Wednesday, March 05, 2014

HIV: PRO DAN KONTRA TENTANG SIGNAGE TERHADAP ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA) YANG MENJALANI TEMUJANJI DAN RAWATAN DI HOSPITAL





Sejujurnya aku tidak tahu adakah istilah signage itu tepat atau tidak terhadap isu yang akan aku kongsikan ini. Hanya signage sahajalah istilah yang dapat aku fikirkan untuk perkongsian pengalaman kali ini.

Apa yang dimaksudkan dengan signage?

Secara umum, signage bermaksud menandakan.
(Indicate something; to signify something; to denote something; be a sign of).

Signage dapat kita lihat di mana-mana sahaja, sama ada di jalan raya, di pusat membeli-belah, hotel, masjid, dan sebagainya. Ianya sangat memudahkan urusan seharian kita.

Tetapi apabila signage khusus digunakan terhadap ODHA yang menjalani rawatan di hospital, ianya menimbulkan kontroversi kerana melibatkan sensitiviti terhadap ODHA yang sentiasa berdepan dengan stigma, diskriminasi, malpractice, dan judgemental.

Contoh:

Di dinding atau di kepala katil ODHA yang perlu menjalani rawatan di hospital, pada fail rawatan dan pada kad temujanji rawatan akan ditampal sticker tertentu yang dapat difahami oleh sesama staf hospital berkenaan yang membawa maksud bahawa patients tersebut adalah ODHA.

Bahkan terdapat kes pada kad temujanji pemantauan ibu mengandung (ODHA) di klinik-klinik ibu mengandung telah ditampal dengan sticker tertera lambang BIOHAZARD sedangkan ianya langsung tidak ada kena-mengena dengan keperluan rawatan.


Contoh – berdasarkan kes sebenar


Itu tidak termasuk isu katil-katil ODHA yang menerima rawatan di hospital yang ditempatkan di kawasan khas yang kelihatan tersisih daripada patients lain yang turut menjalani rawatan di wad yang sama.


Contoh – berdasarkan kes sebenar

Untuk berlaku adil, kita perlu melihat isu ini dengan rasional. Sama ada berdasarkan rasional pengamal perubatan dan kakitangan yang membantu demi memudahkan keperluan rawatan terhadap ODHA, dan daripada persepsi atau psikologi ODHA itu sendiri.

Antara rasional pihak perawat

Setiap ODHA yang dimasukkan ke hospital adalah berdasarkan kondusi kesihatan tertentu dan umumnya kerana mereka turut menghidap penyakit-penyakit lain.

Contoh, jika ODHA tersebut turut menghidap TB, pengasingan katil adalah bertujuan memudahkan perawat mengambil langkah pemantauan khas, supaya tidak mengganggu patients lain yang sedang berehat atau dirawat kerana sering batuk dan mengelakkan risiko jangkitan penyakit TB kepada patients lain. Rasional di sini ialah untuk mengelakkan jangkitan TB, BUKAN HIV.

Seboleh-bolehnya, pihak perawat tidak akan mengasingkan patients ODHA dan tidak mahu meletakkan sebarang signage selagi kondusi kesihatan mereka tidak sampai ke tahap memerlukan langkah-langkah tersebut.

(Penyakit tuberculosis (sering digelar tibi) adalah jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru (TB pulmonari) dan ia juga mampu menyerang sistem saraf tunjang (meningitis), sistem limfa, sistem peredaran (TB miliari), sistem genitourinari, tulang, sendi dan lain-lain)

ODHA yang memerlukan rawatan di hospital juga biasanya kerana tahap imuniti tubuh mereka adalah rendah untuk melawan serangan penyakit lain yang mudah tersebar melalui udara (anaerobic).

Pengasingan dan signage khas diperlukan untuk mengelakkan ODHA dijangkiti dan memudahkan perawat menjaga kebajikan mereka.

Langkah yang sama juga perlu dilakukan terhadap ibu-ibu ODHA yang mengandung dengan meletakkan sticker atau signage khas pada kad temujanji demi memastikan mereka diberi pemantauan khas mengikut Standard of Procedure (SOP) yang perlu dilaksanakan terhadap ODHA. Sama ada semasa mengandung, proses kelahiran, atau sehingga bayi berusia 18 bulan selepas kelahiran.

Antara rasional ODHA yang dirawat

Langkah tersebut sebenarnya hanya akan menimbulkan banyak salah faham terhadap mereka kerana setiap kakitangan KKM adalah terlatih dan mereka mesti menganggap semua patients adalah sama mengikut SOP rawatan termasuk untuk mengelakkan jangkitan kerana setiap patient dianggap berisiko menghidap HIV sekalipun belum didiagnos.

Walaupun tujuan meletakkan signage tersebut ada kewajarannya, tetapi reaksi yang ditunjukkan oleh kakitangan perawat dan sokongan seolah-olah patients ODHA adalah sangat hina dan menjadi perbualan (berbaur negatif) di kalangan sesama kakitangan yang sepatutnya membantu.

Ianya turut memungkinkan hak kerahsiaan mereka mengenai status kesihatan sebagai ODHA diketahui umum dan dimanipulasi. Sudah pasti ianya mendatangkan aib, tohmah, dan fitnah yang menambahkan pelbagai tekanan sampingan yang lebih memudaratkan.

Bayangkan bagaimana agaknya apabila signage tersebut turut menjadi perhatian dan mengundang pertanyaan kenalan dan saudara mara mereka yang melawat mereka di hospital kerana umumnya signage adalah menonjol dan sangat berbeza dengan patients lain?

Signage yang tidak relevan seperti “BIOHAZARD” adalah keterlaluan kerana tidak ada kena-mengena langsung dengan status mereka sebagai ODHA.


sila share

Kesimpulan

Kedua-dua belah pihak perlulah memahami mengapa situasi tersebut berlaku. Dalam beberapa situasi, aku tidak dapat mengatakan bahawa pihak hospital silap 100% dan sebagai ODHA, aku lebih memahami tekanan dan kesan psikologi yang dialami oleh ODHA serta ahli keluarga mereka (affected people). Inilah antara punca ODHA enggan menjalani rawatan awal.

Jika segala SOP yang telah sedia ada dilaksanakan oleh pihak KKM dan semua pihak memahami HIV dengan sewajarnya, isu sebegini tidak sepatutnya timbul kerana setiap patient mempunyai rekod rawatan dan kaedah rawatan yang bersesuaian tanpa menimbulkan salah faham kepada mana-mana pihak.

Itu sahaja perkongsian kali ini.
“Getting To Zero”


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com