Seberat mana pun masalah dan resah yang melanda, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah SWT sentiasa menaungi kita.
Hakikatnya, tujuan Allah menghadirkan sakit kerana Dia mahu menghikmahkan sembuh.
Begitu juga Allah mengujikan kesempitan kerana Dia mahu mengurniakan keluasan.
Hebatnya perancangan Allah SWT…
Kegersangan hati adalah penyakit yang paling berbahaya abad ini. Apabila hati manusia gersang, ia akan sentiasa susah hati, gelisah, dan gundah-gulana walaupun nikmat harta dan segala-galanya melimpah ruah di sisi.
Mengapa?
Apabila hati dikuasai oleh iman dan taqwa, walaupun zahirnya miskin tetapi jiwanya sentiasa kaya. Tapi sebaliknya, bila nafsu menguasai diri, zahirnya nampak kaya tetapi hakikat jiwanya terlalu miskin!
Tak hairanlah bila mana seseorang yang miskin jiwanya, ia akan melakukan apa sahaja kehendak dan keinginannya sehingga melampaui batas akal kewarasan tabi’i manusia!
Pelbagai rentak manusia mencari kedamaian yang dirasakan kelak akan mengayakan jiwa.
Ada yang cuba-cuba mencari kedamaian dengan melancong, bersenam, yoga, melukis dan lain-lain. Tidak kurang juga yang memilih jalan ‘songsang’ seperti berhibur di kelab malam, minum arak, atau mengambil dadah. Na’uzubillah!
Sebenarnya, apabila manusia yakin Allah sangat dekat dengannya, walaupun ia dibebani oleh apa jua masalah atau sebarang bentuk kekecewaan, mereka akan segera mendapatkan kedamaian dengan mengingati Allah melalui bacaan Al-Quran, berzikir, solat dan melihat keindahan alam ciptaanNya.
Cukuplah dengan mengingati Allah… Inilah ubat kedamaian yang hakiki!
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ingatlah! Dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati.”—Al-Ra’d ayat 28.
Hati manusia yang beriman itu akan sentiasa tenteram dan aman lantaran mengingati Allah SWT. Tidak kira mereka ditimpa musibah atau kegagalan yang berkali-kali, mereka akan segera insaf dan meneropong kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.
Walaubagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Berusahalah dan berdoalah!
Janji Allah SWT yang bermaksud:
“Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam jiwa orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanan yang sedia ada pada mereka. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Alah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”—Al-Fathu ayat 4.
Jadi, kita jangan sekali-kali merungut, merasa terbeban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah SAW sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaiatu golongan para Nabi yang gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
“Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga secara bersahaja dan tidak akan datang ujian kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu?….”—Al-Baqarah ayat 214.
Benarlah…
Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sebagai suatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan yang lebih baik di sebaliknya.
Bahkan, dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai suatu kifarah pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.
Insya Allah! Moga bertemulah damai yang hilang…
Sumber: sini