Sunday, March 06, 2011

ANTARA DILEMMA PASANGAN HIV


RAHIM, 47, dan Lina, 26, berkahwin pada September tahun lalu dalam keadaan kedua-duanya disahkan dijangkiti virus HIV dan memiliki seorang anak daripada perkahwinan masing-masing sebelum ini. Ikuti pengalaman hidup penuh getir pasangan suami isteri itu dan debaran mereka menyambut kelahiran orang baru seperti dicerikan kepada wartawan Metro Ahad, FUAD HADINATA YAACOB dan SHAMRAN SARAHAN.

KUALA LUMPUR: Kandungannya kini berusia enam bulan, namun jika wanita lain tidak sabar-sabar menunggu kelahiran cahaya mata, lain pula bagi Lina yang disahkan pembawa virus HIV sejak 2005.

Status sebagai penghidap HIV dan bersuamikan lelaki yang turut dijangkiti virus maut itu menyebabkan Lina bimbang memikirkan status kandungannya yang dijangka lahir hujung Julai depan.

Lina berkata, risiko bayi itu dijangkiti virus HIV tetap ada dan faktor itu sangat merisaukannya, apatah lagi hari ditunggu-tunggu bakal tiba kurang empat bulan lagi.


“Jika ibu lain gembira dan tidak sabar-sabar menanti kelahiran cahaya mata, perasaan saya pula bercampur baur — berdebar, runsing dan takut apabila mengenangkan nasib anak yang bakal lahir.

“Mengikut kata doktor, risiko dijangkiti rendah dan kerana itu saya tidak boleh bersalin secara normal, sebaliknya hanya melalui pembedahan untuk mengelak jangkitan.

“Meskipun risikonya rendah, ia tidak mustahil dan saya berharap serta sentiasa berdoa anak ini tidak dijangkiti, malah boleh hidup seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurut ibu muda itu lagi, dia turut sedih apabila tidak dapat memberi susu badan kepada bayi yang bakal lahir kerana ia antara faktor atau penyebab jangkitan.

Katanya, apa yang berlaku kepadanya serta anak yang bakal lahir hanya Tuhan yang tahu dan dia reda serta bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Bukan saya minta jadi begini dan juga bukan kesalahannya (anak ini) jika ditakdirkan dia mendapat virus HIV, ini kuasa Tuhan dan saya hanya mampu berserah,” katanya yang disahkan dijangkiti HIV pada usia 23 tahun.

Lina mendapat virus HIV daripada suami pertama melalui ikatan perkahwinan yang dimeterai pada 2000.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 2001 yang kini berusia tujuh tahun. Bagaimanapun, anaknya yang kini bersekolah di darjah satu tidak dijangkiti.

Suami pertamanya disahkan pembawa virus HIV pada 2003 dan pada 2005 virus itu menyerang otaknya sehingga menyebabkan kematian pada Julai tahun sama. Selepas itu, Lina yang menjalani ujian darah turut disahkan mendapat HIV.

“Selepas diberitahu saya mendapat HIV, saya sangat sedih dan hanya mampu berserah. Saya tidak marah kepada suami kerana sepanjang perkahwinan kami, dia suami dan lelaki yang baik, malah tidak pernah mengambil dadah.

“Namun sebelum dia ‘pergi’, suami beritahu, ketika usianya belasan tahun, dia selalu ikut kawan melanggan dan bertukar-tukar pasangan di merata tempat,” katanya.

Sejak menjadi ibu tunggal, Lina meneruskan kehidupan seperti biasa bersama anaknya, termasuk bekerja untuk mencari nafkah. Dia turut mengikuti program berkaitan HIV/Aids yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan PT (Pink Triangle).

Melalui aktiviti itu, dia bertemu lelaki yang juga penghidap HIV, Rahim, 47, yang kini suaminya.

Begitupun, hasrat Lina mengahwini Rahim ditentang keluarga kerana mereka menghidap penyakit sama.

“Keluarga tak izinkan saya kahwin kerana kata mereka buat apa cari pasal, saya sakit, dia pun sakit. Namun pada saya, berkahwin dengan orang yang ada penyakit sama, kita lebih memahami dan sekarang, terutama selepas saya mengandung, mereka mula terima kami,” katanya.

Pasangan itu mengambil keputusan berkahwin September lalu dan sebulan kemudian Lina disahkan mengandung dan ia perkara yang tidak dijangka.

“Selepas berkahwin, saya tak terfikir hendak anak lagi, cukuplah seorang, tetapi rezeki ini Tuhan yang bagi, saya terima. Sepanjang melakukan hubungan kelamin, kami menggunakan kondom dan ada ketikanya tidak kerana kami menghidap penyakit sama, tiada apa perlu dirisaukan,” katanya.

Bagi mengelak bayi dikandung itu dijangkiti, Lina kini bergantung dengan dua jenis ubat pencegah, Calitra yang diambil tiga biji sehari serta Combivir, sebiji sehari sejak kandungannya berusia lima bulan.

Katanya, jumlah kuantiti ubat itu akan meningkat apabila kandungannya mencecah tujuh bulan sehingga bersalin iaitu empat biji Calitra dan dua biji Combivir.

“Saya kini bergantung dengan ubat-ubatan ini yang diperoleh dari hospital kerajaan secara percuma. Saya bersyukur kerana diberi percuma, jika beli ia berharga RM980, tentu saya tak mampu,” katanya.

Begitupun, di sebalik pengambilan ubat itu, Lina bimbangkan kandungannya kerana dos ubat itu kuat dan boleh memberi risiko kepada bayi, antaranya cacat.

Mengenai masa depan dia sekeluarga, Lina berkata, semuanya diserahkan kepada Tuhan dan dia berusaha menjalani kehidupan secara normal seperti keluarga lain.

“Jika ditakdirkan saya dan suami ‘pergi’ dulu, kami berserah. Meskipun sedih kerana kedua-dua anak kami akan jadi yatim piatu, saya hanya mampu berdoa supaya mereka membesar menjadi manusia berguna.

“Sebelum ini saya berbincang dengan keluarga mengenai masa depan anak, jika kami tiada satu hari nanti, emak dan ayah bersedia menjaga mereka dan itu melegakan kami,” katanya.

“Pernah saya terfikir hendak melakukan jenayah. Saya tidak peduli, sekalipun mati ditembak polis atau dihukum mati di tali gantung. Saya seperti ‘tengkorak hidup’ yang tidak bernilai kerana kini hanya menunggu masa untuk mati.

“Namun, syukur kata-kata semangat isteri dan ahli keluarga kembali mewaraskan fikiran saya. Kini, saya hanya berserah pada Allah untuk menentukan nasib saya dan keluarga,” kata Rahim.

Rahim ‘berperang’ dengan virus HIV sejak 2000 dan hayatnya ketika ini banyak bergantung dengan penggunaan sejenis pil dinamakan pil ‘HAART’ iaitu ubat melambatkan virus HIV ‘memakan’ sel darah putih dalam tubuhnya.

Kesukaran mendapatkan wang untuk menyara hidup dan keluarga, selain terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat terhadap pembawa HIV, membuatkan hidup Rahim sering tertekan.

“Bagaimana hendak hidup kalau tiada wang? Anak isteri pun nak diberi makan dan minum. Jika terlalu difikirkan, saya boleh gila.

“Namun, saya akur dan reda. Mungkin inilah balasan yang terpaksa saya tanggung atas kesilapan lalu,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Rahim, akibat penyakit itu juga, dia tidak memiliki tenaga kuat untuk bekerja seperti orang biasa.


“Jika saya bekerja mengambil upah memotong rumput di rumah jiran, saya terpaksa habiskan kerja berkenaan selama tiga hari, sedangkan orang lain melakukannya sehari saja.

“Saya juga pernah bekerja dengan kontraktor pembinaan, tetapi kerap jatuh sakit. Itu menjadi masalah kerana kebanyakan majikan tidak suka pekerja yang ada masalah kesihatan. Atas sebab itu, saya kerap dibuang kerja,” katanya.

Lagipun, kata Rahim, ada majikan tidak menerima pekerja menghidap HIV yang dianggap berbahaya kepada pekerja lain dan menyusahkan kerana mudah jatuh sakit hingga mengambil masa panjang untuk sembuh.

“Saya boleh rahsiakan penyakit yang saya alami daripada majikan. Masalahnya, saya mudah jatuh sakit seperti demam dan selesema yang berlarutan hingga seminggu. Apabila ini berlaku, majikan tidak akan terima saya.

“Jika saya berterus terang dengan majikan untuk memahami keadaan saya, belum tentu majikan ingin menerima saya kembali.

“Kalau majikan terima sekalipun, belum tentu pekerja lain terima keadaan saya. Masih ramai yang prejudis dengan penghidap HIV,” katanya.

Dalam keadaan dirinya masih bergelut dengan kuman pembunuh itu, Rahim dihimpit beban memikirkan masa depan anak lelakinya berusia 13 tahun yang bakal kehilangan bapa.

Nasib sama bakal menimpa anak tiri daripada isteri yang dinikahinya 1 September lalu. Yang pasti, anak itu bakal menjadi yatim piatu, sekalipun tidak dijangkiti HIV.

Lebih menyedihkan, isterinya, Lina, 26, juga disahkan menghidap virus HIV dan kini hamil enam bulan.

“Saya sedar saya perlu lakukan sesuatu untuk persiapan masa depan mereka, terutama daripada segi kewangan. Namun, keadaan kesihatan saya ketika ini tidak mengizinkan. Saya tidak dapat bekerja kuat.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga banyak memberi sokongan dan sudi memelihara anak saya apabila saya dan isteri ‘tiada’ nanti,” katanya.

Menceritakan detik hitamnya yang lalu, Rahim berkata, dia dijangkiti kuman HIV apabila terjebak dengan penagihan dadah sejak berusia 16 tahun, sekitar 1979.

Menurutnya, selama hampir 20 tahun menjadi penagih dadah tegar dan terjebak dengan amalan seks bebas, tiga kali dia dimasukkan ke penjara dan beberapa kali keluar masuk pusat serenti.

“Kali terakhir saya keluar pusat serenti pada 2000. Ketika itu saya diberitahu, ujian darah menunjukkan saya ada simptom jangkitan HIV.

“Namun saya tidak pedulikan, walaupun dinasihat melakukan pemeriksaan lanjut. Pada 2002, saya jatuh sakit dan ketika ujian darah dilakukan, saya disahkan positif HIV,” katanya.

Selepas itu, Rahim yang insaf dengan kesilapannya mula aktif dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan kerja amal dan memberi kesedaran kepada penghidap HIV supaya tidak berputus asa meneruskan hidup.

Mengenai perkahwinannya dengan Lina, Rahim berkata, itu yang ketiga selepas perkahwinan sebelum itu berakhir kerana isterinya meninggal dunia.

Katanya, dia memilih Lina yang juga penghidap HIV kerana akan memudahkan isterinya memahami kesukaran hidup yang bakal dilaluinya.

“Isteri kedua juga pembawa HIV dan meninggal dunia kerana penyakit Aids (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit). Selama dua tahun saya bersamanya. Selepas itu, saya bersama Lina pula. Memang ada tentangan daripada keluarga, namun kini mereka mula faham mengapa kami ingin bersama,” katanya.

Rahim berkata, dia bersyukur ditemukan jodoh dengan Lina. Ini kerana Lina bukan saja bertanggungjawab, bahkan banyak memberi sokongan dan dorongan untuk terus hidup.

“Ada yang bertanya, adakah tindakan saya betul selepas mengahwini Lina. Saya tidak silap memilih Lina. Kami pembawa HIV dan itu banyak membantu kami meneruskan sisa hidup.

“Apabila saya sakit, dia faham keadaan saya, begitu sebaliknya. Kami sedar hidup kami tidak lama dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan,” katanya.

Bagi Rahim, tidak salah pesakit HIV memilih untuk hidup berkeluarga jika pasangan adalah pembawa virus itu.

Katanya, mereka juga perlu diberi peluang menikmati hidup berkeluarga dan mengecap kebahagiaan.

“Kami sudah ‘dihukum’, setidak-tidaknya penghujung riwayat kami dapat hidup bahagia bersama anak,” katanya.


Sumber: sini

AHP: Kepada mereka yang mempunyai pasangan HIV, fikirkanlah dengan mendalam sebelum mengambil keputusan berkahwin. Yang sudah berkahwin tu, lain situasinya.