Tuesday, March 01, 2011

SAMAN? UNTUK APA?

(ENTRY INI SEBAGAI JAWAPAN RASMI TERHADAP BEBERAPA SOALAN PENGUNJUNG DI EMEL KU)
Secara jujurnya, ini adalah antara entry yang seboleh-bolehnya aku cuba elakkan. Ianya membuatkan aku stress mengenang kembali perkara yang aku cuba lupakan. Flashback ini menyakitkan tetapi demi dokumentasi dan untuk menjawab beberapa pertanyaan, aku perlu jelaskan pendirianku dalam soal ini.  

Betul, kadang-kadang aku masih tertanya-tanya, apakah puncanya aku mendapat virus ini. Bukan kerana aku tidak mahu mengakui kesalahan sendiri tetapi masalahnya aku memang betul-betul tidak tahu.
Menyuntik dadah atau mengamalkan seks bebas memang tidak. Aku sangat clear tentang itu.  Aku juga berpendapat virus ini masih baru kerana aku belum mempunyai apa-apa tanda HIV dan isteri-isteriku bebas virus tersebut. Habis, bagaimana? Aku tak tahu!
Kalau ikutkan perasaan, memanglah aku kecewa. 2 kali aku melalui ujian HIV dan hepatitis selepas menjalani Bone Marow Aspiration (BMA), kedua-duanya negative tetapi tiba-tiba bertukar positive 3 bulan kemudian

Sekali semasa di isolution room (guna HIV tester), sebulan kemudian selepas mendapat keputusan ujian darah di hospital daerah, (masih negative), sebulan kemudian dirujuk ke Hospital Ampang (ambil darah di lengan tu sekali lagi), dan bulan terakhir aku disahkan HIV positif!
Tertanya-tanya, kenapa doctor tak cakap betul-betul bahawa sebagai pesakit diabetes aku sangat berisiko dijangkiti macam-macam virus apabila menjalani pemindahan darah semasa BMA? Kenapa bukan doctor pakar (seperti yang dijanjikan) yang mengetuai prosedur BMA aku?
Adakah darah tersebut betul-betul bersih? Kenapa apabila aku tanya tentang risiko jangkitan darah dan risiko prosedur, doctor terbabit menggambarkan seolah-olah langsung tiada risiko dan sangat mudah? "Tak ada apa-apa, sakit sikit je. Cuma lebih kurang 15 minit." 15 minit apa? Dekat sejam dengan 3 tusukan sekaligus. Sudahlah begitu, sampel kemudian dikatanya tak cukup. Prosedur tersebut dikatakan sebenarnya tidak perlu. Tak perlu kenapa kau orang buat? Try and error? Aku bukan tikus makmal!

Akibatnya aku phobia masuk hospital! Nampak saja hospital, aku menggelabah. Kebetulan laluan harian ku berhampiran hospital, aku buat-buat tak nampak bangunan yang mengerikan tu. Kalau terpaksa menziarahi saudara mara yang sakit, aku seboleh-bolehnya mengelak! Sehabis daya aku cuba balik secepat mungkin. Kalau ikutkan pessimistic, aku rela mati di rumah daripada dimasukkan ke hospital.

Sakitnya terasa sampai sekarang tau tak? Masih terdengar-dengar bunyi "kletup, kletap,kletup, kletap" alat seperti screwdriver tu semasa menggerudi tulang punggung. Punggung dan pinggangku cepat lenguh. Apabila mengangkat barang-barang agak berat atau melakukan senaman yang agak lasak, serta merta kawasan tersebut terasa sakit dan ngilu. Kalaulah aku tahu tentang risiko-risiko tersebut termasuk isu ‘window period,’ aku takkan bersetuju untuk menjalaninya.
Kebetulan ibuku memang tak setuju sejak dulu. Sampai sekarang mak aku cakap, “tu lah, mak dah larang dulu kau nak buat juga.” Kalaulah mak tahu aku HIV positif, ‘masak’ aku dileternya. (ketika window period dan jumlah virus di bawah 50  copies, kehadiran virus tidak dapat dikesan melalui ujian antibody HIV).
Sampai sekarang masih terbayang-bayang muka ketakutan dan ngeri 4,5 orang doctor pelatih yang mengerumuni aku semasa prosedur tersebut. Ramai betul yang perlu ada semasa BMA? Itu tak termasuk nurses yang turut menonton punggung hodohku! Masih terdengar-dengar suara M.O Cina muda memberi arahan, “now, you try!” "try kau kata?" Nampak sangat malpractice!
Urusan review segala ujian darah sebulan selepas itu pun semuanya dilakukan oleh doctor pelatih. Doctor pakar (seperti yang tertera namanya di borang temujanji aku) ghaib entah ke mana. Lebih baik tak payah tulis nama doctor kalau mana-mana doctor pun boleh handle!

Terkial-kial doctor pelatih tadi call sana sini dan terpaksa mencari doctor pakar yang sepatutnya berjumpaku sebelum membuat sebarang keputusan. “sekejap ya, doctor melawat pesakit di wad,” “sekejap ya, doctor makan,” “sekejap ya, doctor sibuk,” itulah berulang-ulang kali nurse cakap. Sedar-sedar aku menunggu sejak 11 pagi hingga lebih  pukul 4 petang. Kemudian kes aku dirujuk ke Hospital Ampang, kononnya suspek multiple myeloma.
Macamana fail rawatan aku ‘hilang’ dalam tempoh hanya sebulan? Macamana manual penyimpanan fail kes sepenting itu? Kenapa 3 kali tusuk pun, sample masih tak cukup? Aku bohong? Mari sini, ada parut kat punggung ni hah!

Bila aku ceritakan kes-kes kecuaian yang aku lalui semasa di hospital daerahku ini kepada adik beradik dan rakan-rakan rapat, ramailah ‘peguam’ tak terlatih mencadangkan aku mengemukakan saman. Lagi sekali, kalaulah mereka tahu aku HIV positif, mesti lagi kelam kabut dengan pelbagai teori dan andaian.
Cakap memang mudah tetapi mana evidence base nya? Aku tiada kemahiran di bidang perubatan untuk memahami keputusan ujian-ujian darah kecuali berpandukan andaian dan pendapat beberapa orang doctor swasta yang menjadi kenalanku. Itu pun mereka tidak mengetahui kronologi kes dan penyakit sebenarku. Sudah tentu semua ini memerlukan perbahasan yang tiada kesudahan.

Surat persetujuan dan akur dengan risiko pemindahan darah sudah aku tanda tangani. Saman menyaman apa untungnya? Tuntut ganti rugi? Tak payahlah, dapat 100 juta pun tidak bermakna kalau virus ini tetap ada di dalam tubuhku. Entah ya, entah tidak! Jangkitan boleh berlaku dengan berbagai cara jika Allah dah takdirkan. 

Kalau ya sekalipun aku malas nak fikirlah! Aku akur, andaikan ianya berpunca daripada kecuaian pihak hospital, mereka yang terbabit tidak berniat begitu.
Yang aku pertikaikan cuma etika dan professionalism!  Cakap betul-betul dan terus terang apa salahnya? Jangan asyik nak cepat dan desak pesakit ikut sahaja yang kau orang cakap! Aku pun 1 hal, lurus bendul...

Aku tak mahu pening-peningkan kepala menjadi glamour di media sedangkan kes belum tentu menang atau kalah. Confirmed menang pun aku TAKKAN SAMAN! Duit bukanlah segala-galanya. Sikap menuding jari akan menambahkan tekanan aku.

Aku tak mampu lagi hidup dengan kontroversi. Stamina aku dah tak kuat. Aku tak mahu menambah tekanan dan cukuplah huru hara yang sudah berlalu. Tekanan sekarang pun dah tak tertanggung, inikan pula nak berdepan dengan urusan mahkamah. Nak menjerit, meraung pun apa gunanya?
Seperkara lagi ialah, apabila aku mendapat kaunseling dengan Dr. Iskandar, banyak membaca pengalaman bakal doctor-doctor hebat dan prihatin seperti Dr Mohd Faizal dan Dr. Izzah ini, ianya membuka minda dan menjadikan aku lebih memahami jerih perit perjuangan kakitangan perubatan membantu pesakit.
Bersangka baik, memaafkan dan redha dengan ujian Allah lebih mendamaikan aku untuk melalui sisa-sisa kehidupan. Pasti ada hikmah-Nya. Jadi, fahamlah sekarang kenapa aku tak mahu fikir tentang saman menyaman, kan? Jangan tanya lagi selepas ni ya... MAAF JIKA TERKASAR BAHASA. PEACE!

AHP: Banyak sangat sikap sambil lewa dan malpractice yang aku alami sendiri semasa di hospital tetapi mana-mana yang lebih kurang tu kita kena bertolak ansurlah.  

Teringat ketika mula-mula disahkan HIV positif tempohari, aku memanggil kedua-dua isteriku, menyatakan kepada mereka bahawa aku bukan bermaksud mahu melukakan tetapi perlu jujur mengatakan; jika mereka tidak mahu menanggung hidup susah bersama seorang pembawa virus HIV, aku bersedia membebaskan mereka.
Kejam dan kasarkah aku? Suka atau tidak aku perlu berikan mereka hak tersebut walaupun sampai sekarang aku tidak tahu apa sebenarnya rasa hati mereka ketika aku melafazkannya. Setidak-tidaknya mungkin terlintas di fikiran mereka bahawa aku seperti  tidak yakin dengan kesetiaan dan kasih sayang mereka.
Point aku ialah, lihatlah betapa sukarnya melalui kehidupan sebagai seorang PLHIV. Jika cepat menggelabah dengan ujian Allah, kita sendiri yang akan membuat diri kita merana.

Tolonglah usah ditambah penderitaan dengan stigma dan judgemental itu.