Thursday, February 24, 2011

MAKLUMAT ASAS MENGENAI TATACARA MENJALANI UJIAN HIV

Di manakah saya boleh menjalani ujian antibodi HIV?
Anda boleh mengambil ujian ini di mana-mana klinik atau hospital kerajaan, klinik-klinik dan makmal-makmal swasta ataupun doktor peribadi anda. Pastikan tempat yang anda pilih menawarkan perkhidmatan kaunseling sebelum dan selepas ujian.
Bagaimana Tatacara Ujian Antibodi HIV dijalankan
Ia dilakukan melalui beberapa peringkat:

1.         Doktor memberikan penerangan dan kaunseling.
Beritahu doktor mengapa anda fikir anda perlu menjalani ujian. (Mungkin doktor akan berpendapat anda tidak perlu menjalani ujian, atau sebaliknya.) Jika anda mamilih untuk menjalani ujian ini, doktor akan memberikan penerangan mengenai tatacara ujian serta langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil selepas keputusan diperolehi.

2.         Contoh darah diambil dan dianalisis.
Ujian ini dipanggil Elisa. Ujian ini tidak menyakitkan dan dijalankan dengan cara yang sama seperti ujian-ujian darah yang lain.

3.         Jika keputusannya negatif, ujian yang sama akan dijalankan sekali lagi selepas tiga bulan.

Ujian
pertama yang menunjukkan keputusan negatif bermakna antibodi HIV tidak dikesan di dalam contoh darah yang diuji. Bagaimanapun ini belum mengesahkan bahawa orang berkenaan bebas dari HIV. Ini adalah kerana terdapat satu tempoh (yang dipanggil tempoh jendela @ window period
) di mana antibodi tidak dapat dikesan di dalam darah sekalipun terdapat kemungkinan jangkitan.

Orang yang berkenaan akan diminta menjalani ujian
kedua selepas tiga bulan. Jika ujian kedua juga negatif, orang berkenaan perlu mengambil ujian ketiga selepas tiga bulan berikutnya untuk pengesahan. Dalam jangkamasa enam bulan di antara ujian pertama, kedua dan ketiga, elakkan aktiviti-aktiviti berisiko tinggi
seperti hubungan seks tanpa kondom dan perkongsian jarum.

4.         Jika keputusannya positif, ujian seterusnya akan dijalankan serta-merta untuk pengesahan.
Ujian pengesahan ini dipanggil Western Blot, dan ianya lebih khusus daripada Elisa. Keputusan yang disahkan positif bermaksud antibodi HIV telah dikesan dalam darah, dan orang yang berkenaan boleh menjangkiti orang lain. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna orang itu akan jatuh sakit dalam masa yang singkat. Seseorang yang positif-HIV perlu mendapatkan kaunseling dan rawatan yang sempurna untuk mengekalkan kesihatan dan memanjangkan hayatnya.

Sama ada keputusan negatif atau positif, nasihat dan kaunseling akan diberikan selepas setiap keputusan dikeluarkan.

Berbincanglah dengan doktor anda supaya anda dapat melakukan yang terbaik dalam menjaga kesihatan anda.
Adakah identiti mereka yang mengambil ujian diumumkan atau diberitahu kepada sesiapa?
Sudah tentu tidak. Walaupun semua keputusan yang positif dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, identiti individu yang menjalani ujian berkenaan adalah sulit dan rahsia. Biasanya, nombor pendaftaran akan digunakan sebagai pengenalan pada contoh darah, manakala butir-butir lawatan tidak dicatitkan pada kad klinik.
Di manakah saya boleh dapatkan keterangan lanjut?
Pertubuhan-pertubuhan berikut boleh menjawab kemusykilan dan membantu anda dalam membuat keputusan yang sewajarnya.

Majlis AIDS Malaysia (Unit Maklumat Rawatan)
(03) 4043 9711 or 4045 1033 ext. 202
Mon - Fri 9.00 am - 5.30 am

Malaysian AIDS Council (Hopis Cahaya)
(03) 4045 0133
Mon - Fri 9.00 am - 4.00 pm

Positive Living
(03) 4044 4611
Mon - Sat 9.00 am - 5.30 am

Hospital Kuala Lumpur
(03) 2692 1044 ext 5228/5238
Mon - Fri 9.00 am - 4.00 pm

Hospital Universiti
(03) 7956 4422
Mon - Fri 9.00 am - 4.00 pm
Sumber: sini


AHP: Moga dapat membantu. Jangan panik. Hadapi dengan tenang.