Saturday, March 12, 2011

GUNA KONDOM ELAK KELAHIRAN BAYI HIV


KOTA BHARU 21 Jun – Kerajaan negeri menasihatkan pasangan suami isteri yang menghidap HIV agar menggunakan kondom ketika melakukan hubungan kelamin untuk mengelakkan kelahiran bayi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, gesaan itu dibuat bagi mengelakkan jumlah penghidap HIV dan pesakit AIDS bertambah.

“Kita akan cadangkan agar semua pasangan yang menghidap HIV/AIDS agar menggunakan kondom untuk mengelak daripada melahirkan anak yang sudah pastinya akan turut membawa virus itu.

“Ini mungkin salah satu langkah terbaik memandangkan ada juga masyarakat kita yang mahu berkahwin walaupun mengetahui pasangan mereka menghidap HIV,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) yang meminta kerajaan menjelaskan langkah pencegahan penularan virus HIV di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu menurut Wan Ubaidah, jumlah penghidap HIV di Penjara Pengkalan Chepa ialah seramai 609 orang iaitu 299 daripadanya menerima jangkitan menerusi jarum suntikan.
“Kita juga ada program khas di dalam penjara untuk memberi kesedaran kepada golongan ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Nik Mazian Mahmood (Pas-Gaal) turut memberikan cadangan agar kerajaan memberikan kondom percuma kepada golongan yang terlibat dengan seks rambang.

Wan Ubaidah bagaimanapun menolak cadangan berkenaan dan menegaskan dasar kerajaan adalah tegas untuk melahirkan masyarakat yang mengikuti lunas-lunas agama Islam.

“Seks rambang sudah tentu haram, oleh itu kita tidak akan memberi apa-apa kepada masyarakat yang terlibat dengan perkara ini termasuk kondom,” tambahnya.


Sumber: sini


AHP: Berhati-hatilah para isteri kerana selalunya andalah antara golongan yang paling terdedah menjadi mangsa akibat kejahilan atau kepentingan nafsu suami. Jangan marah aku para suami kerana blog ini juga sentiasa dibaca oleh isteri-isteriku dan anak-anakku sendiri. Aku sekadar ingat mengingati untuk sama-sama menentang penularan virus kepada mangsa lain yang tidak bersalah..