Monday, September 22, 2014

PENGURUSAN JENAZAH PLHIV: ANTARA MITOS DAN REALITI



Perkongsian yang dipetik daripada Facebook.
Sila share.




Sebelum saya menulis, haruslah kita ingat bahawa HIV bukanlah penyakit. Ianya tidak akan menjadi penyebab kematian secara langsung. Pada masa kini, kematian akibat AIDS adalah hampir kepada sifar. Itu pun bergantung kepada banyak faktor.

Namun, kematian adalah pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini, walau sesihat mana pun seorang manusia itu. Seorang yang hidup dengan HIV boleh meninggal dunia dengan pelbagai sebab. Sama seperti orang lain. Kemalangan, kanser, tibi, denggi, sakit jantung, stroke, paru-paru berair, atau apa sahaja sebab kepada setiap kematian.

Sekiranya kematian seorang people living with HIV (PLHIV) berlaku di rumah, jenazah boleh diuruskan seperti biasa, kerana apabila telah mati seorang anak Adam itu, matilah HIV di dalam badannya. Menjaga aib jenazah adalah tanggungjawab individu yang menguruskan kematian tersebut.

Bayangan jenazah PLHIV yang bernanah, berkudis, dan sebagainya adalah tidak benar. Kes sedemikian yang selalu berlaku pada waktu dahulu adalah akibat AIDS. AIDS adalah tahap terakhir sekiranya seorang PLHIV tidak pernah mendapatkan rawatan. Pada masa sekarang, amat jarang PLHIV sampai ke tahap AIDS.

Sekiranya seorang PLHIV meninggal dunia di hospital di mana beliau mendapatkan rawatan Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART), pihak hospital akan memberi pilihan kepada keluarga sama ada bawa pulang dan menguruskannnya di rumah atau menyerahkan pengurusan kepada pihak hospital.

Di bilik mayat di mana jenazah diuruskan, petugas akan menggunakan standard of procedure (SOP) yang biasa digunakan kepada semua JENAZAH BERISIKO. Berisiko di sini adalah meliputi jenazah yang meninggal akibat kemalangan, kanser, tibi, denggi, sakit jantung, stroke, paru-paru berair, dan sebagainya. Bukan bermaksud hanya jenazah PLHIV sahaja adalah jenazah berisiko.




Hanya jenazah yang sewaktu meninggal masih mempunyai luka-luka, kudis, masih berair walaupun setelah dimandikan dan perlu dipakaikan pampers, kain kafannya akan diselang-selikan dengan plastik putih. Kondisi ini kini amat jarang dan hampir tidak lagi berlaku kecuali kepada pengidap AIDS (diulang, AIDS hanya berlaku kepada PLHIV yang tidak mendapat rawatan langsung, dan kini AIDS mencapai angka sifar, iaitu hampir tidak berlaku).

Namun, kematian dengan luka-luka, keluar cecair badan, dan sebagainya juga boleh berlaku kepada pesakit kanser dan kematian akibat kemalangan, mayat reput, terbakar, atau pembunuhan.

Pelbagai jangkitan lain melalui sentuhan, udara, dan pathogen adalah perlu lebih diambil perhatian. HIV tidak berjangkit dengan cara tersebut.

Jenazah akan dikafankan dan kemudiannya akan diserahkan kepada waris untuk urusan pengkebumian. PLHIV yang mendapat rawatan HAART, kebiasaannya kondisi jenazahnya sama seperti jenazah non-PLHIV yang lain, yang boleh ditatap dan dicium wajahnya oleh sanak saudara.

Setakat ini yang diketahui daripada dua sumber iaitu hospital di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, kos pengurusan jenazah iaitu mandi dan mengkafan ialah RM700 di Johor Bharu dan RM600 di Kuala Lumpur.

Harus diingat, kos ini adalah upah personal yang diminta dan atas budi bicara oleh pihak pengurus jenazah, bukannya caj daripada pihak hospital atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setelah dikafankan iaitu keluar dari bilik mayat, waris bolehlah membawa jenazah ke masjid dan sebagainya untuk solat jenazah dan seterusnya dibawa ke kariah yang telah diuruskan keluarga. Sebaik sahaja keluar dari bilik mayat, tidak perlu dimaklumkan bahawa individu tersebut adalah PLHIV.




Jika waris meminta pihak hospital menguruskan jenazah PLHIV, pihak hospital juga biasanya menjemput ahli (pengurus jenazah sekitar) yang biasa menguruskan jenazah dan menguruskannya dari bilik mayat dan solat jenazah. Pengkebumian pula bergantung pada kehendak pihak waris untuk menguruskan sendiri atau menyerahkan kepada pihak hospital untuk menghantar jenazah ke kariah yang dikehendaki.

Di sini, kos pengangkutan akan dikenakan mengikut jarak atau kariah sesuatu tempat.

Menguruskan jenazah adalah tanggungjawab kepada yang masih hidup. Ianya adalah fardhu kifayah.

Nota:

1. Perlu difahami PERBEZAAN dan PERSAMAAN antara Pengurusan Jenazah Berisiko dan Jenazah PLHIV.

2. Setiap pengurus jenazah sesebuah kariah sepatutnya telah terlatih (atau sekurang-kurangnya seorang wakil) telah didedahkan dengan kursus sedemikian. Mereka juga telah faham SOP tersebut.




Sebenarnya, jika sekadar menguruskan jenazah PLHIV biasa, penggunaan basic Personal Protective Equipment (PPE) seperti boots dan gloves sudah memadai. Prosedur ini memang standard dan sepatutnya digunakan semasa menguruskan mana-mana jenazah pun.


Semoga nota ringkas ini dapat difahami pembaca.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallaahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Disediakan oleh:
MGDA


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com