Isu perkahwinan people
living with HIV (PLHIV) sudah
terlalu kerap aku kongsikan. Walau bagaimanapun, disebabkan hak-hak komuniti
sentiasa perlu diperjuangkan, aku kuatkan semangat untuk terus menulis isu yang
sama untuk kesekian kalinya.
Tulisanku kali ini ditujukan khas kepada pihak jabatan agama di seluruh negara dengan harapan supaya kita
sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama, khususnya umat
Islam.
Mahu terima atau
tidak, terpulang kepada pihak jabatan agama kerana aku sekadar memberikan pandangan
sebagai individu yang sentiasa melihat isu ini telah memberi kesan negatif terhadap PLHIV dan umat Islam dalam kehidupan harian.
Selagi stigma,
diskriminasi, dan prejudis terhadap PLHIV
masih berlaku, terutamanya dalam isu perkahwinan, ianya akan sentiasa diperjuangkan
kerana sepatutnya jabatan agama adalah tempat yang paling selamat dan selesa
bagi PLHIV berurusan.
Sekadar merungut
di belakang tiada gunanya. Lebih baik cuba membantu mencari jalan penyelesaian
secara berhikmah.
Menjadi harapan semua
agar ianya dapat menjelaskan mana-mana kekeliruan dan dapat membantu komuniti
yang betul-betul memerlukan. Jangan sampai niat untuk membantu bertukar menjadi menganiaya akibat salah pendekatan. Usah ditambah masalah sedia ada dengan pelbagai
kerenah yang tidak sepatutnya berlaku semasa menguruskan proses perkahwinan PLHIV.
Prosedur Umum Proses Permohonan Perkahwinan
Apabila seseorang itu
mahu mendirikan rumahtangga (tidak kira PLHIV
atau non-PLHIV), mereka mesti
menjalani ujian saringan HIV pra perkahwinan. Jika keputusannya negatif, proses
perkahwinan boleh diteruskan seperti biasa.
Dasar ini sebenarnya
bagus untuk mengesan jangkitan HIV dan untuk mengelakkan jangkitan dan
penganiayaan terhadap bakal pasangan dan zuriat. Ya, kita semua setuju dengan
dasar tersebut. Tidak ada masalah.
Prosedur perkahwinan PLHIV pula sebenarnya simple. Bahkan tidak perlu buat kursus khas perkahwinan
untuk PLHIV kerana yang penting sebelum
berkahwin ialah rawatan dan faham cara mengelakkan jangkitan.
Lebih penting berbanding keputusan ujian saringan HIV pra perkahwinan ialah seseorang PLHIV mesti jelas dengan kecenderungan
seksualiti mereka dan bakal pasangan pula mesti terima dan memahami isu-isu berkaitan. Jika sekadar HIV, rawatannya mudah.
Apakah Isu Sebenarnya?
Isu bermula apabila terdapat 2 peraturan
yang berbeza. 1 borang yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dan 1 lagi borang tambahan yang disediakan oleh jabatan
agama. Sila rujuk gambar yang diberikan.
Kiri: Borang yang
disediakan oleh KKM
Doktor hanya perlu memperakui TELAH MENJALANI UJIAN SARINGAN HIV sahaja. Perakuan doktor dari hospital dan klinik swasta tidak diterima.
Kanan: Borang yang
disediakan oleh jabatan agama
Keputusan saringan hendaklah
dinyatakan dengan jelas sama ada REAKTIF ATAU TIDAK REAKTIF.
Selain itu, bakal
pengantin mesti memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak Pendaftar Nikah,
Cerai & Rujuk.
Itu bermakna wali atau
wali hakim akan turut mengetahuinya. Apabila wali atau wali hakim tahu, satu
keluarga berkemungkinan akan tahu. Apabila satu keluarga akan tahu, berkemungkinan
1 kariah akan tahu.
Lain
negeri, lain pula prosedurnya. Ada jabatan agama yang menetapkan ujian saringan
HIV mesti dilakukan di negeri yang majlis perkahwinan bakal dilaksanakan dan ada yang boleh dilakukan di
mana-mana negeri sahaja.
Bagaimana jika bakal pengantin bermastautin di Sarawak kerana bekerja tetapi majlis perkahwinan akan dilangsungkan di kampung halaman, di negeri Pahang? Mereka memerlukan cuti yang panjang dan kos yang besar untuk menguruskannya sebelum hari perkahwinan.
Bukankah peraturan tambahan tersebut sebenarnya telah membebankan bakal pasangan?
Bukankah peraturan tambahan tersebut sebenarnya telah membebankan bakal pasangan?
Tidak cukup di situ, apabila mereka menjalani ujian saringan dan didapati HIV positif di daerah atau negeri asal, ada kemungkinan berita tersebut akan tersebar dengan pantas terutama di daerah-daerah kecil. Bukan semua staf KKM faham dengan jelas hak-hak kerahsiaan pelanggan.
Kemudahan cuti juga 1 isu. Bukan semua bidang
pekerjaan mudah mendapat cuti, tambahan lagi jika PLHIV tersebut terpaksa mengambil cuti-cuti lain untuk urusan
rawatan.
Di sinilah bermulanya
kekangan dan halangan yang tidak perlu kepada PLHIV
untuk menghalalkan hubungan, membina masjid, dan membina kehidupan baru sebagai
insan biasa.
Cabaran lebih terasa jika individu tersebut didiagnos
positif, sedangkan majlis perkahwinan telah terlalu hampir.
Inilah juga punca PLHIV yang telah lama
didiagnos positif buntu untuk berkahwin sekalipun daripada sudut agama,
psikologi, kemampuan zahir dan batin, serta kesihatan, mereka berkemampuan.
Bukan mereka tidak mahu berterus-terang, tetapi
lazimnya apabila berterus-terang, semakin banyak pula halangan dan penghinaan
akibat tidak faham HIV. Jarang keluarga kepada bakal pasangan bersikap
rasional.
Persoalannya
1.
Jika
bakal pasangan boleh terima, mengapa kita mendiskriminasikan dan untuk apa?
2.
Apakah
alasan yang kukuh sehingga bakal wali mesti tahu status kesihatan PLHIV dan dijadikan salah satu syarat WAJIB untuk meneruskan perkahwinan?
3. Jika ada, apakah
dalil aqli atau naqli untuk menyokongnya?
4.
Mengapa
pesakit-pesakit kronik lain yang lebih bahaya, termasuk yang lebih mudah berjangkit dibenarkan berkahwin tanpa
syarat tersebut, tetapi tidak bagi PLHIV?
5.
Apa
kita rasa, jika anak cucu kita yang sejak kecil dijangkiti HIV daripada ibu
bapa, atau disebabkan oleh pemindahan darah, atau jika pernah mengamalkan
aktiviti berisiko akibat kenaifan masa silam, dan dihalang berkahwin?
6.
Bagaimana jika PLHIV
tersebut dan bakal pasangan akhirnya hidup dalam maksiat, berzina, dan
berkahwin di luar negara demi meneruskan hasrat mereka?
7.
Bagaimana jika ada yang mendakwa Islam seolah-olah
tidak menunjukkan jalan penyelesaian?
8.
Bukankah lebih memudaratkan jika PLHIV
memujuk bakal pasangan berkahwin di luar negara dengan pelbagai alasan lain
kerana enggan berterus-terang tentang status kesihatan mereka?
9.
Bagaimana
jika mereka enggan menjalani rawatan yang menyebabkan risiko jangkitan kepada
bakal pasangan dan zuriat berlaku?
10.
Jika
pihak jabatan agama berada dalam situasi tersebut, adakah mereka tidak kisah
aib mereka dan aib keluarga mereka (affected people) tersebar?
11.
Adakah
mereka yakin untuk berdepan pelbagai cemuhan atau cabaran akibat salah faham?
12.
Jika
mampu memberikan penerangan sekalipun, adakah penjelasan tersebut akan
diterima?
Sedangkan semuanya
hanyalah akibat stigma, diskriminasi, dan prejudis.
Nampaknya kita
sentiasa sahaja mengambil langkah dangkal dan berundur ke belakang dalam
menangani isu berkaitan HIV.
Alasan bahawa mencegah
lebih baik daripada merawat tidak relevan kerana sudah terbukti rawatan dapat
mencegah jangkitan dan AIDS. Sains
perubatan sifatnya sangat dinamik.
Maqasyid Al-Syariah
Maqasid al-syariah mengandungi 5 prinsip asas:
* Menjaga agama
* Menjaga nyawa
* Menjaga akal
* Menjaga keturunan
* Menjaga harta
Berhati-hati menjadikan maqasyid al-syariah sebagai hujah untuk mewajarkan
tindakan tersebut kerana rawatan antiretroviral
therapy (ART) terbukti
berkesan untuk PLHIV meneruskan kehidupan seperti non-PLHIV, dan mengelakkan
jangkitan kepada pasangan dan zuriat.
Pihak jabatan agama perlu sentiasa
mengemaskini pengetahuan mereka dalam bidang rawatan HIV yang terkini.
Setiap individu berhak melindungi aib mereka dan pihak
yang berhak untuk mengetahui status kesihatan mereka hanyalah bakal pasangan sahaja.
Sebaik sahaja didiagnos positif HIV, PLHIV perlu menjalani rawatan iaitu
kaunseling dan farmakologi.
Ubah Persepsi
Seringkali masyarakat membayangkan bahawa PLHIV ini individu yang berkudis, tiada masa
depan, tiada kerjaya, homeless,
penjenayah, dan membahayakan.
Jangkitan kononnya sangat mudah berlaku walaupun
hakikatnya jika kita buat kaji selidik tentang cara jangkitan HIV, majoritinya
tahu bahawa cara jangkitan hanya melalui 4 cara sahaja:
1. Berkongsi alat suntikan yang tercemar virus
2. Melalui
seks tidak selamat
3. Bapa
kepada ibu dan kepada anak jika tanpa rawatan
4.
Pemindahan darah atau organ yang tercemar virus
Punca-punca jangkitan lain hanya sekadar teori. Teori,
sesiapa sahaja boleh berteori.
Masyarakat awam tidak sedar bahawa setiap hari mereka sentiasa
bergaul dan dibantu oleh PLHIV.
PLHIV dengan pelbagai latar kerjaya profesional
sentiasa ada di mana-mana dalam masyarakat. Jumlah mereka jauh lebih ramai berbanding
golongan yang sering dibayangkan.
Realiti
Apabila PLHIV telah didiagnos, pihak Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan mereka patuh kepada segala rawatan
yang perlu dan memberi kaunseling kepada PLHIV
dan bakal pasangan tentang situasi tersebut.
HIV tertakluk di bawah
akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang mempunyai prosedur
tertentu untuk mengawal jangkitan.
PLHIV yang telah stabil dengan rawatan, imuniti tubuhnya
dapat dipertingkatkan. Viral load dapat ditekan sehingga ke
tahap undetected. Ianya dapat mengelakkan jangkitan kepada pasangan dan bakal zuriat. Terbukti dapat
dilakukan.
Jika doktor atau
kaunselor dapati hasrat tersebut perlu ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu
(contoh, jika bakal pasangan belum faham tentang HIV atau PLHIV tersebut turut dijangkiti penyakit-penyakit lain yang perlu dirawat sehingga sembuh terlebih dahulu), mereka akan dicadangkan supaya menangguhkan hasrat
tersebut ke suatu masa yang lebih sesuai.
Apabila PLHIV dan bakal pasangan didapati jelas
dan faham tentang isu tersebut dan layak, doktor dan kaunselor KKM yang faham HIV tidak ada
masalah menyokong hasrat mereka untuk berkahwin.
Fakta
Borang yang disediakan
oleh KKM yang menyatakan TELAH MENJALANI UJIAN SARINGAN HIV adalah memadai.
Isu-isu lain yang berkaitan memang di bawah pengetahuan dan kemahiran pihak
KKM.
Pihak jabatan agama tidak
perlu menyulitkan situasi dengan mewajibkan perkara yang memang telah ditangani
oleh pihak KKM.
Dasar yang diamalkan sekarang telah
melanggar hak kerahsiaan status kesihatan seseorang, boleh mendatangkan fitnah,
aib, dan seperti menutup peluang kepada terbinanya sebuah rumahtangga.
Renungan
Kita perlu faham, status sebagai PLHIV bukanlah semata-mata disebabkan oleh dosa
atau pahala, bukan penentu bahagia atau derita sesebuah rumahtangga, dan bukan
penentu syurga atau neraka seseorang. Banyak faktor yang masyarakat tidak
faham.
Jika PLHIV
tersebut pernah melakukan kesilapan sekalipun, beri peluang kepada mereka
menebus kesilapan. Kita tidak perlu menghukum seumur hidup dan pandai-pandai
melantik diri sendiri sebagai hakim atas kesilapan lalu mereka.
Mulia sangatkah dan terjaminkah syurga
tanpa HIV? Kita wajib bantu dan sokong sesiapa sahaja yang mahu
memperbaiki diri.
Sedikit Tentang PLHIV dan Kecenderungan Seksualiti
Atas sebab-sebab tertentu, PLHIV dan kecenderungan seksualiti sukar
dipisahkan.
Dek kerana sibuk menentukan sama ada layak berkahwin atau tidak kerana telah didiagnos positif, 1 perkara yang pihak jabatan agama sering terlepas pandang ialah, mereka gagal memberikan kaunseling terhadap PLHIV untuk mengenalpasti kecenderungan seksualiti mereka sendiri sebelum berkahwin jika berkaitan.
Dek kerana sibuk menentukan sama ada layak berkahwin atau tidak kerana telah didiagnos positif, 1 perkara yang pihak jabatan agama sering terlepas pandang ialah, mereka gagal memberikan kaunseling terhadap PLHIV untuk mengenalpasti kecenderungan seksualiti mereka sendiri sebelum berkahwin jika berkaitan.
Seperti yang dinyatakan awal-awal tadi, perkara
ini lebih penting berbanding HIV untuk mengelakkan penganiayaan yang lebih
besar kepada bakal pasangan.
Kita mesti bantu mereka faham sama ada mereka termasuk
dalam kategori wajib, sunat, atau haram berkahwin. Berkahwin bukan sekadar
cuba-cuba kerana ianya adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar.
Jika mereka sedang diuji, daripada situ kita boleh
cadangkan bantuan dan sokongan yang sewajarnya sama ada daripada sudut perubatan, psikologi,
atau rawatan Islam. Perkahwinan bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah
kecenderungan seksualiti atau semata-mata demi memenuhi norma masyarakat.
Definisi penyelesaian bagi ujian kecenderungan seksualiti
adalah berbeza mengikut golongan sekular dan agama. Bagi golongan sekular ianya
dianggap nature dan hak asasi. Islam
pula melihat setiap ujian sebagai satu tanda kasih sayang-Nya.
Islam menganggap bahawa seks rambang atau seks bebas
sebagai salah satu punca jangkitan HIV, tetapi golongan sekular menentangnya
kerana bagi mereka hanya seks tidak selamat yang menyebabkan punca jangkitan. Nampak macam betul dari segi sains tetapi sedikit berbeza mengikut pandangan Islam.
Jangan kita memperlekehkan soal ujian kecenderungan seksualiti
hanya kerana kita tidak menghadapinya. Jika berada diuji seperti mereka, pihak yang lantang mencemuh tersebut belum tentu mampu bertahan. Allah tidak pernah zalim dan jangan putuskan
harapan golongan yang memerlukan sokongan.
Kesimpulannya
Jika bakal pasangan telah menjalani semua prosedur
yang telah ditetapkan oleh pihak KKM, maka tidak perlulah kita sulitkan
prosedur perkahwinan dengan perkara-perkara yang tidak penting kerana kita perlu
melihatnya secara makro.
Ianya akan lebih memudaratkan dan menambahkan
penularan virus, dosa, dan penganiayaan. Soal perceraian, rumahtangga yang
tidak bahagia, dan sebagainya tidak mengira sama ada individu tersebut adalah PLHIV atau non-PLHIV.
Percayalah, jika dihalang dengan pelbagai kerenah pun,
setiap pasangan yang betul-betul mahu berkahwin akan berusaha memastikannya
terlaksana dengan pelbagai cara yang pihak jabatan agama tidak terfikir pun. Peraturan
sekarang hanya menjadi propaganda musuh-musuh Islam dan bahan senda gurau.
Jelaslah, prosedur tersebut lebih banyak menambahkan
keburukan berbanding kebaikan.
Wallahu a'lam.
Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan
meningkatkan kualiti hidup infected dan affected
people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan
penganiayaan.
"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM)
komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK
MASYARAKAT secara terbuka."
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Facebook Fanpage PPWM:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors
Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive
Warriors Support Group (Secret
Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors
Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com