Monday, September 29, 2014

KANAK-KANAK PLHIV & HAEMOPHILIA TIDAK DIBENARKAN BERKHATAN?



Perkongsian yang dipetik daripada Facebook.
Sila share.




Terdapat sebahagian pengamal perubatan berpendapat bahawa kanak-kanak PLHIV tidak perlu berkhatan kerana ianya bahaya kepada kanak-kanak tersebut atau kepada surgeon atau mudim. Betulkah begitu?

Sebenarnya, tiada sebarang masalah kepada kanak-kanak PLHIV untuk berkhatan. Apatah lagi jika bacaan CD4 tinggi dan viral loadnya rendah.

PPWM pernah terlibat membantu merealisasikannya dengan pertolongan Dr. Iskandar Firzada bin Osman. Terbukti ianya tidak mendatangkan sebarang masalah.

Berikut adalah pandangan oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman, Doktor Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang merangkap Penasihat PPWM dalam isu ini.

“Sumber rujukan utama kami adalah JAKIM dan Bahagian Pengurusan Fatwa, JAKIM.”

Hukum Berkhatan Kanak-Kanak PLHIV

Setakat ini, hanyalah kanak-kanak dengan penyakit haemophilia dan cacat akal sahaja yang tidak wajib berkhatan. Sebabnya dikuatiri kanak-kanak tersebut akan mengalami pendarahan semasa prosedur berkhatan.

Walau bagaimanapun, doktor-doktor pakar masih menjalankan prosedur berkhatan untuk kanak-kanak haemophilia dengan memberikan ubat Factor VII atau Factor IX, dan sebagainya bergantung kepada masalah haemophilia tersebut, sebelum prosedur berkhatan dan sebaik sahaja selepas berkhatan.

InsyaAllah, dengan langkah tersebut, mereka tidak akan mengalami pendarahan selepas berkhatan.

Berikut adalah jawapan kepada soalan yang saya tanyakan kepada Sistem Kemusykilan Agama di portal IslamGrid:

Assalamua'alaikum wbt,

Soalan anda adalah seperti berikut:

41944. Assalamualaikum. Apakah hukum berkhatan untuk kanak-kanak Muslim yang menghidap HIV?

Untuk makluman, soalan anda telah dijawab. Jawapannya adalah seperti berikut:

Wajib berkhatan bagi kanak-kanak Muslim tersebut setelah mendapatkan pandangan doktor pakar perubatan Muslim bahawa ia tidak membawa apa-apa implikasi yang negatif kepada kanak-kanak tersebut.

Untuk makluman, soalan anda tidak akan dipaparkan di laman web Kemusykilan Agama IslamGrid kerana Panel menganggap soalan tersebut terlalu peribadi."

Saya (Dr. Iskandar) turut meminta pandangan Dr. Basri Ibrahim, rakan Pakar Perubatan Keluarga dari Terengganu yang merupakan Pensyarah KUSZA, kini UNISZA iaitu seorang penulis buku fekah perubatan semasa.

Jawapan beliau:

Berkhatan (sebutan betulnya adalah berkhitan) bagi lelaki adalah wajib dalam aliran Syafie.

Jatuhnya wajib tersebut akibat daripada menjaga kebersihan diri dan demi untuk menjalani ibadah. Sementalahan ianya adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Hadis yang menyarankan kewajiban berkhatan adalah riwayat daripada Abu Daud.

Kerunsingan jangkitan kepada peng'khitan' (surgeon atau mudim) juga harus diambil kira mengikut pandangan Wahbah Az Zuhaili, dan wajib dijaga kemashlahatannya. Ini penting bagi menjaga 5 tunggak Maqasid Syariah tersebut.

Apabila bertembung antara dua kewajiban tersebut (wajib khitan vs wajib menjaga surgeon atau Mudim supaya tidak dijangkiti), kita harus mengambil kemaslahatan yang lebih utama (salah satu hukum fekah).

Hukum itu tergantung kepada surgeon atau mudim yang akan menjalankan pembedahan tersebut. Jika beliau merasakan risiko jangkitan adalah minima (juga berdasarkan beberapa kes ibu HIV yang menjalani pembedahan caesarean dan beberapa fakta saintifik yang menyatakan bahawa tiada kes lagi seumpama itu menyebabkan jangkitan kepada surgeon atau mudim), maka kewajiban berkhitan adalah lebih utama maslahatnya.

Dr. Haji Suhazeli Abdullah
Terengganu.

Alternatif

Jika sekiranya yang dikhuatiri adalah jangkitan kepada yang menjalankan prosedur, insyaAllah banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya berlaku.

Misalnya tentukan universal precaution dipatuhi dengan menggunakan kaedah yang kurang pendarahan seperti clamp dan menjalankan prosedur tersebut pada waktu akhir bekerja atau senarai terakhir supaya peralatan pakai semula boleh disuci hama pada malam tersebut. Tidak ada alasan kenapa tidak boleh dilakukan dengan selamat.

Isu-isu Berkaitan

Disertakan petikan daripada Bahagian Pengurusan Fatwa untuk rujukan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Khatan Bagi Pesakit Haemophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Pesakit haemophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit.

Walau bagaimanapun, aspek thaharah bagi pesakit haemophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.

Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya.

Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk.

Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.

Keterangan / Hujah:

Haemophilia adalah penyakit yang melibatkan kegagalan fungsi darah di mana darah pesakit tidak dapat membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembeku dalam darah (clothing factor). Pakar perubatan belum menemui ubat bagi merawat penyakit warisan (genetic) ini dan pesakit akan menderita sepanjang hayat.

Pesakit haemophilia akan mudah mengalami pendarahan walaupun hanya berpunca daripada kecederaan kecil seperti pendarahan dalam sendi tulang, pendarahan hidung, bahkan pendarahan dalam otak.

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit termasuk penyakit keturunan adalah perlu dihindari, dirawat, dan diubati. Dalam konteks ini, prinsip pencegahan (al-wiqayah khairun minal ‘ilaj; mencegah lebih baik daripada mengubat) daripada sebarang bentuk gejala yang menjejaskan kesihatan menjadi pegangan.

Ia selaras dengan tujuan syariat Islam (maqasid al-syari’ah) yang pada asasnya untuk menjaga lima perkara utama iaitu:
Memelihara agama, nyawa, harta, akal, dan keturunan.

Atas asas ini juga hukum taklif hanya ditujukan kepada orang Islam yang memenuhi syarat untuk melaksanakan ibadat.

Beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dikaitkan dengan kelonggaran yang wajar diberi kepada kedua-dua golongan dan kekecualian daripada melaksanakan amalan berkhatan iaitu:

- Tidak ada kemudharatan dan tidak memudharatkan.
- Dharurat boleh menghapuskan larangan.
- Kemudharatan hendaklah dihapuskan.

Haemophilia merupakan sejenis penyakit di mana aliran darah tidak dapat berhenti walaupun setelah dijahit. Penyakit ini sangat merbahaya dan boleh membawa maut.




Mengikut prinsip Islam, penjagaan terhadap nyawa amat diutamakan dan sekiranya kewajipan berkhatan ini boleh mendatangkan mudharat kepada pesakit haemophilia, maka kewajipan tersebut digugurkan.

Dalam semua kewajipan yang diwajibkan ke atas umat Islam, akal yang waras adalah antara syarat utama. Sekiranya seseorang itu mengalami cacat akal yang teruk atau gila, tiada taklif ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya.

Terdapat juga beberapa teknik baru untuk mempercepatkan proses bersunat dan masa pemulihan. Ini termasuk menggunaan alat ‘clamps’ seperti TaraKlamp (dicipta di Malaysia) dan SmartKlamp.

Secara ringkasnya, alat-alat ini dipasang pada foreskin sebelum ianya dipotong. Clamp ini akan dibuka setelah lukanya agak kering. Alat ini juga akan melindungi bahagian luka dan glans penis. Masalah pendarahan sangat-sangat minima."


Nota PPWM:
Semoga lebih ramai lagi doktor-doktor Muslim bersikap begini suatu ketika nanti. Sesungguhnya skop dakwah dan ibadah sangat luas.


Semoga nota ringkas ini dapat difahami pembaca.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallaahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie



Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com