Friday, March 28, 2014

TIPS PENJAGAAN KESIHATAN, MAKANAN DAN MINUMAN, SERTA TEMPAT-TEMPAT YANG SEPATUTNYA DIELAKKAN OLEH ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)






Sharing ini aku telah kongsikan di FB personal (AHP Pie) dan di FB fan page Pertubuhan PositiveWarriors Malaysia.

Memandangkan bukan semua pembaca blog dapat memperolehi maklumat melalui cara tersebut, aku kongsikan di sini sebagai panduan bersama.

MAKANAN DAN MINUMAN




Sebenarnya ODHA BOLEH makan atau minum sama sahaja seperti bukan ODHA. ODHA juga bebas ke mana-mana sahaja. Cuma dalam soal pemilihan makanan dan minuman, sila utamakan makanan bersih, segar, berkhasiat, seimbang, dan baik untuk kesihatan.

Kita mendengar banyak sangat pantang-larang. Sebenarnya ialah lebih kepada andaian dan kondusi kesihatan semasa setiap individu.

Contoh, jika ODHA tersebut turut mengidap darah tinggi, masalah buah pinggang, diabetes, dan saraf, sudah tentu kawalan makanan tertentu elok dielakkan atau dikurangkan.

Jika ODHA turut mengidap gout, gastrik, sinus, asthma, dan sebagainya, ianya turut memerlukan kawalan makanan dan minuman tertentu.

Tahap imuniti tubuh juga mempengaruhi pola diet ODHA.

Jadi, apa sahaja makanan berjeruk, bertapa, terdedah, expired, dan lama patut dielakkan atau dikurangkan. Peminat budu, petai jeruk, tempoyak, dan segala jenis asinan perlu peka. Bukan tidak boleh, tetapi pastikan kebersihannya dan jangan diambil terlalu banyak atau kerap.




Begitu juga apa sahaja jenis makanan dan minuman yang sukar dijangkakan kawalan kebersihannya, pembungkusannya, dan mempunyai pelbagai perisa tiruan (junk food).

Seboleh-bolehnya, semua makanan dan minuman hendaklah dimasak kecuali beberapa jenis makanan yang diambil secara mentah.

Jika anda (ODHA) peminat ulam-ulaman mentah dan jus segar, sila basuh bahan atau makanan dengan bersih sebelum dimakan. Seelok-eloknya rendam di dalam air bercampur garam terlebih dahulu untuk mengurangkan kesan penggunaan racun serangga.

Jika teringin, ambil sekadar perlu. Bukan terhadap ODHA sahaja, bukan ODHA sepatutnya begitu juga.

KAWASAN ATAU TEMPAT




Kawasan rekreasi termasuk tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik mungkin terdapat haiwan dan serangga yang mungkin membawa pelbagai virus, kuman dan bakteria yang mudah berjangkit melalui najis dan air. Tasik, empangan, atau takungan air mungkin tercemar dengan bakteria e-coli. Jadi, ODHA mesti bijak 'membaca' situasi tersebut.




Apabila singgah di mana-mana restoran atau kedai makan, cuba lihat kebersihan lantai, peralatan penyediaan makanan atau masakan, tandas, kain pengelap meja makan, pakaian pekerja, kawasan dapur, longkang, dan sebagainya sepintas lalu. Anda dapat menilai tahap penjagaan kebersihan melalui cara tersebut.




Di kawasan sesak, pasar kotor, tertutup, dan penuh dengan orang ramai terutamanya ramai bangsa asing, anda sepatutnya berhati-hati. Sebaik-baiknya pakai mask kerana terdapat risiko beberapa penyakit yang mudah berjangkit melalui udara dan jangan mudah menyentuh apa jua secara sebarangan.

TIPS TAMBAHAN




Apabila singgah solat di mana-mana surau atau masjid yang menyediakan tempat wudhu' begini, atau apa sahaja cara simpanan air tetapi airnya tidak mengalir, (sekalipun bertutup untuk mengelakkan haiwan, dedaun atau serangga memasukinya), ODHA sebaik-baiknya mencari pilihan berwudhu' menggunakan paip air biasa.

Jika tiada pilihan, jangan sesekali berkumur menggunakan air tersebut terutama yang bacaan CD4nya masih rendah.

Air kolah dalam keadaan begini memang air mutlak, tetapi jarang diselenggara dengan baik, jarang ditukar, cuma ditambah secara automatik melalui sistem paip (pelampung) yang disediakan. Malah ada yang kelihatan kehijauan dek lumut dan beberapa ekor ikan turut diletakkan di dalamnya. Barangkali bertujuan untuk membunuh jentik-jentik.




Bayangkan kemungkinan bakteria atau kuman yang boleh membiak jika kurang penyelenggaraan.

ODHA mesti peka berusaha menjaga kesihatan diri.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com