Friday, February 18, 2011

INFO TAMBAHAN: BAGAIMANA HIV BERJANGKIT?

Untuk pengetahuan anda, HIV/AIDS hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuklah darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Virus ini juga terdapat dalam tisu badan, organ, bendalir dan dalam tulang belakang dan otak.
Virus HIV/AIDS ini juga dapat dikesan dalam kadar yang sedikit di dalam air mata, air liur, air kencing dan susu badan. Virus HIV/AIDS ini boleh dipindahkan atau dijangkiti melalui hubungan seks dengan seseorang yang telah dijangkiti HIV seperti pelacur atau membuat hubungan dengan ramai pasangan yang tidak diketahui status kesihatan mereka.
Selain itu, menerima darah daripada orang yang telah dijangkiti HIV seperti semasa pemindahan darah, pada jarum suntikan atau pada alat-alat penembus kulit seperti bertindik telinga, tato, pisau cukur dan berkhatan.
Juga terdapat kes-kes yang pernah kita dengar sebelum ini di mana mangsa kemalangan yang memerlukan darah telah dijangkiti HIV secara tidak sengaja apabila darah yang mereka terima itu adalah darah yang telah dicemari HIV.
Di sini pihak manakah yang sepatutnya dipersalahkan dan apakah yang akan berlaku kepada penerima tersebut dari segi kesihatan dan kehidupannya pada masa akan datang gara-gara kecuaian pihak hospital?

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Dengan itu, bagi mengawal daripada berleluasanya virus HIV/AIDS ini kita hendaklah mengetahui akan cara-cara untuk mencegahnya.
Antara langkah-langkah pencegahannya ialah jangan melakukan hubungan seks luar nikah atau dengan orang yang tidak dikenali dan tidak tahu akan status kesihatannya. Bersifat setia terhadap pasangan anda. Gunakanlah kondom dengan cara yang betul untuk suami yang telah dijangkiti HIV. Tidak menggunakan jarum suntikan yang telah dicemari. Yang penting amalkanlah cara hidup yang sihat.
Bagi ibu yang telah dijangkiti HIV, juga memberi risiko terhadap anaknya semasa kehamilan, melahirkan dan memberikan susu badan. Kira-kira 30% daripada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita-wanita positif HIV dilaporkan dijangkiti HIV melalui ibu mereka.
Bagi mengurangkan risiko ini, pengambilan ubat Anti-HIV seperti AZT perlu supaya bayi tersebut bebas daripada HIV.
Gadis- gadis remaja kini juga amat terdedah kepada jangkitan HIV kerana status sosial yang rendah menyebabkan mereka mudah tewas kepada punca jangkitan.
Bagi mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas juga patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas.
Untuk pengetahuan anda, seseorang itu tidak dijangkiti HIV/AIDS melalui berpegangan tangan dan bersalaman, berkongsi kemudahan awam seperti telefon dan tandas awam.
Juga tidak berjangkit jika kita berkongsi menggunakan cawan, gelas dan sudu mahupun melalui makanan. Ciuman atau berpelukan, pergaulan di sekolah atau tempat kerja,berkongsi buku, gigitan serangga seperti nyamuk atau kutu juga tidak akan berjangkit.
Antara panduan pencegahan yang perlu dititik beratkan ialah mendidik anak dengan ilmu agama terutamanya bagi umat Islam. Ibu bapa pula perlulah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Hiburan yang melalaikan juga harus dijauhi supaya kita tidak terleka dan seterusnya boleh menjerumus ke arah keburukan.
Peranan pemimpin masyarakat juga perlu untuk membendung penularan kes ini serta kerjasama semua pihak amat penting bagi membantu pesakit-pesakit ini sekaligus dapat memberikan mereka galakan dan sokongan untuk meneruskan hidup mereka.
Teruskanlah berdoa kepada Allah, agar kita semua dipelihara daripada segala kesusahan, penderitaan dan bencana.

Sumber: sini