Entry kali ini lebih kepada perkongsian dan luahan pengalaman
peribadi. Aku cuba santaikan perkongsian sejujur mungkin tentang apa yang aku
rasa selama hidup sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang baru mencecah
3 tahun.
Segala perkongsian
ini sebenarnya pernah aku kongsikan dalam entries
lama, tetapi maklum sahaja bukan semua orang yang rajin membaca satu persatu. Jadi,
sekali pun jemu, untuk kesekian kalinya aku cuba kongsikan lagi sebagai panduan
bagi yang memerlukan.
Aku dikenali sebagai
AHP Pie. AHP bermaksud AKU HIV POSITIF. Ianya adalah ikrar dan pengakuanku
bahawa aku hidup dengan virus istimewa ini. Pie adalah nama panggilan keluarga
dan teman-teman rapat. Dalam komuniti, aku dikenali sebagai AHP Pie. Ada yang
panggil aku pakcik, uncle, abah,
abang, atok, dan sebagainya. Suka hatilah, aku terima sahaja asalkan selesa. Nama
sebenar aku mengikut kad pengenalan ialah Mohamad bin Wahid.
Aku anak kampung
jati. Memang asal orang Pahang. Kampung asalku ialah Kampung Merapoh, Kuala
Lipis, Pahang. Sebuah kampung yang dulunya sangat tradisional. Soal susah-payah
hidup sebagai anak kampung memang rutinku sejak lahir. Aku dilahirkan dalam
keluarga miskin, bilangan adik-beradik yang ramai, di sebuah kampung terpencil
di hulu Pahang yang suatu ketika dahulu tanpa sebarang kemudahan asas,
bayangkan sendiri.
Bandar-bandar berdekatan
(Kuala Lipis dan Gua Musang) hanya boleh dihubungi oleh pengangkutan keretapi. Ketika
kecil, aku masih sempat menggunakan perkhidmatan keretapi wap. Soal pacat dan
nyamuk ketika menoreh getah, dibakar matahari ketika berhuma, bergurau dengan
lintah ketika berbendang, bermandi peluh menebas kebun, dan mandi sungai memang
rutin harianku ketika kecil hingga remaja.
Sekarang aku menetap
di Temerloh. Sudah hampir 20 tahun. Maklum sahaja berkahwin dengan Kak Da, orang
Temerloh. Mandi air Sungai Pahang, sudahnya sangkut di sini hingga sekarang.
Kami kahwin muda. Umur 24 tahun aku sudah berkahwin. Umur 25 tahun sudah ada anak
sulung. Orang tua-tua kata, “bunting pelamin.” Sesekali balik juga ke Merapoh
melihat kampung asal dan menziarahi sanak saudara.
Bersama Kak Da, aku
mempunyai dua orang anak lelaki. Danial dan Danish. Alhamdulillah, kedua-duanya
cahaya mata yang hebat. Kami bersyukur dan bangga dengan anak-anak kami.
Ketika berumur 34
tahun, aku berkahwin lagi dengan Ummie. Semasa itu, anak kedua baru berumur 5
tahun. Aku dan Ummie tidak dianugerahkan zuriat. Adalah sebab musababnya, tetapi
tidak mengapa kerana Allah Maha Perencana. Danial dan Danish juga tetap anak kepada
Ummie.
Kami bertiga ada
karier dalam bidang masing-masing. Bolehlah, cukup-cukuplah setakat makan
pakai. Mewah memang tidak. Maklum sahaja kelulusan tidak tinggi, gaji pun
ciput.
Tohmahan dan fitnah
semasa aku berkahwin dengan Ummie, Allah sahaja yang tahu. Usahkan orang luar,
tentangan daripada keluarga sendiri tidak terkira. Menjawab pun tidak ada gunanya.
Lebih baik redha dan aku berpegang kepada prinsip, cakap banyak tiada gunanya
selagi aku tidak membuktikan bahawa segala tuduhan tersebut salah. Buat sesuatu
di luar kotak pemikiran orang lain, biasalah berlaku banyak salah faham. Tidak boleh
bergurau, baik duduk dalam surau. Jangan ambil risiko dan bercampur dengan
orang lain.
Jika tipikal
pemikiran umum membayangkan aku mengamalkan hidup berpoligami atas sebab-sebab
nafsu dan menggatal pun, aku tidak ada masalah. Yang penting, aku bukan tipu
sana, tipu sini seperti dalam lagu "Madu Tiga" nyanyian Allahyarham P. Ramlee. Nilai Melayu dan Islam jauh bezanya.
Apabila aku yakin
keputusanku tidak bercanggah dengan syarak, aku buat. Simple! Logik akal mana boleh pakai sangat kerana kita sekadar makhluk.
Ada ujian, ada penyelesaian dan inayah. Kenapa mahu menggelabah?
Atas pilihan bersama,
kami membuat keputusan untuk tinggal serumah. Bukan tidak mampu hidup
berasingan, tetapi itu memang pilihan kami, bahkan tetap ada sedikit harta
untuk bahagian masing-masing sekadar termampu.
Syukur Alhamdulillah,
kami merasai indahnya hidup bersyariat dan berpoligami. Apa manusia hendak
fikir, fikirlah kerana sampai bila-bila pun mustahil kita mampu menghalang
orang berfikir dan menilai. Terpulang kepada pertimbangan iman dan akal
masing-masing. Cabaran sebenarnya banyak berpunca dari luar, mulut orang. Bukannya
daripada kami sendiri yang menghadapinya.
Hubungan kami sekeluarga
sangat rapat. Semenjak anak-anak semakin remaja dan dewasa, hubungan kami lebih
berbentuk sebagai kawan berbanding ayah dan anak. Tidak sukar membesarkan anak-anak
kerana mereka tidak banyak kerenah. Mereka bagus menjaga pergaulan dan ibadah
wajib. Hormat orang tua, tahu perkara yang aku suka, dan yang aku memang pantang.
Hubunganku dengan Kak
Da dan Ummie pula sangat istimewa. Mereka memang memanjakan aku
berlebih-lebihan. Manja cuma bahasa manisnya. Bahasa yang tepat - aku memang
pemalas. Serba-serbi mahu dilayan. Di rumah, aku adalah raja. Tetapi sebenarnya
mereka pun terlebih-lebih manja juga. Itu semua, biar kami sahaja yang tahu.
Susah orang lain dapat faham apa yang kami rasa.
Tetapi… jangan sesekali
membayangkan aku seorang suami yang romantik. Itu memang silap besar. Bahasaku kasar dan direct dengan individu yang rapat denganku, tetapi insyaAllah hatiku
baik.
“Darling, I love u so
much!”
Eeeuuuwww… sorry, aku memang tidak pandai. Kadang-kadang
aku bercakap “aku engkau” atau “lu gua” sahaja, tetapi mereka tahu menilai kasih
sayangku melalui tanggungjawab dan perhatian terhadap kebajikan mereka semua. Kalau
sesekali aku cuba bercakap macam hero filem love
story, mesti dia orang gelak dan rasa hendak muntah. Dalam kasar ada
lembutnya, dalam lembut ada tegasnya.
Sedikit sebanyak apa
yang kami lakukan menjadi salah satu usaha dakwah juga. Isu tarik rambut,
bermasam muka, dan caci maki antara Kak Da dengan Ummie memang tidak pernah
terjadi. Sungguh! Aku ketua keluarga. Selagi aku betul, mereka wajib taat. Salah,
wajib tegur. Kami terima kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kuat tumpang
kelebihan, lemah sama-sama baiki. Bahkan kalau aku ‘marah’ Kak Da, Ummie akan
membela dan menyejukkan aku. Begitu juga sebaliknya.
Sama ada bersama keluarga
aku, keluarga Kak Da dan keluarga Ummie, kami semua tetap bersama. Jadi tidak
pernah timbul masalah giliran hendak balik kampung, kenduri-kendara, menziarahi
keluarga, dan sebagainya masalah remeh-temeh yang biasanya menjadi punca
pergaduhan bagi pasangan monogami sekalipun. Mahu terima aku, mesti
terima aku sebagai satu pakej. Jangan hendak berdalih-dalih. Mahu lebih di
sana, lebih di sini, sorry! Tidak
mampu, pergi main jauh-jauh!
Pendidikan aku pula,
bukanlah tinggi, tetapi Alhamdulillah mendapat pendidikan agama yang baik sejak
kecil. Emak dan allahyarham ayah sangat menitik beratkan soal agama.
Sejak memasuki
sekolah menengah, aku mula hidup berdikari. Menyewa rumah sendiri (selayaknya
reban ayam sahaja jika dalam keadaan sekarang) dan berdikari. Semua kena buat
sendiri, sama ada membasuh pakaian, memasak, dan belajar. Maklum sahaja,
kampung asalku belum ada sekolah menengah pada waktu itu. Lagipun mak dan ayah mahu
aku belajar di sekolah agama. Makan setakat ikan masin atau telur goreng dan
pucuk paku atau pucuk ubi kayu yang boleh dipetik di sekeliling rumah sewa.
Pergaulan ketika sekolah
menengah memanglah huru-hara. Maklumlah hidup umpama terbiar. Hujung minggu sahaja berpeluang balik kampung. Rumah
sewa memang menjadi “port” segala macam jenis remaja bermasalah kerana aku belum
pandai memilih kawan. Hendak memilih macam mana jika diri sendiripun tiada
siapa yang mahu berkawan selain mereka?
Aku terbiasa melihat
segala macam perangai pelik sejak muda. Nakal pun boleh tahan lantaran tekanan
hidup sendirian dan susah. Memberontak, baran, melalak, cari pasal, dan bersikap
kasar memang fitrah anak jalanan yang terpaksa survive. Kalau tidak, kena makan dan jual jawabnya.
Sekalipun agak nakal,
aku tidaklah sampai terbabas jauh sangat kerana mungkin doa mak ayah
menyelamatkan aku. Cuma satu kerugian yang aku rasa sehingga sekarang ialah aku
tidak dapat fokus pada tanggungjawabku menuntut ilmu. Kalau aku belajar
betul-betul, aku sebenarnya agak cemerlang.
Tidak perlu
dikesalkan. Allah telah aturkan yang terbaik untukku dan daripada pengalaman
tersebut juga menjadikan aku lebih emphatic
terhadap masalah dalaman dan pelbagai ujian hidup manusia.
Habis sekolah
menengah, aku sambung pengajian di sebuah kolej dan selepas itu terus bekerja
sebagai penjawat awam. Lama kemudian, aku sambung belajar hingga ke peringkat degree. Itu sahajalah kemampuan aku.
Tidak cemerlang dalam bidang akademik, tetapi agak kaya pengalaman hidup.
Sekarang umurku hampir
47 tahun. Memang sudah tua. Diagnosed
ODHA ketika berumur 43 tahun. Ramai yang sentiasa tertanya-tanya, bagaimana aku
mendapat HIV dan kenapa susah sangat aku hendak kongsikan puncanya?
Aku boleh sahaja bagitahu
punca, tetapi untuk apa? Hanya menambahkan stigma terhadap ODHA yang lain.
Kalau baca entries blog ini
betul-betul, pasti akan jumpa jawapan. Lagipun yang paling penting, sekarang
aku sama sahaja dengan ODHA yang lain. Berikan apa sahaja punca, aku tetap dan
memang hidup dengan HIV. Confirmed!
Setakat dituduh
sebagai pengamal seks bebas, biseksual, dan penyalahguna dadah secara suntikan,
aku sudah lali. Nasihat aku, tidak payahlah serabutkan kepala. Kepada yang
tahu, tahulah. Allah sudah aturkan yang terbaik untukku.
Sebaik sahaja aku
disahkan HIV positif, antara perkara yang sangat ingin aku lakukan adalah
berkongsi pengalaman tersebut kepada umum. Ketika itu, blog sahajalah jalan
yang ada. Aku mahu masyarakat dan anak-anakku belajar sesuatu daripada ujian
hidupku.
Daripada blog dan
sokongan ramai pihak, aku mula bangkit perlahan-lahan. Jadi, kepada yang baru
cuba mencari kekuatan, jangan cepat sangat cari jalan pintas untuk faham dan
selesaikan semua perkara dalam satu hari. Sama seperti dalam isu lain seperti tiada
jalan pintas untuk pandai baca Qur’an, memiliki degree, master, PhD, menjadi kaya dan bahagia.
Cuba rajinkan diri
membaca pengalamanku sejak awal diagnosed.
Ianya baik untuk diri sendiri. Aku mengalami semua fasa yang sama. Bukanlah terus
sahaja mampu berdikari. Alami kekeliruan dan ketakutan yang sama suatu ketika
dulu.
Ketika itu, segala
macam perkara aku kabur. Segala macam ubat, jenis rawatan, sama ada alternatif,
complementary, dan supplement aku mahu cuba dan telan. Agaknya
kalau ada yang bagitahu telan tiang elektrik mampu sembuhkan HIV, aku sanggup
kunyah seperti nasi. Duit habis sampai berpuluh-puluh ribu. Semuanya bermula
daripada zero.
Bersikap positif dan
menulis menjadikan aku cepat memahami banyak perkara berkaitan HIV sekalipun
aku bukan seorang medical practitioner.
Rajin bertanya kepada doktor (dedikasi kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman) dan
mencari sumber rujukan yang sah adalah jalan terbaik. Ilmu bersifat dinamik. Keep your friends close but keep your
enemies closer – Sun Tzu.
Berblog juga menyebabkan
aku berpeluang membantu dan membentuk jaringan sokongan. Daripada jaringan
tersebut, aku belajar lebih banyak perkara lagi tentang pengalaman hidup yang
mungkin tidak dapat dirasai oleh orang-orang lain. Ada yang pahit, ada yang
manis, tetapi semuanya menjadi positif dan semakin menguatkan kita apabila kita
melihat dan menghadapi setiap ujian dengan betul.
Jadi, jangan pelik
jika ada soalan-soalan terlalu basic atau
mengarut mengenai HIV yang tidak aku layan di blog ini. Janganlah semuanya
hanya mahu disuap, short cut dan perlu
diberitahu. Kelak akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.
“Adakah menyentuh
ODHA akan menyebabkan saya dijangkiti?”
Mula-mula memang
soalannya begitu dan apabila dijawab, akhirnya meleret-leret dan kita mula nampak
masalah sebenar yang cuba disembunyikan.
“Saya sudah bertaubat,
adakah masih ada harapan saya boleh sembuh daripada PENYAKIT ini?”
Baguslah bertaubat,
tapi relax la, bro… Buktikan dulu
baru cakap. Aku bukan menilai kau pun. Jangan taubat cili api sudahlah…
Ada beratus-ratus
pertanyaan setiap hari yang yang perlu dijawab melalui pelbagai cara komunikasi
sama ada melalui panggilan telefon, e-mel, Whatsapp, SMS, dan blog. Jika aku
layan semua, pengsan!!!
Keluarga Sumber Kekuatan
Aku tidak dapat
menafikan bahawa Kak Da, Ummie, dan anak-anak adalah sumber kekuatanku. Jasa
dan pengorbanan mereka terlalu besar. Mereka ahli keluarga yang baik. Memanglah
baik dan hebat… aku akui.
“Abang Pie untunglah
ada ramai orang yang jaga. Punca jangkitan berbeza. Sudah berkahwin, ada Kak
Da, ada Ummie, ada kawan-kawan yang ramai. Ada majikan yang faham… sebab itu
abang Pie mudah untuk bangkit dan mengatasi segala macam ujian… saya tiada
sesiapa.” Bla bla bla…
Tidak mengapalah jika
yang mengungkapnya bukan individu yang rapat. Tetapi jika yang mengungkapkannya
adalah orang-orang yang mengaku kononnya sangat memahami, hancur luluh rasa
hati. Aduhai… sabar dan istighfar sahajalah.
Kau cakap memanglah
mudah kerana kau tidak tahu apa sebenarnya yang aku rasa. Macamlah aku langsung
tidak ada masalah sedangkan kau tidak berada dalam situasiku sebagai ketua
keluarga yang mesti sentiasa menunjukkan nilai positif dan bertanggungjawab
terhadap keluarga sendiri, keluarga mertua, dan keluarga besar.
Segala sakit pedih
banyak yang mesti dipendam untuk mengelakkan mereka tertekan. Sentiasa mesti
kelihatan kuat di depan khalayak kerana aku bersikap terbuka dengan statusku.
Aku membawa nama baik komuniti untuk menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental, sedangkan aku sama sahaja
seperti ODHA lain. Melepek macam mana pun mesti kelihatan strong dan membantu sahabat-sahabat senasib sedangkan aku turut mengalami treatment fatigue dan pelbagai tekanan. Siapa
tahu bahawa aku sebenarnya mungkin sangat sunyi dan memerlukan sokongan?
Di penghujung segala
kesedihan, aku akur dan sedar bahawa hanya kebergantungan kepada Allah sahaja
sebaik-baik tempat pergantungan. Mungkin faktor lali dengan hidup susah sejak
kecil dan faktor usia turut membantuku supaya bertenang dan bersabar.
Usah dirayu, dicari
kekuatan, dan diharap simpati sesama makhluk yang serba lemah kerana akhirnya akan
menjadi semakin kecewa. Kita ada kehidupan masing-masing dan perlu
bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Berusaha, berdoa, dan bertawakal sahaja.
Jaga hubungan dengan Allah dan banyak “memberi” sesama insan, insyaAllah
segalanya menjadi mudah.
Jadi, marilah kita
melihat ujian Allah melalui makhlukNya yang bernama HIV ini secara positif.
Tidak perlu terus-terusan bersedih. Bantu mereka yang memang mahu bantu diri
sendiri. Kita sekadar mencadangkan beberapa pilihan, hak memilih di tangan
masing-masing. Menyeru ke arah kebaikan tanggungjawab kita, soal hidayah urusan
Allah.
Setakat caci maki,
fitnah, sindiran, dan kutukan tidak menjadi kudis dan mencalarkan sedikit kulit
pun. Tambahan jika segala sindiran tersebut daripada golongan yang tidak berada
di medan perjuangan, sekadar mencari kekuatan sendiri dan hanya tahu
mengkritik. Dalaman mereka yang sedang sakit. Jawab pun tidak ada gunanya.
Pandai-pandailah hendak hidup dan menghindari stress.
Melalui blog juga aku
mendapat peluang berdakwah dan membuat kebajikan dengan banyak cara tanpa
mengira golongan yang dijangkiti, ahli keluarga yang turut terjejas tanpa
mengira bangsa dan agama dari seluruh negara, bahkan merata dunia yang dapat
berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris, failed! Memang lintang-pukanglah jawabnya.
Selagi Allah berikan
peluang, walaupun cuma 1 hari sahaja lagi untuk berbakti, akan aku gunakan
sebaik-baiknya. Itu sahajalah bekalanku setelah kematianku nanti. Tiada yang
menyulitkan, tiada yang menggentarkan. Aku tidak memikirkan perkara-perkara
yang di luar pengetahuanku sebagai makhluk-Nya.
Perjuangan jalan
terus!
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors
Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP
Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan
menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai,
sila hubungi admins yang berikut: