Thursday, October 24, 2013

USAHA KECIL PERTUBUHAN POSITIVE WARRIORS MALAYSIA (PPWM) MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV





Umum mengetahui bahawa rawatan HIV adalah kaunseling dan farmakologi. Kedua-dua rawatan ini adalah sama penting kerana selain rawatan farmakologi (yang ringkas), Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) sentiasa berdepan dengan pelbagai tekanan psikologi akibat stigma, diskriminasi, paranoia, dan judgemental.

Salah faham tentang HIV berlaku di mana-mana sahaja. Terlalu ramai yang ghairah memberikan pandangan tentang HIV dan bersikap judgemental terhadap ODHA sedangkan maklumat asas mengenai HIV pun mereka tidak faham. Akibatnya fitnah terhadap infected dan affected HIV terus berleluasa dalam masyarakat. Menentang salah faham inilah yang menjadi agenda utama perjuangan PPWM kerana ianya lebih menyakitkan ODHA berbanding rawatan HIV itu sendiri.

Alhamdulillah pihak JAKIM amat prihatin terhadap isu ini dan telah memberikan kepercayaan kepada PPWM untuk merancang sendiri beberapa program untuk komuniti, sekaligus meningkatkan kesedaran dalam masyarakat. Setelah melalui beberapa fasa perbincangan dan proses pemurnian kertas kerja, pihak JAKIM sedia menyediakan peruntukan tertentu untuk melaksanakannya dan PPWM cawangan Selatan adalah yang terawal mendapat kelulusan tersebut.

Pada 18 – 20 Oktober 2013 yang lalu, PPWM cawangan Selatan telah melaksanakan program “Segugus Harapan Setitis Kasih” di Mutiara Motors Resort, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor. Ianya melibatkan pelbagai NGO dan agensi lain yang diterajui oleh Persatuan Kebajikan Sinar Sofia (yang merupakan salah satu NGO sekutu PPWM) merangkap Exco PPWM cawangan Selatan. Agensi dan pertubuhan lain sekitar Johor yang turut memberikan komitmen ialah AADK, CCRC, PENGASIH dan beberapa wakil pelajar UTM, Skudai. Turut serta ialah 2 orang wakil dari Wahidayah, Sungai Buloh.

Para peserta terdiri daripada infected, affected, supporters, dan volunteers. Perjalanan program dipantau oleh Encik Arrahman Awang, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM dan Encik Firdaus bin Ibrahim.

Manakala penceramah dan fasilitatornya pula terdiri daripada Prof. Madya Datuk Dr. Faisal Ibrahim, aku sendiri yang mewakili PPWM Pusat, wakil Persatuan Kebajikan Sinar Sofia, dan pihak urusetia daripada pelbagai agensi serta persatuan yang disebutkan tadi.

Pengisian program merangkumi aktiviti indoor dan outdoor seperti ceramah dan penerangan mengenai isu HIV, bengkel Pelan Tindakan atau Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti sukaneka, solat berjemaah dan tazkirah.


Encik Arrahman bin Awang (JAKIM) dan Encik Rosli bin Ismail (Pengasas Persatuan Sinar Sofia) sedang membantu para peserta dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK)



Sebahagian daripada supporters dan volunteers
yang menghadiri program dalam sesi perbincangan



Berbanding dengan aktiviti rasmi PPWM yang lain sebelum ini, pengisian program kali ini lebih santai untuk disesuaikan dengan majoriti peserta yang baru pertama kali terdedah dengan aktiviti bersama komuniti. Walau bagaimanapun, ianya tetap sangat bermakna untuk meningkatkan kefahaman dan keyakinan diri, seterusnya menyumbang ke arah usaha membantu komuniti yang memerlukan sokongan untuk mengurangkan salah faham tentang HIV dalam masyarakat.



Sebahagian daripada pelajar UTM yang turut serta


Aku berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk meneruskan perjuangan membantu komuniti kerana jumlah yang menderita akibat salah faham mengenai HIV ini (sama ada infected atau affected) secara kasarnya hampir mencecah setengah juta orang dan majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Setengah juta? Cuba bayangkan jika yang telah didiagnos sebagai ODHA hampir 100,000 orang dan digandakan dua yang belum didiagnos. Apabila ditambah dengan jumlah mereka yang terjejas akibat jangkitan (affected people), bukankah angkanya hampir mencecah setengah juta orang atau mungkin lebih? Komuniti terpinggirkah jika seramai itu yang terlibat? Tidak adakah langsung rasa bersalah di hati kita terhadap nasib saudara seagama dan senegara?

Harap maklum, majoriti yang menerima kesan paling teruk adalah pasangan (isteri) kepada ODHA, anak-anak dan ahli keluarga mereka. Bukankah sikap menghukum membuta tuli tersebut menyebabkan mereka berputus asa, enggan mendapatkan rawatan, dan seterusnya meningkatkan penularan jangkitan?

Alangkah membazirnya usaha dan peruntukan besar yang pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, JAKIM dan MAC salurkan saban tahun jika hanya sekadar program demi program tanpa sokongan dan tindakan susulan daripada kumpulan sasaran untuk mencapai objektif Getting To Zero (sifar jangkitan baru HIV, sifar jangkitan kepada zuriat dan sifar AIDS).




Untuk kesekian kalinya, terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak JAKIM yang memberikan kepercayaan kepada PPWM untuk menguruskan sendiri program ini dan insyaAllah pada awal tahun depan ianya akan diteruskan di zon Pantai Timur dan Utara pula.

Sekalung penghargaan dan tahniah juga kepada PPWM cawangan Selatan, Persatuan Sinar Sofia, urusetia dan semua pihak yang terlibat dan memberikan komitmen yang profesional dan membanggakan. Para peserta pula kelihatan sangat supportive melibatkan diri dalam setiap aktiviti. Aku yakin jika komitmen yang jitu seperti ini berkekalan, banyak salah faham masyarakat tentang isu HIV dapat dikurangkan dengan pantas di zon Selatan.

Itu sahaja perkongsian ringkas kali ini. InsyaAllah di lain masa bertemu lagi.


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)






Friday, October 18, 2013

LARANG INDIVIDU HIV GUNA TANDAS AWAM DIBANTAH





Oleh Nor Hatina Shuib
 
Agensi Bangsa Bangsa Bersatu AIDS (UNAIDS), baru-baru ini mengutuk draf peraturan negara China bagi mengharamkan individu yang positif HIV daripada turut sama menggunakan spa dan tandas bilik mandi awam di negara berkenaan.

Kemarahan itu begitu memuncak dan diluahkan menerusi satu kempen bantahan bagi menolak cadangan berkenaan yang dilihat tidak berasas sama sekali.

Cadangan dikemukakan Kementerian Perdagangan China itu dilihat sebagai satu contoh terbaru, pemerintahan yang menjalankan amalan diskriminasi terhadap mereka yang positif HIV di China.

Draf A yang disiarkan dalam talian Majlis Negeri China, atau kabinet, dan perintah spa dan pertubuhan dan seumpama dengannya itu mempamerkan, tanda melarang mereka yang mempunyai penyakit kelamin, AIDS dan penyakit kulit berjangkit menggunakan kemudahan awam berkenaan.

Penyelaras Negara China UNAIDS, Hedia Belhadj, Isnin lalu berkata, beliau bimbang dengan peruntukan yang dikeluarkan dan cadangan itu perlu ditolak daripada digunapakai.

Ini kerana tiada risiko penularan HIV bagi perkongsian spa mahupun tandas bilik mandi oleh pesakit HIV.

Dianggap diskriminasi

“UNAIDS mencadangkan, sekatan menghalang penghidap HIV daripada menggunakan tempat mandi, spa dan lain-lain kemudahan yang serupa dikeluarkan dari draf akhir dasar berkenaan,” katanya memberitahu AFP.

Beliau turut menggesa, mana-mana dasar lain yang mencegah mereka yang hidup dengan HIV daripada menggunakan perkhidmatan awam atau swasta juga turut dikaji semula.

Sementara itu, UNAIDS menganggarkan terdapat 780,000 penghidap HIV di negara itu dan kempen itu menyasarkan untuk menolak cadangan berkenaan dan kempen yang diadakan itu akan dibuka untuk rundingan awam sehingga bulan depan.

Pengarah anti diskriminasi Nanjing (NGO Justice for All), Yu Fangqiang, turut memberitahu AFP, satu-satunya nilai draf undang-undang ini adalah diskriminasi terhadap mereka yang mempunyai AIDS selama ini.

Selain itu, lima lagi organisasi dan badan bukan kerajaan di negara itu turut mahu bekerjasama dalam bantahan berkenaan.

Kata Yu, undang-undang yang mahu dijalankan itu perlu berubah dan semua NGO sudah tahu berkenaan peraturan baru berkenaan dan bertindak mahu melawannya daripada digunapakai. – AFP


Sumber: sini



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)





Thursday, October 03, 2013

HIV: HADIR DAN BERKONGSI PENGALAMAN SECARA POSITIF DALAM MASYARAKAT


Apabila aku berkongsi pengalaman hadir secara terbuka sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dalam masyarakat, ianya bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kehebatan diri atau peranan yang telah aku lakukan untuk membantu komuniti. Na’uzubillahi min zaalik.

Ianya sangat penting untuk mendidik masyarakat supaya faham tentang HIV dengan tepat dan untuk mengurangkan stigma, diskriminasi, serta judgemental. Sekaligus mungkin dapat memberikan inspirasi kepada para ODHA supaya dapat mengekalkan budaya hidup positif, bangkit berjuang, meneruskan kehidupan seperti insan lain dan seterusnya mengurangkan risiko penularan baru virus.

Sesungguhnya perjuangan secara terbuka bukanlah mudah, malahan amat menyakitkan, terpaksa mengorbankan banyak perkara dan memerlukan komitmen yang tinggi. Apa-apa pun syukur alhamdulillah kerana di sebalik setiap dugaan, tersembunyi hikmah dan kemanisan yang tidak ternilai.

Berikut adalah beberapa program yang melibatkan penyertaanku berkongsi pengalaman dalam masyarakat.

Program besar pertama ialah pada 17 September hingga 19 September lalu di Radius International Hotel, Kuala Lumpur anjuran JAKIM. Penglibatanku adalah sebagai speaker dalam slot “STIGMA, DISKRIMINASI, SOKONG BANTU, DAN RAWATAN” dalam Bengkel Manual Islam HIV/ AIDS kepada para imam sekitar Selangor, Sukarelawan, kakitangan KKM, Kader JAKIM dan kakitangan CCRC terpilih dari seluruh Semenanjung. Kehadiran peserta dalam lingkungan 40 orang.


Bersama Tuan Haji Abu Bakar bin Lajis (Forensik HKL),
Dr. Sima Barbania (U.K), dan Encik Roslan (MAC)


Para peserta sedang berbengkel


Mr. Shuman, reporter The Heat

Program kedua ialah perkongsian pengalaman bersama para pelajar Kolej Uniti, Tanjung Agas, Port Dickson dalam Seminar Remaja Cemerlang dengan tema ”JAUHI HIV DAN KE ARAH SIFAR JANGKITAN HIV.” Tajuk perkongsian adalah: ‘KONGSI PENGALAMAN – NASIHAT KEPADA REMAJA DI ZAMAN INI”.

Ianya adalah anjuran Unit AIDS/STI, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama kolej pada 23 September 2013. Peserta terdiri daripada para pelajar dan beberapa orang tenaga pengajar kolej dalam anggaran 250 orang.




Bersama Dr. Hajah Zaini binti Haji Ishak dan kakitangan Unit AIDS/STI JKNNS


Sebahagian daripada pelajar kolej


Program ketiga ialah pada 24 September – 26 September 2013 di Merdeka Palace Hotel, Kuching, Sarawak anjuran JAKIM. Tajuk perkongsian sama seperti sebelum ini iaitu “STIGMA, DISKRIMINASI, SOKONG BANTU DAN RAWATAN” dalam Bengkel Manual Islam HIV/ AIDS kepada para peserta yang daripada golongan sasaran yang lebih kurang sama seperti di Radius International Hotel, Kuala Lumpur. Majoriti peserta adalah dari Sarawak. Aku sangat selesa berkongsi pengalaman di Sarawak kerana aku mendapat banyak aduan tertentu daripada rakan-rakan komuniti di sana.


Prof. Madya Dato’ Dr. Faisal bin Ibrahim
Universiti Pertanian Malaysia


Ustaz Shahrul Nizam bin Abu Bakar
Bahagian KSK, JAKIM


Ustaz Majlis Perasmian Penutup oleh YBhg Datu Haji Putit bin Mat Zen
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak


Pada malam 28 September 2013 pula aku dijemput hadir memberikan penerangan kepada ahli kariah Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan dalam sebuah Ceramah Perdana bertajuk “HIV Positive”.

Secara peribadi, alhamdulillah jemputan ini antara yang sangat bermakna dan kehadiranku ke sana ditemani oleh isteri-isteriku, anak sulungku dan turut mendapat sokongan beberapa orang sahabat yang terlibat membantu komuniti. Jumlah kehadiran yang dimaklumkan oleh pihak jawatankuasa masjid adalah sekitar 300 orang dan mereka menerima banyak maklum balas positif daripada ahli-ahli kariah.

Sekurang-kurangnya program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Masjid Al-Muqarrabin ini adalah bukti perlaksanaan pelan tindakan tentang peranan mendidik masyarakat oleh golongan agamawan sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah seperti yang dihasratkan oleh pihak JAKIM telah tercapai. Jiwaku sendiri sebenarnya sangat dekat dengan ahli jemaah masjid dan selesa berkongsi pengalaman begini walaupun tahu diri serba kekurangan.


Ummie, Kak Da, dan Danial


Sebahagian daripada jamaah




Bersama imam dan sebahagian daripada hadirin


Kebiasaannya sebelum pembentangan dalam slot yang diamanahkan, aku suka mendengar penerangan oleh para pembentang yang lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional yang hebat-hebat serta berpengalaman. Daripada situ aku boleh menjangka kefahaman para peserta tentang isu HIV supaya pembentanganku dapat mencapai objektif yang disasarkan.

Selain itu, aku mengambil kesempatan berkongsi sokongan dan pengalaman dengan media-media tertentu, serta ahli-ahli komuniti setempat yang mengetahui kehadiranku ke kawasan berhampiran mereka. Sejak awal pagi hingga larut malam jadualku sangat padat dan masaku terisi sepenuhnya.

Berdasarkan pemerhatianku, aku tidak menghadapi masalah untuk diterima oleh anggota masyarakat dan mereka sangat berterima kasih serta mengucapkan tahniah atas usahaku memberikan kefahaman yang tepat kepada mereka. Bahkan ada ketikanya aku seolah-olah dilayan seperti ‘VIP dan selebriti.’ Mereka akui bahawa selama ini pemikiran mereka terikat dengan stigma yang jumud akibat salah faham kerana terlalu bergantung kepada fakta-fakta serta visual lama yang sentiasa diulang-ulang dalam media massa.

Setiap kali berkongsi pengalaman menerangkan isu HIV/ AIDS ini juga, aku niatkan bahawa segala-galanya hanyalah kerana Allah untuk membantu masyarakat dan sentiasa meletakkan diriku sebagai mewakili seluruh suara hati komuniti, sama ada yang dijangkiti atau menerima kesan akibat jangkitan (infected / affected people). Sudah tentu juga bahawa perjuangan dan pergerakanku adalah mewakili NGO ku, Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM).

Itu sahaja perkongsian kali ini. Moga perkongsian ringkas ini dapat memberikan pengajaran kepada kita semua. Di kesempatan ini, aku mengambil kesempatan mengucapkan ribuan penghargaan kepada pihak JAKIM, MAC, JKNS, Kolej UNITI, Jawatankuasa Masjid Al, Muqarrabin dan ahli kariah, pihak media, golongan profesional dan individu-individu belakang tabir yang membantu serta semua pihak yang menyokong perjuanganku. Jazakumullah kheir.

Sekalipun getir dan penuh cabaran, ianya akan diteruskan selagi diizinkan-Nya. Wallahu a’lam.


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)


ENTRY WAJIB: TOLONGLAH FAHAM






Usaha yang dijalankan oleh banyak pihak yang prihatin untuk memberikan kefahaman yang tepat kepada masyarakat mengenai HIV dan AIDS bukannya sedikit. Memerlukan masa, tenaga, kos dan komitmen yang sangat tinggi.

Anjakan positifnya terlalu sedikit, tetapi kekeliruan yang menjahanamkan segala usaha murni tersebut jauh lebih pantas kerana ianya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuklah daripada pihak yang sepatutnya membantu.

Baiklah, disebabkan masih ramai pihak yang susah hendak faham, kita kembali kepada maklumat asas mengenai HIV dan AIDS.

Apa itu HIV?

H – Human (Manusia)
I – Immunodeficiency (Boleh mengurangkan daya tahan atau imuniti)
V – Virus (virus)

Secara mudah, HIV bukan PENYAKIT, tetapi sekadar virus. Virus boleh dikawal. Ianya tidak akan tersebar melalui udara atau di luar tubuh MANUSIA.

Walaupun virus dikatakan terdapat dalam semua cecair tubuh dan boleh menjangkiti orang lain, tetapi secara klinikalnya hanya terbukti melalui susu badan, air mani, dan darah (dari tubuh ke tubuh).

Maksud cecair tubuh yang lain termasuklah, cecair faraj, peluh, air mata, dan air liur para pembawa HIV. Memang terdapat virus HIV di dalam air mata dan air liur ODHA, tetapi jumlah yang terlalu sedikit tidak mampu menjangkiti bukan ODHA. Bagi ibu-ibu ODHA pula, terdapat kaedah tertentu untuk mengelakkan jangkitan kepada bayi.

Mengapa para penyalahguna dadah secara suntikan mendapat HIV?

Kebarangkalian mendapat jangkitan HIV melalui perkongsian jarum suntikan sebenarnya sangat rendah. Jangkitan tersebut mungkin berlaku apabila ianya dilakukan secara berterusan dalam tempoh masa yang lama. Selain itu, apabila menyalahguna dadah, ada kemungkinan besar mereka turut terlibat dengan aktiviti seks bebas yang tidak selamat.

Walau bagaimanapun, menghindari dan membenci dadah adalah paling tepat mencegah jangkitan HIV kerana berdasarkan pengalamanku membantu ODHA, walau apa juga cara pengambilan dadah, akhirnya ianya membawa kepada risiko seks bebas dan tidak selamat. Hukum Allah itu pasti.

Bagaimana sebenarnya HIV boleh berjangkit?

JANGKITAN HIV HANYA MELALUI 4 CARA BERIKUT:

1.      Melalui hubungan seks dengan ODHA (tanpa rawatan) dan tidak mengambil langkah pencegahan.
2.      Berkongsi jarum dan alat suntikan yang tercemar dengan HIV.
3.      Secara vertical iaitu daripada pasangan ODHA kepada zuriat sama ada semasa mengandung, proses kelahiran, atau penyusuan ibu (tanpa rawatan).
4.      Menerima tranfusi darah atau transplant organ yang tercemar dengan HIV.

Jika tidak melakukan 4 perkara yang disebutkan di atas, tidak perlu memikirkan perkara bukan-bukan.

AIDS?

A – Acquired (Dijangkiti – bukan diwarisi)
I – Immune (Sistem daya tahan tubuh yang melindungi individu daripada dijangkiti)
D – Deficiency (Kurang berkesan atau tidak berkemampuan)
S – Syndrome (Sindrom, tanda-tanda atau gejala)

Orang yang dijangkiti dengan HIV ialah Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) tetapi mereka tidak semestinya sakit. Dengan rawatan yang betul dan penjagaan kesihatan yang baik, ODHA mampu hidup lebih sihat berbanding bukan ODHA. Mereka mampu bekerja, berkahwin, dan mendapat zuriat bebas HIV.

Jadi, HIV positif tidak semestinya sampai ke tahap AIDS jika telah menjalani rawatan. AIDS hanyalah akronim bagi lebih kurang 30 jenis penyakit tertentu yang mudah diterima oleh ODHA jika tanpa rawatan. Contoh, TB. Bukan ODHA pun ada yang menghidap TB dan ianya boleh dirawat.

Dengan rawatan, AIDS sudah tidak berlaku. Rawatan sekarang sangat efektif, tetapi STIGMA adalah jangkitan maut sebenar.

Virus penyakit-penyakit tertentu yang tersebar melalui udara (aerobic) jauh lebih bahaya berbanding HIV yang berjangkit secara anaerobic.

Sebagai perbandingan, selain hidup dengan HIV, aku adalah pesakit diabetes. Diabetes jika tidak dikawal dan dirawat, jauh lebih membahayakan berbanding HIV.

Tanpa rawatan dan pemantauan yang berkesan, ramai pesakit diabetes berkemungkinan akan terkena penyakit buah pinggang, darah tinggi, jantung, gangren, strok, dan sebagainya.

Jadi, mengapa takut dan pandang hina kepada ODHA? Sepatutnya kami (ODHA) yang takut kepada bukan ODHA kerana imuniti kami lemah (jika tanpa rawatan).

Analogi: Seorang manusia (ODHA) terkurung dalam sebuah bilik yang dipenuhi lebah (bukan ODHA). Lebah atau manusia yang sepatutnya takut? Tidak logik jika lebah yang terkencing dan terberak takutkan manusia.

KUIZ:
Andaikanlah lebah yang diceritakan di atas telah menyengat dan menghisap darah ODHA (konon-kononnyalah). Kemudian, seorang pencari madu lebah telah mengambil madu daripada sarang lebah tersebut dan meminumnya. Adakah beliau akan mendapat jangkitan HIV?

Mana boleh berjangkit! Jangkitan hanya berlaku dari dalam tubuh manusia ke dalam tubuh manusia sahaja.

Tidak perlu paranoid untuk berbual, merawat, berkongsi makanan, mandi sekolam, berkongsi tandas, tinggal serumah, bersentuhan, digigit nyamuk yang sama, dan sebagainya.

Adalah karut bahawa kalau terpercik darah atau air liur ODHA dan ada rekahan atau luka di kulit bukan ODHA maka bukan ODHA akan dijangkiti HIV. Jika ada ODHA yang mendakwa mendapat jangkitan HIV melalui cara tersebut, biasanya ada cerita di sebalik cerita.

Samalah seperti aku melintas di sebelah seorang anak dara. Tidak menyentuh dan tidak memandangnya, tetapi anak dara tersebut meraung ketakutan dan menuduh akulah yang telah menghamilkannya. Masuk akal?

Fakta: Paranoia adalah sejenis sakit mental. Siapa paranoia, sila angkat tangan!

HIV cuma VIRUS bukan PENYAKIT

Sekarang sepatutnya pembaca sudah faham serba sedikit mengenai asas HIV dan cara jangkitan. Selepas faham, tentu para pembaca bersetuju bahawa HIV atau AIDS tidak merujuk kepada PENYAKIT.

Tidak perlu merujuk ODHA sebagai pesakit HIV. Besar bezanya dan keadaan tersebut biasanya menambahkan stigma yang akan menganiaya para ODHA.

Jadi, berhentilah membuat dosa atau menyebarkan salah faham seperti:

“Pesakit HIV atau penyakit AIDS adalah penyakit maut. Pesakit HIV adalah bangkai bernyawa. AIDS – Angkara Iblis Dan Syaitan. Jangka hayat pesakit AIDS cuma Ahad, Isnin Dan Selasa. Makanan yang dimasak atau dijual oleh ODHA bahaya dimakan.”

Itu belum termasuk berita-berita sarkastik, troll, dan sebagainya yang mempersendakan ODHA di laman-laman sosial.


Perkara mengarut dan dianggap gurau senda begini mengakibatkan ODHA atau ahli keluarga ODHA rasa terhina dan meminggir diri. Akhirnya terdapat ODHA yang sanggup mengambil risiko membahayakan diri akibat enggan menjalani rawatan. Mereka bimbang dibuang kerja, kehilangan punca pendapatan, dan seterusnya menggalakkan penularan jangkitan baru.


Saya selalu mendengar pihak kerajaan dan banyak NGO memperjuangkan usaha ke arah Getting to Zero. Apalah maksud Getting to Zero?

Getting to Zero secara mudahnya bermaksud:

1.      Zero jangkitan baru virus HIV.
2.      Zero diskriminasi.
3.      Zero AIDS.

Adakah betul HIV hanya isu golongan terpinggir?

Anggaran kasar jumlah ODHA yang telah didiagnos HIV positif di Malaysia sekarang dalam lingkungan 90,000 orang.

Jika kita gandakan dua (1. Daripada punca mereka mendapat jangkitan. 2. Kemungkinan mereka telah menjangkitkan kepada orang lain) maka bayangkan sendiri jumlahnya yang sebenar. Adakah angka tersebut dianggap kecil dan terpinggir?

ODHA hanyalah terdiri daripada golongan gelandangan, tidak berpelajaran, dan sengaja mencari risiko?

ODHA mungkin sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita setiap hari. Mereka mungkin guru, ustaz, ustazah, CEO, arkitek, Datuk, Datin, jurutera, ahli korporat, doktor, jururawat, peguam, wartawan, peniaga roti canai, penoreh getah, pensyarah, dan sebagainya. Bukan terdiri daripada penyalahguna dadah atau pekerja seks jalanan semata-mata.

Ustaz ustazah? Mustahil!

Ada yang pernah mempertikaikan fakta tersebut terutamanya jika bergelar ustazah.

Jika berita tentang pelajar sekolah agama ponteng sekolah, terlibat dadah, lari dari rumah, buang bayi, ditangkap khalwat, meliwat, dan sebagainya pernah kita baca di akhbar, apa peliknya jika terdapat golongan agamawan adalah ODHA?

Mereka juga manusia biasa dan yang lebih penting kita perlu melihat HIV sebagai teguran Allah supaya kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Apa hak kita untuk menjatuhkan hukum?

Pecah amanah, mengumpat, sengaja meninggalkan solat, mengkhianati amanah rakyat, derhaka kepada ibu bapa, ujub, takabbur, memfitnah, memakan harta anak yatim, dan sebagainya mungkin lebih berdosa, tahu?

Golongan manakah yang paling terdedah kepada jangkitan?

Terdapat 6 golongan yang terdedah kepada jangkitan HIV dan menerima kesan akibat jangkitan HIV:

1.         Mereka yang dijangkiti (infected people):
a.         Pengamal aktiviti berisiko.
b.         Bekas pengamal aktiviti berisiko.
c.         Pasangan kepada a & b.
d.         Anak kepada a & b.
e.         Pesakit yang menerima transfusi darah atau menjalani pemindahan organ yang tercemar.

2.         Mereka yang menerima kesan, terjejas dan turut menerima tekanan yang hampir sama (affected people):
            a.         Ahli keluarga kepada ODHA.

Berdasarkan kategori-kategori tersebut, apakah peranan kita terhadap mereka?

1.                  Wajib didekati dan dibimbing untuk mengubah cara hidup bagi
mengelakkan mereka berterusan dalam maksiat dan bahaya penularan jangkitan.
2.         Perlu dihormati kerana telah insaf daripada kekhilafan (taubat nasuha).
3.         Perlu diterima dan dibantu seadanya terutama pasangan, zuriat, ibu bapa, atau ahli keluarga ODHA.

Nota:
Adalah jelas bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa HIV. Kesemua mereka melalui fasa-fasa kesedihan (Grief Reaction), mengalami tekanan atau kesan rawatan (Treatment Fatigue). Kesemuanya berhak mendapat rawatan, bimbingan, kaunseling, sokongan, dan bantuan.

Jika kita bantu, bukankah seolah-olah kita redha dan bersubahat dengan para pengamal maksiat?

Istighfar banyak-banyak. Kita tiada yang maksum. Setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza. Kebanyakan yang terdedah kepada aktiviti berisiko adalah mangsa keadaan tertentu.

Mereka mungkin berasal daripada keluarga yang berpecah-belah, menerima salah asuhan atau didikan, dianiaya dan diliwat sejak kanak-kanak, dimanipulasi oleh mereka yang lebih dewasa, dirogol secara berantai oleh datuk, ayah dan bapa-bapa saudara, dipaksa melacur, ditipu oleh suami sendiri, keciciran dalam pelajaran akibat kemiskinan dan sebagainya.

Tiada sesiapa yang dengan sengaja ingin memilih jalan songsang atau susah. Semua orang mahu bahagia dan berada di jalan yang lurus. HIV ujian hidup kami. Sekurang-kurangnya dengan HIV, kami mendapat didikan direct daripada Allah supaya mengubah cara hidup.

Rawatan?

Kaunseling dan farmakologi. Sangat ringkas dan efektif. Rawatan bukan semata-mata untuk kesihatan ODHA, tetapi untuk pasangan dan bakal zuriat mereka. Apabila perlu menjalani rawatan HIV, bukan bermakna mereka mesti menelan bergenggam ubat setiap hari!
Aku dan ubat HAARTku. Putih - Combivir. Oren - Kaletra. 2 kali sehari.


Masalah sebenar ODHA adalah STIGMA, DISKRIMINASI, MALPRACTICE, JUDGEMENTAL, DAN PARANOIA.


Bayangkan ODHA dihina seolah-olah tiada peluang hidup. Visual dan figure yang digambarkan adalah berdasarkan gambaran 20 – 30 tahun yang lalu ketika rawatan masih terhad atau akibat enggan menjalani rawatan. Tanpa rawatan, apa sahaja penyakit boleh memudaratkan.

Majoriti ODHA dinafikan hak untuk bekerja, dibuang keluarga sendiri, dihalau dari kampung halaman, hak untuk mendapat perlindungan insurans, hak berkahwin, menunaikan ibadah haji, menyambung pelajaran, memperolehi zuriat sendiri, dan sebagainya.

Keluarga mereka dipulau, difitnah, diaibkan, terdapat kes kematian ODHA yang enggan diuruskan pengurusan jenazah dan sebagainya. Jika mahu aku cerita secara detail betapa teruknya semua tekanan tersebut, hanya Allah yang tahu.

Percayalah, akibat kejahilan dan kebodohan tersebutlah kezaliman, penganiayaan dan HIV semakin berleluasa dalam masyarakat. Kau orang tanggunglah dosa!


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)