KUANTAN 29 Nov. - Mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini, kes jangkitan HIV atau Human Immunodeficiency Virus di kalangan wanita di negara ini menunjukkan peningkatan serius.
Kebanyakan wanita dan remaja perempuan dijangkiti virus berkenaan menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki yang menghidap HIV berbanding melalui penggunaan dadah secara suntikan (IDU).
Lebih membimbangkan apabila kebanyakan mereka yang menghidap HIV adalah terdiri daripada suri rumah menerusi hubungan seks bersama suami.
Di Pahang, pada Jun tahun lalu, peratusan yang mendapat jangkitan HIV dilaporkan kedua tertinggi di negara ini selepas Kelantan dengan golongan terbabit IDU mendominasi kes terbabit.
Sementara itu, kaum wanita yang menghidap HIV di negeri ini merupakan yang ketiga tertinggi di Malaysia iaitu 27 kes dengan 16 daripadanya terdiri daripada suri rumah.
Kajian daripada Pusat Kecemerlangan dan Kajian AIDS (Ceria) pula mengesahkan seramai 42 daripada 100 penagih yang terdiri daripada kaum nelayan di negeri ini merupakan penghidap HIV.
Atas faktor persekitaran tersebut, golongan wanita daripada kalangan keluarga nelayan didapati berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV.
Justeru, Pusat Pencegahan Dadah (DIC) mengambil pendekatan dengan menubuhkan sebuah pusat singgah masuk yang dikenali sebagai Persona Grata Wanita (PGW) khusus untuk golongan wanita yang memerlukan bantuan di segi khidmat nasihat dan sokongan moral.
Beroperasi sejak tahun lalu, objektif penubuhan PGW adalah bagi membantu setiap wanita dan remaja perempuan yang bermasalah dengan menyediakan tempat atau ruang untuk berkongsi masalah dan menghilangkan tekanan disebabkan latar belakang kehidupan mereka.
Pengurus Program PGW, Sazura Sarif berkata, golongan sasaran adalah mereka yang telah dan berisiko dijangkiti HIV, pelacur dan penagih dadah.
Malah, jelas beliau, golongan suri rumah atau pasangan kepada penagih dadah digalakkan menyertai program tersebut.
Katanya, ramai di kalangan wanita yang menghidap HIV enggan mendapatkan rawatan akibat kurangnya pengetahuan serta malu untuk berdepan dengan masyarakat sehingga mereka berasa tersisih.
Sebenarnya, kata beliau, tiada stigma atau pandangan serong daripada masyarakat terhadap golongan tersebut namun semuanya disebabkan oleh rasa rendah diri dan ketiadaan semangat juang.
"Ada juga antara mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka dijangkiti HIV sehingga tidak sanggup berdepan dengan masyarakat yang dianggap memandang serong kepada mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Terletak di Jalan Wong Ah Jang di sini, PGW yang beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, menjadi tempat tumpuan golongan wanita terbabit berkumpul sambil menjalankan aktiviti yang disediakan seperti kelas masakan, kraftangan dan terapi.
Selain itu, PGW juga menyediakan khidmat seorang kaunselor yang berperanan untuk mendengar luahan dan mendekati golongan tersebut supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain tanpa memikirkan masalah yang melanda.
"Mereka juga diberi taklimat serta informasi mengenai penyakit-penyakit lain dan yang berkaitan dengan HIV/AIDS seperti hepatitis, sifilis dan gonorea oleh doktor pelatih yang datang secara sukarela daripada sebuah universiti di sini.
"Kami turut menjalankan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa selain sentiasa memantau keadaan mereka agar segala-galanya berada dalam keadaan terkawal," kata Sazura.
Menurutnya, sejak beroperasi hingga kini, PGW mempunyai ahli berdaftar seramai 157 orang yang pecahannya terdiri daripada pasangan IDU (61 orang), pekerja seks (57 orang), IDU (22) dan penagih tidak menggunakan jarum suntikan (DU) seramai lapan orang.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 27 orang disahkan positif HIV," tambahnya.
Di samping menyediakan makanan berkhasiat, pusat berkenaan turut membantu ahlinya mendapatkan peralatan seperti jarum suntikan, kondom dan metadone daripada badan-badan yang berkenaan.
Selain perkhidmatan yang disediakan, ujarnya, PGW turut membantu golongan malang yang berhadapan dengan masalah kewangan dengan merujuk kepada pihak tertentu untuk menyelesaikannya.
"PGW juga menolong menyelesaikan beberapa masalah seperti urusan pendaftaran anak-anak yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan urusan persekolahan," jelasnya.
Beliau berharap PGW akan terus memperkembangkan lagi perkhidmatan ke seluruh negara bagi membantu dan mendampingi golongan wanita untuk terus memperjuangkan nasib mereka walaupun diuji dengan dugaan besar.
"Tiada tempat lain untuk mereka meluahkan perasaan dan sokongan di segi emosi dan mental melainkan di PGW yang turut berperanan mengubah stigma masyarakat yang memandang serong kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Sazura turut menyeru kepada kaum wanita yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit HIV dan ingin mengubah kehidupan mereka ke arah kebaikan supaya tampil ke PGW pada bila-bila masa.
Sementara itu, seorang peserta PGW, yang hanya dikenali sebagai Juriya, 53, memberitahu, dia melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera oleh ibu dan ayah kandungnya pada usia 16 tahun.
Sejak itu, katanya, untuk menampung kehidupannya, dia mula melakukan kegiatan pelacuran dan telah beberapa kali dimasukkan ke pusat pemulihan wanita namun tidak pernah merasa serik untuk meneruskan kegiatan tersebut hingga kini.
"Setiap hari saya datang ke PGW untuk berkumpul bersama wanita yang senasib dan berkongsi suka duka bersama rakan-rakan lain. Sedikit sebanyak saya bersyukur kerana masih ada pihak yang (sudi) membela hidup kami," katanya.
Juriya yang pernah bersuamikan penagih dadah ketika berusia 21 tahun, memberitahu,dia tidak pernah menyesal dan menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku pada dirinya.
Bagi Nita, 29, yang berasal dari Kemaman, dia mula menghisap rokok ketika berusia 12 tahun dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada usia 15 tahun.
Sejak mengikuti program yang disediakan oleh PGW, katanya, dia berhasrat berhenti daripada melakukan kegiatan itu dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna.
"Program yang diaturkan amat berkesan kepada saya kerana di sini saya boleh meluahkan masalah yang dihadapi dan mereka banyak memberi nasihat serta dorongan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan," katanya.
Nita turut menasihati golongan muda yang dilihat kini semakin membimbangkan supaya tidak memilih jalan yang salah kerana apabila sudah terjebak, mereka tidak akan dapat berpatah balik.
Seorang penghidap HIV, Cathrina, 30, pula berkata, dia merasakan dunianya tiba-tiba gelap dan hidup sudah tidak bermakna baginya apabila mengetahui ujian darah yang dilakukan didapati positif HIV.
Dia mengetahui dirinya dijangkiti virus tersebut semasa menjalani ujian pemeriksaan darah ketika mengandung tetapi bersyukur apabila doktor mengesahkan bayi yang dikandungnya pada waktu itu bebas daripada HIV.
"Kini menyesal pun tidak berguna kerana apa yang berlaku semuanya salah saya dan saya pasrah dengan apa yang telah terjadi. Saya akan terus berjuang melawan penyakit ini," ujarnya ketika ditemui di PGW.
Cathrina yang mempunyai empat anak hasil hubungan terlarang turut berkongsi pengalaman hidupnya sebagai pekerja seks dan mangsa HIV positif kerana ingin menyedarkan golongan remaja supaya tidak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang akhirnya membinasakan diri sendiri.
"Harapan saya agar masyarakat tidak meminggirkan kami. Penghidap HIV tidak semestinya tidak boleh hidup secara normal atau berkahwin.
"Kami juga manusia biasa yang ingin hidup seperti orang lain yang mempunyai pekerjaan tetap dan keluarga. Semoga kawan-kawan senasib dengan saya mendapat sokongan," ujarnya.
Dengan adanya PGW, tambahnya, dia dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik kerana bimbingan serta aktiviti yang dijalankan membantunya melupakan seketika masalah yang dihadapi selain mendapat rawatan pemeriksaan percuma yang disediakan.
Sumber: sini