Sunday, March 06, 2011

LANGKAH PENCEGAHAN SEMASA URUS JENAZAH PESAKIT HIV, Sars DAN H1N1


MEMAKAI sarung tangan, baju panjang dan pelitup adalah satu kemestian semasa mengurus jenazah pesakit yang menghidap Influenza A atau flu H1N1.
Langkah-langkah pencegahan yang diambil syarikat pengurusan jenazah itu tidak banyak berbeza daripada pengurusan jenazah pesakit HIV/Aids.
Ketika dihubungi semalam, Ustaz Mohd Roslan Sambri, 45 tahun, daripada Jasa Budi Muslim Casket Services & Marble Contractor, berkata langkah-langkah pencegahan itu diambil bagi memastikan tidak berlaku penularan penyakit berjangkit.
'Seperti jenazah pesakit HIV/Aids, jenazah pesakit flu H1N1 mesti dimandikan di hospital. Selain mengenakan sarung tangan, gogal, pelitup dan baju panjang, kami juga perlu menguruskan mayat itu dengan berhati-hati dan cermat sehingga jenazahnya disemadikan di Pusara Abadi.
'Namun langkah-langkah pencegahan yang diambil tidak seketat semasa kami menguruskan jenazah pesakit Sindrom Sesak Nafas Mendadak atau Sars,' ujar beliau.
Ustaz Mohd Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam menguruskan jenazah pesakit flu H1N1 baru-baru ini.
MOH berkata orang yang menguruskan jenazah perlu memastikan jenazah pesakit flu H1N1 diuruskan dengan berhati-hati.
Keluarganya perlu memakai pelitup ketika menuntut jenazah dan keranda perlu ditutup rapat setiap masa.
'Kami sedar risiko jangkitan penyakit berjangkit dan memahami mengapa kami perlu mengenakan pakaian perlindungan yang lengkap,' ujar Ustaz Mohd Roslan yang pernah menguruskan tiga jenazah pesakit HIV/Aids sebelum ini.
Sejauh ini tiga rakyat Singapura menjadi korban H1N1.
Lebih 74 pesakit lain kini dirawat di hospital dengan lima di dalam Unit Jagaan Rapi (ICU).
Lebih separuh pesakit yang dijangkiti flu di sini didapati dijangkiti virus H1N1 dan Menteri Kesihatan, Encik Khaw Boon Wan, berkata penularan H1N1 akan memuncak dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.
Hajah Jameela Bee Mohd, 43 tahun, daripada syarikat yang sama, berkata pengurusan jenazah pesakit flu H1N1 tidaklah seberat mengendalikan jenazah pesakit Sars.
'Bagi jenazah pesakit Sars, kami tidak langsung dibenarkan memandikan mayat kerana ia mudah berjangkit dan merbahaya. Namun, baiknya pengurusan di hospital ialah mereka menyediakan pelbagai kelengkapan yang diperlukan, termasuk penggunaan beg hitam,' ujarnya.
Encik Abdul Salim Kunju Mohd, 40 tahun, daripada Syarikat Pengurusan Jenazah Al Amanah, berkata garis panduan yang ditetapkan MOH itu amat berguna, terutama bagi syarikatnya yang baru setahun beroperasi.

Sumber: sini

AHP:   Ini cerita dari Singapura tetapi apa salahnya untuk renungan bersama. Jangan dirisau tentang cara kematian, lebih baik risau tentang bekalan untuk perjalanan abadi. Urusan pengurusan jenazah mangsa epidemic memang begitu. Semua makhluk akan mati dan apabila sampai masanya terpulanglah kepada orang yang hidup melaksanakan tuntutan Fardhu Kifayah. Mulia atau hina seseorang adalah urusan Allah.