Friday, April 17, 2015

AKU HIV & AKU DIABETIK





Selain HIV, aku adalah pesakit kencing manis (diabetes) dan beberapa penyakit kronik lain. Kesemuanya melemahkan sistem pertahanan tubuh, tetapi fokus perkongsian ini adalah pengalaman ringkas aku menghidap diabetes.

Lebih kurang pada tahun 2007 – 2008, ketika berumur 40 – 41 tahun, aku mula mengalami simptom kepenatan terlampau. Kerap kencing malam secara mendadak.

Tidur yang sentiasa terganggu dan kepenatan menjadikan aku sangat sensitif dan sukar mengawal marah. Maklum sahaja kita rasa seperti sentiasa terpaksa melakukan perkara-perkara yang di luar kemampuan kita, sedangkan perkara tersebut asalnya sekadar rutin biasa.

Malah aku sendiri pelik dengan sikapku yang tiba-tiba menjadi perengus. Keluargaku sangat banyak bersabar dengan kerenahku ketika itu. Logik mengatakan aku tidak perlu marah pada perkara-perkara remeh, tetapi seolah-olah ianya berlaku di luar kawalan secara spontan.

Pada tahun 2008, atas urusan tugas, aku berkursus selama 3 bulan di Kuala Lumpur dan menyewa sebuah bilik. Di paha kiriku timbul bisul yang besar.

Pada suatu malam, aku cuba memecahkan bisul tersebut dan darah tidak berhenti mengalir hingga ke pagi. (Aku sebenarnya jenis yang penakut hendak ke hospital dan klinik. Malah tidak pernah warded pun.)

Keesokannya, keadaan masih sama dan aku terpaksa ke sebuah klinik swasta pada sebelah malam.

Antara perkara pertama yang doktor lakukan ialah memeriksa kandungan gulaku dan ternyatalah bacaannya hampir 30mmol/L !!!

Doktor segera menyarankan aku menjalani rawatan seberapa segera, cuti selama seminggu, dan menasihatkan aku supaya tidak memandu sendirian.

Aku tetap degil dan memandu pulang ke Temerloh pada malam itu juga kerana aku rasa 'OK' sahaja.




Sebenarnya aku tidak menjangkakan aku menghidap diabetes kerana sejak muda aku seorang yang sangat aktif berkebun terutama landscaping kerana itulah minat aku. Badan sentiasa berpeluh dan biasa kerja lasak tidak berhenti-henti.

Cuma tabiat pemakananku sangat buruk kerana aku suka makan, terutama masakan kampung dan kuih-muih tradisional yang manis serta berlemak. Minuman manis memang kegemaran. Kuat pula merokok.


Tengah malam pun ada kalanya aku sanggup bangun makan walaupun sekadar nasi berlaukkan telur goreng. Siap 2 – 3 kali tambah asalkan ada sebiji cili api untuk dikunyah sedikit-sedikit sebagai pembuka selera. Berat badan antara 86 – 98 kg. Huhuhu...




Apabila difikirkan semula, barulah aku dapat menjangkakan bahawa aku mungkin telah lama menghidap diabetes tanpa disedari. Mungkin ketika penghujung umur 20an lagi kerana aku sudah kerap mengalami simptom hipo.

Diringkaskan cerita, sejak itu, aku mula menjalani rawatan untuk diabetes. Pada peringkat permulaan, aku kerap "mengelat" dan sukar mengawal tabiat pemakananku.

Kebetulan pula ramai 'doktor' tidak bertauliah yang mencadangkan macam-macam penawar atau ubat cara kampung.

Paling mengerikan apabila ramai yang mengatakan apabila ada diabetes dan mengambil rawatan farmakologi, bermakna kuranglah "tenaga batin." Isteri pula ada dua. Mak aih!!!

Semakin lama aku semakin faham cara mengawal tabiat pemakanan dan patuh kepada rawatan. Apa yang penting ialah jalani gaya hidup sihat. Aku kembali cool dan ceria.

Walaupun sekarang BMI ku belum mencapai tahap ideal, tetapi jika bertemu kawan-kawan lama yang pernah melihatku gemuk, mereka mengatakan aku sangat kurus. Apabila tahu aku ada HIV, ayat power akan keluar, "Sebab HIV, ya?" sambil merenung aku seolah-olah aku sedang nazak!

Apabila serasi dengan rawatan, barulah aku faham bahawa semua pendapat dan mitos tersebut tidak benar.

Bagaimana lelaki hendak "power" jika tidak mengawal gula, sentiasa keletihan, dan malas bersenam? Memanglah jika tanpa rawatan, banyak sistem saraf akan rosak. Sama seperti apa juga penyakit kronik tanpa rawatan.

Ubat-ubat tradisional pula tidak diambil mengikut dos dan masa yang tepat. Tidak diketahui kesan sampingan dan tiada pemantauan melalui ujian darah. Mungkin juga ditambah dengan steroid untuk memberi kesan segera dan tanpa disedari yang lebih membahayakan jantung, tekanan darah, dan buah pinggang.

Akhir kalam, 3 fakta penting yang aku mahu kongsikan di sini:

1.
Jika anda mungkin berisiko menghidap diabetes, sila jalani ujian secara berkala. Jika anda didapati menghidap diabetes, jalani rawatan farmakologi. Boleh ambil supplement food tertentu, tetapi jangan abaikan rawatan farmakologi. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

2.
Emosi dan psikologi pesakit kronik perlu difahami oleh affected people kerana kadangkala tindakan mereka di luar kawalan. Banyakkan bersabar. Api jangan dilawan dengan api. Yakinkan mereka untuk PATUH kepada rawatan dan bersikap positif.

3.
Diabetes jauh lebih bahaya, cepat meninggalkan kesan terhadap penghidapnya, dan sukar dirawat berbanding HIV. Ianya antara punca utama kematian di Malaysia dan kemerosotan kualiti hidup. Cuma, people living with HIV (PLHIV) sentiasa berdepan dengan salah faham masyarakat.





Jika ada diabetes, penyakit-penyakit kronik lain, dan HIV macam aku ni, faham-fahamlah walaupun orang sentiasa lihat aku ceria, sibuk, dan huha huha sepanjang masa. Ramai yang tidak tahu ketika melayan pertanyaan-pertanyaan yang sesetengahnya tidak masuk akal itu, sebenarnya aku mungkin sedang terkial-kial menguatkan diri. 

Bayangkan anda sendiri mempunyai pelbagai penyakit kronik yang melemahkan sistem pertahan tubuh dan keletihan yang berganda-ganda berbanding orang lain tetapi sentiasa sibuk. Hanya menjadi 'kuat' sahaja pilihan yang aku ada selepas memilih bersikap terbuka dengan status HIVku kerana tidak mahu disalah anggap bahawa semuanya akibat HIV. 

Jangan ingat aku tidak pernah ada masalah atau cepat terasa hati. Apa yang penting adalah berfikiran positif, jalani rawatan, dan redha dengan ujian Allah.





Getting to Zero.
Wallahu a'lam.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:


No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com