Thursday, February 10, 2011

PENTING DAN SERIUS/ BAHAYA PEMINDAHAN DARAH (2)


PENDERMA BERISIKO TINGGI
Penderma berisiko tinggi merujuk kepada penderma yang mempunyai perilaku yang tidak sihat dan kemungkinan besar dijangkiti kuman/virus yang boleh merebak dan berjangkit melalui transfusi darah (pemindahan darah). Dengan itu penderma tersebut tidak layak untuk menderma darah dan diklasifikasikan sebagai penderma Berisiko Tinggi.
Penderma Berisiko Tinggi juga merujuk kepada penderma yang kemungkinan menghadapi komplikasi atau masalah kesihatan semasa atau selepas pendermaan darah.

PENDERMA DENGAN PERILAKU YANG TIDAK SIHAT
Penderma yang dimaksudkan dengan perilaku yang tidak sihat adalah mereka yang mengamalkan salah satu atau lebih daripada tingkahlaku-tingkahlaku seperti berikut:

1. Mengadakan hubungan seks dengan bertukar- tukar pasangan atau     menjalankan aktiviti seks rambang.
2. Melanggani pekerja seks/pelacur.
3. Mengadakan hubungan sejenis (Homoseksual)
4. Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (Biseksual)
5. Penyalahgunaan dadah secara suntikan.

Penderma seperti ini walaupun ingin menderma darah secara sukarela, mereka tidak sedar bahawa perilaku yang tidak sihat ini mendedahkan mereka atau meningkatkan risiko dijangkiti HIV, Hepatitis B atau Siflis. Mereka jika tidak sedar risiko terhadap kesihatan sendiri atau darah mereka boleh memudaratkan penerima.

Penderma-penderma ini juga mungkin tidak tahu bahawa walaupun diri mereka secara fizikalnya sihat, mereka mungkin boleh menjangkiti orang lain melalui darah mereka.

WINDOW PERIOD
'Window Period' adalah satu tempoh masa antara waktu kuman/virus memasuki badan hingga ke waktu badan menghasilkan antibodi untuk menentang kuman/virus tersebut.


Oleh itu penderma yang baru dijangkiti kuman/virus sesuatu penyakit dan menderma darah ketika waktu window period, ujian darahnya kemungkinan besar akan hasilkan keputusan yang negatif (kehadiran kuman/virus gagal dikesan). Ini kerana tempoh waktu window period ini berbeza antara individu dan juga jenis kuman/virus.

Ada yang mengambil cuma 14 hari untuk badan menghasilkan antibodi dan ada yang mengambil masa berbulan-bulan.
Ini bermakna , sekiranya seseorang penderma itu terlibat dengan perilaku yang tidak sihat, adalah mustahil untuk mengetahui sama ada penderma dijangkiti kuman/virus dengan serta merta melalui ujian makmal.
Sesetengah penderma percaya bahawa memandangkan darah mereka diuji setiap kali diderma, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana mereka menganggap bahawa darah yang lulus ujian adalah selamat. Walaupun ujian darah mengatakan darah yang didermakan itu bebas dari jangkitan kuman/virus, risiko penderma tersebut merebakkan kuman/virus kepada penerima melalui tansfusi darah tetap wujud.

PENGECUALIAN SENDIRI
Penderma yang sedar bahawa darah mereka mungkin tidak sesuai atau tidak selamat untuk digunakan kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat, harus mengambil keputusan sendiri untuk tidak menderma darah ataupun mengecualikan diri dari menderma darah. Jangan menggunakan kaedah menderma darah untuk menguji kebersihan darah anda. Perbuatan sesetengah penderma menggunakan kaeadah menderma darah untuk mengetahui kebersihan darah boleh membahayakan pesakit yang tidak berdosa.

Sumber dan artikel penuh:  sini

AHP: Berfikir panjang sebelum menderma dan menerima darah.