Kelvin Lo (tengah) bersama Dalton Lo menerima cenderamata daripada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Juita Ghazalie selepas menamatkan penjelajahan dengan mengayuh basikal di Alor Setar, semalam. |
ALOR SETAR 30 Dis. - Dua beradik berjaya menjelajah Semenanjung dengan mengayuh basikal dalam tempoh 15 hari bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai penyakit HIV/AIDS.
Kelvin Lo, 24, dan adiknya, Dalton Lo, 20, selamat tiba di pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini.
Sepanjang penjelajahan tersebut, mereka singgah di beberapa buah hospital seperti Hospital Kuantan, Hospital Muar dan beberapa kampung untuk menyampaikan risalah dan penerangan mengenai penyakit HIV/AIDS.
Biarpun sedikit keletihan, Kelvin dan Dalton kelihatan ceria selepas berjaya menamatkan misi mereka untuk bertemu dengan penduduk di kawasan luar bandar bagi menerangkan mengenai bahaya penyakit itu.
"Sepanjang perjalanan, hujan adalah cabaran bagi kami. Ini kerana sepanjang perjalanan selama 15 hari hanya dua hari cuaca cerah.
"Adik saya juga mengalami demam kerana terkena hujan, namun dia tetap berjaya menamatkan misi ini," katanya di sini hari ini.
Kelvin yang merupakan pegawai farmasi di HSB berkata, dia sangat gembira kerana berjaya menamatkan misi untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai penyakit HIV/AIDS.
"Setelah bertemu dengan ramai penduduk di luar bandar saya dapati kesedaran mereka mengenai HIV/AIDS dan penyakit-penyakit lain sangat rendah.
"Ramai yang menganggap hospital adalah tempat untuk mereka pergi bila terkena kemalangan dan penyakit serius sahaja," ujarnya.
Dia berharap pihak media dapat membantu menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai penyakit itu agar mereka lebih sedar tentang bahayanya.
"Semasa misi kami lebih ramai yang tertarik dengan basikal dan peralatan yang kami guna semasa menjelajah Semenanjung. Saya harap orang ramai lebih sedar tentang bahaya penyakit ini," katanya.
Dalam pada itu, Dalton yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia dalam jurusan veterinar berkata, misi bersama abangnya adalah satu kenangan yang amat bermakna buat dirinya.
"Kami tiada pengalaman mengayuh basikal sejauh ini, namun demi memupuk kesedaran orang ramai mengenai penyakit HIV/AIDS kami sanggup menghadapi segala cabaran semasa misi ini.
"Saya berharap orang ramai terutama di kampung lebih mengambil berat mengenai kesihatan mereka dan jangan mengambil sikap sambil lewa dalam mengubati sebarang penyakit," katanya.