Friday, March 11, 2011

JANGKITAN HIV DI KALANGAN WANITA KIAN MENINGKAT



PADA 1981, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan amaran mengenai satu bentuk pneumonia luar biasa yang membabitkan komuniti lelaki homoseksual di Los Angeles.

Penyakit itu kemudian disahkan ada kaitan dengan Aids (Acquired Immune Deficiency Syndrome atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit) dan pada 1984, HIV (Human Immunodeficiency Syndrome) dikenal pasti sebagai virus yang menyebabkan Aids.

Kes HIV pertama di Malaysia disahkan pada 1986. Setahun sebelumnya, kerajaan Malaysia menubuhkan Pasukan Petugas Aids Kebangsaan untuk menggubal dasar dan menyelaraskan aktiviti pencegahan dan kawalan Aids.

Sebuah Jawatankuasa Antara Kementerian untuk menasihatkan Kabinet mengenai dasar, isu dan strategi berkaitan HIV dan Aids dibentuk pada 1992. Pada tahun yang sama, Majlis Aids Malaysia (MAC) ditubuhkan sebagai badan yang menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempelopori usaha menyekat penyebaran HIV dan Aids.

Hampir tiga dekad sejak dunia dikejutkan dengan realiti Aids, namun penyakit ini masih tidak dapat dibendung dan statistik 2008 UNAids menunjukkan beberapa maklumat yang perlu diberi perhatian berat. Apa yang menggemparkan ialah hakikat bukan saja semakin ramai wanita dijangkiti HIV, tetapi juga golongan muda dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Berdasarkan Laporan UNAids 2008, kira-kira 33 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus itu pada 2007 atau nisbah 1 dalam 180 orang, jika mengambil kira jumlah penduduk dunia seramai 6 bilion orang.

Secara keseluruhannya, dianggarkan 2 juta orang meninggal dunia kerana Aids pada 2007. Wanita adalah separuh daripada jumlah orang yang hidup dengan HIV secara global dan dianggarkan 45 peratus daripada jangkitan baru di seluruh dunia terdiri daripada golongan muda berusia antara 15 dan 24 tahun.

Menurut laporan itu, dianggarkan 370,000 kanak-kanak bawah usia 15 tahun dijangkiti HIV pada 2007. Di luar Afrika, bahagian dunia yang menjadi perhatian ialah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Sekiranya HIV melanda Asia seperti apa yang berlaku di Afrika, keadaan dijangka akan menjadi lebih teruk daripada krisis kewangan yang dihadapi sekarang.

Di negara ini, keadaan juga tidak memberangsangkan. Berdasarkan angka Kementerian Kesihatan, antara 1986 hingga 2007, seramai 80,938 orang diuji positif HIV. Sehingga 31 Disember 2007, seramai 10,334 diketahui meninggal dunia kerana Aids.

Kebanyakan kes HIV (71.8 peratus) di Malaysia adalah di kalangan pengguna dadah yang menggunakan kaedah suntikan (IDU). Kira-kira 36 peratus jangkitan terdiri di kalangan golongan muda antara usia 13 dan 29 tahun.

Kenaikan yang membimbangkan dilaporkan dari segi jangkitan di kalangan wanita dan gadis menerusi hubungan heteroseksual. Pada 1998, hanya enam peratus kes baru HIV yang dilaporkan membabitkan wanita dan gadis. Sepuluh tahun kemudian pada 1997, kes baru HIV yang dilaporkan menunjukkan jumlah jangkitan baru di kalangan wanita meningkat kepada 16 peratus. - Bernama