Sebagai perkongsian untuk semua pembawa HIV positif, ahli keluarga mereka dan renungan bersama. against stigma, judgmental, negative thinking, discrimination and malpractice!
Monday, March 28, 2011
3 BULAN SELEPAS AKU DISAHKAN HIV POSITIF...
28 Mac 2011, bermakna sudah 3 bulan aku disahkan sebagai pembawa HIV. Berbanding sepanjang bulan pertama, emosiku kini jauh lebih stabil bahkan aku rasa seperti biasa saja. Bezanya cuma aku sangat alert tentang kesihatan diri, menjaga kestabilan rohani dan emosi serta konsisten dengan senaman.
Kalau sesekali rasa lenguh-lenguh badan dan cepat penat tu biasalah. Umur pun dah nak mencecah 44 tahun, ala-ala andropause agaknya. Maklumlah testosterone makin kurang. Kata orang-orang alim, itu tanda-tanda ‘kiamat kecil’ semakin hampir.
Aku akur takdirku cuma kadang-kadang aku ‘sakit’ juga bila memikirkan cara aku dijangkiti virus ini. Bukan nak tuduh menuduh atau saman menyaman tetapi sikap mengelak, unprofessional dan enggan berterus-terang di pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membuatkan aku menderita.
Untuk mengelakkannya menjadi tekanan, hanya kepada-Nya aku berserah dan memohon kekuatan. Doa, sokongan dan nasihat yang aku terima melalui blog ini, oleh rakan-rakan HIV positif dan familiku banyak membantu.
Memang aku masih cetek pengalaman peribadi sebagai pembawa HIV. Aku baru sahaja menempuhnya dan tanpa apa-apa symptoms. Cabaran sebenar belumku rasa. Walau bagaimanapun tekanan menghadapi stigma dan kerisauan terhadap masa depan telah aku lalui.
Kepada pembawa-pembawa HIV baru, usahlah panic dan dilayan kerisauan tersebut. Cari maklumat sebanyak mungkin tentang HIV dan dapatkan sokongan rakan HIV senior yang lain. Jangan takut mendapatkan rawatan. Hidup mesti diteruskan.
Sebenarnya berbanding kebanyakan ujian penyakit-penyakit kronik lain, ujian sebagai HIV positif sangat minima. Bahkan dalam banyak keadaan kita sebenarnya sangat beruntung. Beruntung kerana virus ini masih boleh dirawat, beruntung kerana diberi peringatan awal dan beruntung dapat menikmati kehidupan dengan cara yang berkualiti.
STIGMALAH MASALAH SEBENAR KITA.
Berhati-hatilah jika kawan-kawan mahu berterus terang kepada orang lain mengenai status HIV. Fikir dalam-dalam. Elakkan tekanan yang tak diperlukan dan sebenarnya boleh dihindari. Goofy dan panic sebahagian anggota masyarakat sangat-sangat memenatkan.
Walau pun aku yakin tiada hinanya aku sebagai pembawa HIV tetapi masyarakat kita belum memahami sepenuhnya tentang HIV. Maklumat bercampur aduk dengan stigma dan judgmental. Lebih baik aku merahsiakan jangkitan virus ini selagi terdaya.
Kalau aku berterus-terang, apa perasaan mak aku. Kasihan dia. Umurnya dah lebih 80 tahun. Apa pula kata adik beradikku. Kalau kawan-kawan pula, aku kata begini, mereka akan soal begitu, aku terangkan begitu mereka cadangkan begini. Aku tak larat. Mula-mula yang tahu cuma seorang, kemudian seorang lagi, lagi dan lagi. Akhirnya tak ada apa-apa privacy lagi.
Orang pertama ceritanya hampir tepat 99 %, yang kedua menjadi 80% dan bila yang kesepuluh sudah menjadi fairy tales. Depan mata nampak sangat empathy, siap buat buka sedih sampai mengalir air mata. Di belakang kita jadi cerita sensasi. Kasihan anak-anak aku menanggung fitnah. Macamana jika tiba-tiba sahaja saudara mara atau kenalan melarikan diri atau asyik cuba bertanyakan itu ini.
Itu belum termasuk tekananku di bidang kerjaya. Aku yang berdepan situasi sebenar lebih memahaminya. Bukanlah sesuatu yang pelik jika tiba-tiba sahaja majikanku mendapat memorandum supaya aku ditukarkan ke tempat atau bahagian lain yang tidak berurusan dengan clients. Aku tak larat dipandang seperti alien oleh seorang doctor wanita seperti yang pernah aku alami ketika di hospital. Bukan kita tak faham mentality masyarakat kita. Takkan aku nak ceritakan di sini tentang karier sebenarku dan kenapa aku berpendirian begitu.
Sebagai muhasabah bersama, sangat penting menjaga hubungan dengan Allah. Jangan terlalu ikutkan hati dan logic akal. Sebagai muslim kita punya panduan hidup yang lengkap dunia akhirat.
Pelihara solat, baca dan fahamilah maksud ayat-ayat Al-Qur’an dan amalkan pengajarannya dalam kehidupan (kalau tak larat sangat, sebagai permulaan baca sekurang-kurangnya 1 ayat setiap hari pun memadai asalkan berterusan).
Jadikan ayat-ayat sifa’ sebagai amalan harian. Jangan jemu berdoa dan banyakkan memberi daripada menerima. Seboleh-bolehnya hadirkan diri atau terlibat dalam majlis ilmu. Selawat dan zikir membersihkan hati dan Insya-Allah semuanya akan menjadi sangat tenang dan mendamaikan.
Kepada yang dah memulakan rawatan HAART, jangan lupa makan ubat mengikut masa dan cara yang betul. Supplement food elok diambil jika berkemampuan.
AHP: Semoga kawan-kawan tabah kerana ketabahan itu juga membantuku terus tabah dan berjuang. Jangan lupa hargailah isteri, suami, ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang telah membantu dan menyokong kita tanpa prejudice.