Saturday, March 26, 2011

RASIONAL MEREKA TERHADAP PENGAGIHAN JARUM SUNTIKAN DAN METHADONE UNTUK MENGEKANG HIV


DADAH dan HIV/Aids adalah dua perkara yang berkait rapat. Kebanyakan pesakit Aids di negara kita mendapat jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan yang menjadi punca utama penularan virus HIV di kalangan penagih.

Setiap hari hampir 7,500 orang dijangkiti HIV dan 5,500 meninggal dunia akibat Aids. Di Malaysia, kira-kira 18 kes baru dilaporkan setiap hari, menjadikan jumlah kes HIV/Aids meningkat kepada 80,000 pesakit sejak ia mula dilaporkan pada 1986. Yang menyedihkan, 70 peratus daripadanya adalah yang menagih dadah melalui suntikan.

Pakar perubatan berpendapat penularan virus di kalangan penagih boleh dikekang jika penggunaan jarum suntikan dihentikan. Di negara kita, HIV/Aids dianggap wabak yang tertumpu pada kumpulan tertentu saja iaitu penagih dadah.

Justeru, banyak usaha dilakukan bagi menghalang masalah ini daripada bertambah buruk. Antaranya, pendekatan pengurangan kemudaratan melalui Terapi Penggantian Dadah Methadone (MDST) yang juga digunakan di seluruh dunia bagi memerangi HIV/Aids.

Terapi ini bukan saja dapat mengurangkan kesan ketagihan dadah, tetapi turut mengelakkan mereka daripada risiko jangkitan virus berbahaya itu.
Menurut Pakar Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Mohamad Hussain Habil, MDST menunjukkan kejayaan sehingga 90 peratus sejak program ini dimulakan pada 2005.

MDST ialah pendekatan pengurangan kemudaratan yang terbukti dapat mengawal pengambil heroin daripada dijangkiti HIV akibat penggunaan jarum dan picagari tercemar.

“Walaupun kita perlu segera merawat pengguna dadah yang kian meningkat di negara ini, kita juga perlu menangani salah tanggapan masyarakat terhadap ketagihan dadah dan MDST.

“Ketagihan dadah bukan saja masalah sosial, malah ia juga satu gangguan otak kronik yang mengganggu fungsi psikologi dan fisiologi penagih.

“MDST tidak hanya berperanan sebagai pengganti ubat lain, bahkan ia berkesan untuk mengurangkan kesan fisiologi yang menyebabkan ketagihan.
“Ia rawatan yang selamat untuk mengawal HIV/Aids dan mampu meningkatkan fungsi sosial pengguna dadah suntikan dan membolehkan mereka bekerja.

“Secara tidak langsung kaedah ini dapat mengurangkan jenayah di kalangan penagih,” katanya pada bengkel memahami MDST.

Lebih penting, katanya, terapi berkenaan memberi peluang pengguna dadah untuk berfungsi secara normal, tidak perlu ditempatkan di kawasan berasingan dan mempunyai kualiti kehidupan lebih baik apabila mereka boleh bekerja.

Malah, MDST juga mengelakkan risiko pengambilan dadah berlebihan yang boleh mengancam nyawa penggunanya.

Presiden Persatuan Insaf Murni Malaysia, Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak, berkata methadone adalah ubat pemulihan yang menstabilkan emosi dan fikiran pengguna dadah serta membolehkan mereka berfungsi seperti orang lain. Ia berbeza dengan heroin kerana dadah itu menghapuskan kestabilan penagih daripada segi emosi dan mental.

“Methadone mencegah sindrom pemberhentian heroin dengan mengurangkan kesan ketagihan terhadap dadah. Pengambilan teratur di bawah pemantauan doktor akhirnya dapat membantu menghapuskan terus penggunaan heroin,” katanya.

Menurut Pensyarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Rusli Ismail, kesan methadone tahan lebih lama berbanding heroin iaitu melebihi 24 jam dan ini bermakna pengguna dadah boleh berhenti mengambil dadah yang diambil beberapa kali sehari selama ini. Ia juga memberi mereka kehidupan yang bebas daripada dadah yang membahayakan.

Pada masa sama, pengguna tidak lagi perlu risau mengenai pengambilan dos berlebihan kerana doktor memantau dos diambil.

Ujian membuktikan methadone berjaya meningkatkan hampir setiap fungsi penagih opiat dan membolehkan mereka menjalani hidup produktif seperti biasa, sekali gus meletakkan ia sebagai rawatan paling berkesan bagi ketagihan.

Bagaimanapun, ramai masih skeptikal terhadap program MDST kerana bimbang kesan sampingan jangka panjang. Dr Rusli berkata, seperti ubat lain, methadone juga mempunyai kesan sampingan.

Nesan sampingan ini kebanyakannya berkaitan dengan dos, jadi ia mudah ditangani. Bahkan kesannya jauh lebih rendah berbanding pengambilan ubat penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung dan asma.

Pengarah Perkhidmatan Alkohol dan Dadah, Hospital St Vincent’s merangkap Presiden Yayasan Pembentukan Semula Undang-undang Dadah Australia, Dr Alex Wodak, berkata MDST membantu lebih 30,000 pengguna dadah di negara itu untuk hidup bebas daripada cengkaman dadah.

Namun salah faham terhadap program berkenaan masih ada kerana ramai tidak faham mengenai fungsi dan tujuan sebenarnya.

“Pengambilan heroin dalam tempoh lama menjejaskan kesihatan fizikal dan mental penagih. Ini termasuk hubungan penagih dengan rakan, keluarga dan masyarakat. Pemulihan tidak berlaku sekelip mata dan ia mengambil masa untuk mengembalikan penagih ke tahap normal. Oleh kerana penagihan heroin adalah satu penyakit, pengguna dadah perlu dirawat seperti pesakit lain,” katanya.

Projek perintis MDST pada 2005 membabitkan 1,240 pesakit di lapan hospital kerajaan, dua klinik kesihatan masyarakat dan tujuh pengamal kesihatan swasta. Program ini berjaya membendung 90 peratus penagihan dadah di kalangan peserta selepas 12 bulan pertama. Ia satu pencapaian besar jika dibandingkan piawaian kadar pembendungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 55 hingga 60 peratus.

MDST setanding dengan program yang berjaya dilaksanakan di Poland, Lithuania dan Ukraine. Di samping itu, 73 peratus daripada pesakit di bawah program ini juga diterima bekerja dan berikutan itu kerajaan merancang menyenaraikan sekurang-kurangnya 75,000 pesakit lagi menjelang 2015.

Presiden Majlis Aids Malaysia dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan PPUM, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata MDST menghapuskan penggunaan atau perkongsian jarum di kalangan pengguna dadah kerana methadone diambil secara oral (makan).

Menurutnya, penghidap HIV positif di bawah program ini menunjukkan paras keserasian lebih baik terhadap rawatan Antiretroviral (ARV) dengan kadar kejayaan sama berbanding kes HIV positif di kalangan bukan penagih dadah.
Sokongan semua pihak penting untuk mengawal masalah ini. Pada masa sama, stigma terhadap doktor yang merawat pengguna dadah menerusi program pengurangan kemudaratan ini juga perlu dikikis kerana mereka mahu membantu menyelamatkan anak bangsa.

Sehubungan itu, PPUM menubuhkan Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) dan Klinik Penyelidikan Methadone bagi memberi lebih banyak ruang kepada penyelidikan dan tempat kepada pengguna heroin mendapatkan rawatan. 

Sumber: sini

AHP: Ada yang memberikan pandangan melalui emel bahawa untuk mengatasi masalah berkaitan dadah kita perlu mengubah keseluruhan system. Tak berbaloi jika rawat, rawat dan rawat tetapi punca masalah tak diatasi. Aku setuju tetapi kita tidak boleh tunggu 'segalanya selesai' sebelum membantu.Apabila pesakit berkaitan gian atau perlu dirawat, mereka tidak peduli pun system, prinsip atau perjuangan kita.