuk melakukannya kerana cara jangkitanku berbeza, dan sokongan sekelilingku sangat
hebat.
Sebenarnya tidak perlu aku menjawab pun segala tuduhan
tersebut. Terpulanglah kepada penilaian masing-masing. Tetapi kadangkala terpaksa
juga dijawab. Jika tidak, lebih memudaratkan. Bagi mereka, hanya masalah mereka
sahajalah yang paling berat. Apabila kita nasihatkan, dianggapnya kita tidak
memahami.
Kadangkala apa yang dilihat mudah itu tidak seperti
yang kita sangka. Perjuangan ini menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Hampir apa saja ujian yang orang lain rasa terutama apa yang komuniti rasa, aku
turut rasa.
Baiklah. Aku terangkan secara ringkas. Hendak terima,
terimalah. Tidak mahu terima, bukan masalah aku. Yang penting ini bukan sharing melepaskan perasaan, tetapi supaya
kita berfikir.
Rasa sedih dan tertekan peringkat awal didiagnos sehingga
terfikir “lebih baik mati.” – PERNAH.
Rasa takut, bimbang dengan bermacam-macam perkara termasuk
untuk mendapatkan rawatan farmakologi dan bimbang status diri diketahui –
PERNAH.
Alahan dengan rawatan awal HAART – 2 KALI.
(Bahkan aku kini dalam regime rawatan HAART yang ke-2. Sudahlah regime ke-2, baharu sahaja ditukar kombinasi untuk menyesuaikan diri
dengan masalah kesihatan sedia ada. Bukan setakat ada HIV, tetapi tidak perlulah
aku senaraikan pula masalah kesihatan lain.)
Berhabis duit hingga puluhan ribu ringgit kerana terpedaya
dengan pelbagai produk rawatan complementary
– PERNAH.
Dituduh sebagai bekas penyalahguna dadah secara suntikan,
pengamal seks bebas, dan biseksual – SENTIASA.
Kawan-kawan rapat tiba-tiba menjauhkan diri – BIASA.
Ditertawa, dihina, disindir, dan dicemuh – SENTIASA.
Dipinggir oleh sebahagian anggota keluarga – BIASA.
Tidak cukup duit belanja harian sehingga tidak tahu apa
yang mahu diberi makan kepada keluarga – BIASA.
Dituduh mencari kekayaan dan duit poket melalui NGO
dan sesi sharing – BIASA.
Dianggap sebagai orang senang dan kaya-raya – AAMIIN.
Tidak difahami dan didiskriminasi secara halus oleh pelbagai
pihak – BIASA.
Dipandang sinis oleh sebahagian rakan sekerja dan
rasa bersalah kerana menyusahkan mereka – BIASA.
Disalah anggap, tidak dijemput menghadiri kenduri-kendara
dan majlis-majlis tertentu oleh kenalan disebabkan aku hidup dengan HIV –
BIASA.
Ada yang tiba-tiba enggan bergaul, makan atau minum semeja
– BIASA.
Dipandang seperti makhluk asing – BIASA.
Terfikir untuk berhenti kerja kerana tertekan dengan pelbagai
tekanan – SENTIASA.
Alami treatment fatigue – SENTIASA.
Kepenatan dan tidak cukup rehat – SENTIASA.
Insomnia – SENTIASA.
Dicari ketika perlu, diambil kesempatan, dan ditinggalkan
apabila mendapat apa yang dihajatkan – BIASA.
Difitnah dengan pelbagai tuduhan yang pelik-pelik,
sebahagiannya daripada golongan yang pernah meminta pertolongan – BIASA.
Privacy diri dan ahli keluarga diganggu dan diugut
– BIASA.
Keluarga dihina dengan pelbagai fitnah dan tohmah –
BIASA.
Rasa sangat sunyi, rendah diri dan sepi dalam keriuhan – SENTIASA.
Rasa diabaikan, tidak berguna, dan tidak dipeduli – BIASA.
Tidak cukup masa untuk diri sendiri dan keluarga – SENTIASA.
Terasa ingin membinasakan diri – ADA.
Terpedaya atau tertipu dengan helah golongan yang dibantu yang mengambil kesempatan – BIASA.
Terpaksa mengambil Cuti Rehat Peribadi kerana masalah kesihatan
dan kepenatan – BIASA.
Terpaksa berpura-pura selesa, cergas, stabil, dan sihat untuk mengelakkan
anggapan buruk terhadap komuniti – BIASA.
Dituduh menumpang nama NGO lain untuk kepentingan peribadi
dan dituduh dengan pelbagai tuduhan pelik-pelik – BIASA.
Dituduh mendiskriminasikan komuniti dengan cara tertentu
– BIASA.
Dituduh membela dan bersubahat dengan ‘golongan berdosa’
serta menggalakkan perbuatan tersebut – BIASA.
Dianggap berlagak dan terasa hebat dengan diri sendiri
– BIASA.
DiIayan seperti sampah – BIASA.
Berlakon seperti tidak ada apa-apa masalah depan family untuk mengelakkan mereka lebih sedih
dan tertekan – BIASA.
Rasa berputus-asa dan ingin menyerah kalah dalam perjuangan
– BIASA.
Tiada tempat mengadu selain Allah – BIASA.
Dianggap seolah-olah tidak pernah ada masalah – SENTIASA.
Dituduh menggatal, cuba merampas girlfriend orang yang kita sendiri cuba jodohkan mereka – BIASA.
Digoda dan diajak kahwin oleh anak dara, janda, dan isteri
orang – SENTIASA.
Terpaksa menangguhkan bayaran bulanan, memperbaharui
cukai jalan, dan insuran kereta – BIASA.
Menghadiri jemputan sharing sehingga beratus-ratus kilometer dan cuma dihadiahkan goodies – ALHAMDULILLAH, BIASA.
Terpaksa meminjam duit daripada pelbagai pihak
semata-mata untuk hadir dan support
program komuniti – BIASA.
Sentiasa berdepan dan melihat pelbagai perkara yang bertentangan
dengan prinsip diri dan hukum syarak – SENTIASA.
Dituduh lembik dan sekadar menjadi “yes man” untuk pihak JAKIM dan MAC –
SENTIASA.
Dicabul tanpa sedar oleh sesama komuniti – PERNAH.
Disindir dan dilayan secara kasar ketika mendapatkan rawatan
– PERNAH.
Lain yang aku cakap, lain yang mereka faham, dan lain
yang mereka sampaikan kepada orang lain – BIASA.
Melihat pelbagai jenis lakonan hidup, permainan emosi,
dan hipokrasi tetapi buat-buat tidak faham dengan lakonan tersebut – SENTIASA.
Dihubungi tidak kira masa dan yang menghubungi menuntut
perhatian dan pertolongan 100% seberapa segera daripada A hingga Z – SENTIASA.
Dimaki hamun – BIASA.
Ringkasnya, namakan sahaja. Jika kau pernah rasa, mungkin
aku juga pernah rasa. Belum tentu apa yang aku rasa, kau merasainya. Cuba kau bayangkan
apabila apa yang aku rasa ini kau rasa setiap hari?
Adakah dengan segala ujian tersebut aku perlu sentiasa
mengeluh dan mengalah? Alangkah malunya jika dengan sedikit ujian terus berburuk
sangka dan menggelabah dengan ujian-Nya. Aku bukanlah kuat sangat, cuma belajar
untuk menjadi lebih baik dari semalam. Syukur Alhamdulillah aku bukan jenis hipokrit
terhadap diri sendiri dan menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan
diri. Ujian-ujian tersebutlah menjadikan aku semakin ‘kebal’ dan lali dengan
kesakitan.
Tidak faham situasiku tidak mengapa, tetapi tolong jangan
sewenang-wenangnya mempermudahkan apa yang aku rasa. Sebelum kita menghakimi orang
lain, lebih baik kita muhasabah diri. Memilih atau berdalih, membina peluang
atau mencari alasan, kita sendiri yang tentukan.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/
Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli
Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi
admins yang berikut:
Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com