Saturday, March 29, 2014

ENTRY WAJIB: PENGURUSAN JENAZAH ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)



TOLONG SEBAR-SEBARKAN ENTRY INI JIKA ANDA BERSETUJU BAHAWA IANYA MUNGKIN BERKESAN MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV, AIDS, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGMENTAL, DAN MALPRACTICE!

IANYA BOLEH DICETAK DAN DILEKATKAN DI NOTICE BOARD PEJABAT, SEKOLAH, MASJID, SURAU, KOLEJ, IPTA / IPTS, DAN DI MANA SAHAJA YANG DIFIKIRKAN SESUAI.

IANYA JUGA BOLEH DISEBARKAN MELALUI APA JUGA WEBSITES, E-MAIL, TWITTER, FACEBOOK DAN BLOG UNTUK 
TUJUAN PENDIDIKAN.





Pendahuluan

Apabila seseorang ODHA telah meninggal dunia, masih ramai yang mengandaikan bahawa kononnya jenazah mereka akan dimandikan dengan cecair sodium hypochloride (Clorox) yang akan menyakitkan dan mengaibkan jenazah, serta mendatangkan aib kepada ahli keluarga.

Mungkin mereka membayangkan bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair sodium hypochloride semata-mata atau jenazah akan dicelup ke dalam tong sodium hypochloride tersebut.

Itu SILAP besar. Campuran cecair sodium hypochloride tidak mampu membunuh virus. Ianya cuma berfungsi untuk membasmi kuman.

Salah faham tersebut adalah antara faktor yang menyebabkan ODHA yang baru didiagnos merasa sangat tertekan, enggan menjalani rawatan, dan seboleh mungkin merahsiakan status kesihatan mereka.

Mari fahami bahawa pengurusan jenazah ODHA dikategorikan sebagai PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO.


Apakah yang dimaksudkan sebagai PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO?

Pengurusan Jenazah Berisiko lebih kepada Standard Of Procedure (SOP) langkah-langkah pencegahan terhadap jangkitan kuman dan bakteria melalui cecair badan dan udara. SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO bukanlah susah dan tidak khusus kepada ODHA sahaja.


Contoh jenazah berisiko?

Antara beberapa contoh JENAZAH BERISIKO adalah jenazah yang telah beberapa hari dijumpai mati disebabkan oleh kes-kes jenayah, kemalangan jalan raya, bunuh diri, mati terbakar, dan memerlukan bedah siasat (post mortem). Jenazah begini biasanya perlu diuruskan dan dikebumikan dengan segera.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Selain itu, terdapat juga jenazah yang meninggal dunia disebabkan oleh pelbagai jangkitan yang tersebar melalui udara dan cecair badan. Kesemuanya memerlukan SOP yang sama.

Ianya juga bertujuan untuk memelihara aib jenazah, keselamatan pihak yang menguruskan jenazah, kesihatan awam, dan memudahkan ahli kariah menguruskan pengkebumian.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Jangan kita fikir semua keadaan jenazah adalah sempurna dan sama sahaja. Jika kita mempunyai pengalaman menguruskan jenazah ahli keluarga yang telah dibedah siasat, meninggal dunia semasa menjalani pembedahan besar dan akibat kemalangan ngeri di jalan raya , tentu kita tahu keadaan tubuh jenazah sebegini. Sekalipun luaran kelihatan sempurna, organ dalamannya berkemungkinan telah mereput dan terdapat lelehan cecair badan.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Selain itu, JENAZAH BERISIKO ada yang telah terbiar selama berminggu-minggu, berbau, berkudis, mereput, berulat, dan keadaan fizikal yang mengerikan. Ianya juga adalah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Maksudnya, jenazah ODHA berisiko menjangkitkan HIV kepada orang lain?

SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO bukan disebabkan oleh risiko jangkitan HIV. Virus akan mati apabila ODHA telah meninggal dunia dan jangkitan HIV cuma boleh berlaku dari dalam tubuh ke dalam tubuh orang yang masih hidup. HIV tidak akan berjangkit jika virus berada di luar tubuh.

Masalah timbul apabila ada sebahagian ODHA meninggal dunia dalam keadaan imuniti tubuhnya lemah dan berisiko terhadap jangkitan penyakit bawaan pathogen. 

Lebih-lebih lagi jika ODHA tersebut meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan penyakit influenza, kencing tikus (leptospirosis), adenovirus (virus yang mudah tersebar melalui sentuhan dan udara), dan jika terdapat lelehan cecair badan yang boleh dan mudah menyebabkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh pathogen. 

Sebahagian kecil ODHA pula ada yang terbiar dan meninggal di jalanan dan telah dijangkiti pelbagai jenis penyakit opportunistic. Oleh itu SOP tersebut perlu dilaksanakan.

Apa yang dimaksudkan dengan pathogen?

Pathogen adalah organisme atau mikroorganisme. Ianya merupakan agen yang menyebabkan berlakunya jangkitan kepada organism lain. Secara perubatannya, pathogen berkemampuan menyebabkan seseorang dijangkiti penyakit-penyakit tertentu. Penyakit-penyakit akibat pathogen diistilahkan dengan pathogenesis.

Situasi ini turut berlaku di hospital-hospital di seluruh dunia tanpa kita sedari. Petugas perubatan yang bergerak daripada seorang patient ke patient lain menyediakan ruang kepada pathogen untuk berjangkit. Ini yang dinamakan Hospital Acquired Infection (HAI).

Contoh agen pathogen adalah bakteria, virus, fungus/kulat, parasit, prion, dan pelbagai lagi mikroorganisme. Jika jangkitan berlaku di luar hospital, kita istilahkannya sebagai nosocomial.

Jangkitan nosocomial yang paling kerap ditemui ialah pada urinari (berkaitan saluran kencing) dan pelbagai jenis pneumonia (radang paru-paru).


Itu tujuan sebenar SOP JENAZAH BERISIKO?

Ya, kerana jangkitan melalui udara, najis manusia atau haiwan, sentuhan, dan cecair badan bawaan pathogen lebih mudah tersebar. Diulang sekali lagi, walaupun dalam jenazah atau mayat ODHA terdapat HIV sebelum kematian, ianya tidak tersebar selepas kematian dan di luar tubuh. 

Apabila seseorang sentiasa terdedah kepada pathogen, ianya mendedahkan diri mereka sendiri kepada risiko jangkitan pelbagai jenis penyakit, dan menjadi agen penyebar jangkitan kerana individu tersebut bebas bergerak, bersin, terbatuk dan mungkin menghampiri atau menyentuh mana-mana individu lain yang ketahanan badan atau sistem imunnya rendah. Maka kemungkinan risiko jangkitan sentiasa berlaku.



  
Info tambahan:

Mikroorganisme pathogen mengandungi pelbagai bakteria atau virus merbahaya yang boleh hidup di dalam tubuh manusia selepas kematian dan boleh berjangkit melalui pelbagai cara yang disebutkan tadi.


Apakah hak-hak pengendali jenazah menjaga keselamatan diri dan dan orang lain?



"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

“Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh pula membahayakan diri orang lain.
(al-Hadith)


Apakah antara SOP pengendalian atau PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO?

Antara SOPnya ialah pihak yang memandikan jenazah mesti memakai sarung tangan (gloves), penutup mulut, dan boot getah, menjirus jenazah dengan bilasan air bercampur cecair sodium hypochloride 10%. Secara mudah, nisbah campurannya adalah 1/10.

Masukkan jenazah ke dalam beg plastik khas jika perlu seperti apabila terdapat cecair badan yang meleleh tanpa henti dengan banyak seperti darah, nanah, mayat reput atau relai, bau yang terlalu kuat, dan banyak anggota badan yang telah teruk bersepai.

Perlu difahami bahawa semasa memandikan jenazah (sama ada ODHA atau bukan ODHA), memang SOP inilah yang sebaik-baiknya digunakan untuk membasmi kuman yang mungkin terdapat pada setiap jenazah.

Pihak yang menguruskan JENAZAH BERISIKO adalah terlatih dan dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri. Di samping mesti berhati-hati menjaga kebajikan diri mereka, pengurus jenazah perlu tahu menjaga adab-adab pengurusan jenazah dan tidak akan mendedahkan aib.

Jika JENAZAH BERISIKO dibenarkan untuk diuruskan oleh ahli kariah, pengurus terlatih mewakili pihak KKM akan hadir memantau hingga selesai urusan pengkebumian.

Bagi jenazah ODHA dalam keadaan sempurna dan meninggal dunia atas sebab-sebab biasa seperti diabetes, kegagalan fungsi jantung, dan darah tinggi, SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO tidaklah terlalu ketat. Tiada masalah untuk disentuh, dilihat, atau dicium oleh ahli keluarga rapat buat kali terakhir. 

SOP JENAZAH BERISIKO dapat melindungi maruah ODHA kerana bukan semestinya jenazah ODHA sahaja diuruskan sedemikian.

Masyarakat mesti JELAS dengan maksud "PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO". Kewajiban memelihara aib dan tanggungjawab fardhu kifayah bukan mainan. Apa hukumnya memfitnah jenazah yang tidak mampu membela diri?

ODHA pula tidak perlu paranoid.




Bukti atau Statistik?

Setakat ini, belum ada statistik menunjukkan pengendali jenazah yang terkena
jangkitan bawaan pathogen daripada jenazah yang berpenyakit. Apatah lagi jangkitan HIV yang kononnya berpunca daripada atau kerana pernah menguruskan  jenazah ODHA. Namun begitu, sekecil mana pun risiko jangkitan akibat pathogen, kita perlulah mengambil segala langkah berhati-hati.


PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM SECARA UMUM

Fardhu kifayah bagi menyempurnakan jenazah termasuk:

* Memandikan
* Mengkafankan
* Menyembahyangkan
* Mengkebumikan

Penyediaan peralatan pengendalian jenazah:

* 2 pasang sarung tangan getah (surgical gloves)
* Sarung tangan kain
* Apron plastik
* Alat pelindung hidung dan mulut
* Kasut but getah (digalakkan)

Alatan memandikan jenazah:

* Air mutlak
* Bekas air / baldi
* Takungan mandian jenazah
* Kain penutup jenazah
* Gunting atau pisau
* Air mawar
* Kapur barus
* Daun bidara
* Serbuk cendana
* Kapas
* Penapis atau kain kasa
* Putik kapas / sugi
* Beberapa gayung
* Dulang

Peralatan mengkafan jenazah:

* Kain putih
* Pakaian jenazah
* Tali
* Gunting
* Kapas
* Serbuk cendana / kapur barus / minyak wangi
* Piring / dulang
* Tikar

Cara memandikan jenazah:

* Menggunakan sarung tangan.
* Disalinkan dengan kain yang mencukupi.
* Pastikan air diratakan diseluruh badan jenazah dan tiada halangan seperti plaster, pewarna kuku dan sebagainya.
* Diwudhukkan.
* Disunatkan didahulukan dimandikan dari sebelah kanan.
* Dimulakan dengan air bidara dan gosok pada setiap anggota badan.
* Bersihkan najis pada rongga yang terbuka.
* Jirus dengan air mutlak ke seluruh badan dan ratakan.
* Pastikan air mandian dialirkan ke longkang.
* Lapkan jenazah dan salinkan dengan kain yang bersih dan dibawa ke tempat mengkafan.

Mengkafankan jenazah:

* Letakkan jenazah di tempat yang telah disediakan kain kafan.
* Letakkan kapas pada bahagian anggota tubuh terutama di bahagian anggota sulit.

(Jenazah yang ada luka ditambah kapas pada bahagian tersebut. Bagi jenazah yang mengalami luka yang berdarah, elok dilapiskan dengan plastik nipis.)


PROSEDUR PENGENDALIAN JENAZAH BERISIKO TINGGI

Persediaan terbahagi kepada 3 peringkat:

* Persediaan tempat dan kakitangan yang terlibat dalam urusan pengendalian sebelum terima jenazah.
* Prosedur semasa mengendalikan / memandikan jenazah.
* Prosedur selepas jenazah disempurnakan.

Prosedur pengendalian mayat berisiko tinggi:

* Pastikan status kita mestilah sihat. (Mereka yang tidak sihat kemungkinan mendapat jangkitan pathogen adalah tinggi).
* Pastikan anggota badan terutama tangan tidak ada luka atau cedera.
* Sebaik-baik mereka yang mengendalikan jenazah telah mendapat imunisasi.
* Pastikan kuku sentiasa pendek supaya tidak mencederakan jenazah atau boleh mengumpulkan kotoran daripada jenazah tersebut.
* Menggunakan Personal Protective Equipment (PPE).
* Jumlah mereka yang terlibat hendaklah dikurangkan.
* Semua pakaian dan apa-apa bahan yang terlekat di badan hendaklah ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam bekas plastik yang dikhaskan.
* Siramkan mayat dengan air yang bercampur dengan sodium hypochloride 10% di seluruh badan.
* Cucian pada rongga yang terbuka hendaklah menggunakan peralatan khas seperti forceps atau putik kapas.
* Rongga tersebut hendaklah ditutup dengan kapas yang telah direndam dengan sodium hypochloride 10%.
* Jika ada kudis atau luka, hendaklah ditutup dua lapis dengan kapas atau gauze yang telah direndam dengan sodium hypochloride 10%.
* Setiap lapisan kain kapan hendaklah disembur dengan sodium hypochloride sebanyak 10%.
* Jika perlu boleh ditambah dengan 1 lapisan plastik bagi lapisan kedua terakhir.
* Setelah selesai hendaklah dimasukan ke dalam beg plastik khas.

Perhatian:
Waris dibolehkan melihat tetapi tidak digalakkan untuk menyentuh atau mencium mayat. (Bergantung kepada kondusi kesihatan jenazah sebelum kematian).


PROSEDUR DAN INFO UMUM YANG PENTING

Seksyen 329: Kewajipan Pegawai Polis Menyiasat Kematian

Tiap-tiap Ketua Polis yang menerima maklumat:
(a) Bahawa seseorang itu telah membunuh diri;
(b) Bahawa seseorang itu telah dibunuh oleh orang lain atau dibunuh oleh binatang, atau jentera atau mati kerana kemalangan;
(c) Bahawa seseorang yang telah mati dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa orang lain telah melakukan suatu kesalahan;
(d) Bahawa mayat dijumpai tetapi tidak diketahui akan sebab-sebab kematiannya atau; bahawa seseorang telah mati secara mengejut, hendaklah seberapa segera menyampaikan maklumat ini kepada Ketua Polis Daerah.

Seksyen 328: Erti Kematian

Sebab kematian termasuklah bukan sahaja sebab kematian yang nyata yang boleh ditentukan melalui pemeriksaan atau post mortem terhadap badan si mati itu, tetapi juga semua perkara yang perlu untuk membolehkan suatu pendapat dibuat bagaimana si mati itu menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan atau kecuaian yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh mana-mana orang lain.

(AHP Pie - Contoh kes: Si A dijumpai mati terbakar di dalam kereta akibat kemalangan jalan raya. Tetapi setelah bedah siasat dijalankan, didapati sebab sebenar si A mati adalah kerana beliau menjadi mangsa pembunuhan sebelum kejadian kemalangan.)



  
Pembuangan sisa buangan

Semua bahan buangan hendaklah dimasukan ke dalam beg plastik (kuning). Seelok-eloknya dua lapisan dan diikat, dibakar atau ditanam.

Semasa memandikan jenazah:

* Lakukan secara lembut dan jangan tergopoh-gapah.
* Pastikan tiada percikan cecair jenazah atau mayat terkena pada bahagian anggota badan mereka yang mengendalikan jenazah.
* Jangan terlalu ramai mengendalikannya dan jika terkena percikan, tidak perlu panik, cuma perlu dicuci dengan segera.


Kesimpulan

Jenazah ODHA memang dikategorikan dalam kumpulan JENAZAH BERISIKO, tetapi anda perlu faham maksud JENAZAH BERISIKO dengan tepat terlebih dahulu untuk mengelakkan stigma, diskriminasi, judgemental, paranoia, dan fitnah.

Salah faham menyebabkan semua ahli kariah menanggung dosa dan akibatnya menyebabkan jangkitan HIV semakin meningkat apabila ODHA enggan menjalani rawatan akibat pelbagai tekanan yang sepatutnya tidak berlaku. Tekanan dan aib turut ditanggung oleh ahli keluarga dan sahabat-sahabat mereka (affected people).

Pembaca juga perlu faham perbezaan antara PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO dengan PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO TINGGI. Jika masih kabur, aku sarankan ahli keluarga atau waris kepada ODHA meminta pihak hospital menguruskan jenazah. Pihak KKM sedia maklum SOP tersebut dan setelah selesai, barulah jenazah dibawa pulang untuk disembahyangkan dan dikebumikan.

Berdasarkan pengalaman peribadi, para pengendali jenazah sendiri biasanya terus sahaja menyembahyangkan jenazah tersebut di bilik mandi mayat hospital setelah selesai urusan memandikan. Hebat dan besar sungguh ganjaran pahala untuk mereka.

Simple, bukan? Itu sahaja. Moga ada manfaatnya kepada semua.

Sumber: Pelbagai carian daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, The Malaysian Bar, laman web JAKIM, dan Jabatan Forensik HKL. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua, khususnya kepada Tuan Haji Abu Bakar bin Lajis.

Sharing ini disediakan oleh aku, orang awam yang hidup sebagai seorang ODHA, bukan oleh seorang medical practitioner. Mohon teguran dan pandangan melalui mereka yang pakar dan berpengalaman.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/

Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com