Sunday, March 06, 2011

PERKAHWINAN PASANGAN HIV/AIDS: JANGAN SESAL KEMUDIAN


Perkahwinan adalah akad yang menghalalkan pergaulan dan membatasi hak serta kewajipan serta bertolong-tolongan antara lelaki dan perempuan yang kedua-duanya bukan mahram.

Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu serta berkeinginan berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu lebih kuasa untuk menjaga mata dan kemaluan, dan barang siapa yang tidak kuasa, hendaklah ia berpuasa sebab puasa itu menjadi penjaga baginya. (Muttafaq ‘alaihi).

Bagaimanapun, ada risiko yang terpaksa ditanggung bagi mereka yang menghidap virus HIV/AIDS atau penyakit hepatitis B untuk meneruskan perkahwinan mereka.

Bagi mengupas isu ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HARUN OSMAN menemu bual pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Noor Aziah Mohd. Awal.

UTUSAN: Ada pendapat yang berbelah-bahagi apabila sesetengah negeri mewajibkan ujian darah kepada pasangan yang bakal berkahwin. Apa pandangan puan?

NOOR AZIAH: Pada umumnya, saya melihat masyarakat patut menyambut baik langkah tersebut. Ini kerana adalah penting bagi mereka yang ingin berumahtangga mengetahui keadaan pasangan masing-masing.

Pemeriksaan darah ini juga penting dalam usaha merancang pembinaan rumah tangga bahagia. Sebabnya, masyarakat kita terutama orang Melayu tidak telus atau sukar berterus-terang. Dengan kata lain, ada masalah berkomunikasi.

Apabila pergi dating misalnya, kita tidak pernah bertanya perkara-perkara asas. Contohnya, adakah terdapat ahli keluarga bakal pasangan hidup kita itu yang menghidap penyakit berjangkit atau pernah membunuh diri.

Demikian juga, amat jarang ada wanita yang memberitahu selepas berkahwin nanti dia mahu nafkah RM500 sebulan, misalnya.

Seolah-olah ada konflik untuk berterus terang. Selalunya pasangan yang berkasih itu hanya mahu mengenali aspek luaran pasangannya sahaja.

Kata orang, cinta itu buta. Soalnya, bolehkah perkahwinan itu bertahan apabila pasangan mempunyai penyakit berjangkit?

NOOR AZIAH: Memanglah ada pandangan begitu. Soalnya, jika selepas kita menjalani ujian darah dan tetap mahu berkahwin dengan pasangan pilihan, kita mestilah sanggup menerima kebaikan dan keburukan yang ada padanya.

Tidak dinafikan ada pasangan terutama isteri yang masih setia dan sanggup berkongsi hidup dengan suami walaupun lelaki pilihannya itu dijangkiti penyakit berjangkit. Golongan yang mempunyai tahap kesabaran begini pastinya akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah.

Keharusan berkahwin ini juga adalah antara kekuasaan Allah kepada hamba-Nya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran: Dan di antara tanda kekuasaan Allah ialah Allah jadikan daripada kamu isteri-isteri untuk kamu agar kamu berasa tenang dengannya dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang. (al-Rum: 21)

Sebab itu Islam menyuruh kita merisik tentang bakal suami atau isteri. Merisik dalam erti kata menyelidik latar belakang mereka terlebih dahulu. Rasulullah bersabda: Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab, kerana hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan sebab agamanya, maka pilihlah yang beragama, engkau pasti bahagia. (riwayat Muslim).

Walaupun hadis ini merujuk kepada calon isteri tetapi ia juga boleh diguna pakai dalam pencarian bakal suami.

Di antara petunjuk sifat wanita yang baik ialah mempunyai keturunan yang sihat. Dengan kata lain, kalau boleh kita cuba mengelak daripada mengahwini orang yang dijangkiti HIV/AIDS.

Bertepatan dengan ini, Rasulullah bersabda: “Bernikahlah dan beranak pinaklah kamu. Sesungguhnya aku berbangga dengan kamu sebagai umatku di hari kiamat nanti.” (riwayat Abdul Razak)

Apa yang dibimbangkan ialah apabila sudah berumahtangga timbul rasa menyesal mengapalah aku tidak dengar nasihat orang dulu.

Kalau begitu, adakah kita perlu ‘mengharamkan’ terus perkahwinan pasangan yang mempunyai penyakit berjangkit ini?

NOOR AZIAH: Saya tidak melihat kewajaran berbuat demikian. Malah tidak ada undang-undang yang boleh menyekat orang berbuat demikian.

Dalam Islam, jika perempuan itu masih gadis, maka wali mujbir iaitu bapanya boleh tidak bersetuju menikahkan anak perempuannya jika merasakan anaknya dalam bahaya akibat pernikahan tersebut. Tetapi adakah ini boleh menjamin mereka tidak berkahwin? Sebabnya, atas dasar cinta mereka boleh kahwin lari di negara jiran.

Pada saya apa yang penting ialah memberikan panduan dan pendidikan kepada pasangan terbabit tentang langkah-langkah pencegahan daripada merebak.

Tepuk dada tanya selera. Perkahwinan sebegini risikonya amat tinggi. Sebab itu pasangan suami dan isteri perlu tahu tentang kemungkinan dijangkiti AIDS atau bagaimana boleh mengelak zuriat mereka mewarisi penyakit tersebut.

Seperkara lagi, bukan semua kes melibatkan HIV/AIDS positif disebabkan perlakuan seks bebas. Ada juga kes berlaku melalui pemindahan darah. Malah doktor juga berisiko dijangkiti HIV/AIDS terutama semasa melakukan pembedahan ke atas pembawa HIV positif.

Jadi adalah tidak adil dari segi hak asasi untuk menghalang pasangan yang dijangkiti ini daripada berkahwin.

Selalunya mereka yang dijangkiti HIV/AIDS malu untuk mengikuti sesi kaunseling atau pendidikan berkala. Bagaimana masyarakat boleh membantu dalam hal ini?

NOOR AZIAH: Masyarakat jangan hanya pandai bercakap atau mengkritik sahaja. Mereka juga perlu membantu dari segi memahami keadaan, cara ia merebak dan langkah pencegahan.

Yang pasti, kita tidak boleh menyamakan mereka yang mewarisi penyakit ini dengan individu yang memang terlibat dalam penagihan dadah atau seks bebas.

Kalau di kampung, bila ada kematian mereka yang dijangkiti AIDS, ada yang takut hendak melawat. Ini menimbulkan stigma.

Ambil contoh, Norlina Alawi yang menjaga kanak-kanak yang dijangkiti HIV/AIDS tetapi beliau tidak dijangkiti virus tersebut.

Masyarakat boleh membantu dengan tidak mendiskriminasikan golongan begini. Sebaliknya, kita terutama di peringkat kanak-kanak perlu diberi kefahaman yang virus ini merebak melalui air liur atau jika penghidap itu luka perlu dipastikan darah tidak bercampur.

Dalam masa yang sama masyarakat perlu diberi kefahaman, ia tidak merebak melalui sentuhan. Inilah yang ditunjukkan melalui iklan ‘Aiman tak kisah’.

Bolehkah isteri menyaman suami yang dijangkiti HIV/AIDS terutama bagi isteri yang ‘tertipu’ hanya mengetahui suami dijangkiti virus itu selepas beberapa lama berkahwin?

NOOR AZIAH: Undang-undang sivil membenarkan isteri menyaman suami di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Keganasan yang dimaksudkan ialah pengabaian atau perbuatan yang mengakibatkan kesan, kerosakan atau penderitaan fizikal, seksual atau mental.

Cuma yang menjadi masalah dalam bab ini ialah biasanya wanita atau isteri sukar membuktikan penderaan mental oleh suami yang menghidap penyakit berjangkit. Pada masa sama, akibat hubungan seks, isteri turut dijangkiti HIV/AIDS.

Persoalan seterusnya adakah berbaloi untuk menyaman suami. Kalau suami itu penagih dadah, nafkah makan minum pun tidak tertunai bagaimana mereka nak membayar saman itu?

Sebab itu, antara cara yang paling mudah ialah menuntut cerai. Islam pula membenarkan isteri menuntut fasakh (membatalkan perkahwinan).

Dalam kes tertipu, yang termaktub dalam Kanun Keseksaan ialah penipuan seperti mengaku belum berkahwin tetapi sebenarnya telah berkahwin. Ataupun hasrat bernikah dengan kakak tetapi dinikahkan dengan adiknya yang kembar. Tetapi kalau kes di mana pasangan itu memang kenal calon suami walaupun namanya mungkin lain, tidak timbul soal penipuan atau membatal perkahwinan.

Apakah syarat yang membolehkan isteri menuntut fasakh?

NOOR AZIAH: Fasakh ini adalah permohonan membatalkan ikatan perkahwinan oleh isteri di Mahkamah Syariah.

Enakmen 2003 memperuntukkan kemudahan memohon fasakh dalam seksyen 53 berbunyi seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atau satu atau lebih daripada alasan yang berikut.

Antaranya, bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang menghidap penyakit kelamin dalam keadaan yang boleh berjangkit.

Pendek kata, individu yang pasangannya dijangkiti penyakit berjangkit boleh menuntut fasakh.

Sumber: sini

AHP: Aku cadangkan kepada mak ayah pengantin perempuan, sesekali ubahlah sedikit jenis pertanyaan sebelum menerima menantu tu. Kalau sebelum ni kita selalu tanya soal kerja, asal, umur dan sebagainya, apa kata selepas ni kita tanyakan juga solat fardhu buat tak, pandai mengaji ke, puasa penuh tak dan sebagainya. Setuju? Hehehe…  Gurau-gurau juga, fikir-fikirkan.