Wednesday, March 09, 2011

HITAM PUTIH KEHIDUPAN SEORANG HIV POSITIF


15 Mac 2011 ini aku akan menjalani CD4/CD8 dan Viral Load test. Bermakna aku perlu ke Klinik Kesihatan yang memantau keadaan kesihatanku. Aku perlu menjalani semua prosedur yang telah ditetapkan.
Bermakna, sekali lagi aku terpaksa mendedahkan diri semasa berurusan dengan kakitangan KKM sama ada semasa di kuanter pendaftaran, ujian darah, rawatan kaunseling dan semasa mengambil ubat-ubatan (jika perlu).
Walaupun aku rasa tidak selesa dan tertekan dengan keadaan tersebut, suka atau tidak aku terpaksa menempuhnya sepanjang usia.
Ujian kali ini juga bermakna ianya akan menentukan tahap rawatan yang sesuai denganku. Sekalipun fizikal luaranku masih kelihatan sihat dan tanpa apa-apa symptom HIV tetapi jika sistem imunisasiku sudah terlalu lemah dan dan jika jumlah virus di badanku tinggi, mungkin kali ini aku dikehendaki mengambil HAART.  
Aku tidak begitu gusar tentang kesan sampingan HAART tetapi aku SANGAT-SANGAT SEDIH apabila perlu memulakan HAART. Ini bermakna aku tidak lagi dapat berpuasa ramadhan seumur hidupku. Maklumlah waktu makan ubatnya mesti tepat dalam tempoh 12 jam.  
Kalau diambil pukul 9 pagi, pukul 9 malam aku kena makan lagi sekali. Kalau sahur pukul 5 pagi, bermakna pukul 5 petang aku kena makan semula. Uwaaa..!!! Macamana aku nak puasa??? Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi berpuasa penuh di bulan ramadhan kali ini.
Kali ini juga aku bercadang membawa kesemua anggota keluargaku menjalani ujian saringan HIV. Walaupun isteri-isteriku bebas HIV semasa ujian yang pertama, bukan bermakna mereka benar-benar bebas. Mereka perlu menjalaninya semula selepas 3 bulan. (Aku perlu bersedia jika doktor menyarankan mereka melalui ujian kali kedua pada kali ini)
Aku juga mahu anak-anakku menjalani ujian yang sama. Kasihan anak-anakku, walaupun mereka kelihatan tidak kisah dan bersedia. Mereka masih terlalu muda tetapi terpaksa berdepan dengan stigma dan judgemental. Terlalu banyak kebimbangan dan soalan yang berlegar di fikiran yang tak mampu aku luahkan.
Kami perlu bersedia dengan segala macam kemungkinan. Walau seperit dan sepedih mana pun perlu ditempuhi juga. Jika keluarga lain akan ke sana sini melancong sempena cuti persekolahan anak-anak, aku pula 'menaja' family trip melencung ke KK untuk menjalani ujian HIV. Haa… sebab tu aku tanya sebelum ni, betul ke sanggup kahwin dengan pembawa virus HIV ni? Itu cuma sedikit daripada segala macam ujian. Cakap memang mudah sis…
Dalam begitu pun, kami dapat pula macam-macam jemputan kenduri kahwin sanak saudara dan kenalan. Ada anak saudara call minta pandangan tentang masalah hubungan dengan tunanglah, ada yang minta tolong jadi ketua rombongan perkahwinanlah, ada yang nak minta pinjam duitlah, macam-macamlah....
Walaupun aku pening dengan masalah sendiri, suka atau tidak perlu senyum dan bantu juga sekadar yang termampu. Perlu tunjukkan muka dan kelihatan ceria walaupun tak terdaya. Perlu jadi macam-macam 'host' walaupun terasa sangat tidak bertenaga. Aduh…, penatnya!
Bila begini, hanya kepada-Nya aku mengadu, hanya DIA yang Maha Mengetahui dan hanya kepada-Nya tempatku berlindung. Aku cuba positifkan diri, redha dengan segala ujian Allah dan membandingkan keadaan diriku dengan mereka yang menghadapi ujian-ujian yang lebih besar.

Akhirnya aku sedar bahawa aku masih bernasib baik. Alhamdulillah, syukur kepada-Mu Ya Allah!

AHP: Sekurang-kurangnya aku masih diberi kesempatan sehari lagi memperbaiki kelemahan diri, cuba berbakti kepada sesama insan dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.