Saturday, February 19, 2011

DI SEBALIK KEWUJUDAN BLOG AKU HIV POSITIF

Sebelum didiagnosis sebagai HIV positif, aku sebenarnya seorang blogger yang agak ‘terkenal’ juga. (Terkenal ke???)
Di blog tersebut aku berkongsi maklumat tentang isu-isu semasa, kritikan social, agama, kekeluargaan, persahabatan dan sejarah. Kira ramai jugalah followers… Pernahlah link blog aku tu masuk tranungkite…
Kini blog tersebut sunyi sepi. Kasihan kawan-kawan aku di sana. Bukan apa, kecenderungan dan kepekaan aku terpusing 360% sejak aku disahkan HIV positif. Aku hilang minat jika sekadar bercerita tentang asal usul “Aku Sepasang Kasut!”
Peringkat awal mencari maklumat tentang HIV, kadang kala aku keliru. Sukar untuk menyaring maklumat dan banyak maklumat agak ketinggalan. Jika maklumat tersebut bukan daripada kalangan professional, bercampur baur pula dengan stigma dan judgemental. Penulis-penulis begini tidak sedar mereka sebenarnya melemahkan semangat pesakit, walaupun berniat membantu.
Maklumat terkini kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Masalahnya bukan semua orang mahir bahasa tersebut termasuklah aku. Sekejap faham, sekejap tidak dan bila berdepan dengan istilah/ frasa perubatan, bertambahlah kebuntuanku. Kalau faham pun, kemahiran penulisan aku dalam bahasa Inggeris memang lemah. Berterabur, isteri-isteriku selalu gelakkan aku.
Jadi blog berbahasa Melayulah yang aku rasa paling sesuai dan golongan sasaranku adalah mereka yang mempunyai masalah yang sama. Mereka yang mahir bahasa Inggeris boleh baca dan sudah tentu yang mahir dalam bahasa Melayu boleh baca.
Peringkat awal diagnosis juga, memanglah aku sangat-sangat memerlukan seseorang untuk berkongsi perasaan, mendapatkan bantuan nasihat dan kaunseling. Aku terfikir alangkah bagusnya jika terdapat sebuah laman web berbahasa Melayu yang boleh diakses dan dapat memberikan respon pada bila-bila waktu. Atau sekurang-kurangnya terdapat berbagai-bagai maklumat berkaitan yang diperlukan di situ. (Access centre)
Aku juga rasa terpanggil untuk membantu golongan yang senasib denganku. Bukan sebagai professional, tetapi sebagai insan yang sudi mendengar dan mengerti perasaan sebenar mereka. Aku perlu bangkit meningkatkan kesedaran masyarakat menentang epidemic, menentang stigma dan judgemental .  Aku mahu para pesakit rasa tenang dan selesa mencari kekuatan di sini.
Alhamdulillah keluargaku sangat memberikan sokongan. Sekurang-kurang ianya menjadi medan aku melepaskan tekanan dan sebagai dokumentasi ringan perjuangan aku semenjak disahkan HIV positif. Nak kata aku “syok sendiri” pun tak mengapalah. 
Semoga generasiku nanti tahu bahawa Allahyarham bapa, datuk dan moyang mereka ini seorang HIV fighter. Taklah susah-susah mereka nak menjawab segala macam pertanyaan seperti, “Atuk kau dulu HIV, kan?” Mereka boleh jawab, “Kau baca sendiri blog atuk aku” .Okay juga kan?
Dari situ, lahirlah blog Aku Hiv Positif dan aku meletakkan sasaran bahawa sekurang-kurangnya blog ini mempunyai 1000 entry berkaitan HIV/ AIDS. Insya-Allah… 
Jika sesuai, mungkin aku usaha untuk dibukukan. Semoga ada ganjarannya di sisi Allah.
Tanpa aku sangka, blog ini nampaknya mendapat respon yang sangat baik di  kalangan professional di bidang perubatan dan rakan-rakan yang berkunjung. Ramai sangat seperti blog cerita sensasi atau gossip artis tu taklah tetapi sentiasa ada pengunjung. Sokongan yang aku terima di luar dugaan dan menyentuh perasaan. Terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan.
Paling aku puas apabila dapat berkongsi pengalaman dengan beberapa orang pesakit HIV sendiri. Kelihatan ada sinar kepada mereka melalui perkongsian, interaksi dan komunikasi tersebut.


Sebenarnya aku tak membantu apa-apa pun. Setiap pertanyaan dan perkongsian umpama aku bermonolog menasihati diri sendiri. Aku tiada kelayakan formal di bidang kaunseling.
Kepada mereka, aku harap kekal berhubung dan berkongsi pengalaman. Segala kesakitan, ketabahan, kegagalan dan kejayaan perjuangan mereka juga merupakan therapy mujarab kepadaku. Aku sekadar memberikan pandangan. (yang masih terlalu cetek dalam soal ini). Terpulang kepada penerimaan dan penilaian masing-masing.  
Menakjubkan juga bila ada yang sudi membantu kos rawatan tertentu. Kepada mereka aku ucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan. Bukan aku tak sudi tetapi lebih manis jika aku berdikari. Ikut kemampuan diri setakat mana yang boleh. Jika diizinkan-Nya, tercapai juga hajat-hajatku nanti.  Semoga segala niat  murni dan keikhlasan mereka diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda.
Tetapi aku berharap kepada mereka yang mempunyai pengalaman peribadi dengan rawatan complementary ini sudi berkongsi maklumat untuk panduan bersama. Ianya mungkin membantu pesakit-pesakit lain.
Kepada yang mahu berhubung terus dengan aku, sila tinggalkan pesanan di kotak emel. Insya-Allah kita boleh berhubung mengikut keselesaan sama ada emel, mesej atau telefon. Kalau perlu dan sesuai, berjumpa pun aku tak kisah.
Ingat kata kuncinya, “berkongsi maklumat,”. Kalau aku terlambat respon tu, maaf dipinta. Maklumlah ianya bergantung juga kepada kelapangan dan kesihatan aku.

AHP: Membantu dan mengubah BUKAN aku tetapi kemahuan anda sendiri dan dengan pertolongan Allah. Hanya Allah yang Maha Memakbulkan segala hajat dan doa.