Thursday, March 31, 2011

INDIKATOR KEPADA HIV

JANGKITAN bakteria tahap kronik yang telah tersebar hingga ke gigi.


BANYAK yang diperkatakan mengenai simptom dan gejala pandemik virus HIV positif.
Demam, penurunan berat badan, keradangan kulit yang luar biasa dan sakit berpanjangan merupakan diagnosis lazim bagi pesakit kurang daya tahan penyakit manusia.
Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa kesihatan mulut terutama gusi mampu menjadi petanda awal kepada penyakit yang belum ada ubat itu.
Menurut Pakar Klinikal Periodontologi, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Masfuah Razali, salah satu penyakit berkaitan gusi yang mampu menjadi indikator HIV ialah ulser nekropsi akut periodontitis (ANUP).
Secara umum, ANUP tergolong dalam kategori penyakit nekropsi periodontal (NPD). Dalam kategori tersebut, terdapat dua jenis penyakit gusi yang semakin jarang ditemui iaitu penyakit gingivitis ulser nekropsi akut (ANUG) dan NUP.
Kedua-duanya sering terjadi akibat tekanan perasaan, tahap kebersihan mulut yang tidak baik dan tabiat merokok.
“Simptom utama ialah kesakitan di bahagian gusi tertentu, mulut berbau (halitosis) dan kewujudan ulser yang berbentuk kawah.

Komplikasi sistemiknya ialah demam, sakit kepala dan lemah tubuh,” jelas Masfuah yang ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.
ANUG adalah radang gusi akut yang sangat menyakitkan dan ia berkembang secara progresif jika tidak dirawat pada peringkat awal.
Tambah Masfuah, ANUG hanya menyerang pada bahagian gusi manakala NUP lebih serius kerana ia melibatkan kehilangan tulang dan gusi yang merupakan sokongan penting kepada gigi.
Berbanding ANUG, ANUP banyak ditemui pada individu yang dijangkiti HIV.
RISIKO
“Paling utama, gusi akan bertukar menjadi warna putih akibat jaringan nekrosis yang disebabkan oleh bakteria. Ini akan menyebabkan kematian tisu daripada gusi,” katanya.
Kebiasaannya jangkitan menyerang kawasan gusi dan jangkitan turut melibatkan tulang yang menyokong gigi.
Tambah Masfuah, ANUG merupakan penyakit oral yang jarang ditemui pada individu sihat serta tinggal di negara maju.
Bagaimanapun ia mudah ditemui di negara tidak membangun atau kurang membangun.
“Di benua Asia, sehingga 28 peratus kes ANUG-HIV positif ditemui di Kemboja dan 23 peratus kes ditemui di India.
“Di Malaysia, hampir 18 peratus kes dijumpai membabitkan individu positif HIV yang kebanyakannya penagih dadah melalui perkongsian jarum suntikan,” tegas Masfuah.
Meskipun begitu, jangkitan pada gusi sering ditemui pada pesakit HIV dan penagih dadah tegar. Malah kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati antara lima hingga 11 peratus pengidap ANUP adalah pesakit HIV positif.
Ini jelasnya, mungkin berpunca daripada kegagalan sistem pertahan badan untuk melawan bakteria daripada menjangkiti gusi.
Ujar Masfuah, mulut yang normal mengandungi pelbagai mikroorganisma yang seimbang. Namun bagi pesakit ANUG, mikroorganisma jenis anaerobik, termasuk Bacteroides dan Fusobacterium serta Spirochetes membiak secara tidak terkawal.

ANTIBIOTIK
Apabila keadaan ini berlaku, pesakit akan mengalami kesakitan dan seterusnya mengalami kesukaran untuk membersih serta menggosok gigi.
“Lazimnya, rawatan membersihkan gigi akan dilakukan dengan segera bagi membuang kawasan yang dijangkiti bakteria di samping pesakit akan diberikan ubat kumur khas,” katanya.
Bagi memastikan jangkitan tersebut benar-benar hilang, pesakit akan dibekalkan antibiotik khas. Menurut Masfuah, pengambilan antibiotik adalah kaedah rawatan terbaik untuk penyakit ini.
“Jika lambat dirawat, kemungkinan besar pesakit akan menderita kesakitan serta kehilangan gigi akibat kerosakan pada tulang gigi,” tegas Masfuah.
Kadangkala, keradangan pada gusi yang wujud akibat pembiakan bakteria jenis patogen turut disebabkan oleh kekurangan nutrisi.
Lebih teruk, bukan saja menyebabkan kesakitan, bau nafas juga akan menjadi busuk, tubuh lemah serta limpa nodus membengkak.
“Keradangan jenis ini akan mengakibatkan gusi menjadi kemerah-merahan dan bengkak. Bukan berwarna putih dan terjadi di perantaraan gusi dan gigi,” ungkap Masfuah.

 

Sumber: sini