Entah kenapa, saya (kali ni perlu berbahasa 'saya') terlepas pandang mesej yang ditinggalkan oleh adik Neddy di ruangan komen yang bertajuk “TERUK SANGATKAH APABILA DISAHKAN HIV POSITIF?” Sila click sini.
Itu pun nasib baik saya ternampak semasa 'membersihkan' kotak emel. Pesanan tersebut beliau tinggalkan pada 10 Februari yang lalu. Kesal rasanya kerana lambat memberikan respon.
Itu pun nasib baik saya ternampak semasa 'membersihkan' kotak emel. Pesanan tersebut beliau tinggalkan pada 10 Februari yang lalu. Kesal rasanya kerana lambat memberikan respon.
Mari kita sama-sama baca mesej beliau:
neddy said...
sepupu prmpuan sy(19 thn)....baru je dpt thu yg die positif HIV pg td....ayah die(pakcik sy)baru je mninggal dunie mnggu lepas...ape yg ptt sy bwt utk motivate die????????.....sy takut die ambil tindakan yg x wajar....n adakah sy bersalah krn merahsiekan hal ini dr pngtahuan fmily kami........atau sy ptt bgtahu fmily....spy ade org yg lebih tua dpt pantau die....tolonglah sy......
Bila membacanya, serta merta pengalaman saya ketika mula-mula dikatakan HIV positif menyerbu dan memenuhi kepala. Saya faham situasi yang sedang mereka hadapi.
Melalui pesanan yang ditulis, sepupu Neddy yang berumur 19 tahun baru sahaja menerima berita tersebut, kelihatan panic dan masih merahsiakannya daripada pengetahuan ahli keluarga yang lain. Allahyarham bapanya pula baru sahaja seminggu meninggal dunia.
Bayangkan perasaan dan tekanan remaja ini jika tanpa bimbingan kaunselor professional atau seorang dewasa yang betul-betul memahami dan mampu menyimpan rahsia.
Saya berharap beliau telah diberikan kaunseling dengan baik semasa dimaklumkan berita tersebut. Saya ngeri dan trauma membayangkan apa yang saya tempuhi ketika mula-mula menerima berita sebagai HIV positif dulu. Sila click sini, sini dan sini
Sebagai seorang dewasa pun saya goyah, inikan pula beliau remaja 19 tahun yang menempuh 2 ujian sekaligus. (Ketika itu, hampir setiap hari saya menangis kerana bingung, marah, takut, malu dan tercari-cari sinar harapan. Terasa hidup pun tidak berguna lagi)
Seperkara yang saya hormat tentang Neddy ialah beliau sangat menjaga kerahsiaan dan cuba mendapatkan maklumat untuk membantu sepupunya. Setakat ini tindakan Neddy masih di track yang betul.
Saya berharap, Neddy dan sepupunya bersabar dan tabahkan hati. Jangan luahkan masalah tersebut kepada orang lain kecuali selepas mendapatkan pandangan kaunselor.
Sebenarnya tidak ada masalah bagi sepupu Neddy untuk mendapatkan bantuan cuma memerlukan sedikit masa. Beri ruang pada diri menerima kenyataan terlebih dahulu dan selepas itu dapatkanlah bantuan professional.
HIV bukanlah bermakna segala-galanya telah berakhir tetapi sebagai tanda bermulanya kehidupan baru yang lebih bermakna. Inilah masanya untuk berubah.
Rawatan untuk pesakit HIV pun sudah semakin maju bahkan mereka mampu menjalani kehidupan seperti biasa. Ramai lagi gologan yang lebih bernasib malang dan mengidap penyakit kronik yang tiada ubatnya.
Masalahnya cuma stigma dan judgemental melulu. Jadi jangan memperbodohkan diri dengan mereka yang bermentality begitu. Jangan lupa sempurnakan solat dan memohon pertolongan Allah kerana itulah sumber kekuatan sebenar seorang muslim. Berfikir secara positif juga sangat penting.
Kalau Neddy dan sepupu rajin mencari, sebenarnya banyak pihak dan nombor telefon untuk dihubungi. Saya sendiri boleh dihubungi melalui emel dan insyaAllah akan cuba mendapatkan bantuan sedaya mungkin.
Saya pasti banyak pihak sama ada Pegawai Perubatan, Kaunselor, kakitangan KKM dan NGO berkaitan sedia membantu sepupu Neddy pada bila-bila masa.
Kata-kata sokongan dan doa pun adalah bantuan yang sangat bermakna.
Semoga sepupu Neddy tabah selalu dan sentiasa membaca blog ini. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan.