Hari ini aku menerima dua berita yang menyentuh perasaanku. Satu berita gembira dan satu berita sedih. Kedua-dua berita adalah daripada mereka yang menghubungiku melalui e-mail.
Aku mulakan dengan berita gembira. Berita ini datangnya daripada seorang anak muda yang telah didiagnos HIV positif.
Mula-mula dulu beliau menghantar emel untuk mendapatkan pandangan dan hari ini emel beliau datang dengan penuh tenang dan kaya dengan nilai positif. Mengalir air mata kegembiraan bila mengetahui rakan senasib sangat tabah dan mula bangkit kembali.
Terdapat 2 jenis pembawa HIV yang aku jumpa:
Pertama ialah mereka yang bersikap positif, bangkit dan menentang. Mereka ini sangat membanggakan dan banyak membantu aku membina kekuatan.
Kedua ialah golongan yang mahu difahami dan dikasihani. Masing-masing perlu dibantu dengan pendekatan yang berbeza. Malangnya ada yang terus ‘lari’ apabila aku provok! (Silap approach la tu, acah sikit pun tak boleh, hehe...!)
Tetapi sebenarnya kedua-dua golongan aku layan seperti ahli keluarga sendiri dan aku tak pernah bertanya punca mereka terdedah kepada HIV kecuali mereka sendiri ceritakan. Bahkan Guest House ku sentiasa terbuka dan percuma kepada mereka jika mereka ingin ke tempatku.
Mari kita baca emel beliau sebagai renungan bersama :
Salam saudara AHP,
Alhamdulillah, kini saya makin tenang menempuh hari hari yang mendatang ni. Rasanya seperti tiada apa yang berlaku. Ya, saya tahu saya kini pembawa HIV tapi Alhamdulillah saya diberi ketenangan jiwa olehNya.
Pasal ujian darah tu saya kena ke Hospital Sungai Buloh pada 11 April ini untuk tahu keputusan ujian darah tersebut. Syukur juga segala proses sewaktu di Hospital Sg. Buloh tempoh hari berjalan lancar walaupun daripada pagi sehingga ke petang saya di sana. Syukur sangat-sangat sebab segala urusan di sana dipermudahkan olehNya. Nurse dan kaunselor serta doktor di sana melayan saya dengan cara yang ramah dan baik sekali.
Kalau ada kesempatan nanti saya akan ceritakan pengalaman saya sewaktu di Hospital Sg. Buloh tu. Saya dah mula menulis blog, tapi buat masa sekarang tak banyak lagi cerita yang saya ceritakan di blog tersebut.
InsyaAllah nanti saya kongsikan link blog saya. Yelah, segan nak share sekarang, AHP dah popular. Saya baru nak menapak :)
AHP teruskan la menulis blog. Blog AHP la salah satu sumber kekuatan saya. Tempat saya menimba banyak ilmu berkaitan sakit kita ni. Kuatkan semangat menulis ye AHP. Saya support AHP daripada belakang.
Oh ya, terima kasih AHP atas maklumat pemakanan sebelum ni. Saya dah mula praktikkan minum air madu lebah setiap pagi dan sebelum tidur.
Wah, mengkagumkan adik kita ini. Pandai pula ambil hati kononnnya aku ni popular.
Tahniah kerana berani mewujudkan blog tersebut, tak sabar rasanya nak baca perkongsian pengalaman beliau.
Tahniah kerana berani mewujudkan blog tersebut, tak sabar rasanya nak baca perkongsian pengalaman beliau.
Bukan soal popular atau traffic pengunjung yang menjadi isu. Aku tak pernah ambil peduli pun tentang itu. Bagi aku, siapa yang mencari maklumat, akhirnya dia akan jumpa.
Blog sebegini tidak popular tetapi sentiasa konsisten dengan pengunjung. Setiap manafaat yang diperolehi insya-Allah akan mendatangkan pahala yang berterusan. Selepas kita tiada sekalipun insya-Allah pahalanya masih berkekalan.
Kepada beliau, jangan dirisau tentang cara penulisan dan sebagainya. Yang penting objektif dan kita wajib menyampaikan kebaikan.
AHP: Tahniah, you’re amazing. Keep working & on track bro..!
p/s- Teringat mula-mula buat blog dulu. Orang pertama yang aku hubungi adalah Dr Iskandar Firzada bin Osman. Doktor dan kaunselor yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah beliau memberikan galakan penuh.