Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Masyarakat perlu ketepi stigma negatif dalam usaha membantu kanak-kanak HIV jalani kehidupan normal.
“SAYA tidak menyalahkan masyarakat sekiranya mereka mempunyai stigma tertentu yang selalunya menjurus kepada negatif terhadap mereka yang hidup dengan HIV dan Aids. Selagi perkataan itu tercatat dalam kamus, selagi itulah ia akan terus menghambat perasaan masyarakat terhadapnya,” kata Pengurus Rumah Solehah, Wan Hava Wan Hussin ketika ditemui baru-baru ini.
Sejak menguruskan rumah yang didiami wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV itu kira-kira 10 tahun yang lalu, beliau juga pernah berpandangan serong terhadap insan sebegitu.
Walaupun kerja kebajikan sudah menjadi darah dagingnya, berdampingan dengan insan yang hidup dengan HIV satu ketika dulu kurang serasi pada dirinya, apatah lagi memikirkan kemungkinan berjangkit. Sungguhpun pandangan itu cukup dangkal, sebagai manusia itulah yang paling amat ditakuti.
“Saya bertanya kepada seorang rakan yang memerlukan khidmat sukarela dan beliau mencadangkan supaya membantu mereka yang hidup dengan HIV. Apabila menyuarakan hasrat berkenaan suami tidak memberikan bantahan sebaliknya terus menyokong. Memang pada peringkat awal saya sendiri mempunyai pelbagai tanggapan serong.
“Sebagai langkah berwaspada, saya mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berhubung penyakit berkenaan seperti penjagaan dan langkah keselamatan, selain banyak berdoa mohon perlindungan diri. Lama kelamaan saya semakin membiasakan diri dengan kehidupan serta wanita di sini,” katanya yang ditemui sempena majlis rumah terbuka anjuran Mamee Double Decker, baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Jenama dan Pembangunan Perniagaan Mamee Double Decker Distribution (M) Sdn Bhd (Mamee Double Decker), Imran Khan dan Pengurus Jenama Mamee Double Decker, Angeline Chee Li Fong.
Bermula dengan tiga wanita dewasa yang dijangkiti HIV, rumah berkenaan kini menempatkan 14 pesakit berusia antara empat bulan hingga 24 tahun, malah ada antara pesakit berkenaan yang datang sendiri ke rumah berkenaan selain didapati daripada jalanan.
Katanya, penjagaan kanak-kanak khususnya perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana penyakit yang biasa seperti campak misalnya, boleh mendatangkan kesengsaraan kepada pesakit.
“Kami hampir-hampir kehilangan Zainal (bukan nama sebenar) yang mana pada usia tiga tahun dia dijangkiti penyakit berkenaan dan Alhamdulillah rawatan diberikan mampu mengembalikan kesihatannya dan sihat hingga menjangkau ke usia tujuh tahun kini,” katanya.
Mengulas mengenai pendidikan kanak-kanak di situ, Wan Hava berkata, kanak-kanak berkenaan bersekolah seperti biasa dan pihaknya tidak menghebahkan keadaan mereka kerana dikhuatiri kanak-kanak berkenaan akan berasa tersisih kerana mungkin tiada siapa ingin berkawan dengan mereka.
“Sepanjang berada di sini ada juga kanak-kanak berkenaan yang bertanya kenapa mereka berada di situ dan saya terangkan mengenai keadaan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan. Tetapi bagi kanak-kanak yang sudah boleh memahami saya akan jelaskan punca sebenar mereka berada di situ.
“Bagi golongan dewasa pula, mereka bukanlah boleh tinggal di sini sepanjang hayat, sebaliknya kami adakan sesi kaunseling bagi membolehkan mereka teruskan perjuangan hidup pada masa depan,” katanya yang menyatakan rumah berkenaan turut dibantu dua sukarelawan lain.
Memerlukan kos penyelenggaraan kira-kira RM900 sebulan dan sebahagian besar diperoleh menerusi kerajaan dan sumbangan pihak swasta, Wan Hava berterima kasih kepada pihak swasta yang sudi menjenguk dan menghulurkan bantuan kerana katanya ia sedikit sebanyak dapat mengikis pandangan serong masyarakat berhubung pesakit apatah lagi sekiranya ia kerap mendapat liputan media.
Penulis juga sempat menemui seorang ibu, Najibah Hassan (bukan nama sebenar) yang selamat melahirkan bayi lelaki kini berusia lapan bulan di rumah perlindungan berkenaan.
Najibah berkata, sejak berada di situ dan melalui proses kaunseling, beliau semakin bersemangat untuk menjalani kehidupan yang lebih bererti di luar sana bersama bayi tersayang dan membina keluarga bahagia yang diimpikan selama ini.
Beliau yang disisihkan keluarga selepas mendapat tahu hamil dan dijangkiti penyakit berkenaan daripada suami berkata, beliau dihantar ke situ oleh satu pertubuhan politik kerana tiada tempat perlindungan selepas disahkan hamil, dijangkiti HIV, manakala suami tempatnya bergantung dimasukkan ke penjara.
“Selepas mengadu dengan pihak berkaitan, saya dihantar ke sini. Pada peringkat permulaan memanglah terasa agak sukar dan sedih kerana dibuang daripada keluarga. Bagaimanapun saya masih bernasib baik kerana bukan saja nenek sudi memberi perhatian kepada saya, sebaliknya hujung tahun ini saya akan mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka berasal daripada Negeri Sembilan,” katanya sambil memerhatikan permata hatinya itu.
Walaupun pandangan Najibah kosong kerana mungkin di sebalik kenyataan itu beliau tidak menaruh harapan tinggi terhadap perkahwinan barunya untuk berpanjangan hingga ke usia tua, benar katanya, darahnya yang tercemar bukanlah titik noktah kepada kehidupan.
Malah, beliau kini lebih positif menghadapi masyarakat yang menuding jari menyalahkannya kerana hakikatnya virus itu didapati daripada suami sendiri yang jahil terhadap HIV dan Aids.
Seperti katanya, beliau rela dihina tetapi adalah tidak adil anaknya yang masih kecil turut dipersalahkan kerana dijangkiti menerusi dirinya.
“Saya lebih rela merahsiakan status diri anak saya kerana saya tahu masyarakat pasti menyangka hanya yang buruk dan keji sedangkan dia umpama kain putih, tidak bersalah dan langsung tidak diminta dilahirkan. Sekiranya menipu itu lebih baik untuk dirinya, saya tidak teragak-agak melakukannya,” katanya.
Sumber: sini