HAI PENYAKIT
JANGKITAN HOSPITAL
SEPERTI yang kita
sedia maklum, hospital menempatkan sejumlah besar orang sakit dan mempunyai
sistem imun atau ketahanan tubuh yang lemah.
Petugas perubatan
bergerak daripada pesakit ke pesakit sekaligus menyediakan ruang kepada patogen
(mikroorganisme penyebab penyakit) untuk tersebar. Begitu juga dengan
prosedur-prosedur perubatan yang melangkau penghadang perlindungan semula jadi
tubuh.
Justeru, tidak
hairanlah jika tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, lebih
1.4 juta orang menderita komplikasi jangkitan yang diperoleh dari hospital (hospital acquired infection) atau
ringkasnya HAI, di seluruh dunia.
Sementara itu,
kira-kira 10 peratus kadar jangkitan berlaku di hospital-hospital seluruh Asia
Tenggara. Bagaimana dengan Malaysia? Berapa banyakkah yang kita ketahui
mengenai senario jangkitan ini di dalam negara?
Kementerian Kesihatan
dalam satu kajian baru-baru ini menganggarkan 1.3 peratus kes HAI berlaku di
negara ini. Nampak kecil. Bagaimanapun, angka itu jauh lebih berkurangan daripada
situasi sebenar disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan data-data tempatan
yang memerlukan pemantauan berterusan daripada kakitangan hospital.
Apa yang pasti, HAI
merupakan satu bebanan penyakit major yang mana sebahagian besar daripadanya
boleh dielakkan sebagaimana yang dibincangkan pada Kongres Antarabangsa
Persatuan Kawalan Jangkitan Asia Pasifik Ketiga (APSIC) yang dianjurkan Kuala
Lumpur, baru-baru ini.
HAI merujuk kepada
jangkitan yang terjadi semasa pesakit tinggal di hospital yang sebelum ini
tidak mereka hidapi sebelum dimasukkan atau ditahan di wad. Jika seseorang
mengalami patah tulang di hospital, adakah itu juga boleh dinamakan sebagai
HAI? Turut dikenali sebagai nosokomial, ia hanya eksklusif untuk jangkitan.
Nosokomial merupakan
satu nama lain yang cuma agak fancy
bunyinya bagi HAI. Ia diambil daripada perkataan Greek nosokomeion yang bermaksud hospital (nosos = penyakit, komeo =
penjagaan).
Kamus jururawat
penerbit Fajar Bakti mendefinisikan jangkitan nosokomial sebagai jangkitan yang
berpunca dari hospital, seperti yang dihidapi oleh seorang pesakit selama
ditempatkan di hospital atau yang berkembang di kalangan kakitangan hospital.
Beberapa agen
tertentu yang boleh ditularkan termasuklah bakteria, virus, fungus/kulat, parasit,
dan prion. Bakteria Clostridium difficile
dikenal pasti sebagai ketua penyebab cirit-birit nosokomial di Amerika Syarikat
dan Eropah.
Jangkitan nosokomial yang
paling kerap ditemui termasuklah trek urinari (berkaitan saluran kencing) dan
pelbagai jenis pneumonia (radang paru-paru).
Setiap tahun, ribuan nyawa melayang disebabkan oleh jangkitan yang
berlaku dalam lingkungan kemudahan penjagaan kesihatan di negara-negara maju
dan membangun yang perlu segera ditangani kerana masalah ini berlaku di seluruh
dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran APSIC, Prof. Dr. Nordiah Awang
Jalil.
HAI mendatangkan
bebanan yang ketara terhadap pesakit dan kesihatan awam kerana ia merupakan
punca utama kos morbiditi (keadaan berpenyakit) dan mortaliti (kematian).
Justeru, ujar beliau,
meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tahap keselamatan pesakit serta
memperbaiki kualiti penjagaan kesihatan di negara ini, terus menjadi keutamaan.
Kemajuan dalam
intervensi kawalan penyakit telah dikenal pasti sebagai salah satu medium
kritikal bagi memastikan keselamatan pesakit sekali gus mengawal
prevalens/kelaziman insidens HAI di hospital-hospital.
Jangkitan melalui
aliran darah merupakan salah satu daripada HAI yang paling kerap berlaku
disebabkan oleh bakteria atau fungus yang memasuki saluran darah.
Sementara itu,
jangkitan intravena (IV) iaitu terapi pemindahan cecair ke dalam pembuluh darah
adalah prosedur invasif yang paling biasa dilakukan di hospital dan diberikan
sama ada melalui periferal atau laluan pusat.
Kateter IV merupakan antara sumber jangkitan HAI melalui aliran darah
yang sering terjadi. Kateter adalah suatu tiub untuk disisipkan ke dalam bukaan
yang sempit supaya cecair-cecair dapat dimasukkan atau dikeluarkan.
Menggunakan
pendekatan yang ringkas dan strategi intervensi berkesan boleh membantu dalam
mengurangkan kadar HAI terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai risiko
jangkitan yang tinggi, jelas Pengasas dan Pengerusi Konsortium Kawalan
Jangkitan Nosokomial Antarabangsa, Prof. Dr. Victor Rosenthal.
Menerusi amalan
menjaga kebersihan tangan, penjagaan kateter dan sistem infusi (suntikan
perlahan suatu bahan ke dalam vena atau tisu subkutaneus) tertutup, Dr.
Rosenthal mendapati, kadar jangkitan aliran darah mampu dikurangkan dengan
ketara. Menurut beliau, hasilnya adalah waktu tinggal di hospital yang lebih
pendek bagi pesakit, kadar kematian yang rendah, kekebalan terhadap bakteria
dan kos yang dapat dikurangkan.
Walau bagaimanapun,
tumpuan kepada strategi intervensi berkesan secara tunggal tidak memadai. Apa
yang penting, hospital dan organisasi yang menyediakan penjagaan kesihatan
perlu memfokuskan kepada usaha meminimumkan jangkitan yang boleh dielakkan.
Ia boleh dilakukan
dengan cara mengukuhkan program-program pencegahan dan kawalan jangkitan yang
hanya boleh dicapai melalui pendekatan pasukan berbilang disiplin, tambah Dr.
Rosenthal.
HAI atau jangkitan
nosokomial boleh diterjemahkan sebagai:
* Jangkitan yang
diperoleh di hospital oleh pesakit yang dimasukkan ke wad disebabkan penyakit
lain yang tidak berkaitan jangkitan
* Jangkitan berlaku
di kalangan pesakit yang berada di hospital atau lain-lain kemudahan penjagaan
kesihatan yang mana jangkitan tidak hadir atau mengeram pada waktu pesakit
dimasukkan ke hospital
Ini termasuklah
jangkitan yang diperoleh di hospital tetapi mula timbul selepas pesakit keluar
dari hospital, dan juga jangkitan pekerjaan di kalangan kakitangan di dalam bidang
berkaitan.
Prevalens
* HAI berlaku di
seluruh dunia termasuklah negara-negara maju dan membangun
* Lebih 1.4 juta
orang menderita komplikasi HAI di seluruh dunia
* Di negara maju, 5
hingga 10 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital mendapat satu atau lebih
jenis HAI, dengan risiko yang meningkat di negara-negara sedang membangun
(>25 peratus)
* Tinjauan WHO
mendedahkan kekerapan HAI paling tinggi dilaporkan dari hospital-hospital di
Timur Mediterranean (11.8 peratus) dan Asia Tenggara (10 peratus).
* Kadar kekerapan
bagi rantau Eropah dan Barat Pasifik masing-masing 7.7 dan 9 peratus
* Tinjauan terbaru
oleh Kementerian Kesihatan menganggarkan, insiden HAI di negara ini berada pada
paras 1.3 peratus. Jumlah sebenar dijangkakan lebih tinggi.
Penyebab
* HAI selalunya
berpunca daripada jangkitan luka pembedahan, jangkitan trek urinari, dan
jangkitan trek pernafasan bawah
* Kajian WHO
mendapati, kelaziman tertinggi jangkitan nosokomial terjadi di unit-unit
rawatan rapi, wad pembedahan akut, dan wad-wad ortopedik (berkenaan tulang)
* Pesakit-pesakit
daripada kalangan warga emas, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan, mempunyai
penyakit-penyakit lain, dan menjalani kemoterapi adalah tergolong dalam mereka
yang berisiko tinggi menjangkiti HAI.
Kesan
* Jangkitan yang
berpunca di persekitaran penjagaan kesihatan merupakan antara penyebab utama
kematian dan meningkatkan morbiditi di kalangan para pesakit yang terpaksa
ditahan di hospital
* HAI bukan sahaja
memberi beban ketara terhadap pesakit, tetapi juga kesihatan awam
* HAI menambah stres
emosi dan ketidakupayaan fungsi pesakit, dan dalam sesetengah kes, boleh
mendorong kepada ketidakupayaan fizikal yang menjejaskan kualiti hidup mereka
* Kos ekonomi turut
bertambah dengan jangka masa berada di hospital yang lebih lama bagi pesakit
yang dijangkiti.
Pencegahan
* Hadkan pemindahan
organisme antara pesakit dalam penjagaan pesakit secara langsung dengan cara
membersihkan tangan dengan betul (kakitangan hospital) sebelum menyentuh setiap
pesakit, menggunakan sarung tangan, amalan aseptik (bebas daripada bakteria
yang merosakkan) dan pembasmian kuman, strategi pengasingan, serta mencuci
pakaian
* Mengawal
persekitaran yang berisiko untuk jangkitan
* Melindungi pesakit
melalui penggunaan antimikrobial profilaktik (agen mencegah perkembangan
penyakit), pemakanan dan vaksinasi
* Menghadkan risiko
jangkitan endogenous (berasal dari
dalam) dengan cara meminimumkan prosedur invasif (bersifat terbuka) di samping
menggalakkan penggunaan antimikrobial optimal
* Pengawasan
jangkitan, pengenalpastian dan kawalan wabak
* Mencegah jangkitan
di kalangan kakitangan
* Meningkatkan amalan
penjagaan kakitangan-pesakit dan mendidik petugas kesihatan secara berterusan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
AHP Pie: Masyarakat awam perlu faham kenapa sesetengah pihak pengurusan hospital menghadkan atau menghalang bayi dan kanak-kanak dibawa dengan bebas semasa kita menziarahi pesakit.
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli
Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila
hubungi admins yang berikut: