Apa saja jenis penyakit kronik, seseorang pesakit sangat memerlukan wang simpanan untuk menampung perubahan keperluan kewangan yang mungkin berlaku secara tiba-tiba.
Terdapat berbagai-bagai keperluan baru sama ada untuk menanggung kos rawatan, pengangkutan, supplement food, penginapan dan sebagainya.
Aku adalah salah seorang yang menanggung perubahan-perubahan tersebut yang berlaku secara drastik.
Bukan tidak mengetahui dan bukan tidak pernah dinasihatkan supaya membuat simpanan untuk waktu kecemasan tetapi selagi tidak menempuhnya sendiri, aku mengambil mudah keperluan tersebut.
Semasa sihat, dengan jumlah tanggungan keluarga yang cuma seramai 5 orang dan 3 daripadanya mempunyai pendapatan sendiri, aku berada dalam kondusi yang agak selesa bagi golongan berpendapatan sederhana.
Apa yang ada pun, aku cuma memiliki insuran kesihatan tetapi pihak insuran tidak cover jika anda pengidap HIV. Pihak insuran pun seolah-olah stigma dan judgemental.
Walau pun mempunyai sedikit aset hartanah sebagai pelaburan masa depan, secara keseluruhan aku berbelanja melebihi keperluan sebenar.
Salah satu 'penyakit' yang aku hadapi ialah terlalu obses terhadap kereta. Bayangkan selama 20 tahun bekerja, aku telah menukar kereta sehingga berbelas kali. Menyesal pun tak berguna.
Simpanan tunai pula cuma mampu menanggung 'kejutan' dalam tempoh sebulan dua dan selebihnya, ternganga!
Cuma seperkara yang aku bersyukur ialah, aku tidak terlibat dengan masalah kad kredit. Hutang pinjaman bank, kos anak belajar, bil-bil dan lain-lain ansuran adalah normal.
Bila berdepan dengan perubahan keperluan kewangan drastik begini, kesannya cukup terasa. Kos supplement food aku sahaja sudah mencecah rm500-rm700 setiap bulan.
Kebetulan, kami sekeluarga baru sahaja melakukan beberapa perkara baru yang menuntut keperluan kewangan yang tinggi. Apa lagi, terduduk dibuatnya.
Bila begini, apa tindakannya? Jawapannya ialah, redha dan sesuaikan diri dengan situasi baru.
Syukurlah aku sekeluarga awal-awal telah menetapkan minda bahawa, semua nikmat Allah hanyalah pinjaman dan sementara. DIA berhak menariknya bila-bila masa.
'Dare to fail' juga mungkin menjadi 'penawar' yang mujarab.
Selain itu, biasa hidup dalam tekanan dan susah suatu ketika dulu memberikan aku sedikit kelebihan... Jadi kesusahan dan ujian ini masih mampu aku hadapi.
Jadi, beringat-ingatlah masa berada. Bagus jika dapat merancang kewangan dengan teliti tetapi ingat, yang Maha Merencana hanyalah Allah.
Bukan apa, bimbang stress pula bila dah banyak menabung, tetapi masih tak cukup-cukup duit. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal...
Manalah kita tahu perkara yang akan berlaku dan selama mana kita memerlukan rawatan.
Yang penting, ingat janji Allah bahawa dalam setiap kesempitan pasti akan ada kelapangan. (Surah Al Insyirah ayat ayat 5 & 6)
Mampu beli ubat sampai berjuta ringgit sekali pun, hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Ubat sekadar ikhtiar dan 'alat'. Kalau tidak, orang kaya dan berkuasa tak mati-mati...
Jadi, macamana? Menyimpanlah tetapi yang lebih penting ialah sikap positif dan redha dengan ujian Allah. Jangan kerana dengan sedikit ujian, kita sanggup meminum nanah dan menjual akidah.
Mari renungkan, ramai lagi yang jauh lebih susah dan menderita. Tiada tempat tinggal, punya anak-anak kecil yang ramai dan kehilangan punca pendapatan tetapi cekal menghadapi berbagai-bagai ujian Allah.
Bila membayangkan betapa sukarnya mereka, terasa betapa aku masih bertuah dan berbahagia.
Alhamdulillah...
AHP: Semua ini pandangan peribadi. Mana yang boleh pakai, pakailah. Tak setuju, abaikan.