Tuesday, March 08, 2011

HIV/AIDS DAN JANGKITAN KELAMIN DI KALANGAN WANITA


Saya telah bertugas di negeri di bawah bayu selama sembilan tahun. Pelbagai pesakit telah saya jumpa. Pengalaman saya yang pertama adalah Pn. M. Beliau merupakan seorang ibu yang bertudung, telah dirujuk kepada saya setelah beliau berkali-kali dikesan mengalami penyakit gonorea iaitu salah satu jenis penyakit kelamin.

Tanda-tandanya ialah terdapat cecair busuk dan kegatalan di tempat kemaluannya. Beliau tidak pernah mengamalkan hubungan berbilang pasangan, namun beliau terus dijangkiti gonorea walaupun telah dirawat berulangkali. Pasangannya hanyalah suaminya.

Jadi, rumusan kami, beliau pastinya mendapat jangkitan daripada suaminya. Sayangnya, si suami enggan datang ke klinik untuk rawatan, malahan menuduh Pn. M telah menjangkitkan penyakit kelamin kepadanya. Jadi, Pn. M terpaksa menanggung natijah dirawat berkali-kali hasil daripada keengganan suaminya mendapatkan rawatan.

Pengalaman saya yang kedua, seorang pesakit yang baru saja lepas melahirkan anak. Beliau masih muda, seawal 30 tahun umurnya. Tapi sayang, pada usia semuda begitu, beliau telah menanggung gelaran sebagai ‘pesakit HIV’. Bila ditanya, beliau mengaku cukup menyesal kerana cukup ‘liar’ di waktu remajanya.

Hasil keruntuhan rumahtangga kedua-dua ibubapanya, beliau bebas keluar rumah dan bercampur dengan sesiapa sahaja. Dia tidak pernah terfikir hasil pergaulan bebasnya membawa impak yang cukup besar. Dengan HIV, beliau bakal terdedah menjadi pesakit AIDS dan seterusnya maut. Manakala status bayi comelnya masih belum dapat dipastikan.

Beralih kepada pengalaman yang ketiga, Cik S yang saya temui untuk penyakit hepatitis B kronik. Beliau merupakan penuntut tingkatan 5 yang bakal menduduki Peperiksaan SPM. Seawal usia tersebut, beliau mendapat kuman hepatitis daripada ibunya semenjak beliau bayi. Namun, apa yang dikesalkan, bila ditanya adakah beliau mengamalkan penggunaan kondom semasa melakukan hubungan seks (jangan terkejut kerana anak-anak muda kita sekarang memang aktif segala-galanya), pantas beliau menidakkannya.

Alasannya, pasangannya tidak kisah sekiranya dijangkiti kuman yang sama. Mungkin beliau memandang inilah pengorbanan atas nama cinta tapi sedarkah mereka yang penyakit hepatitis yang mudah dijangkiti melalui hubungan seks ini, boleh membawa kerosakan hati dan kanser seterusnya kematian dalam jangka masa panjang.

Sekadar menyebut beberapa kes untuk sama-sama berkongsi pengalaman. Ketiga-tiga pesakit hanyalah sebahagian wajah-wajah yang mewakili golongan wanita di negara kita.

Kenyataannya, ramai wanita masih cetek pengetahuan berkenaan penyakit kelamin. Pendapat yang mengatakan hanya wanita tertentu sahaja yang boleh dijangkiti HIV atau penyakit kelamin ternyata boleh disangkal. Usah terkejut kerana kes suri rumah menghidapi HIV akibat angkara si suami bukan perkara asing lagi di negara kita.

Perangkaan negara kita menunjukkan peratusan wanita yang menghidapi HIV telah meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. Ini amat membimbangkan memandangkan sebilangan besar daripada mereka merupakan golongan muda, sekitar tahun 20an dan 30an.

Apabila golongan muda ini terdedah, sudah pasti terdapat risiko jangkitan HIV ini pada bayi sekiranya mereka mengandung. Majoriti daripada kes-kes HIV di kalangan kanak-kanak adalah berpunca daripada ibu. Sangat menyedihkan melihat bayi-bayi yang tidak berdosa ini turut menanggung beban, natijah perbuatan ibu atau bapanya.

Sumber: sini