Sunday, March 02, 2014

ENTRY WAJIB: TOLONGLAH FAHAM






Usaha yang dijalankan oleh banyak pihak yang prihatin untuk memberikan kefahaman yang tepat kepada masyarakat mengenai HIV dan AIDS bukannya sedikit. Memerlukan masa, tenaga, kos dan komitmen yang sangat tinggi.

Anjakan positifnya terlalu sedikit, tetapi kekeliruan yang menjahanamkan segala usaha murni tersebut jauh lebih pantas kerana ianya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuklah daripada pihak yang sepatutnya membantu.

Baiklah, disebabkan masih ramai pihak yang susah hendak faham, kita kembali kepada maklumat asas mengenai HIV dan AIDS.

Apa itu HIV?

H – Human (Manusia)
I – Immunodeficiency (Boleh mengurangkan daya tahan atau imuniti)
V – Virus (virus)

Secara mudah, HIV bukan PENYAKIT, tetapi sekadar virus. Virus boleh dikawal. Ianya tidak akan tersebar melalui udara atau di luar tubuh MANUSIA.

Walaupun virus dikatakan terdapat dalam semua cecair tubuh dan boleh menjangkiti orang lain, tetapi secara klinikalnya hanya terbukti melalui susu badan, air mani, dan darah (dari tubuh ke tubuh).

Maksud cecair tubuh yang lain termasuklah, cecair faraj, peluh, air mata, dan air liur para pembawa HIV. Memang terdapat virus HIV di dalam air mata dan air liur ODHA, tetapi jumlah yang terlalu sedikit tidak mampu menjangkiti bukan ODHA. Bagi ibu-ibu ODHA pula, terdapat kaedah tertentu untuk mengelakkan jangkitan kepada bayi.

Mengapa para penyalahguna dadah secara suntikan mendapat HIV?

Kebarangkalian mendapat jangkitan HIV melalui perkongsian jarum suntikan sebenarnya sangat rendah. Jangkitan tersebut mungkin berlaku apabila ianya dilakukan secara berterusan dalam tempoh masa yang lama. Selain itu, apabila menyalahguna dadah, ada kemungkinan besar mereka turut terlibat dengan aktiviti seks bebas yang tidak selamat.

Walau bagaimanapun, menghindari dan membenci dadah adalah paling tepat mencegah jangkitan HIV kerana berdasarkan pengalamanku membantu ODHA, walau apa juga cara pengambilan dadah, akhirnya ianya membawa kepada risiko seks bebas dan tidak selamat. Hukum Allah itu pasti.

Bagaimana sebenarnya HIV boleh berjangkit?

JANGKITAN HIV HANYA MELALUI 4 CARA BERIKUT:

1.      Melalui hubungan seks dengan ODHA (tanpa rawatan) dan tidak mengambil langkah pencegahan.
2.      Berkongsi jarum dan alat suntikan yang tercemar dengan HIV.
3.      Secara vertical iaitu daripada pasangan ODHA kepada zuriat sama ada semasa mengandung, proses kelahiran, atau penyusuan ibu (tanpa rawatan).
4.      Menerima tranfusi darah atau transplant organ yang tercemar dengan HIV.

Jika tidak melakukan 4 perkara yang disebutkan di atas, tidak perlu memikirkan perkara bukan-bukan.

AIDS?

A – Acquired (Dijangkiti – bukan diwarisi)
I – Immune (Sistem daya tahan tubuh yang melindungi individu daripada dijangkiti)
D – Deficiency (Kurang berkesan atau tidak berkemampuan)
S – Syndrome (Sindrom, tanda-tanda atau gejala)

Orang yang dijangkiti dengan HIV ialah Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) tetapi mereka tidak semestinya sakit. Dengan rawatan yang betul dan penjagaan kesihatan yang baik, ODHA mampu hidup lebih sihat berbanding bukan ODHA. Mereka mampu bekerja, berkahwin, dan mendapat zuriat bebas HIV.

Jadi, HIV positif tidak semestinya sampai ke tahap AIDS jika telah menjalani rawatan. AIDS hanyalah akronim bagi lebih kurang 30 jenis penyakit tertentu yang mudah diterima oleh ODHA jika tanpa rawatan. Contoh, TB. Bukan ODHA pun ada yang menghidap TB dan ianya boleh dirawat.

Dengan rawatan, AIDS sudah tidak berlaku. Rawatan sekarang sangat efektif, tetapi STIGMA adalah jangkitan maut sebenar.

Virus penyakit-penyakit tertentu yang tersebar melalui udara (aerobic) jauh lebih bahaya berbanding HIV yang berjangkit secara anaerobic.

Sebagai perbandingan, selain hidup dengan HIV, aku adalah pesakit diabetes. Diabetes jika tidak dikawal dan dirawat, jauh lebih membahayakan berbanding HIV.

Tanpa rawatan dan pemantauan yang berkesan, ramai pesakit diabetes berkemungkinan akan terkena penyakit buah pinggang, darah tinggi, jantung, gangren, strok, dan sebagainya.

Jadi, mengapa takut dan pandang hina kepada ODHA? Sepatutnya kami (ODHA) yang takut kepada bukan ODHA kerana imuniti kami lemah (jika tanpa rawatan).

Analogi: Seorang manusia (ODHA) terkurung dalam sebuah bilik yang dipenuhi lebah (bukan ODHA). Lebah atau manusia yang sepatutnya takut? Tidak logik jika lebah yang terkencing dan terberak takutkan manusia.

KUIZ:
Andaikanlah lebah yang diceritakan di atas telah menyengat dan menghisap darah ODHA (konon-kononnyalah). Kemudian, seorang pencari madu lebah telah mengambil madu daripada sarang lebah tersebut dan meminumnya. Adakah beliau akan mendapat jangkitan HIV?

Mana boleh berjangkit! Jangkitan hanya berlaku dari dalam tubuh manusia ke dalam tubuh manusia sahaja.

Tidak perlu paranoid untuk berbual, merawat, berkongsi makanan, mandi sekolam, berkongsi tandas, tinggal serumah, bersentuhan, digigit nyamuk yang sama, dan sebagainya.

Adalah karut bahawa kalau terpercik darah atau air liur ODHA dan ada rekahan atau luka di kulit bukan ODHA maka bukan ODHA akan dijangkiti HIV. Jika ada ODHA yang mendakwa mendapat jangkitan HIV melalui cara tersebut, biasanya ada cerita di sebalik cerita.

Samalah seperti aku melintas di sebelah seorang anak dara. Tidak menyentuh dan tidak memandangnya, tetapi anak dara tersebut meraung ketakutan dan menuduh akulah yang telah menghamilkannya. Masuk akal?

Fakta: Paranoia adalah sejenis sakit mental. Siapa paranoia, sila angkat tangan!

HIV cuma VIRUS bukan PENYAKIT

Sekarang sepatutnya pembaca sudah faham serba sedikit mengenai asas HIV dan cara jangkitan. Selepas faham, tentu para pembaca bersetuju bahawa HIV atau AIDS tidak merujuk kepada PENYAKIT.

Tidak perlu merujuk ODHA sebagai pesakit HIV. Besar bezanya dan keadaan tersebut biasanya menambahkan stigma yang akan menganiaya para ODHA.

Jadi, berhentilah membuat dosa atau menyebarkan salah faham seperti:

“Pesakit HIV atau penyakit AIDS adalah penyakit maut. Pesakit HIV adalah bangkai bernyawa. AIDS – Angkara Iblis Dan Syaitan. Jangka hayat pesakit AIDS cuma Ahad, Isnin Dan Selasa. Makanan yang dimasak atau dijual oleh ODHA bahaya dimakan.”

Itu belum termasuk berita-berita sarkastik, troll, dan sebagainya yang mempersendakan ODHA di laman-laman sosial.


Perkara mengarut dan dianggap gurau senda begini mengakibatkan ODHA atau ahli keluarga ODHA rasa terhina dan meminggir diri. Akhirnya terdapat ODHA yang sanggup mengambil risiko membahayakan diri akibat enggan menjalani rawatan. Mereka bimbang dibuang kerja, kehilangan punca pendapatan, dan seterusnya menggalakkan penularan jangkitan baru.


Saya selalu mendengar pihak kerajaan dan banyak NGO memperjuangkan usaha ke arah Getting to Zero. Apalah maksud Getting to Zero?

Getting to Zero secara mudahnya bermaksud:

1.      Zero jangkitan baru virus HIV.
2.      Zero diskriminasi.
3.      Zero AIDS.

Adakah betul HIV hanya isu golongan terpinggir?

Anggaran kasar jumlah ODHA yang telah didiagnos HIV positif di Malaysia sekarang dalam lingkungan 90,000 orang.

Jika kita gandakan dua (1. Daripada punca mereka mendapat jangkitan. 2. Kemungkinan mereka telah menjangkitkan kepada orang lain) maka bayangkan sendiri jumlahnya yang sebenar. Adakah angka tersebut dianggap kecil dan terpinggir?

ODHA hanyalah terdiri daripada golongan gelandangan, tidak berpelajaran, dan sengaja mencari risiko?

ODHA mungkin sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita setiap hari. Mereka mungkin guru, ustaz, ustazah, CEO, arkitek, Datuk, Datin, jurutera, ahli korporat, doktor, jururawat, peguam, wartawan, peniaga roti canai, penoreh getah, pensyarah, dan sebagainya. Bukan terdiri daripada penyalahguna dadah atau pekerja seks jalanan semata-mata.

Ustaz ustazah? Mustahil!

Ada yang pernah mempertikaikan fakta tersebut terutamanya jika bergelar ustazah.

Jika berita tentang pelajar sekolah agama ponteng sekolah, terlibat dadah, lari dari rumah, buang bayi, ditangkap khalwat, meliwat, dan sebagainya pernah kita baca di akhbar, apa peliknya jika terdapat golongan agamawan adalah ODHA?

Mereka juga manusia biasa dan yang lebih penting kita perlu melihat HIV sebagai teguran Allah supaya kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Apa hak kita untuk menjatuhkan hukum?

Pecah amanah, mengumpat, sengaja meninggalkan solat, mengkhianati amanah rakyat, derhaka kepada ibu bapa, ujub, takabbur, memfitnah, memakan harta anak yatim, dan sebagainya mungkin lebih berdosa, tahu?

Golongan manakah yang paling terdedah kepada jangkitan?

Terdapat 6 golongan yang terdedah kepada jangkitan HIV dan menerima kesan akibat jangkitan HIV:

1.         Mereka yang dijangkiti (infected people):
a.         Pengamal aktiviti berisiko.
b.         Bekas pengamal aktiviti berisiko.
c.         Pasangan kepada a & b.
d.         Anak kepada a & b.
e.         Pesakit yang menerima transfusi darah atau menjalani pemindahan organ yang tercemar.

2.         Mereka yang menerima kesan, terjejas dan turut menerima tekanan yang hampir sama (affected people):
            a.         Ahli keluarga kepada ODHA.

Berdasarkan kategori-kategori tersebut, apakah peranan kita terhadap mereka?

1.                  Wajib didekati dan dibimbing untuk mengubah cara hidup bagi
mengelakkan mereka berterusan dalam maksiat dan bahaya penularan jangkitan.
2.         Perlu dihormati kerana telah insaf daripada kekhilafan (taubat nasuha).
3.         Perlu diterima dan dibantu seadanya terutama pasangan, zuriat, ibu bapa, atau ahli keluarga ODHA.

Nota:
Adalah jelas bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa HIV. Kesemua mereka melalui fasa-fasa kesedihan (Grief Reaction), mengalami tekanan atau kesan rawatan (Treatment Fatigue). Kesemuanya berhak mendapat rawatan, bimbingan, kaunseling, sokongan, dan bantuan.

Jika kita bantu, bukankah seolah-olah kita redha dan bersubahat dengan para pengamal maksiat?

Istighfar banyak-banyak. Kita tiada yang maksum. Setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza. Kebanyakan yang terdedah kepada aktiviti berisiko adalah mangsa keadaan tertentu.

Mereka mungkin berasal daripada keluarga yang berpecah-belah, menerima salah asuhan atau didikan, dianiaya dan diliwat sejak kanak-kanak, dimanipulasi oleh mereka yang lebih dewasa, dirogol secara berantai oleh datuk, ayah dan bapa-bapa saudara, dipaksa melacur, ditipu oleh suami sendiri, keciciran dalam pelajaran akibat kemiskinan dan sebagainya.

Tiada sesiapa yang dengan sengaja ingin memilih jalan songsang atau susah. Semua orang mahu bahagia dan berada di jalan yang lurus. HIV ujian hidup kami. Sekurang-kurangnya dengan HIV, kami mendapat didikan direct daripada Allah supaya mengubah cara hidup.

Rawatan?

Kaunseling dan farmakologi. Sangat ringkas dan efektif. Rawatan bukan semata-mata untuk kesihatan ODHA, tetapi untuk pasangan dan bakal zuriat mereka. Apabila perlu menjalani rawatan HIV, bukan bermakna mereka mesti menelan bergenggam ubat setiap hari!

Aku dan ubat HAARTku. Putih - Combivir. Oren - Kaletra. 2 kali sehari.


Masalah sebenar ODHA adalah STIGMA, DISKRIMINASI, MALPRACTICE, JUDGEMENTAL, DAN PARANOIA.


Bayangkan ODHA dihina seolah-olah tiada peluang hidup. Visual dan figure yang digambarkan adalah berdasarkan gambaran 20 – 30 tahun yang lalu ketika rawatan masih terhad atau akibat enggan menjalani rawatan. Tanpa rawatan, apa sahaja penyakit boleh memudaratkan.

Majoriti ODHA dinafikan hak untuk bekerja, dibuang keluarga sendiri, dihalau dari kampung halaman, hak untuk mendapat perlindungan insurans, hak berkahwin, menunaikan ibadah haji, menyambung pelajaran, memperolehi zuriat sendiri, dan sebagainya.

Keluarga mereka dipulau, difitnah, diaibkan, terdapat kes kematian ODHA yang enggan diuruskan pengurusan jenazah dan sebagainya. Jika mahu aku cerita secara detail betapa teruknya semua tekanan tersebut, hanya Allah yang tahu.

Percayalah, akibat kejahilan dan kebodohan tersebutlah kezaliman, penganiayaan dan HIV semakin berleluasa dalam masyarakat. Kau orang tanggunglah dosa!


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com