Thursday, March 24, 2011

ISLAM DAN AMALAN HOMOSEKSUAL

Soalan

1.   Apakah pandangan Islam terhadap amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.
2.   Ramai dari kalangan mereka berpendapat bahawa perasaan yang ada terhadap kaum sejenis adalah sesuatu yang semula jadi dalam diri mereka. Mereka terperangkap dengan keadaan. Bagaimanakah seseorang yang cenderung kepada kaum sejenis dapat melawan perasaan sedemikian?
3.   Bagaimana pula mereka dapat berpatah balik?

Jawapan

Islam melarang amalan homoseksual dan lesbian. Al-Quran ada menceritakan kisah nabi Lut yang diutus oleh Allah untuk membaiki kaumnya yang mengamalkan perbuatan ini. Kaum ini kemudiannya dimusnahkan oleh Allah taala kerana kedegilan mereka.

Dalam Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan antara dua orang lelaki dan wanita yang mengikat tali perkahwinan.

Islam juga melarang hubungan seks melalui dubur, hatta oleh pasangan suami isteri. Ini kerana Allah yang mencipta manusia tidak mencipta saluran dubur bagi tujuan seks.

Islam juga melarang lelaki dan wanita untuk memuaskan nafsu seks mereka sendiri.

Islam menganjurkan lelaki dan wanita untuk berkahwin bagi memenuhi naluri seksnya. Ini adalah cara yang lebih sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan kehidupan yang suci.

Persepsi bahawa perasaan sedemikian adalah naluri semula jadi sejak lahir adalah tidak tepat. Islam berpendapat bahawa semua bayi lahir atas fitrah yang murni. Iaitu bersih dari segala kecenderungan yang buruk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Semua bayi dilahirkan atas fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Kenapa Rasulullah s.a.w tidak memasukkan menjadikannya seorang Islam juga? Kerana Islam adalah fitrah semula jadi setiap manusia. Fitrah Islam bersih dari kecenderungan sedemikian.

Kecenderungan itu adalah sesuatu yang mendatang bukan semula jadi. Ia mungkin disebabkan oleh pendidikan, pengaruh sosial, atau penyakit.

Pertama sekali golongan berkenaan mestilah menginsafi dan menerima bahawa kecenderungan itu bukanlah satu kecenderungan yang sihat dan baik. Ia adalah satu amalan yang buruk dari segi sosial, kesihatan dan agama.

Kedua mereka haruslah mempunyai azam untuk mengubah diri. Jika mereka sendiri tiada kemahuan untuk mengubah diri dan tidak berusaha, tiada siapa dapat mengubah keadaan mereka. Allah taala tidak mengubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mahu mad mengorak langkah untuk berubah.

Ketiga setelah mempunyai azam buatlah langkah yang positif, antaranya ialah:

1.      Jauhilah segala elemen dan persekitaran yang berkaitan  dengan kecenderungan itu. Tinggalkan tempat-tempat berkenaan dan jauhi teman-teman yang sedemikian. Dalam sebuah hadits ada mengisahkan mengenai seorang yang telah membunuh nyawa kemudian ingin bertaubat, beliau dinasihatkan agar berpindah ke tempat yang baru untuk memulakan kehidupan yang baru. Sesiapa pun yang mengkaji masalah sosial pasti akan mengetahui akan pengaruh persekitaran dan teman dalam tingkah laku seseorang. Ini tidak bermakna bahawa kita mengasingkan mereka yang berkecenderungan seperti itu, tapi ia adalah langkah awal yang penting untuk satu kehidupan yang baru. Seseorang itu boleh sahaja kembali membantu teman-temannya setelah dia berubah dan mempunyai kekuatan diri.

2.      Dapatkan seorang guru agama untuk mendapat bimbingan dari segi keagamaan. Agama adalah sumber kekuatan yang baik untuk memelihara seseorang itu.

3.      Dapatkan seorang kaunselor untuk mendapat bimbingan dari segi kejiwaan.  Ini adalah kebanyakan masalah ini mempunyai kaitan dengan kejiwaan.

4.      Dapatkan seorang doktor untuk mendapat rawatan. Kadangkala masalah ini boleh diatasi dengan rawatan perubatan.

Islam berpendapat setiap ‘penyakit’ ada penawarnya. Begitulah juga dengan kecenderungan ini. Allah taala tidak akan mengubah sesuatu kaum kecuali dia sendiri mengambil langkah untuk mengubah keadaan. Di mana ada kehendak, di sana pasti ada jalan. Yang penting ialah seseorang itu berusaha. Dalam berusaha kadang kala ia gagal tetapi ia harus terus berusaha dan tidak boleh berputus asa.

Allah Taala Maha Adil. Dia tidak akan mensia-siakan usaha hambaNya.

Walau pun golongan gay dan lesbian telah melakukan kemungkaran di sisi Islam tetapi menangani mereka haruslah mengikut prinsip dakwah umum iaitu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan perdebatan dengan cara yang terbaik. Mencela, menyisih dan menghina mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Wallahu A`alam

Sumber: sini


AHP: Hanya menyampaikan sebagai tanda kasih sayang sesama insan...