Thursday, March 03, 2011

PETAKA BERGANDA SEORANG PEMBAWA HIV


Berdasarkan kisah benar yang aku olah semula…
Din (bukan nama sebenar) adalah bekas gay berusia 32 tahun. Suatu hari Din telah demam teruk dan pergi mendapatkan rawatan di sebuah Private Medical Centre (PMC).
Mula-mula Din disyaki menghidap TB tetapi selepas beberapa kali keluar masuk PMC tersebut dan setelah menjalani beberapa siri ujian darah, Din akhirnya disahkan HIV positif.
Sejak itu Din merasakan masa depannya gelap gelita. Din sedar kesilapan lampaunya tetapi Din tidak ada sesiapa untuk berkongsi masalah dan kebimbangan.
Untuk mengadu masalah kepada kedua ibu bapa adalah satu perkara yang mustahil. Din tak sanggup mendedahkan kisah hitam silamnya kepada mereka. Din tidak sanggup meremukkan hati kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban mendidik Din dengan sempurna.
Selama ini perlakuan songsangnya dapat Din simpan dengan kukuh daripada pengetahuan keluarga. Bukan Din tidak sedar dosa pahala tetapi gelora jiwa muda membelenggu hidupnya ketika itu.
Din mula tersasar semasa menuntut di salah sebuah IPTA bersama teman sekolej. Perawakan yang kacak, kemas dan bersopan santun menjadikan Din rebutan di kalangan gay. Aktiviti tersebut berlanjutan sehingga Din bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah jabatan. Ketika itu langkah Din semakin panjang sehingga beberapa kali bertukar pasangan.  
Semasa di rumah, Din adalah anak yang baik dan menjadi kebanggaan ibu bapa. Din dididik dengan pendidikan agama yang sempurna dan selalu menjadi contoh di kalangan sanak saudara. Berterus terang tentang kisah lampau umpama membunuh diri dan memusnahkan segala kepercayaan serta nama baik keluarga.
Din kini betul-betul berubah, bertaubat dan kembali mendalami agama. Suka atau tidak Din terpaksa merahsiakan masalah tersebut. Din keliru dengan situasi yang dihadapinya dan memilih untuk menjalani rawatan alternatif. 

Setakat ini fizikal dan kesihatan Din masih bertahan tetapi berapa lamakah masa yang Din ada? Bayangkan kemungkinan kemampuan imunisasi merosot teruk dan jumlah virus semakin membiak di tubuh Din. Bagaimana jika rawatan secara klinikal selepas ini telah terlewat?
Kenapa Din hanya memilih rawatan alternatif dan enggan mendapatkan rawatan di hospital?

Bukan Din tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital tetapi Din tidak sanggup membayangkan jika terpaksa mengambil HAART dan berdepan dengan komplikasinya.
Din bingung untuk menjawab segala soalan dan berdepan stigma jika keluarganya tahu dia seorang HIV positif.

Jika mendapat rawatan HAART, bagaimana Din mahu merahsiakan masalah jika fizikalnya berubah, muntah-muntah, tidak bermaya dan terpaksa memohon cuti kepada majikan? Apa alasan yang boleh Din berikan sedangkan Din kini menetap bersama keluarga?
Berapa lama Din mampu merahsiakan dan menyorokkan stok ubat-ubatan yang perlu sentiasa ada? Bagaimana Din mahu menjelaskan jika ada di kalangan ahli keluarganya bertanya kenapa Din perlu memakan sejumlah ubat, di masa yang tepat seumur hidup? Bagaimana, bagaimana, bagaimana...???!
Din sangat-sangat memerlukan seseorang untuk berkongsi segala kerisauan. Hanya kepada Tuhan Din mengadu dan hanya rawatan alternatif (yang tidak meninggalkan kesan sampingan yang dapat Din fikirkan). Walaupun Din sedar bahawa segala rawatan tersebut tidak dapat dijustifikasikan tanpa ujian CD4 dan Viral load tetapi itu sahajalah cara yang Din mampu lakukan.
Terlalu banyak persoalan di fikiran Din dan tiada seorang pun yang benar-benar memahami. Din terasa dirinya bagaikan debu yang berterbangan ditiup angin.

AHP: Lihatlah, betapa stigma dan judgemental lebih menyakitkan daripada virus HIV itu sendiri. Din kehilangan arah dan mungkin membawa rahsianya ke hujung nyawa tanpa rawatan wajar akibat stigma melulu. Bagaimana jika Din kembali tersasar dan mengambil jalan singkat untuk menamatkan penderitaannya? Adakah kita sedang bergembira dan berpuas hati wahai teman?
HENTIKAN STIGMA DAN JUDGEMENTAL!
Bantulah Din. Din bukanlah terlalu 'jahat' untuk dibiarkan merana begitu. Din cuma sebahagian daripada kita yang Allah beri peringatan istimewa kerana Allah sayangkan Din. Mulia sangatkah kita? Lebih ramai yang hipokrit, berhati puaka dan laknat di luar sana tetapi dipuji dan dipuja demi kuasa, pangkat dan harta!