Wednesday, February 05, 2014

ENTRY WAJIB: DEDIKASI KHAS UNTUK PARA GADIS YANG NEKAD MAHU BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)


GUNAKAN KEWARASAN, BUKAN TAWAKKAL MELULU


sila share


Sejujurnya ini adalah antara entri yang sangat berat untuk aku kongsikan secara terbuka. Aku tahu ianya melibatkan sensitiviti banyak pihak. Mungkin ramai yang akan terasa hati. Akibatnya aku mungkin dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan bakal kehilangan kawan.

Tetapi, apabila semakin hari semakin banyak aku berdepan dengan isu tersebut, kadangkala aku bingung kerana aku tahu isu ini menyebabkan golongan yang teraniaya semakin teraniaya.

Begini.

Perempuan, apabila menghubungiku meminta pandangan untuk mendirikan rumahtangga bersama ODHA, biasanya yang mereka risaukan ialah adakah mereka berisiko dijangkiti, peluang bakal suami hidup sihat, peluang mendapat zuriat bebas HIV, rawatan, masa depan, dan sebagainya. Memang dalam soal tersebut sebenarnya tidak ada banyak masalah.

Semangat mereka pula biasanya sangat berkobar-kobar. Rela berkorban dan sungguh setia. Malahan kadang-kadang lebih teruja untuk membantu bakal suami. Setakat tolong temankan bakal suami jumpa doktor itu, doktor ini, telefon sana, telefon sini untuk dapatkan pandangan atau berikan sokongan, itu standard! Malah, belum apa-apa lagi ada yang sibuk hendak menjadi supporter dan volunteer. Memang bagus, tetapi tidak semudah itu, dik. Banyak perkara yang perlu difahami terlebih dahulu.

Mereka selalunya panik, sangat risau jika perkahwinanterpaksa dibatalkan. Boleh difahami. Maklum sahaja tarikh perkahwinan semakin hampir sedangkan result ujian saringan HIV pra perkahwinan baru saja diketahui. Mana mereka hendak letak muka kerana semua ahli keluarga sudah tahu, kad jemputan ke majlis perkahwinan telah diedarkan, dan macam-macam persediaan telah dibuat.

Ibu dan bapa pula sangat teruja kerana bakal menerima calon menantu mithali. Apa tidaknya – tutur kata lemah lembut, pengetahuan agama boleh tahan, gentleman, punya karier memuaskan, pembersih, rajin di dapur, hormat orang tua, aktif bersukan, tubuh badan sedap mata memandang (six pack), dressing meletup, dan banyak kelebihan dalam macam-macam perkara. Arghhh… mudah cerita memang ‘sempurnalah’!

Tolonglah faham…

Di sebalik semua perkara tersebut, ada perkara yang aku rasa lebih penting yang perlu mereka faham betul-betul sebelum meneruskan hasrat. Hendak diterangkan secara terbuka di blog ini, bimbang menimbulkan salah faham dan lebih banyak stigma. Tidak diterangkan pun salah. Jadi, ini sahajalah kemampuan dan pertolongan yang mampu aku berikan. Setiap hari aku berdepan dengan pelbagai kerenah dan suka duka komuniti. Aku tahu permainan emosi dan psikologi komuniti. Aku tahu beberapa perkara penting yang orang awam tidak tahu.

Keutamaan aku adalah untuk menjaga kebajikan pihak perempuan. Di penghujung segala ujian, perempuanlah yang biasanya menjadi mangsa sebenarya. Peliknya, aku yang cuba membantu dianggap cuba menghalang hasrat mereka. Akibat denial tentang perkara yang mereka tidak sanggup fikirkan atau langsung tidak faham atau memang sengaja tidak mahu faham, atau cuma mahu faham secara berpilih, aku pula dijadikannya musuh.


sila share


Kalau diterangkan pun, belum apa-apa mereka anggap sudah faham semua perkara. Lebih teruk, semua perkara yang aku cuba minta mereka fikirkan betul-betul dianggap tidak penting. Apabila aku cadangkan untuk berjumpa kaunselor jika tidak mempercayai aku, mereka anggap remeh.

Jika sudah kemaruk cinta, kita cakap apa pun tidak berguna. Semuanya mereka anggap mudah dan boleh diatasi. Yang penting bagi mereka, mereka hendak berkahwin. Jika dinasihatkan, mereka kata mereka tahu bahawa perkahwinan ini soal amanah dan tanggungjawab. Sudah pertimbangkan macam-macam perkara. Sudah istisyarah dan istikharah. Tahu bahawa ini komitmen seumur hidup. Sudah dapat restu keluarga. Betulkah keluarga memang faham semua persoalan ini? 

Sudahnya, selepas sebulan dua berkahwin mulalah sibuk hubungi aku semula. Sudahnya ada yang berkahwin sehingga 5 – 6 tahun tidak pernah disentuh suami. Atau, walaupun mempunyai ramai anak dan kelihatan normal sebagai keluarga biasa, tetapi hakikat sebenar ujian hidup, Tuhan sahaja yang tahu. Alami deraan dan trauma mental yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat. Sendirian.

Kalau sekadar mahu dengar pandangan yang menyenangkan hati, terpulanglah. Kalau sudah hendak kahwin sangat, kahwinlah. Tidak ada kena-mengena dengan aku. Aku doakan yang baik-baik sahaja.

Jadi, kepada yang berfikiran terbuka dan rasional, cuba fahamkan betul-betul apa yang tersirat di sebalik perkongsian ini. Jika ada perkara yang belum pasti, boleh sahaja hubungi aku. Tetapi sebaik-baiknya telefonlah. Aku tidak larat hendak berbalas-balas e-mel, SMS, FB messages, dan Whatsapp panjang lebar. Banyak perkara yang perlu aku uruskan.

Tetapi janganlah anggap bahawa apabila aku kongsikan isu ini, aku bermaksud menghalang perkahwinan dengan ODHA. Relax la. Aku sendiri pun ODHA. Mustahil aku tergamak hendak halang orang mahu bina masjid. Aku memang sokong pun. Malah aku sentiasa cuba temukan jodoh yang serasi. Ramai sahaja yang sudah berkahwin dan hidup bahagia.

Apa yang aku maksudkan, cuba berfikir secara rasional. Cuba minimakan risiko tertentu yang jauh lebih dahsyat berbanding HIV. HIV terlalu simple untuk difahami. Tetapi, attitude manusia, masya Allah! Ingatlah. Kesilapan sekarang mungkin akan memberikan kesan seumur hidup.


think!


Beberapa tips mudah

Pastikan bakal suami menitikberatkan tuntutan solat dan nilai-nilai agama.

Cuba kenali rakan-rakan rapat bakal suami. Perhatikan cara pergaulan dan aktiviti mereka. Jangan sampai kelihatan mengongkong atau buruk sangka.

Pastikan bakal suami memang seorang yang jujur. Jika selalu dan pernah berdolak-dalih, serta merahsiakan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu dirahsiakan, berhati-hatilah.

Strong character, stabil emosi dan psikologi. Jika selalu down, moody, sering minta dibantu, difahami, dan merajuk mengalahkan anda sendiri seorang perempuan, sila fikirkan kembali keputusan anda.

Terlalu perfectionist, ego, dingin, keras hati, mendesak, mengongkong, dan sukar menerima kelemahan anda. Ianya mungkin petanda-petanda negatif.

Memahami perasaan dan tekanan anda sebagai bakal isteri dan sentiasa bersedia memberikan sokongan bila-bila perlu. Bersedia menerima segala kekuatan dan kelemahan anda.

Memahami maklumat asas HIV, bersedia menjalani rawatan dan patuh kepada rawatan. Faham merangkumi, tahu cara mengelakkan jangkitan, dan bersedia mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan. Faham cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV. Sentiasa berfikiran dan bersikap positif.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com