Sunday, March 06, 2011

UJIAN HIV SEBELUM BERKAHWIN


BANGI 23 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihaknya tidak menyekat atau menolak permohonan mana-mana pasangan yang disahkan positif HIV untuk berkahwin kerana mereka berhak berbuat demikian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, sehingga Jun 2008, seramai 97,879 calon telah menjalani ujian saringan HIV dan daripada jumlah tersebut, seramai 46 orang didapati positif.

Beliau berkata,
tujuh daripada 46 orang itu bersetuju
meneruskan perkahwinan mereka.

''Kita tidak menerima tekanan daripada calon yang ingin berkahwin untuk menjalani ujian ini, malah ada antara mereka yang memilih untuk menjalani secara sukarela.

''Sekiranya positif HIV, calon berhak membuat pilihan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau tidak dengan pasangan masing-masing, ini termasuk bagi pasangan yang bukan Islam," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1430H/2008M di sini hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semua bakal pengantin beragama Islam wajib menjalani ujian saringan HIV bermula tahun depan.
Wan Mohamad seterusnya berkata, secara dasarnya, semua negeri bersetuju untuk melaksanakan ujian saringan HIV kepada semua bakal pengantin.
Tambahnya, Jakim pula melalui proses perbincangan yang panjang dengan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Kesihatan berhubung pelaksanaan dasar tersebut.

''Perkara ini sudah lama dilaksanakan oleh negeri Johor, malah pernah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, tetapi bermula hujung tahun lalu, semakin ramai calon pengantin bukan Islam yang menyedari akan kepentingan ujian ini," katanya.

Mengulas dakwaan pelbagai pihak yang menolak pelaksanaan dasar itu atas alasan mencabul hak asasi manusia, beliau menegaskan, semua pihak perlu memikirkan hak pasangan kepada penghidap HIV terbabit.

''Kalau ia dikatakan mencabul hak asasi manusia, kita turut kena fikir hak pasangan pembawa HIV itu, mereka akan jadi mangsa kerana hanya mengetahui perkara sebenar setelah berkahwin dengan pasangan masing-masing.

''Dalam soal ini, Jakim termasuk agensi agama Islam yang lain menerima sebarang pandangan daripada pelbagai pihak secara terbuka, namun mereka yang meragui tindakan Jakim perlu mengemukakan kajian yang terperinci terlebih dahulu," ujarnya.

Sumber: sini