Wednesday, March 23, 2011

MERANA KERANA HIV? MARI BACA PENDERITAAN PESAKIT LAIN PULA...

Aku kongsikan pengalaman dan ketabahan pesakit Hepatitis ini sebagai renungan bersama. Percayalah, HIV bukanlah pengakhir kepada segala-galanya. Ada bermacam-macam penyakit lain berpunca daripada virus yang beratus kali ganda lebih jahat daripada virus HIV. Mari baca...

Dah lama tak menulis cerita di sini. Sekadar coretan pengalaman yang dilalui...

Ketika aku dirawat dan ditempatkan di wad Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, setelah seminggu aku terlantar tanpa boleh bergerak ke kiri atau ke kanan. Anak-anak yang menemankan aku, mereka tetap merapikan wajah dan penampilan diriku seawal jam 4:00 pagi. Sebelum jururawat datang untuk memandikan aku, (anak-anak tidak berani nak buat sebab banyak tiup-tiup yang terpasang di tubuhku, mereka takut tercabut salah satu tiup yang ada itu, terutama tiup yang dipasang di tulang belakang) mereka akan membersihkan wajah ku dahulu, mencuci rambutku.

Oleh kerana rambut ku panjang, agak sukar untuk di shampoo, mereka telah memotong rambutku. Mereka memotong rambut ku ibarat seperti memotong tali sahaja. Aku terpaksa akur, demi kebersihan dan keselesaan diri. Lagi satu, aku sentiasa berbaring terlentang sahaja, jadi tidak selesa berambut panjang dan aku pula sentiasa bertudung selama berada di wad itu.Satelah selesai dibersihkan muka dan kepala, barulah jururawat datang untuk memandi dan membersihkan bahagian - bahagian lain. Selesai itu, barulah aku bertayamum untuk solat subuh.

Tapi kini rambut ini telah banyak yang gugur. Bila rambut gugur begini banyak , aku dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan hati aku. Aku juga kerap mengalami kegatalan kulit. Keadaan ini aku sudah pernah alami semasa terdapat gangguan pada fungsi hati 10 tahun yang lalu. Kenapa aku kata kesihatan hati? Kerana kebanyakan masalah dan penyakit hati melibatkan penyakit kuning (jaundice) akibat peningkatan bilirubin, bahan sampingan hasil kematian sel darah merah. Kebiasaannya, hati yang sihat akan menapis bilirubin dari darah dan membuangnya melalui hempedu. Bagi hati yang rosak, termasuk akibat hepatitis, proses penapisan bahan sampingan ini mungkin terjejas. Ianya juga berlaku disebabkan gangguan pengaliran air hempedu di dalam hati disebabkan sel yang membengkak dan rosak.

HEPATITIS boleh menyebabkan hati yang sihat (atas) membentuk sirosis (kiri) dan seterusnya kanser hati. Di mana kedudukkan hati ? Hati atau hepar (dalam bahasa Greek), merupakan organ dan kelenjar terbesar di dalam badan dan berada di sebelah bawah tulang rusuk kanan. Hati mempunyai dua bahagian utama, kiri dan kanan, beserta pundi hempedu di bawahnya. "Hati adalah organ penting untuk menapis bahan berbahaya dari dalam darah dan membuangnya dari badan. Hati juga penting untuk penghadaman dan metabolisme protein serta karbohidrat."

Antara sakit hati dan rosak hati berbeza. Sakit hati adalah istilah orang ramai yang biasanya merujuk kepada sakit di bahagian hati yang mana puncanya adalah berbagai seperti jangkitan virus hepatitis. Ianya juga boleh disebabkan oleh hati yang bernanah (abscess) atau masalah batu hempedu.

Kerosakan hati pula melibatkan radang atau kebengkakan pada hati disebabkan oleh penyakit kronik seperti virus hepatitis B atau C, yang boleh membawa kepada sirosis hati dan kegagalannya untuk berfungsi. Perlu difahami bahawa kerosakan hati boleh berlaku tanpa pesakit merasai sebarang kesakitan.

"Hepatitis boleh membawa kepada sirosis (pengerasan hati) dan juga kanser hati!"

Hepatitis boleh membentuk sirosis iaitu pembentukan tisu parut pada hati bagi menggantikan sel hati yang mati akibat jangkitan virus, atau bahan kimia tertentu. Sirosis pula boleh membawa kepada kanser hati!

"Hepatitis sememangnya menggerunkan. Saya pernah berjumpa pesakit yang menangis tiba-tiba, ketakutan akibat terlalu banyak maklumat, dan mungkin telah salah faham mengenai situasi yang dihadapinya.

"Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan,"

Sirosis terbentuk daripada hepatitis kronik setelah bertahun-tahun dijangkiti virus tersebut. Di bawah mikroskop elektron, virus hepatitis kelihatan seperti bunga bulat tetapi sangat bahaya.

Gejala penyakit hati, termasuk hepatitis, termasuklah hilang selera makan, penurunan berat badan, pening, kencing kuning pekat dan tahi warna kelabu macam tanah liat. Gejala yang timbul juga bergantung kepada tahap kerosakan yang menjejaskan fungsi hati.

"Malaysia dan rantau Asia mencatatkan paling banyak penyebaran virus hepatitis secara menegak (vertical), dari ibu kepada anak, dalam kandungan atau semasa dilahirkan. Dan, hanya HBV yang boleh dijangkiti secara menegak.

"Namun, ada juga pesakit yang dijangkiti HBV atau HCV ketika sudah dewasa, pada usia 30-an atau 40-an, melalui perkongsian jarum, pemindahan darah atau organ, dan juga jika mereka sering bertukar pasangan seks."

Jika penyebaran virus hepatitis secara menegak juga tidak mungkin, kerana mak tidak ada virus hepatitis B, dan Muhammad Imran anak yang aku kandung setelah disahkan ada virus hepatitis B juga tidak dijangkiti selepas ujian dilakukan sebaik Imran lahir. Tidak ada seorang pun anak aku dijangkiti virus ini , begitu juga zaujku walaupun kami telah melakukan hubungan seks hampir 25 tahun. Segalanya adalah dalam urusan dan perancangan Allah. Siapa yang akan dijangkiti dan tidak dijangkiti.

Bagimana aku mendapat jangkitan virus ini? Dari teori perubatan di atas, yang ditolak adalah melalui bertukar pasangan seks! tidak mungkin dijangkiti melalui seks kerana sama ada aku atau zauj tidak sekali pernah bertukar-tukar pasangan teman tidur.

Perlu difahami bahawa untuk HBV dan HCV, darah menjadi punca penyebaran utama. Hepatitis bukannya satu penyakit keturunan atau genetik!

Tidak mengapa, ini hanya sekadar ujian Allah sahaja untuk melihat sejauh mana keimanan ku dan sesabar mana hati menghadapinya. Moga aku terus diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam melalui kehidupan ini. Ingat anak-anak ummi, bahawa hep B yang ada di dalam tubuh ummi bukan penyakit keturunan atau genetik. Usah merasa takut dan gentar akan penyakit ini.

 
Sumber: sini