Sunday, March 02, 2014

ENTRY WAJIB: DEDIKASI KHAS UNTUK LELAKI YANG MAHU BERKAHWIN DENGAN WANITA YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)





Entry ini aku sediakan sebagai perkongsian khas kepada mana-mana lelaki yang berhasrat mahu berkahwin dengan wanita ODHA. Apa-apa pun, ini bukanlah pandangan profesional, tetapi sekadar melalui pemerhatianku yang sentiasa terdedah dengan isu-isu komuniti. Walau bagaimanapun, aku yakin ianya boleh dijadikan maklumat asas dalam membuat pertimbangan.

Terlebih dahulu, dalam soal ini, aku minta maaf jika pendapatku kelihatan cenderung menyebelahi wanita kerana bagiku memang mereka pihak yang patut dilindungi. Nilai Islam mendidik aku begitu. Sekalipun wanita mampu berdikari, bahkan ramai yang lebih berdikari berbanding lelaki, wanita tetap wanita. Mereka dilahirkan dengan fitrah dan emosi yang berbeza berbanding lelaki.

Mari fahami beberapa perkara asas

Sebaik sahaja seseorang wanita didiagnos sebagai ODHA, lazimnya umum akan menganggap mereka wanita murahan yang tiada harga diri. Diskriminasi gender dan judgemental terhadap mereka masih menebal. Berbagai-bagai andaian negatif menyerbu pemikiran sesetengah pihak seperti mereka mungkin adalah pengamal seks bebas, bohsia, wanita ‘ditebuk tupai’, isteri ‘makan luar’, pekerja seks, dan sebagainya. Tambahan lagi jika mereka masih berstatus anak dara. Segala macam anggapan buruk dilonggokkan kepada mereka.

Itu belum termasuk anggapan biasa terhadap mana-mana ODHA iaitu mereka pasti pendek umur, menyebabkan pasangan mereka turut dijangkiti HIV, hilang keseronokan melakukan hubungan intim kerana perlu memakai kondom, tidak mampu melahirkan zuriat bebas HIV, memalukan keluarga bakal mertua, dan lain-lain lagi.

Lantas, trauma emosi dan rasa inferior wanita ODHA sangat mendalam. Namun, di sebalik segalanya, jelas pula tersembunyi kekuatan seorang wanita apabila bijak menyembunyikan kesedihan mereka. Sebagai lelaki, anda yang mesti bijak memahami psikologi wanita.

Risiko sampingan terhadap anggapan-anggapan negatif tersebut ialah, bila-bila masa sahaja wanita boleh dijadikan ‘punching bag’ untuk melindungi kelemahan kepimpinan seseorang suami di dalam sesebuah rumahtangga. Bila-bila masa, segala khilaf lampau akan diungkit tidak bersisa dan dijadikan senjata.

Fakta: Majoriti wanita ODHA mendapat jangkitan kerana mereka adalah isteri kepada ODHA yang mengamalkan aktiviti berisiko di luar pengetahuan isteri. Mereka adalah mangsa keadaan dan penganiayaan. Jumlah isteri atau bekas isteri yang didiagnos sebagai HIV positif melalui cara tersebut semakin meningkat. Kadar jangkitan di kalangan para pekerja seks sebaliknya menunjukkan penurunan kerana mereka mulai memahami cara mengelakkan jangkitan. Jadi, jangan anggap HIV ini berkaitan dosa pahala semata-mata. Ini ketentuan Allah.

Seterusnya, wanita ODHA dijangkiti akibat manipulasi golongan lelaki durjana dengan pelbagai cara, sama ada akibat jerat percintaan atau mangsa pemerkosaan. Selebihnya dilahirkan oleh pasangan yang sedia dijangkiti HIV tanpa rawatan.

Satu pertanyaanku; adakah wanita ODHA yang dijangkiti akibat khilaf lampau dan telah bertaubat, berhak kita hakimi seolah-olah kita serba sempurna dan tidak pernah berdosa? Terpulang kepada pendirian masing-masing tetapi bagi aku, mereka yang bertaubat adalah suci bersih.

Hakikatnya, mereka sendiri sebenarnya sangat benci terhadap kesilapan tersebut dan enggan mengingatinya walau sedikit pun. Bahkan mereka mungkin lebih baik daripada wanita-wanita lain kerana telah belajar daripada kesilapan dan sangat menghargai anda yang berjiwa besar tampil sebagai pembela mereka.



sila share


Bagaimana pula jika wanita ODHA tersebut adalah ibu, kakak, atau adik kita sendiri? Apa yang kita rasa jika masyarakat hanya tahu mencemuh dan menghukum mereka sedangkan sejarah memang tidak akan mampu diubah?

Benci perbuatan, bukan benci tuan punya badan. Cuba fikirkan, apa peranan yang telah kita lakukan untuk membantu golongan yang teraniaya atau menyokong usaha menuju sifar HIV? Menuding jari dan sekadar mengutuk memanglah mudah!

Setelah anda fahami perkara-perkara asas ini dan masih nekad mahu memperisterikan wanita ODHA, anda mestilah menerima mereka secara ‘pakej’ tanpa syarat. Itulah yang dinamakan cinta sejati. Anda mesti sanggup memberikan komitmen. Jangan sekadar hangat-hangat tahi hidung kuda atau secara berpilih. Kalau tidak sanggup, sila main jauh-jauh. Jangan hendak menggatal! Menganiaya hati dan perasaan.

Secara umumnya, tiada apa-apa masalah untuk berkahwin dengan wanita ODHA kerana mereka sama sahaja seperti wanita lain. Dengan kepatuhan terhadap rawatan, mereka mampu melahirkan zuriat bebas HIV dan mengelakkan jangkitan terhadap anda.

Berikut adalah beberapa perkara penting yang anda perlu betul-betul fahami:

Memahami asas rawatan HIV, cara mengelakkan jangkitan, dan faham bagaimana cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV.

Memahami bahawa kepatuhan kepada rawatan adalah mandatory dan anda MESTI menyokong isteri mematuhinya.

Memahami psikologi ODHA terutama tentang grief reaction dan treatment fatigue. Jangan sampai apabila sedikit sahaja isteri melakukan perkara yang tidak memuaskan hati, merajuk macam budak-budak. Siapa yang datang bulan ni? Perempuan period sebulan sekali, kau period sepanjang tahun. Jiwa kacau hanya akan menganiaya isteri dan menambah dosa.

Tidak mendesak isteri melakukan perkara-perkara yang meningkatkan tekanan kepada mereka yang sentiasa berdepan dengan isu stigma, diskriminasi, dan judgemental.

Tidak mendesak isteri melakukan perkara-perkara di luar keupayaan.

Sentiasa berada di sisi isteri ketika diperlukan dan seboleh mungkin menemani isteri menghadiri temujanji rawatan atau sekurang-kurangnya memastikan isteri menghadirinya.

Jika bakal isteri adalah ibu tunggal, pastikan anda bersedia menerima anak-anak isteri daripada perkahwinan yang terdahulu sama sebagaimana anak-anak hasil zuriat anda sendiri. Bahkan anda perlu memahami dan menghormati jika isteri masih mengekalkan silaturrahim dengan bekas suami atau bekas keluarga mertua demi kebajikan anak-anak.



sila share


(Perkara-perkara yang aku nyatakan di atas sebenarnya adalah cuma secara asas. Huraiannya terlalu subjektif.)

Sebagai seorang Muslim, aku berpegang kepada nilai bahawa seorang lelaki (suami) adalah pemimpin sebuah rumahtangga. Gagal atau berjaya sesebuah perkahwinan banyak bergantung kepada mereka. Isteri yang baik dan taat itu bonus.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa lelaki dengan rupa yang tampan, harta yang menimbun, rajin membantu di dapur, dan bijak berkomunikasi adalah kunci kelemahan seseorang wanita. Ya, betul juga, tetapi percayalah bahawa semua itu bukanlah segala-galanya.

Wanita mengutamakan nilai-nilai positif, rasa selamat, kekuatan dalaman, kejujuran, nilai kasual, misteri, kematangan, pembersih, humble, kelakar, dan berani mengambil risiko yang ada dalam diri seseorang lelaki. Mereka tidak minta anda perfect. Mudah cakap, lelaki mesti dominan dan memiliki bold characters, tetapi bukan bermaksud ego melulu.

Majoriti pembaca yang mengenaliku memuji isteri-isteriku kerana sangat baik dan hebat kerana sentiasa menyokong dan berada di sisiku. Aku ODHA, mereka sanggup bermadu, tinggal serumah, dan bila-bila masa sahaja sedia tampil membela. Of course, Alhamdulillah. Kredit untuk mereka atas anugerah Allah ini.

Tetapi jangan lupa, isteri-isteriku wanita biasa. Punya hati dan perasaan. Tambahan tipikal pemikiran masyarakat sentiasa mengaitkan poligami semata-matanya tentang soal seks dan suami gatal semata-mata. Hampeh! Kuning betul otak!

Perkahwinan itu ibadah dan amanah. Isteri-isteriku bukan bodoh. Mereka ada pendidikan dan pendapatan yang mencukupi untuk hidup tanpa aku sekali pun. Bahkan ikut logik, tanpa aku mereka lebih lapang. Perangai aku kasar, degil, dan jauh sekali daripada romantik ala-ala hero Hindustan. Mereka tidak tinggalkan atau campak aku ke Sungai Pahang atau laut pun sudah dikira beruntung!

Jadi, cuba renung-renungkan, apakah agaknya yang menyebabkan mereka hebat, bahkan semakin hebat setiap hari? Aku pemimpin, aku yang corakkan rumahtanggaku! Aku yang akan ditanya di akhirat kelak tentang kepimpinanku! Selagi aku tidak melanggar perintah Allah, mereka wajib taat kepadaku. Hidup bersama dalam sesebuah rumahtangga adalah komitmen seumur hidup untuk saling melengkapi. Pasti ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.





Aku rayu...

Jika anda memilih untuk mengahwini wanita ODHA, fahami bahawa mereka perlu diterima tanpa syarat. Jangan sesekali diungkit perkara yang lepas. Jika mereka ada zuriat daripada perkahwinan sebelumnya, terima sebagai sebagaimana anak sendiri.

Apabila mereka menjalani rawatan, pastikan seboleh-bolehnya temani mereka atau paling tidak memastikan mereka menjalaninya. Ketika mereka mengalami treatment fatigue dan stress, anda sepatutnya sentiasa ada atau bersedia menyokong mereka. Jangan sibuk bermain emosi dan mementingkan diri. Jangan biarkan mereka terpenjara dalam ruang sepi yang sangat dalam dan tidak mampu berkata apa-apa hanya kerana mereka ODHA dan wanita.

Apabila melakukan hubungan intim bersama isteri (ODHA), pastikan anda bersedia mengambil langkah pencegahan kehamilan dan jangkitan. Jangan terpengaruh dengan andaian atau psikologi melulu kononnya apabila mengambil langkah tersebut akan mengganggu keseronokan hubungan intim. Apabila bersedia untuk memiliki zuriat, fahami betul-betul kaedahnya. Jangan sampai beban bertambah apabila jangkitan HIV berlaku terhadap zuriat akibat kejahilan. Perkara tersebut boleh dielakkan.

Jangan sesekali halang isteri (ODHA) mendapatkan rawatan secara profesional dan proven. Itu hak mereka. Aku cukup menyampah kerana banyak menerima aduan bahawa suami enggan membenarkan isteri menjalani rawatan atas alasan karut-marut termasuk kerana bimbang status isteri sebagai ODHA diketahui keluarga. Rela membazir duit tidak tentu hala dan merisikokan kesihatan serta kebajikan isteri dan bakal zuriat.

Itu sahajalah perkongsian aku setakat ini. Cerita panjang-panjang pun tidak ada sudahnya. Penutup bicara, fahami betul-betul yang tersurat dan tersirat di dalam perkongsian ini. Pastikan anda berjumpa kaunselor bertauliah sebelum mengambil keputusan muktamad. Jangan anggap apabila anda pandai, semua perkara anda tahu.

Selamat pengantin baru dan semoga berbahagia dunia akhirat kepada komuniti dan kenalan yang bakal berkahwin dan baru berkahwin. Ingat, apabila bersama isteri, mesti baca doa junub terlebih dahulu. Jangan main belasah tidak tentu hala, nanti iblis dan syaitan turut menyetubuhi isteri.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Renungan:

Aku baru sahaja menerima aduan seorang isteri (ODHA) yang mahu mendapatkan nasihat. Suaminya penganggur dan bukan ODHA. Hidup hanya bergantung kepada pendapatan isteri 100%. Mereka mempunyai beberapa orang anak. Wanita ODHA tersebut menyara keluarga dan terikat dengan jadual kerja (shift) yang tidak menentu.

Kepenatan dan stress ODHA serta lain-lain pesakit kronik yang berterusan menjalani rawatan adalah agak berbeza berbanding orang sihat. Tetapi apabila sampai sahaja di rumah selepas kepenatan seharian bertugas shift malam, suaminya sentiasa mahu mendapatkan layanan di katil tanpa sedikit pun ambil kisah keperluan rehat isteri. Itu belum termasuk pelbagai keperluan anak-anak yang perlu dipenuhi.

Jika kadangkala kehendaknya ditolak, tergamak diungkit segala kesilapan lampau si isteri. Kadangkala diugut untuk mendedahkan statusnya sebagai ODHA kepada keluarga demi kepentingan peribadi. No warm up, no foreplay, terus terjah. Powerlah konon… sedangkan belum apa-apa muntah hijau. Skill sebagai lelaki di katil, out! Getik aku. Harapkan semangat sahaja yang lebih. Sudahnya isteri sentiasa rasa ‘diperkosa’ dan terdera setiap kali bersama.